Wednesday, February 21, 2018

DAFTAR HARAPAN - KERAJAAN, AGENSI TIDAK CEKAP & TELUS.?..



Kerajaan Barisan Nasional (BN) sering melaung-laungkan ia memiliki kerajaan yang sempurna, cekap dan telus.

Untuk meyakinkan rakyat,  kerajaan termasuklah  jabatan dan agensinya sering diuar-uarkan sebagai bertindak pantas dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Mereka juga mendakwa adil dalam sebarang tindakan.

Namun apa dan bagaimana berlaku kepada  Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam isu pendaftaran Pakatan Harapan (HARAPAN)?

Apakah ia benar-benar telus? Apakah ia benar-benar cekap?

Jika ia cekap dan telus, pastinya tidak ada masalah bagi HARAPAN untuk mengetahui punca dan tidak akan ada pertanyaan kenapa ROS enggan melayan mereka seperti pendaftaran syarikat atau pertubuhan lain?

Berang dan jemu menunggu keputusan ROS selain  jabatan itu gagal menjawab soalan dikemuakan, HARAPAN kemungkinan besar akan membawa kes permohonan mereka ke mahkamah.

Tidak beradab dan kejamkah HARAPAN jika berbuat demikian?

Awal bulan ini, HARAPAN telah menghantar surat rasmi kepada ROS yang ditujukan kepada Ketua Pengarah ROS, Suriyati Ibrahim.

Suriati,,,KP ROS
Setiausaha Agung HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah di dalam suratnya difahamkan menyatakan bahawa mesyuarat dengan Suriyati pada 20 November tahun lalu, HARAPAN sudah diberitahu permohonan mereka tidak boleh diproses.

Ia akibat ROS masih menunggu laporan mesyuarat agung tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selain laporan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Namun bagaimana mungkin selepas ROS sudah mengiktiraf pemilihan semula DAP, sudah sampai masanya pendaftar pertubuhan itu mengiktiraf BERSATU sebagai organisasi berdaftar.

Menghairankan, ROS terus membisu.

Keenggan ROS menjawab permohonan HARAPAN pastinya akan menjejaskan persiapan mereka dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Atau apakah ROS mengikut telunjuk pihak tertentu agar melambat-lambat atau tidak meluluskan pendaftaran HARAPAN?

Telunjuk siapa?

Sehingga kini ROS membisu dan tiada sebarang  jawapan daripada mereka. Ini pastinya merimaskan HARAPAN untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

Walaupun HARAPAN cuba berhubung dengan mereka, namun masih tidak sebarang jawapan.

Benar HARAPAN tidak boleh mengatakan ROS menolak permohonan  mereka berasaskan  tindakan membisu mereka itu.

Saifuddin...KSU HARAPAN
Namun apakah ini menggambarkan sebuah kerajaan yang telus dan cekap?

ROS sedang bermain silap mata untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya dan pemerintah atau apa?

Malang sekali kerajaan yang diterjaui BN/UMNO menggunakan ROS untuk melemahkan parti lawan melalui taktik melambat-lambatkan pendaftaran mereka.

Kenapa ROS turut bimbang seperti BN/UMNO bimbang menentang HARAPAN pada pilihan raya umum akan datang?

Semalam, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan perundangan akan difailkan hujung minggu ini terhadap ROS untuk jawapan mereka.

Wajar dan benar sekali HARAPAN terpaksa mendesak kerana sudah menunggu berbulan-bulan jawapan daripada ROS.

Malah tidak pelik dan hairan jika Dr Mahathir menuduh sikap ROS yang berdiam diri itu sebagai membantu BN memenangi PRU ke-14.

Sewajarnya rakyat, khususnya penyokong HARAPAN marah dan mengritik sikap ROS ini.

Tidak wajar sama sekali bagi agensi kerajaan seperti ROS bersikap berat sebelah dalam menjalankan tugas.

ROS juga bagaikan menjadikan dirinya sebagai hakim dan penjaga BN untuk dengan sengaja melemahkan HARAPAN.

Jika ROS sebagai agensi telus dan berhemah, silakan beri jawapan yang sewajarnya dalam isu pendaftaran ROS ini.


 Apakah mesyuarat agung PPBM tidak melayakkan HARAPAN untuk didaftarkan?

Rakyat memerhati.

