Friday, November 17, 2017

APAKAH AKAN ADA EPISOD ‘KES LIWAT KETIGA ANWAR’ SELEPAS INI?


Ada beberapa persoalan apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan memanggil Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah behubung kenyataan liwatnya di Parlimen, dua minggu lalu.

Pertama, apakah kes ini akan membawa kepada episod ‘kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ketiga’?

Kedua, beranikah Ahmad Husni membawa saksi, iaitu ‘anak saudaranya’ jika dipangil oleh JAWI; dan

Ketiga, kenapa yang membuat laporan rasmi kepada JAWI hanya ‘orang AMANAH’ dan tiada daripada PKR?

Rabu minggu lalu, ketika berhujah pada sidang Dewan Rakyat, Ahmad Husni mengkritik bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan memberitahu punca beliau tidak lagi mengikuti perjuangan Anwar.

"Anda kenal siapa Dr Mahathir? Saya tahu. Saya Menteri Kewangan II. Saya tahu apa yang berlaku masa beli Pos Malaysia, di Perwaja. Saya tahu. Anda tahu siapa Muhyiddin. Anda tidak tahu, tetapi saya tahu. Anda tahu siapa Anwar Ibrahim? Saya orang Anwar Ibrahim, saya tinggalkan dia.

"Selepas dia berhenti jadi timbalan perdana menteri, saya bantu dia, pergi ke Bukit Damansara. Bila dia terlibat dengan liwat. Dia terlibat dengan anak buah saya. Kami semua menangis, saya pergi ke Jordan," kata Ahmad Husni.

Kenyataan ini membawa kepada suatu situasi baru di mana ‘ada orang yang kali ketiga sudah kena liwat oleh  Anwar’.

Sedangkan ketika ini Anwar sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selama lima tahun, sejak 2015 selepas mahkamah mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini adalah kes kedua selepas kes pertama yang membawa kepada pemecatan Anwar dan dipenjarakan kali pertama kerana kesalahan kes lain.

Namun ramai orang beranggapan Anwar disabitkan dengan kes ‘liwat’ pada hukuman penjaranya kali pertama.

Berikutan kenyataan Ahmad Husni itu, pemimpin Pakatan Harapan menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), menyiasat dakwaan bekas Menteri Kewangan Kedua itu berhubung tuduhan liwatnya membabitkan Anwar.


Ramai berpendapat tuduhan Ahli Parlimen Tambun itu merupakan satu tuduhan berat yang perlu kepada siasatan terperinci.

Ramai juga berpendapat tuduhan itu dibuat untuk ‘mencemarkan imej Anwar’ yang dilihat kini sudah bersatu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Pemimpin BN dikatakan sangat bimbang dengan pakatan Anwar-Dr Mahathir dan sanggup mengambil apa sahaja langkah termasuk mengitar semula kes lama dengan menggunakan Ahmad Husni.

Isunya juga apakah Ahmad Husni sanggup ‘mengorbankan anak saudara dan keluarganya’ demi karier politiknya sendiri dan mempertahankan Najib Razak serta kerajaan BN?

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, pegawai penyiasat JAWI memaklumkan kepadanya bahawa selain menyiasat laporan qazaf terhadap Ahmad Husni, mereka juga mengatakan, jika perlu anak saudara Ahmad Husni pun akan dipanggil.

Sebelum ini PH mengesahkan 'mangsa' liwat oleh Anwar itu adalah kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidakkah ini akan menjejaskan maruah ‘anak saudara dan keluarganya’ serta tempat beliau bertugas  yang sebelum ini tidak diketahui langsung ‘turut terbabit dalam kes liwat Ketiga Anwar’ ini.

Sanggupkah anak saudara Ahmad Husni dan keluarganya menerima aib dan malu seperti dialami oleh individu dan keluarga mereka yang dituduh diliwat oleh Anwar dua kali sebelum ini?

Persoalan ketiga ialah di manakah pemimpin PKR sehingga membiarkan dua pemimpin AMANAH – Mohamed Hanipa dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad – ‘memperjuangkan’ laporan qazaf terhadap Ahmad Husni gara-gara  kenyataan liwat tanpa bukti dan saksi terhadap Anwar?

Dua pemimpin berkenaan mengambil usaha itu dengan pendapat bahawa ‘orang yang dituduh itu di dalam penjara dan tidak boleh membela diri’.

Diakui perkara ini memang bukan ringan dan harus diambil tindakan sewajarnya.

Namun, apa pendirian keluarga dan rakan Anwar dalam isu ini?


Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul sudah mencabar Ahmad Husni mengulangi dakwaan beliau di luar Dewan Rakyat mengenai anak buahnya diliwat Anwar namun Ahli Parlimen Tambun itu masih membisu.

Kenapa Ahmad Husni berdiam diri sedangkan bekas Menteri itu perlu berbuat demikian bagi memperlihatkan bahawa beliau tidak berselindung di sebalik imuniti Parlimen.

Atau apakah pemimpin PKR dan keluarga Anwar memberikan hak memperjuangkan isu ‘liwat kali Ketiga Anwar’ ini kepada dua pemimpin AMANAH berkenaan?

Atau apakah dua orang paling rapat dengan Anwar – isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah sudah diberikan nasihat oleh Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang juga merupakan peguam Anwar supaya ‘berdiam diri’ dan membiarkan kepada dua pemimpin AMANAH itu untuk mengambil tindakan sewajarnya?

Ini kerana Sivarasa sebelum ini pernah mengatakan beliau akan menasihati Anwar dan mungkin turut membabitkan ahli keluarga pemimpin PKR itu mengenai  tindakan undang-undang yang akan diambil selepas ini.

Yang nyata Anwar yang dipenjarakan terpaksa berdepan dengan satu lagi tuduhan liwat gara-gara berjuang dengan bekas musuhnya, Dr Mahathir yang kini sangat ditakuti oleh Najib dan sekutunya.


Apapun persoalannya, apakah ‘kes Liwat Ketiga Anwar’ ini berjaya membendung pengaruh pembangkang atau lebih memberi tekanan kepada Najib dan BN, apa lagi Ahmad Husni sendiri?

No comments:

Post a Comment