Thursday, December 28, 2017

DI SEBALIK WANG HILANG AS$3.5b DAN BAYARAN AS$1.2b....


Mungkin banyak pihak, pastinya bukan semua pihak di Malaysia,  menyambut gembira apabila dilaporkan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC) memaklumkan semalam  bahawa  1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah melangsaikan semua wang dijanjikan melalui mahkamah di London.

Ia susulan perjanjian penyelesaian antara kedua-dua pihak di mana 1MDB perlu membayar IPIC kira-kira AS$600 juta lagi menjelang 31 Disember ini, seperti yang dipersetujui dalam perjanjian April lalu.

Ini bermakna untuk tujuan ini sahaj,  kerajaan bagi pihak 1MDB perlu menyediakan sekurang-kurangnya AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion) bagi dua bayaran.

Ini  yang dipersetujui melalui timbang tara tetapi bagaimana dengan jumlah tersalah bayar dansudah lesap sebanyak AS$3.5 bilion itu?

1MDB bukan syarikat milik rakyat. Tetapi ia menggunakan wang kerajaan untuk aktiviti perniagaannya. Sama ada untung atau rugi, apabila menggunakan wang kerajaan, sedikit sebanyak pasti menggunakan wang rakyat.

Pastinya, risikonya rakyat yang turut menanggungnya.

Persoalannya, dalam isu 1MDB dan IPIC ini, selain menggunakan  AS1.2 bilion untuk melangsaikan hutang dengan IPIC secara terang, jumlah yang hilang akibat tersilap bayar kepada syarikat yang tidak pernah wujudd itu membabitkan jumlah lebih besar - sebanyak AS$3.5bilion.

Apa kesudahannya?

Bukankah kesemuanya ini berjumlah AS$4.7 bilion dalam urusan 1MDB dengan syarikat Abu Dhabi berkenaan sehingga kini?

Sudah pasti berita penyelesaian AS$1.2 bilion itu akan disambut dengan penuh kelegaan dan kegembiraan oleh mereka yang pro-UMNO/Barisan Nasional (BN), termasuk penyokong Najib Razak.

Maka akan riuh rendahlah kumpulan laskar media pro-UMNO memainkan ‘kejayaan’ ini.

Namun, persoalan lama sehingga kini tetap tidak terjawab.

Rakyat tetap mahu tahu banyak perkara termasuk bagaimana bayaran boleh dibuat kepada syarikat yang tidak wujud, daripada manakah punca wang ‘tersalah bayar’ itu diperolehi dan daripada mana pula sumber kewangan dalam penyelesaian timbang tara terbaru ini?

Soalan lain, siapa buat keputusan untuk membayar kepada syarikat tidak wujud itu dan apa langkah mendapatkanya kembali wang AS$3.5 bilion yang lesap itu?

Perlu ada pihak yang bertanggungjawab kerana ia wang daripada kerajaan yang diberikan keercayaan oleh rakyat.

Atau apakah wang itu akan hilang dengan begitu sahaja? Atau ia memang disengajakan?

Untuk rekod,  1MDB dan IPIC menjalinkan hubungan pada 2012, apabila syarikat itu menjamin dua bon bernilai AS$1.75 bilion setiap satu kepada 1MDB untuk mendapatkan dana bagi membeli aset jana kuasa. Balasannya, 1MDB membuat bayaran cagaran kepada IPIC. 

Namun masalah timbul  pada akhir 2015, apabila IPIC/ Aabar dan 1MDB tidak mendapat persetujuan berhubung dana yang hilang kerana IPIC dan pelabur Malaysia gagal menjelaskan pinjaman AS$1.2 bilion daripada Abu Dhabi.

Selepas gagal menyelesaikan isu wang yang hilang, dengan Malaysia menegaskan bahawa mereka telah membayar balik AS$3.5 bilion kepada anak syarikat IPIC – anak syarikat IPIC pula bertegas bahawa mereka tidak menerima kebanyakan dana tersebut.

Bagaimanapun pada  Mei tahun lalu, Abu Dhabi dan Malaysia bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian itu secara timbang tara di London. Hasilnya, 1MDB akan membayar IPIC AS$1.2 bilion secara ansuran tiga kali, dan yang terakhir diserahkan pada 21 Disember.


Fakta nyata ialah perjanjian IPIC adalah dengan 1MDB dan kerajaan Malaysia melalui MOF Inc.  yang jelas menunjukkan jika 1MDB tidak mampu untuk membuat pembayaran, maka kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kesemua bayaran kepada IPIC.

Biarpun kerajaan Malaysia gembira IPIC dan hakikat sebenar ialah rakyat Malaysialah yang akan menanggung beban berganda dan berpanjangan apabila pembayaran kepada IPIC dibuat sebanyak dua kali.

Dengan tidak terjawabnya banyak persoalan daripada pihak kerajaan, Najib dan 1MDB sendiri sehingga kini, sudah pasti akan  mendatangkan banyak lagi persoalan baru.