Mungkin BN/UMNO melihat cara ini – dengan mengamalkan pentadbiran kerajaan yang tidak cekap dan telus – sebagai langkah terbaik untuk mereka menang pilihan raya.

Tidak bimbangkah BN/UMNO nanti ditolak oleh rakyat kerana perbuatan mereka sendiri yang menggambarkan kerajaan hari ini sebagai mengamalkan  cara pentadbiran tidak telus dan berat sebelah?

Selain itu kerajaan hari ini juga dilihat mementingkan kepuasan hati puak atasan dalam membenarkan HARAPAN didaftarkan.

Hanya jawapan ROS dapat merungkaikan segala tohmahan terhadapnya.

Diharapkan semua syak-wasangka ini salah.

Namun jika ia benar bagaimana?


Monday, February 19, 2018

‘PAS + AMANAH’ BANTU BARISAN NASIONAL/UMNO MENANG???



Pertelingkahan PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH ) tidak akan menguntungkan kedua-dua parti.

Malah, mungkin perang mulut secara terbuka yang berterusan antara pemimpin PAS dan AMANAH akan menyebabkan parti serpihan PASitu  menerima akibat lebih buruk di Terengganu  dan Kelantan, berbanding PAS.

Selepas  melabelkan pemimpin AMANAH  sebagai ;pengkhianat’ kini PAS menganggap AMANAH memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu.

Paling membimbangkan, PAN didakwa  memberi talian hayat kepada UMNO.

Benarkah AMANAH membantu UMNO?

Jika menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, AMANAH  mahu masuk pertandingan pilihan raya BUKAN untuk lawan UMNO kerana mereka sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun?”

Abdul Hadi mendakwa AMANAH membuat keputusan itu adalah hasil ijtihad yang salah daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tetapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja.


Jawapan kepada apa yang ditimbulkan oleh Abdul Hadi, ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin berpendapat, semuanya ini ekoran pendirian parti diterajui Abdul Hadi– PAS - sudah berubah.

“Kami (AMANAH) sibuk di situ sebab parti Pak Aji (Abdul Hadi) dah tak sibuk nak lawan parti sarkas lagi kat situ.

“Hingga ada rakyat yang dah tak nampak lagi beza parti suci dan parti sarkas,” sindirnya dengan menggelar PAS sebagai ‘parti suci’.

Menurut Pengerusi Biro Undang-undang PAN (Kanun)  itu: “Lihat saja wawancara Pak Aji. Mana ada cuit parti sarkas macam mana Pak Aji cuit AMANAH (PAN)  dan DAP.

Persoalannya, apakah PAS dan AMANAH masing-masing akan berterusan mempersoalkan peranan antara satu sama lain menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14)?

Sedangkan musuh sebenar mereka adalah Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Melihat kepada pertelingkahan kedua-duanya, memang mereka akan membantu BN/UMNO atau dengan kata lain  ‘PAS + AMANAH Untungkan BN/UMNO’.

BN/UMNO memang mengharapkan pertandingan tiga penjuru di mana-mana kerusi yang mereka sertai.

Jika ada PAS dan AMANAH turut bertanding – Parlimen dan Dewan Undangan Negeri – pastinya pemimpin BN/UMNO akan merasa lega kerana berlakunya perpecahan undi.

Malah, umpamanya di Terengganu, dikatakan AMANAH akan menghadapi kesulitan untuk menang di kerusi seperti DUN Rhu Rendang, Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Jerteh, Paka, Jabi serta beberapa kerusi lain jika tiga penjuru – PAS, AMANAH dan BN/UMNO.

Jadi, berapa sahaja kerusi yang tinggal untuk AMANAH berpeluang menang jika enam kerusi dilihat sukar untuk dimenangi oleh AMANAH dan memberikan peluang kepada BN/UMNO menang?

Begitu juga dengan PAS - jika terus bertelagah, apakah mereka mampu bertahan di DUN Rantau Abang, Teluk Pasu, Manir, Ladang, Bukit Payong dan yang lain?

Akhirnya kedua-dua parti akan rugi.

Walaupun PAS bertanding di semua kerusi DUN (32 DUN)  di Terengganu), PAS juga dilihat tidak mampu untuk kekalkan 14 kerusi seperti yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

Beberapa kajian menunjukkan BN/UMNO akan mendapat untung daripada pertelagahan PAS dan AMANAH.

