Thursday, January 3, 2013

PRU13 - AMANAT HADI, TAK PERLU FORUM TV, ELAK WADAH KEPENTINGAN PERIBADI, POLITIK KEPARTIAN

 “Saya khuatir adakah kebenaran atau populariti yang hendak dicari? Jika kebenaran yang dicari, tidak bolehkah forum itu diadakan secara tertutup? Jika perbincangan membabitkan dua kumpulan dalam kalangan tokoh agama yang diadakan secara terbuka, sesiapa saja yang menang atau kalah akan memberi kesan kepada imej institusi agama. Jangan kita terperangkap dengan agenda politik pihak berkepentingan."
- Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad


Daripada www.teganuku.blogspot.com

Dua mufti tidak setuju dengan cadangan forum yang bertujuan memberi peluang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperjelaskan amanat mengkafirkan UMNO kerana bimbang ia menjadi wadah memenuhi kepentingan peribadi dan politik kepartian pihak tertentu.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin (kiri) berpendapat forum itu tidak wajar diadakan kerana ia berpotensi menimbulkan polemik berterusan, manakala Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria secara tegas tidak mahu terbabit dengan agenda politik Abdul Hadi dan tidak akan hadir walaupun dijemput.

Mohd Tahrir berkata, selain boleh menimbulkan polemik berpanjangan, kesan forum itu akan menjejaskan imej agama dan umat Islam.

“Justeru, lebih elok jika forum itu tidak diadakan,” katanya

Ditanya sama ada akan menghadirinya, beliau berkata ia bergantung kepada perbincangan dengan mufti negeri lain terlebih dahulu. Harussani ketika dihubungi semalam mengulangi bahawa Hadi hanya perlu menarik balik amanat yang dikeluarkan pada 1981 dan bertaubat bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Benda sudah salah tidak perlu ada forum. Saya cuma nak nasihatkan beliau bertaubat dan menarik balik amanat itu. Tak ada faedah pun forum itu diadakan. “Saya tidak akan hadir... buat apa hendak menegakkan benang basah. Saya bukan mencari siapa salah, siapa betul. Saya kata perbuatan itu salah, habis cerita... kalau dia kata tak salah, dia punya pasal,” katanya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika mengulas mengenainya kelmarin, berkata kerajaan akan menjemput tokoh agama dan mufti hadir dalam forum berkenaan. Ia susulan hasrat Hadi yang mahu muncul di televisyen selama sejam untuk menerangkan isu perpecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanat yang mengkafirkan UMNO di Terengganu pada 1981.

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad pula mahu ia diadakan secara tertutup kerana penganjuran forum terbuka atau secara langsung menerusi televisyen boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi agama dan memburukkan lagi keadaan.

“Saya khuatir adakah kebenaran atau populariti yang hendak dicari? Jika kebenaran yang dicari, tidak bolehkah forum itu diadakan secara tertutup?

Jangan terperangkap “Jika perbincangan membabitkan dua kumpulan dalam kalangan tokoh agama yang diadakan secara terbuka, sesiapa saja yang menang atau kalah akan memberi kesan kepada imej institusi agama. Jangan kita terperangkap dengan agenda politik pihak berkepentingan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan hadir, Mohammad Shukri berkata, ia tertakluk kepada kebenaran istana, Setiausaha Kerajaan Negeri dan ketetapan yang dicapai dalam forum antara mufti.

“Sebelum menyatakan komitmen, mufti perlu memandang jauh dan melihat daripada pelbagai aspek... berbeza dengan orang politik.

 “Katakanlah mufti dijemput, mungkin kita akan berbincang dulu sesama mufti mengenai kewajaran untuk hadir.

Keputusan itu berdasarkan apa kebaikan jika hadir dan apa persiapan perlu dilakukan termasuk merujuk pada kitab kerana ia tidak boleh diputuskan begitu saja,” katanya.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman pula membayangkan tidak akan hadir forum berkenaan.

Wan Zahidi
“Kita dahulukan Mufti Perak dan Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Wan Zahidi Wan Teh). Mereka ada bukti dan lebih awal mengemukakan isu berkenaan, mereka yang patut hadir,” katanya tetapi enggan mengulas panjang.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya bersedia untuk hadir dan bersetuju jika ia disiarkan secara langsung.

“Saya amat bersetuju kalau siaran secara langsung dan telus. Amat besar harapan umat Islam supaya isu ini dileraikan dan semua pihak perlu jujur untuk Islam,” katanya.

Beliau turut mencadangkan beberapa nama selaku moderator bebas yang arif dalam sejarah dan perkembangan gerakan Islam seperti Prof Datuk Dr Agus Yusof dan Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad pula berkata, beliau akan meneliti perkara itu lebih mendalam sebelum membuat keputusan.

“Sekarang saya belum boleh buat apa-apa keputusan lagi, mungkin selepas saya teliti dulu isunya,” katanya.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian  berpendapat jika Hadi  benar-benar serius, dia boleh membuat penjelasan mengenai amanatnya yang menjadi kontroversi sejak lebih 30 tahun lalu itu melalui media lain, bukan menerusi RTM dan TV3.

Dengan cuba mendapatkan ruang sejam di RTM dan TV3 untuk menjelaskan isu itu secara langsung menimbulkan anggapan bahawa beliau hanya mahu mengguna kesempatan tersebut untuk kepentingan diri dan parti semata-mata.

Katanya, sebenarnya ada banyak lagi media sosial yang boleh Abdul Hadi gunakan untuk menjelaskan isu itu.

Beliau berkata, Abdul Hadi boleh menjelaskan dalam akhbar atau portal online seperti Sinar Harian, Harakah Daily, Malaysiakini dan The Malaysian Insider, antara lain.

“Saya tidak bersetuju (penjelasan secara langsung melalui RTM dan TV3) kerana ia mungkin disalahertikan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Penjelasan seperti itu, katanya, mungkin dianggap bukan jawapan daripada ulama yang prihatin mengenai isu serius seperti Amanat Haji Hadi itu.


Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan, Profesor Mohd Noor Deris berkata pihak berwajib disarankan bertindak tegas sekiranya Presiden Pas itu enggan tampil untuk sesi penjelasan di televisyen setelah menetapkan syarat kepada kerajaan.

Abdul Hadi wajar ditahan dan diambil keterangan seandainya beliau sengaja tidak hadir setelah meminta untuk bersiaran langsung bagi menjelaskan isu yang hangat diperkatakan itu.

Saranan Mohd Noor itu adalah berikutan Abdul Hadi sendiri yang menetapkan syarat untuk berdialog selama satu jam secara langsung menerusi televisyen dan tindakan tegas itu perlu kerana tidak mahu kesungguhan kerajaan dilihat sebagai mainan oleh Pas dalam isu Amanat Haji Hadi itu.

“Saya melihat Pas ini sudah mencabar banyak perkara, ini bukan perkara main-main, jika tidak hadir juga paksa dia datang, sekiranya tidak mahu pihak berkuasa boleh menahan dia serta disiasat mengikut undang-undang yang ada.

“Amanat Haji Hadi ini adalah sesuatu yang boleh membawa mudarat jika ia tidak ditangani dengan baik dan Abdul Hadi itu sendiri perlu jelaskan perkara tersebut kerana ia mengganggu metodologi politik Islam,” katanya semalam.

Sumber - Berita Harian, Sinar Harian & Bernama