Sunday, November 19, 2017

ISU ROS - PPBM MUNGKIN PIHAK YANG AKAN ‘GELAK TERAKHIR’


"Janganlah pemimpin BN/UMNO atau parti lain cepat ‘bertepuk tangan’ kerana mungkin jika ada penyelesaian baik dengan RoS, pihak yang akan ‘ketawa terakhir’ adalah PPBM."

Ramai gembira dan ‘tergelak besar’ apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dikhabarkan berhadapan kemungkinan pendaftarannya dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN)/UMNO melihat perkara ini akan banyak memberikan kelebihan kepada mereka.

Malah, pelbagai kemungkinan sudah diperkatakan oleh media rasmi, televisyen dan media sosial milik BN/UMNO mengenai perkara ini.

PAS tidak mengulas tetapi sebagai parti lawan mereka, pastinya jika sesuatu berlaku kepada PPBM, pastinya akan turut melegakan beban saingan ditanggung mereka.

Kenapa mereka gembira dan sesetengahnya berdoa sedemikian?

Malah,  ada pemimpin penting UMNO di sebuah negeri mengatakan ‘kedudukan parti itu (PPBM) yang  terus goyah selain bakal memberi kelebihan kepada UMNO’.

Bagi mereka,  jika PPBM dibatalkan, seolah-olah dengan sendirinya pemimpin PPBM tidak boleh bertanding pilihan raya. Satu beban berat BN/UMNO sudah dapat diatasi.

PPBM yang dlihat ancaman kepada UMNO melebihi PAS khususnya di negeri Johor, Kedah, Melaka, Perak, Terengganu dan Negeri Sembilan, akan ‘mempermudahkan kerja UMNO’ berdepan pesaing sengit mereka.

Bagi UMNO, walaupun PAS menyatakan akan bertanding banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ia bukan ancaman besar.

Apa lagi sebarang kemungkinan akan berlaku antara dua parti itu dan jika ‘taawun’ diisytiharkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO. Kerja UMNO lagi ringan.

PPBM kini berdepan dengan tindakan RoS kononnya gara-gara tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti iaitu tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.



Kelmarin, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim memaklumkan ,pihaknya tidak mengiktiraf Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PPBM yang di hadiri  12 orang ahli majlis tertinggi pada 2 November tahun lalu.

Menurut Surayati, fasal 28, yang merujuk kepada pindaan perlembagaan pribumi, menyatakan bahawa sebarang pindaan kepada perlembagaan parti itu mesti disokong tidak kurang daripada 2/3 perwakilan yang hadir pada AGM atau EGM.

Sejak RoS memperkatakannya kepada umum, UMNO bagaikan mengambil kesempatan untuk memburuk-buruk dan mengecam PPBM seolah-olah parti yang mahu menggantikan UMNO itu tidak berusaha untuk mematuhi perkara-perkara yang ditetapkan oleh RoS.

JIka mahu diperkatakan apa yang melanda PPBM sekarang, sebuah parti pembangkang yang menjadi sekutu PPBM dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini, iaitu DAP, pernah berdepan dengan berbagai ancaman kemungkinan terbabal pendaftarannya.

Jika ramai masih ingat, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), DAP berdepan kemungkinan logo 'Roket' tidak boleh digunakan dalam pilihan raya selepas pendaftaran parti itu mungkin terbatal ekoran kemelut berhubung pemegang jawatan yang dibentuk semasa pemilihan parti pada 15 Disember 2012.

Akibat kes itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memaklumkan parti itu bercadang menggunakan logo PAS di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah dan Sarawak, jika isu itu tidak diselesaikan sebelum pilihan raya tersebut.

Jadi bukan sesuatu yang pelik jika benar PPBM akan dibatalkan kerana calon-calon PPBM boleh bertanding atas tiket parti seperti PKR.


Menariknya, semalam Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan bahawa PH sudah bersedia dengan kemungkinan pendaftaran PPBM dibatalkan menjelang PRU14.

Malah bagi beliau, ini bukan perkara baharu bagi pembangkang kerana situasi sama pernah dilalui DAP menjelang PRU13 pada 2013.

Janji PH untuk bersama-sama PPBM untuk ‘bersama-sama dalam menanganinya’ walau dalam apa juga keadaan pastinya tidak akan ‘melepaskan BN/UMNO’ begitu sahaja.

Lebih melegakan PPBM ialah kata-kata Wan Azizah bahawa PH tidak akan mengarahkan PPBM supaya segera menyelesaikan konflik dalaman mereka, sebaliknya yakin dengan kepimpinan parti itu dalam membuat keputusan yang terbaik.

Lebih meyakinkan, PPBM bukan berpeluk tubuh sebaliknya akan mengemukakan laporan berkaitan penubuhan parti kepada Jabatan RoS bagi mendapatkan maklum balas lebih terperinci mengenai desakan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu.

Presidennya,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semalam, terdapat beberapa kekeliruan oleh pihaknya yang digesa untuk membentuk AGM kerana faktor tempoh masa kelulusan bahagian daripada ROS masih baru dan kurang dari setahun.

Usaha PPBM untuk meminta pandangan ROS dalam status mengelirukan, malah  hanya lapan bahagian terawal sahaja diluluskan ROS iaitu 24 Julai lalu. “Bagaimana ,ahu buat AGM?” tanya

Kerana itu pertemuan dengan RoS pada 30 November ini untuk membentangkan segala laporan sangat penting sebagai menandakan PPBM bersedia untuk patuh dengan sebarang keputusan ROS sekiranya pihak terbabit terus mendesak untuk PPBM mengadakan AGM dalam tempoh terdekat.

Selain itu PPBM akan turut meminta panduan daripada ROS dalam pembentukan AGM seandainya perkara itu terus ditekankan termasuk melaksanakan sebarang kehendak mereka.


Jadi, janganlah pemimpin BN/UMNO atau parti lain cepat ‘bertepuk tangan’ kerana mungkin dalam isu ini jika ada penyelesaian baik dengan RoS, pihak yang akan ‘ketawa terakhir’ adalah PPBM.


Malah, apabila selesai, mereka bukan sahaja tidak boleh ketawa lagi tetapi terpaksa mengunci mulut dan berdepan serangan politik lebih besar daripada PPBM.

No comments:

Post a Comment