Sewajarnya pembangkang – apa lagi parti Melayu-Islam tidak bercakaran dan cuba merangka kemenangan bukan melonjakkan ‘ego’ masing-masing.

PAS - walaupun sudah lali dengan perpecahan dan AMANAH sebagai serpihan tidak perlu lantang di persada umum kerana rakyat memerhatikan gelagat mereka.

PAS yang semakin tepu dan AMANAH yang belum pasti diterima oleh rakyat perlu berhati-hati dengan jangan cuba memperlekehkan antara satu sama lain.

Mungkin ada kebenaran pada pendapat Hanifa mengenai pendapat Abdul Hadi bahawa, “Parti sarkas dan MO1 (Malaysian Official 1) tak tercuit. Kalau cuit sikit-sikit tu sajalah nak ‘berlakon’, konon kami juga lawan parti sarkas.”

Juga, jika benar PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam, tegurlah dengan bijaksana dan terbuka, bukan cuba ‘bermain selamat’ kerana pendirian pemimpin atasan dan bawahan perlu selari.

Pemimpin PAS seperti Abdul Hadi perlu jelas dan berterus-terang dalam menentang BN/UMNO agar rakyat tidak terkeliru.

Jangan ada perbezaan pendapat jelas antara Presiden PAS dan pemimpin lain, termasuk Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

PAS – jika benar – mahu menjadi kerajaan yang berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara, dan urus tadbir yang sesuai dengan penuh berhikmah dan matang jangan ‘berklu-klek’.

Tidak ada lagi watak ‘orang tengah’, ‘berkecuali’ atau ‘king maker’ untuk politik dan pentadbiran Malaysia. Jangan berangan-angan untuk menang 40 kerusi Parlimen atau negeri tertentu jika peranan PAS dilihat untuk menengangkan BN/UMNO.

Yang dilihat rakyat ialah politik berterus terang dan straight forward iaitu menumbangkan rejim Najib Razak atau mengekalkan pemerintahan ‘kleptokrasi’ sedia untuk lima tahun lagi sehingga 2022.

Wednesday, February 14, 2018

BERSELEHENG - DR MAHATHIR TIDAK BOLEH JADI PERDANA MENTERI?



Perkara berseleheng (bahasa Kelantan bermaksud tidak bersependapat atau krisis kecil) bukan satu kesalahan besar seperti menentang atau menderhaka kepada pemimpin.

Cumanya, tiada siapa boleh memberikan sebab sebenar apabila  berlakunya seleheng antara pihak tertentu.

Malah seleheng dikatakan punca pingat ditarik balik oleh pihak istana. Namun ini bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap istimewa dan luar biasa.

Ada seseorang mengemukakan pertanyaan  “apakah masih viable dan feasible lagi hasrat Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menobatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika dapat menawan Putrajaya melalui pilihan raya, apabila pingat gelarannya ditarik balik?

Menurut yang sibertanya itu, “dalam keadaan pihak yang mempunyai budi bicara ke atas perlantikan ini telah memutuskan bahawa beliau (Dr Mahathir) “ada cukup kesalahan atau dosa” yang membayangkan masa depan bagi bekas Perdana Menteri 22 tahun itu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, seakan 'gelap'.

Malah orang itu berhujah : “Adalah diyakini bahawa penarikan balik Darjah Kerabat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ini bukan berpunca dari orang politik dan tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik kerana ia adalah kuasa prerogatif yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Peruntukan ini menyebut bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah menarik balik mana-mana pangkat atau gelaran atau pingat-pingat kehormatan yang telah dikurniakan kepada mana-mana penerimanya jika pada pertimbangan Baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh penerimanya yang mengharuskan diperbuat demikian.”

Orang ini tidak memperkatakan secara khusus apa dosa atau kesalahan Dr Mahathir tetapi mengemukakan pertanyaan apakah Dr Mahathir ‘masih boleh dilantik Perdana Menteri’.

Persoalan asas beliau ialah,  oleh kerana Yang di-Pertuan Agong, Baginda mempunyai budi bicara yang luas, termasuk di dalam urusan perlantikan Perdana Menteri, di mana Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan secara jelas bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri”, maka tidakkah nanti akan timbul masalah jika HARAPAN menguasai Putrajaya?

