Sunday, May 22, 2011

KHAIRY NYANYI LAGU 'KENAIKAN HARGA MINYAK' SUMBANG...

Jika kenaikan ini diteruskan, ia adalah keputusan tidak bertanggungjawab memandangkan rata-rata rakyat menggunakan RON 95. Rakyat sudah terbeban dengan kenaikan harga makanan dan sebarang kenaikan pada harga petrol dan tarif elektrik akan menyebabkan mereka terus terhimpit...dalam menangani masalah sumber kewangan yang dihadapi, kerajaan perlu mengubah gaya perbelanjaan dan mengamalkan sikap berjimat cermat.” (Sinar Harian, 21 Mei 2011).


Demikian senikata lagu yang dinyanyikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda/Puteri UMNO Bahagian Machang dan Pelancaran Gelombang Merah Peringkat Parlimen Machang kelmarin.


Sah Ketua Pemuda UMNO itu menyanyi sumbang. Senikatanya boleh dipersoal dan nadanya tidak semerdu nyanyian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kemaman semalam.

Tajuk lagu kedua-duanya ialah ‘Kenaikan Harga Minyak’.

Muhyiddin membidas pembangkang yang hanya tahu mengeksploitasi soal kenaikan harga minyak dan barangan di pasaran sedangkan mereka sendiri tidak tahu mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah itu.

Beliau berkata pembangkang tidak terbeban dengan tanggungjawab untuk menangani masalah berkenaan, kerana itu mereka hanya bijak untuk menyalahkan kerajaan dalam soal tersebut.

Kerajaan sentiasa mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan untuk menaikkan harga sesuatu barangan mahupun minyak bagi memastikan apa jua langkah yang diambil tidak membebankan rakyat, katanya.

"Dari masa ke semasa apabila ada perkara perubahan dari segi kos, kita (kerajaan) kena buat penyesuaian, tetapi kita tak buat keputusan secara tergesa-gesa. Bukan hari ini cakap esok kita buat, kita kaji dengan teliti kesannya walaupun sebesar mana kenaikan yang berlaku di pasaran. Kalau naik harga barang ini, apa kesannya kepada rakyat, itu antara perkara yang kita ambil kira," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Cukai.

Kelmarin juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Yaakob meminta rakyat menunggu pengumuman rasmi kerajaan berhubung penyelarasan harga minyak, yang akan dibuat tidak lama lagi.

Beliau berkata rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang bahawa harga RON95 akan naik dalam masa terdekat.

"Saya sentiasa maklumkan bahawa rasionalisasi subsidi akan kita buat pada hujung bulan ini, atau awal bulan depan, jadi jangan nak tuduh kerajaan itu ini sebab kita belum lagi naikkan apa-apa harga.

"Jadi, saya minta rakyat tunggu dulu, kalau nak kata kerajaan tidak bertanggungjawab dari segi jaga kepentingan rakyat, sekarang ini subsidi untuk seluruh bahan petrol dan makanan meningkat sampai RM20.58 bilion kita tanggung, jadi macam mana boleh kata kerajaan tak ambil berat," katanya.

Namun, Khairy menyanyikan lagu ini dengan kata-kata menganggap sebarang keputusan menaikkan RON 95 sebagai tidak bertanggungjawab.

Kerajaan Barisan Nasional yang UMNO menjadi tulang belakangnya tidak bertanggungjawab?

Persoalannya apakah kerajaan sekarang tidak mendahulukan rakyat dan tidak memikirkan beban rakyat? Khairy berpendapat begitu?

Sewajarnya Pemuda UMNO ketika ini sama-sama membantu kerajaan menjelaskan kepada rakyat agar tidak terlalu mengharapkan subsidi dan bukan Malaysia sahaja yang menghadapi masalah kenaikan harga minyak.

Entahlah, apa dah jadi dengan Pemuda UMNO yang selalu ‘menari tersilap renta dengan langkah yang sering sumbang’.

Khairy juga menasihatkan supaya kerajaan perlu mengubah gaya perbelanjaan dan mengamalkan sikap berjimat cermat.

Sedap bunyinya. Tetapi rakyat dan orang ramai fikirlah ketika Khairy ‘berkuasa’ ke atas bapa mentuanya, apakah kerajaan ketika itu mengamalkan sikap berjimat cermat?

Lu pikirlah sendiri dan kalau tidak dapat juga datanglah melawat Terengganu!

Muhydin semalam berkata sebelum kenaikan dilakukan kerajaan akan meneliti terlebih dahulu laporan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Bekalan dan Harga yang dipengerusikan oleh beliau.

"Kenaikan harga minyak, harga barang, harga gas atau elektrik ke, ini kenyataan yang harus diterima yang berlaku di mana-mana negara di dunia apabila kos meningkat. Di negara jiran baik di Singapura, Thailand, dan Indonesia isunya sama, cuma tahap yang berbeza. Di Malaysia memang ada isu itu (kenaikan) tetapi kadar inflasi kita antara yang terendah...memang ada peningkatan (inflasi) tetapi berbanding dengan apa yang berlaku di dunia, peningkatan itu tidak ketara," katanya.

Katanya, di negara ini rakyat mudah terasa apabila berlaku kenaikan harga kerana selama ini mereka banyak dibantu oleh subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

No comments:

Post a Comment