Antaranya:

1.     Apakah bayaran kepada syarikat yang tidak wujud itu membabitkan wang rakyat? Sementara dua bayaran yang sudah dibuat hasil timbang tara itu jelas dibuat oleh MOF Inc. dan 1MDB. Persoalannya bukan satu sen pun pembayaran itu tidak menggunakan wang rakyat?

2.     Persetujuan 1MDB membuat bayaran kepada IPIC  itu terbukti syarikat itu mengaku membuat bayaran yang salah kepada satu syarikat yang tiada kaitan langsung dengan IPIC.  Bila agaknya kerajaan akan bersedia menjelaskan bagaimana kejadian itu boleh berlaku, apalagi syarikat yang dikatakan menerima bayaran itu tidak wujud langsung. Atau apakah kerajaan – MOF Inc. serta 1MDB sendiri akan terus membisu?

3.     Persetujuan arbitrasi yang dicapai antara 1MDB dan IPIC ini juga jelas menunjukkan terdapat unsur-unsur penipuan apabila 1MDB telah membuat salah pembayaran kepada Aabar BVI. Jika membuat keputusan salah, bagaiamana MOF Inc.  dan 1MDB boleh terima sahaja keputusan itu dengan ‘tangan terbuka’?

4.     Pembayaran sepatutnya kepada  IPIC – Aabar Investments PJS sebaliknya pembayaran dibuat kepada Aabar BVI (sebuah syarikat palsu) yang membuiktikan kerajaan merestui keputusan itu. Kenapa tiada siasatan dan tindakan sewajarnya diumumkan secara telus kepada rakyat?

Kesimpulan kepada  empat perkara ini ialah, kerajaan dengan berani membelakangkan kepentingan rakyat menggunakan wang lebih AS3.5 bilion dan kemudian AS$1.2 bilon.

Apakah wang digunakan itu hasi; daripada cukai termasuk GST yang kini disebut  sebagai ‘dasar  menekan rakyat’?

Amat nyata kerajaan pimpinan Najib yang disokong oleh konco-konconya melakukan keputusan sesuka hati dan tidak mempedulikan sama ada ia salah – atau sebaliknya - selain kemungkinan ada unsur penipuan -  namun semuanya

Apakah rakyat merestui semua keputusan dan pendirian Najib, BN, MKD dan 1MDB dalam isu wang hilang yang begitu besar sebegini?

Jelas sekali, isu ini akan menambahkan lagi kemelut 1MDB yang tidak akan selesai dan cuba diseliundungkan daripada pengetahuan rakyat.

Isu kehilangan wang dan pembayaran melalui timbang tara ini akan terus berlegar disamping siasatan mengenai pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pula dalam saman sivilnya mendakwa kira-kira AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB. Apakah semuanya ini berkait antara satu dengan lain?

Walaupun dana pelaburan Malaysia itu menafikan sebarang salah laku dan Perdana Menteri yang mengasaskan 1MDB turut menafikan semua jadi  topik panas menjeland Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Jangan lupa, rakyat  yang ditindas dengan beban kutipan cukai tidak akan memaafkan kerajaan jika MOF Inc., Najib, 1MDB serta pihak yang mengetahui mengenainya terus berdiam diri.


Selagi isu 1MDB berlegar, selagi itulah rakyat Malaysia akan memnbenci kerajaan Jangan salahkan rakyat jika mereka menolak UMNO/BN akibat daripada  ketidak telusan dan ‘penipuan di siang hari’ oleh kerajaan, Najib dan konco-konconya.

Monday, December 25, 2017

TANAH FELDA - SATU PELURU UNTUK MENJATUHKAN BEBERAPA EKOR HELANG...


Sejujurnya, saya tidak percaya isu pemilikan tanah FELDA bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur akan menyusahkan Perdana Menteri, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan FELDA sendiri.

Sebaliknya, jika isu ini dikendalikan dengan baik, ia akan memberikan kelebihan kepada Najib Razak dan BN menempuh Pilihan raya Umum ke-14 nanti.

Ingin disebutkan di sini, sesuatu yang aneh berlaku ialah apabila akhbar arus perdana, Berita Harian yang ‘membongkar dan mendedahkan’ isu ini.

Berdasarkan pengalaman lalu, jika akhbar perdana yang pro-UMNO mendedahkan sesuatu isu, ia lebih kepada kepentingan kerajaan atau BN mencari keuntungan politik.

Pengalaman bekerja di akhbar perdana menguatkan kepercayaan saya bahawa isu ini sengaja didedahkan untuk kepentingan dan keuntungan politik Najib dan BN.

Malah, bukan Berita Harian sahaja nampaknya berminat dengan isu ini, malah akhbar perdana lain juga turut memainkan isu ini.

Pendedahan sebegini memang tidak berani dilakukan oleh semua media perdana jika tiada ‘telunjuk’ yang menunjukkan arah untuk mereka bertindak.

Ingat kembali, siapa mendedahkan isu membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik? Bukankah akhbar pro-UMNO, Utusan Malaysia yang mula mendedahkan ‘isu seks dan budak bawah umur’ berkenaan?