Sebelum melihat kepada apa kesannya penarikan balik pingat itu, elok juga jika dilihat kepada tindakan Istana Kelantan berbuat tindakan terhadap dua individu lain

Ada spekulasi bahawa ia ada kaitan dengan krisis Istana Kelantan pada 1990-an dan tindakan pemimpin Parti AMANAH ‘kononnya mempoerguna Tengku Muhammad Petra’ di ceramah mereka sejak beliau menyertai parti itu pada September 2016.

Malah dikatakan  pada satu ceramah, pemimpin AMANAH memperkenalkan Tengku Muhammad sebagai “bapa saudara Yang di-Pertuan Agong” sebagai menyokong perjuangan mereka yang menyebabkan Istana Kelantan kurang gembira.

Perbuatan itu dikatakan faktor berlakunya seleheng antara AMANAH serta pemimpinnya dengan Istana Kelantan.


Sebenarnya, apa yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Husam Musa atau juga Wan Rahim Wan Abdullah bukan sesuatu asing.

Ini  kerana di Terengganu, ia juga berlaku kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebelum ini.

Pingat ditarik balik  tetapi sebab-sebabnya sangat berlainan. Di Kelantan kerana faktor politik tetapi di Terengganu kerana faktor pentadbiran.

Jika di Kelantan, ada pula pihak menganggap tindakan Istana Kelantan  itu kerana ‘kesan pelanggaran Baiah’ oleh Husam dan Wan Rahim kerana keluar dari PAS, bagaimana dengan Dr Mahathir dan Ahmad Razif?

Sultan yang menganugerah dan Sultan boleh menarik balik keistimewaan itu. Dalam konteks ini, tiada perkataan malu atau zalim. Yang ada hanyalah redha.

Di pihak pemberi pula itu haknya dan jika pada waktunya dirasakan perlu dipulangkan, sudah pasti akan dipulangkan. Namun, jangan lari daripada semuanya ditetapkan oleh Allah swt.

Seperti dalam kes Ahmad Razif, daripada bergelar Datuk Seri, beberapa ketika dengan Encik atau Cik gu sahaja dan kini kembali Datuk Seri.

Juga, apakah penarikan pingat itu akan menjejaskan reputasi politik ketiga-tiga mereka?

Rasanya tidak sebesar mana. Cuma ada spekulasi mengatakan pintu untuk Husam menjadi Menteri Besar jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang sudah tertup rapat (rapat jip kata orang Kelantan).


Persoalannya, jika tidak Husam, apakah tiada pemimpin lain yang layak, khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)? 

Malah, dispekulasikan sekiranya  Husam menang kerusi Parlimen, beliau juga tidak akan dipersetujui untuk dilantik Menteri Kabinet. Ini andaian semata-mata kerana bukan semua perkara mengenai perlantikan Kanibet ada di tangan Yang DiPertuan Agong (Sultan Muhamad ke V).

Atau spekulasi berkenaan kerana dendam kepada Husam yang mahu melihat karier politiknya berkubur dan jika hidup pun sekadar ADUN atau Ahli Parlimen sema-mata.

Berkaitan dengan  Dr Mahathir pula bagaimana?

Apakah akan ada lagi penarikan pingat selepas Dr Mahathir dan isteri memulangkan pingat kepada Istana Selangor pertengahan Disember 2017 lalu dan terbaru oleh Istana Kelantan pada 6 Februari lalu?

Apakah beliau tidak akan diterima menjadi Perdana Menteri sekiranya HARAPAN menang pilihan raya kesan daripada penarikan pingat berkenaan?

Apakah ‘isu yang berkaitan istana Kelantan’  mahu dibawa ke Pusat hanya kerana Sultan Muhamad V kini menjadi Yang di-Pertuan Agong?

Tidak wajar dispekulasikan bahawa tindakan Istana Kelantan menarik balik Darjah Kerabat kepada Dr Mahathir hanya berpunca daripada pertimbangan pihak istana bahawa ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh Dr Mahathir yang bertepatan pula dengan sumpah Baginda untuk memeliharakan Agama Islam dan memerintah secara adil dan aman.

Apakah Dr Mahathir menggugat keamanan dan wujudnya ketidakadilan sedangkan beliau belum pun memegang kuasa.


Isu ini memerlukan penyelesaian politik dan pentadbiran, selain mengambil kira kehendak rakyat ramai.

