Tuesday, October 7, 2008

PAK LAH TIDAK AKAN UNDUR AWAL?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mengumumkan hari ini mengenai keputusannya sama ada mahu mempertahankan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.
Ramai menaruh harapan ia akan dibuat hari ini.
Kini tumpuan adalah pada Dewan Tertinggi BN yangh akan mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, esok.
Perdana Menteri semalam berkata yang beliau akan mengumumkan hari ini atau esok sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Presiden Umno.
Banyak pihak berharap ada sesuatu yang konkrit diumumkan oleh Abdullah selepas mesyuarat berkenaan.
Dengan mesyuarat akan hanya bermula kira-kira 4 petang, pengumuman mungkin hanya dibuat kira-kira 6 petang esok.
Banyak pihak meramalkan, walaupun beliau tidak membayangkan apakah keputusannya nanti, Abdullah yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), dijangka mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Jika beliau membuat keputusan tidak bertanding dan akan terus memegang jawatan Perdana Menteri, bermakna antara Oktober 2008 hingga Mac 2009 akan wujud vacuum dan suasana yang kurang selesa dalam konteks politik dan pelaburan.
Tempoh enam bulan (setengah tahun) amat panjang dan apa-apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh itu dan dengan keadaan Perdana Menteri akan melepaskan kuasanya, suasana tidak tenteram akan berlaku.
Dengan kata lain authoriti melaksanakan kuasa dan perkara-perkara membabitkan pentadbiran negara akan menjadi longgar dan tidak menentu.
Lebih-lebih lagi jika ada pula rancangan baru Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pada ketika pemimpin UMNO masing-masing sibuk dengan pemilihan jawatan penting parti.
Kerana itu adalah baik sekiranya Abdullah mahu melepaskan jawatan dalam parti, beliau turut melepaskan jawatan Perdana Menteri.
Cumanya di sini sesiapa sahaja yang akan mengambil alih perlulah menjamin mereka benar-benar berpengaruh dalam UMNO dan BN kerana sokongan padu komponen penting untuk stabilkan BN.
Jika ada yang tidak kena, kemungkinan apa yang diperkatakan oleh Anwar bahawa ada mereka yang akan melompat parti akan benar-benar berlaku.
Pada ketika ini yang akan tersenyum lebar adalah Anwar dan Pakatan Rakyat, walaupun hakikatnya Pakatan Rakyat sendiri menghadapi masalah untuk membentuk kerajaan jika pun mendapat cukup kerusi di Parlimen.
Apapun, Perdana Menteri sudah mengatakan bahawa sebelum menyerahkan kepemimpinan parti dan kerajaan, beliau akan “meneruskan tugas bagi memastikan janji BN kepada rakyat menerusi manifesto pilihan raya umum Mac lalu ditunaikan."
Tidakkah usaha itu akan mengambil masa yang agak lama?
Mungkin menyedari ‘banyak yang perlu dilakukan oleh Abdullah’, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak percaya selagi Abdullah belum membuat sebarang pengumuman.

KENA LOTERI...

Mendapat panggilan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang bertanyakan khabar pada bulan Ramadan bagaikan suatu hadiah besar! Kalau istilah P.Ramlee, ‘kena loterilah...”

Sebenarnya saya tidak menyangka beliau akan berbuat demikian selepas menjadi pemimpin No. 1 di Terengganu. Sebelum ini pun ada juga kawan-kawan yang menjadi orang penting di Terengganu tetapi mungkin sudah ‘terlupa’ nombor telefon saya.
Kebetulan pada pagi 2 Shawal berkenaan, saya dan keluarga tinggal di Hotel Primula, Kuala Terengganu – pulang berhari raya.
Dan pada hari itu ada jamuan untuk Perantauan di Hotel tersebut.
Dengan menyahut jemputan Menteri Besar itu, saya bersyukut kerana selain berjumpa Datuk Ahmad Said, dapat jumpa kawan-kawan lama termasuklah Datuk Manja Ismail (Pengarang Kumpulan Berita Harian), Hamid Salleh (wartawan Berita Harian), Saudara RosliZakaria (wartawan NST), serta beberapa jurugambar yang pernah bekerja dengan saya ketika di Harian Metro dan Harian Watan.

Saya juga bertemu rakan penyanyi pertengahan 1970-an, Hafsah Jusoh iaitu ketika sama-sama menyanyi dengan Orkes RTM Pantai Timur pimpinan Allahyarham Tain Othman.
Suaranya masih merdu dan saya tetap merindui suaranya menyanyikan lagu-lagu yang tajuknya saya sudah lupa (kalau tidak silap Sri Tambak) tetapi daripada filem Lancang Kuning yang senikatanya bermula dengan “Nyior Gading Pucuk Mahligai’ dan berduet dengan M.Ibrahim yang begitu popular, iaitu “Selasihku Sayang” yang kemudian dipopularkan oleh Ahmad Jais dan Rafeah Buang.
Selepas berhari raya di Kuala Terengganu, saya terus ke Bachok untuk menghadiri rumah terbuka bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Husin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.