Jadi bila Berita Harian tiba-tiba mendedahkan isu ini, ia mesti ada ‘udang di sebalik batu’.

Silap-silap UMNO/BN akan menggunakan satu pelauru untuk menjatuhkan beberapa ekor helang.

Asalkan membawa keuntungan dalam PRU14 dan Najib dapat dikekalkan kedududukannya, mangsa politik atau ‘kambing hitam’ yang terpaksa dikorbankan bukan isu besar bagi mereka.

Dibimbangi  isu ini akan dijadikan ‘peluru terancang’ untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan Najib dan BN telus.

Malah Najib dengan tegas mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pemilikan tanah melibatkan FELDA sambil menegaskan  tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku berasaskan laporan siasatan.

“Langkah memelihara kepentingan FELDA dan peneroka perlu diambil,” katanya.


Kedua, kenapa selepas setahun ia diketahui oleh pihak tertentu dalam kerajaan dan FELDA mengenai perkara ini, baru didedahkan? Kenapa ketika diambang PRU14?

“Perkara tentang pindah milik tanah FELDA  ini saya sedar pada akhir Januari apabila Jabatan Pengurusan FELDA memaklumkan pada saya ada 3 perjanjian jual beli melibatkan tanah milik Felda,” kata Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad.

Jika sudah diketahui kenapa lambat mengambil tindakan? Sengaja dirancang dan memang ‘terancang sepenuhnya?’

Ketiga, kenapa pemimpin kerajaan khususnya menteri dan pengurusan FELDA langsung  tidak menampakkan mereka panik dengan isu ini?

Shahrir turut mengatakan laporan polis telah dibuat selepas isu itu dibangkitkan di Jabatan Perdana Menteri 12 Disember lalu.

Ditanya sama ada laporan polis turut menamakan Isa atau ahli lembaga pengarah pada waktu itu, Shahrir berkata hanya pemaju disebut dan menyerahkan soal lain kepada polis untuk siasatan.

Shahrir menegaskan bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah berkenaan. Malah, selain laporan polis yang dibuat pada 12 Disember lepas, tindakan turut diambil dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah itu, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

Berita Harian melaporkan Jabatan Perdana Menteri sudah mengarahkan audit forensik terhadap kes berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan bermula Januari depan.

Audit forensik terbabit akan dilaksanakan pasukan audit dari luar FELDA seperti diarahkan Perdana Menteri.

Selain audit forensik, FELDA  juga dilapor sedang dalam proses membatalkan surat kuasa (PA) yang dipercayai sudah disalahgunakan selain menukar kaveat persendirian kepada Kaveat Pendaftar dengan Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur.

Amat jelas sama ada Najib, Shahrir atau FELDA sudah tahu apa langkah rapi atau terancang yang boleh dilakukan untuk mengambil balik tanah berkenaan.


Keempat, selain FELDA, Tan Sri Isa Samad juga nampaknya tidak gelabah. Isa adalah pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 selain merupakan bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan bekas Pengerusi FELDA  Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Isa tenang dan Shahrir juga tenang sahaja. Sedangkan menurut pendedahan itu, FELDA berisiko hilang pemilikan tanah bernilai RM270 juta di Jalan Semarak itu, ekoran pemindahan hak milik pada 2015 yang didakwa "meragukan".

Malah, penilai bebas menganggarkan harga tanah berkenaan kini mencecah RM1 bilion.

Selain kerugian berbilion ringgit bagaikan perkara biasa di era Najib, kehilangan harta FELDA ini bagaikan seseuatu yang enteng dan bukan sesuatu yang perlu disegerakan.

Sedangkan jelas tanah itu sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). Ia melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara FELDA, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.

Juga menarik ialah Perdana Menteri dan Shahril sudah menegaskan mereka begitu yakin tanah itu akan dapat balik.

Maknanya, yang akan dijadikan mangsa ialah pihak tertentu sedangkan semuanya akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan ini.

Jika ini berjaya dilakukan, imej Najib, Kerajaan BN akan naik mendadak. Pastinya, akan ada laungan Najib dan UMNO memang menjaga kepentingan Melayu.

Maka, dengan kejayaan itu kelak, mudahlah Najib dan BN memperbodohkan pembangkang dengan hanya satu peluru tetapi menembak beberapa ekor burung serentak, termasuk pembangkang sendiri.

Maka Najib dan UMNO akan berceramah serta meratib di seluruh pelusuk negara bahawa mereka mengambil,berat dan menjamin bahawa FELDA yang diasaskan dengan penuh visi dan misi oleh Almarhum Tun Abdul Razak, sentiasa dibela dan terbela!

Cumanya, kita mengharapkan Najib, BN dan FELDA tersilap langkah dalam perkiraan mereka.

Daripada mahu mendapat untung besar sebaliknya mereka mungkin akan menerima kerugian teruk jika nanti ada pihak yang  dijadikan ‘kambing hitam’ mendedahkan lebih banyak rahsia mengenai isu berkaitan tanah ini selain  perkara lain dalam FELDA yang diketahui memang sedang menghadapi banyak masalah dan skandal kewangan.