Kebijaksanaan Istana Negara dan Majlis Raja-Raja akan menentukan perkara ini.

Memandangkan menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”,  Istana Negara pastinya akan juga melihat kepada kehendak rakyat.

Apakah Raja-Raja Melayu termasuk Istana Negara tidak akan mengambil kira kemahuan rakyat?

Malah, adalah lebih baik untuk rakyat dan negara - jika benar ada seleheng antara Dr Mahathir dan Istana Kelantan atau mana-mana istana -  diatasi melalui perundingan dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

Pemuafakatan baik antara parti yang mendapat majoriti sokongan rakyat  dengan pihak istana, khususnya Istana Negara perlu diwujudkan demi kesejahteraan rakyat.

Bergantunglah kepada penasihat kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat.

Matlamatnya, bukan mencari perbezaan -  selepas runtuhnya  pemerintahan Najib Razak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti – sebaliknya formula untuk pemerintahan yang adil dan saksama untuk semua rakyat negara ini.

Inilah antara ujian getir yang perlu difikirkan dan jangan ada pihak yang cuba menggunakan ‘kerengganan antara pentadbiran negara dengan Istana’ bagi mengucar-kacirkan keadaan.

Sekiranya jalan keluar yang baik dapat dicapai, rakyat dan negara yang akan mendapat I,buhan besar daripadanya.

Pada ketika itu, isu penarikan pingat tidak akan timbul lagi.

Malah kemungkinan pingat dengan darjat lebih tinggi lagi akan dianugerahkan kembali kepada mereka yang ditarik pingat sebelum ini.

Harapan rakyat adalah untuk melihat institusi pentadbiran negara dan istana bergandingan rapat demi masa depan, keharmonian  serta  kesejahteraan semua bukan  sebaliknya.

Kerana itu isu penarikan pingat khususnya terhadap Dr Mahathir biarpun dilihat sebagai suatu ‘krisis kepimpinan politik dan istana’ tetapi hakikatnya ia suatu ‘kocakan kecil dalam sebiji cawan’ yang akan kembali tenang sekiranya kedua-dua pihak tidak menjadikannya sebagai suatu krisis berterusan.

Yang pentinf semua pihak perlu berlapang dada dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

DAULAT TUANKU!

Saturday, February 10, 2018

‘FILEM TANAH FELDA’ SHAHRIR GAGAL JADI ‘BOX-OFFICE’



Tulisan ini bukan mahu menghukum ketika era siapa tanah FELDA di Jalan Semarak terjual.

Sebaliknya ia mengenai apa jadi kepada usaha dan harapan FELDA dan kerajaan Barisan Nasional/UMNO menjadikan ‘filem atau drama pentas’  tanah FELDA di Semarak yang ternyata tidak menjadi sambutan apalagi sebagai filem ‘ box-office’.

Malah ia suatu ‘filem’ yang tersangat gagal bukan sahaja daripada  segi plot ceritanya, tetapi juga bentuk lakonan dan arahan.

Spin dan usaha mempengaruhi minda rakyat bahawa tanah FELDA di Jalan Semarak jelas gagal.

Ternyata  filem  yang diarahkan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad kini terdedah bahawa  segala bukti yang dipaparkan sebelum ini, hanya sebuah ‘lakonan’ semata-mata.

Shahrir pada 15 Januari 2018 lalu memberitahu media bahawa FELDA sudah mendapatkan semula pemilikan terhadap 16 plot tanah itu.

Kenyataan itu ada kaitan dengan laporan media pada 21 Disember tahun  lepas, bahawa FELDA  berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
  
Sedangkan, setakat 31 Januari lalu ketika geran-geran itu diperolehi, kesemua 16 lot tanah tersebut masih lagi dimiliki Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (Lot 390) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (15 lot yang lain).

Shahrir -  filemnya gagal
Maka ternyatalah seperti dakwaan saya sebelum ini bahawa cubaan memutarbelitkan minda rakyat atau pendapat umum (public opinion) mengenai kononnya pemulangan kembali tanah FELDA berjaya dilakukan - adalah semata-mata sandiwara dan lakonan kerajaan BN/UMNO, termasuk Shahrir sendiri.

Dengan kata lain, terbukti kini penggunaan media – khsusunya media aliran perdana – tidak menjadi. Isu ini sebaliknya bingkas membantai diri kerajaan BN/UMNO yang semakin terperosok kini.

