Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat semula jumlah kematian yang tinggi pesakit selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini sehingga mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kumpulan itu akan menjalankan analisis kenapa kematian itu berlaku dan faktor yang menyumbang kematian, sama ada berlaku kelemahan bagi pihak kerajaan atau sebaliknya.
Menurut beliau, berdasarkan kes-kes kematian yang lalu, 80 peratus daripada mangsa dikenal pasti mempunyai penyakit selain H1N1 iaitu penyakit jantung, kencing manis dan radang paru-paru.
“Ini tidak bermakna prosedur menangani H1N1 kita selama ini silap, tidak mungkin kerana sebaik sahaja kementerian dengar ada H1N1, kita sudah membuka bilik operasi dan cuma kaedah ini mungkin berbeza dengan negara lain.
“Saya yakin apa yang kita buat adalah lebih lagi daripada apa yang diminta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kita memang terlalu jujur dalam memaklumkan punca kematian akibat H1N1 ini. Ini kerana kita mahu tekankan satu mesej supaya rakyat tidak mengambil ringan penyakit ini,” katanya semalam.
Sementara itu, hospital-hospital awam kini telah mula mengedarkan risalah dan notis yang mengingatkan orang-ramai dan juga pelawat agar tidak membawa kanak-kanak atau bayi ke premis hospital ketika mereka menziarahi sanak saudara ataupun kenalan.
Kempen terbaru ini adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga yang telah diambil oleh pihak hospital untuk mengelak penyebaran wabak Influenza A H1N1.
Jika tidak kerana H1N1 pun, adalah menjadi peraturan umum hospital yang melarang pelawat daripada membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke premis hospital untuk tujuan lawatan.
Malangnya, ramai ibu-bapa tidak memandang serius akan peraturan ini dan sekiranya mereka diberi ingatan, sebahagian besarnya tidak mengambil peduli akan nasihat yang diberikan oleh pihak hospital.
Sementara itu, Pakar Respiratori Dr K. Regesh pula berkata, apabila pihak hospital melabelkan sesuatu penyakit itu sebagai kronik ia bermaksud pesakit yang mempunyai masalah diabetik, kegagalan renal, asma dan lain-lain masalah respiratori.
Katanya, kepada semua pesakit ini dan juga kanak-kanak, sistem kekebalan badan mereka adalah tersangat rendah jika dibandingkan dengan seorang yang sihat. Oleh yang demikian mereka sangat terdedah kepada bahaya dijangkiti tidak kira apa jua wabak dan bukan semata-mata AH1N1.
"Di hospital, pelbagai jenis penyakit boleh berjangkit dengan mudah dan seboleh-bolehnya janganlah membawa kanak-kanak berjumpa pesakit walaupun untuk berkata ‘helo’,” katanya.
Dalam perkataan yang lain kata Dr Regesh, jika tidak dapat meninggalkan anak-anak dalam jagaan sesiapa, maka jangan datang melawat pesakit di hospital.
Dan kepada mereka yang baru pulang dari menziarahi orang sakit di hospital, ini ada pesanan yang ingin dikatakan oleh Dr Regesh;
"Bila sampai rumah, terus mandi, tukar baju baru sebelum mendakap anak kecil anda. Begitu juga bila anda balik dari kerja pergi mandi dan salin baju terlebih dahulu sebelum dakap anak anda.”
Sumber: MIngguan Malaysia/BERNAMA
No comments:
Post a Comment