Sunday, October 4, 2009

KITAR SEMULA, BUKAN ANAK TEMPATAN, UNDERDOG & UNDI POS…

(Sembang Ahad)

Banyak isu boleh diperkatakan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Paling penting, siapa yang boleh berkhidmat untuk rakyat. Selain itu jangan terlalu yakin. Mesti kerja kuat untuk memenangkan Isa Samad pada pilihan raya kecil ini.

Apa cara sekalipun Isa Samad mesti menang. Sekat sabotaj dan usaha licik pihak tertentu untuk kalahkan pemimpin ini.

Tidak timbul soal calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon 'kitar semula'. Menurut Mohd Isa, label itu lebih sesuai untuk pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi Mohd Isa, beliau percaya pengundi di Bagan Pinang akan memilihnya sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan bahawa saya masih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan pengalaman yang ada.

Selain itu penduduk di Bagan Pinang dari semua kaum akan menyokong beliau kerana ini adalah kali pertama beliau menjadi wakil rakyat di kampungnya.

Mohd Isa sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi sejak 1978 sehingga 2004 sebelum menjadi Ahli Parlimen Jempol dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang disandang sebelum meletakkan jawatan pada 2005.

Mohd Isa mendapat sokongan padu Umno Negeri Sembilan dan UMNO Pusat tetapi tetap memberi amaran supaya BN perlu berhati-hati bagi membetulkan kekeliruan yang akan diwujudkan oleh pihak pembangkang.

Pembangkang mensasarkan rekod Mohd Isa yang pernah digantung keahlian dalam Umno selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang dalam pemilihan parti pada 2004.

Ekoran itu, pembangkang mendakwa BN 'mengkitar semula' Isa yang berusia 59 tahun itu untuk bertanding di kubu kuat Umno itu.

Bagi BN khususnya UMNO, pencalonan Mohd Isa sebagai calon paling sesuai untuk bertanding di Bagan Pinang.

Mohd Isa sedar serangan pembangkang dan usaha memperlekehkannya: “Umpamanya ada parti pembangkang menyatakan saya calon kitar semula tapi saya nak sebut di sini bahawa bapak Parti Keadilan, dia lagi kitar semula. Saya cuma tak bertanding tahun 2008 saja, yang dia tu tak bertanding dekat lebih enam tahun...dah hancurlah sampah tu kalau dikitar semula.

Yang penting pengundi di Bagan Pinang jangan terkeliru kerana pembangkang selalunya cakapnya lain manakala perbuatannya lain.

Selain itu, isu-isu seperti anak tempatan dan undi pos semakin diperkatakan. Ia sukar menenggelamkan PAS dengan isu berkenaan. Sebaliknya bagi PAS, ia bertanding sebagai underdog tetapi tetap yakin akan menang.

Kawasan DUN Bagan Pinang mempunyai 13,644 pemilih berdaftar termasuk 4,604 pengundi pos. Pada pilihan raya umum 2008, BN memperoleh 3,080 daripada 5,191 undi pos manakala calon Pas mendapat 1,189 undi.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, ditentang calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri itu.

Biarpun calon PAS bagi pilihan raya kecil ini, Zulkefly Mohamad Omar, semalam mengakui beliau bukan anak tempatan Bagan Pinang, ia bukan faktor yang boleh memberi kelebihan kepada calon BN.

Sebelum ini dalam pilihan raya kecil yang disertai BN, anak tempatan pun tergolek juga.
Isu "anak tempatan" sebenrnya bukan isu, malah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, bukan pun berasal dari negeri itu sebaliknya dilahirkan di Melaka.

Sebaliknya, Zulkefly lebih layak kerana "Saya anak watan Negeri Sembilan," dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu di Lenggeng.

Zulkefly bukan tidak pernah mencuba dalam pilihan raya. Beliau sebelum ini pernah bertanding sebanyak tiga kali pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008 bagi kawasan DUN Lenggeng, namun tidak pernah menang.

Berbanding Zulkefly, Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sejak 1982, dibesarkan di Kampung Bagan Pinang.
Mohd Isa sangat disegani penduduk setempat kerana ketokohan dan keramahannya. Namun, apakah ini ukuran kenapa beliau wajar dipilih?

Mungkin kerana kedudukan ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mula main politik dan spinnya berkisar dakwaan bahawa undi pos tidak telus.

Sebelum ini pun, pemerhati politik sebelum ini meramalkan isu undi pos akan dimainkan pakatan Pas-DAP-PKR di Bagan Pinang sebagai strategi kempennya selain isu berbangkit lain.

Melihat pentingnya undi pos dan kerana undi pos ini, Hadi mendakwa ia menyukarkan partinya untuk memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Oktober ini.

Namun disebalik menyatakan sukar menang Hadi tetap optimis bahawa “Kita sedar peluang untuk menang payah tapi ia (kemenangan) tidak mustahil."

Sekutu Hadi, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, turut berpendapat sokongan pengundi pos akan menentukan keputusan pilihan raya itu nanti.

Untuk itu, Khalid yang juga Menteri Besar Selangor mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih telus dalam mengendalikan proses pengundian secara pos kebanyakannya membabitkan anggota tentera.

Sebelum ini, PAS mendakwa semakannya mendapati hanya 1,200 daripada 4,604 pengundi pos di DUN Bagan Pinang yang masih tinggal di situ. Mereka adalah anggota tentera yang tinggal di Kem Seri Rusa - satu-satunya kem tentera dalam DUN Bagan Pinang.

Manakala yang lainnya merupakan mereka yang pencen atau yang telah berpindah atau berkhidmat di tempat lain.

Bagi PAS, mengikut kaedah pilihanraya, yang tidak tinggal lagi dalam kem, sepatutnya dia mengundi sebagai pengundi biasa.

Pendapat Hadi dan Khalid turut disokong Naib Presiden Pas yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil PAS bagi DUN Bagan Pinang, Salahuddin Ayub, turut berpandangan sama.

"Kita akui kita parti 'underdog' tetapi beberapa indikasi menunjukkan kita ada peluang di Bagan Pinang," katanya.

Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pengundi-pengundi di DUN Bagan Pinang, perlu bijak memilih wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Ini kerana pilihan raya kecil itu bukan untuk membentuk kerajaan, sebaliknya bertujuan menentukan wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah mereka di kawasan tersebut.

''Kita mesti sedar bahawa ini adalah pilihan raya kecil, bukan soal membentuk kerajaan. Dalam pilihan raya kecil, apa yang penting ialah khidmat seorang bakal wakil rakyat, siapa yang boleh beri khidmat bakti dan dapat menyelesaikan masalah pengundi di sana.

Hakikatnya, inilah sebenarnya kayu ukur paling utama untuk pilihan raya kecil ini bagi DUN Bagan Pinang.