Biarlah Shahrir mahu meletakkan kesalahan kepada orang lain dengan mengatakan pemindahan itu berlaku sebelum ‘zamannya’, namun dia perlu bertanggungjawab di atas kenyataannya sebelum ini yang mendapat liputan luas media arus perdana.

Perjanjian jual beli antara FELDA dengan pemaju swasta berkenaan - syarikat pembangunan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd - yang menyebabkan agensi itu kehilangan 16 plot tanah ditandatangani pada Disember 2015 dan November 2016. (Semua lot itu, yang bernilai RM270 juta, didaftarkan pada Mac 2017 di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur – proses yang tidak diketahui oleh FELDA).

Rakyat tidak mahu tahu proses pemindahan, termasuk kaveat atau siapa terlibat dalam proses pemindahan itu tetapi yang penting ialah kononnya tanah itu sudah balik atau menjadi milik FELDA.

Faktanya ialah audit forensik mengenai pemindahan itu menunjukkan wujudnya elemen penipuan dan salah guna kuasa dalam transaksi itu.

Namun apa yang berlaku?

1.   Seperti didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli - susulan pemeriksaan dengan membeli setiap geran yang bernilai RM30 setiap satu -  di pejabat tanah menunjukkan dua syarikat masih didaftarkan sebagai pemiliknya.

2.  Menafikan kata-katanya sendiri (seperti dilaporkan oleh media arus perdana secara besar-besaran) kini sebenarnya pemaju hanya menyerahkan dokumen penting (“Apa yang saya kata ialah pemaju menyerahkan dokumen penting kepada kami supaya kami dapat memindahkan pemilikan tanah itu kembali kepada FELDA,” kata Shahrir semalam).

3.  FELDA kini dalam proses menggunakan dokumen berkenaan untuk mendapatkan semula pemilikan terhadap plot tanah berkenaan.

Rafizi - dedah kebenaran
Berdasarkan hujah berkenaan, banyak lagi proses dan kemungkinan-kemungkinan  hasil daripada sandiwara Shahrir kerana yang pasti ketika ini,  geran tanah FELDA Jalan Semarak itu tetap hak milik pemaju.

Amat nyata, daripada penelitian yang dibuat oleh Rafizi tiada satu pun dari tanah-tanah itu yang telah dipindah milik kembali kepada FELDA.

Persoalannya, bagaimana Shahrir boleh mengumumkan bahawa  FELDA telah memiliki kembali hak milik tanah berkenaan?

Apakah maksud Shahrir sedangkan geran-geran hak milik secara jelas menunjukkan ia masih lagi hak milik pemaju?

Jika pemilik tanah berkenaan masih digengaman dua syarikat berkenaan,  bagaimana Shahrir boleh memaklumkan kepada rakyat Malaysia ia milik FELDA.

Apakah tindakan Shahrir ini sebagai mempunyai ‘niat menipu’ dan ‘menyelewengkan fakta sebenar mengenai status pemilikan’ tanah berkenaan?

Soal penubuhan jawatankuasa menyiasat  perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara FELDA dan SPSB pada 15 Jan 2018 di mana pihak pemaju iaitu SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos,  adalah soal lain.

Juga kenyataan bahawa SPSB, yang juga pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang turut bersetuju menyerahkan  kesemua suratan  hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula atas nama FELDA juga isu lain.

Yang diperkatakan di sini, amatlah malu jika Shahrir sanggup menjadi pelakon dan pengarah bagi isu ini dengan mengharapkan ia menjadi ’box office’ tetapi akhirnya penonton dapat juga menghidu bahawa penipuan terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan maruah Falda dan kerajaan BN/UMNO.

Shahrir tidak wajar bermain sandiwara kalaupun mahu melindungi pihak tertentu. Beliau juga tidak wajar untuk mengelakkan dirinya daripada tidak terlibat di dalam pelbagai urusniaga yang merugikan peneroka FELDA.

Beliau perlu bertanggungjawab sebagai pengerusi agensi itu.

Bukan sahaja peneroka dan warga FELDA yang merasa tertipu dan tersinggung dengan sandiwara ini.

Pastinya,  seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti isu ini turut rasa terkilan dan kecewa dengan lakonan Shahrir ini.