Sunday, July 1, 2018

NAJIB JANGAN BERTERUSAN DEDAH KELEMAHAN DIRI, ELAK DIBICARA OLEH MEDIA...



Datuk Seri Najib Razak dijangka didakwa minggu hadapan. Namun beliau terus membuat kenyataan-kenyataan yang dilihat cuba  mempertahankan dirinya.

Sejauh ini penilaian terhadap rampasan wang tunai dan barangan mewah di kediaman yang dikaitkan dengannya dianggar RM900 juta hingga RM1.1 billion . Penilaian bukan dibuat oleh polis tetapi oleh pakar.

Rakyat setiap  hari menilai dan media pula terus membicara dirinya. Apa untungnya bekas Perdana Menteri ke-6 itu  terus membuka mulut mempertahankan diri di khalayak ramai?

Kenyataannya ada yang lucu dan ada yang akan memakan diri jika beliau tidak berhenti segera.

Dakwaannya bahawa barangan kemas yang didakwa diterimanya sebagai hadiah sekitar 20 tahun lalu, jauh lebih rendah banyak timbulkan tanda tanya.

Kelmarin Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata nilai rampasan itu dianggarkan mengikut harga pasaran.

Kenyataan Najib bahawa  polis tidak sepatutnya meninggalkan  sesetengah fakta berhubung rampasan barangan kemas dan jam tangan dari premis yang dikaitkan dengan dirinya kelihatan janggal. 

Mengatakan  barangan ada diberikan oleh seorang menteri dalam negeri, yang juga seorang putera dari sebuah negara di Asia Barat, yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini perlulah dibuktikan di mahkamah, bukan di khalayak.


(Dilaporkan pada 15 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saudi Putera Abdulaziz Saud Al-Saud mengunjung Najib di pejabatnya di bangunan Parlimen).

Kenyataan Najib bahawa Low Thaek Jho mempunyai hubungan strategik (dengan kepimpinan beberapa kerabat diraja di Asia Barat) yang mungkin memberi faedah kepada Malaysia menjelaskan lagi bahawa  Najib menggunakan Jho Low untuk tujuan – peribadi atau perniagaan.

Kata-kata Najib bahawa Jho Low ada hubungan istimewa dengan kepimpinan Raja  Arab Saudi -  Raja Abdullah - dan kerabatnya serta juga istana beberapa negara terutamanya di UAE tidak bermakna apa-apa sebaliknya menunjukkan bahawa Jho Low banyak mempengaruhi Najib, walaupun kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Bagaimana seorang yang begitu muda boleh mempengaruhi seseorang yang berkedudukan tinggi seperti Najib?

Najib mengakui dalam temubual dengan Malaysiakini baru-baru ini bahawa Jho Low mempunyai peranan yang besar dalam 1MDB, dan menganggap hubungan itu mampu memberi nilai kepada Malaysia.

Kenyataan itu hanya menguatkan kepercayaan rakyat dan pendakwa bahawa memang Najib mempunyai hubungan rapat dan istimewa dengan jutawan Pulau Pinang itu.

Tidak perlulah Najib membela Jho Low kerana yang penting Najib membela dirinya sendiri atau kaum keluarganya.

Tidak penting lagi sama ada sebelum 1Malaysia Development Berhad,(1MDB) wujud, Jho Low sudah mengawal tiga syarikat tersenarai di Malaysia dan mempunyai pelaburan dalam projek Iskandar Johor dengan dana dikatakan dari Asia Barat atau tidak.


Sifat dan sikap kagum Najib dengan Jho Low yang didakwa menjadi dalang skandal  1MDB akan menyusahkan Najib bukan membantunya.

Najib perlu ingat bahawa walaupun mengatakan nilai semua barangan kemas yang dirampas polis adalah subjektif dan tidak realistik, ia tidak bermakna apa-apa kerana dibuat di luar mahkamah.


Malah kenyataan mengatakan beliau tidak sedar koleksi barangan kemas dan barang-barang lain menyeluruh milik isterinya dan menyatakan bahawa dirinya seperti suami-suami yang lain, memudahkan tugas polifs untuk menyoal isterinya, Rosmah Mansor.

Tidakkah Najib sebelum ini menasihati atau mengingatkan Rosmah bahawa mengambil pemberian dan hadiah mahal akan menysuahkan diri mereka kelak?

Tidakkah ini Najib membuka jalan untuk menyusahkan.isterinya yang kini turut termasuk dalam senarai mereka yang akan disiasat mulai minggu depan?

Kenyataannya bahawa tidak masuk akal jika beliau memberi kebenaran agar dana awam digunakan bagi membeli barang kemas, berlian, kapal layar, karya seni serta membiayai filem Hollywood, juga tidak bermakna apa-apa.

Pada bulan Jun 2017, Jabatan Kehakiman AS (DOJ)  memfailkan saman untuk merampas aset AS $ 540 juta, termasuk kapal layar Equanimity dan hak untuk filem Dumb and Dumber, yang dihasilkan oleh Red Granite, sebuah syarikat produksi yang dimiliki oleh anak tiri Najib, Riza Aziz.

Pada Ogos 2017 pula, DOJ  meminta penangguhan saman sivilnya bagi merampas aset lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB kerana ia sedang menjalankan siasatan jenayah berkaitan.


Antara aset dikehendaki ialah sebuah kapal layar mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli pembiaya Malaysia, Low Taek Jho, yang dinamakan sebagai orang penting dalam saman AS itu.

Menurut saman itu, Jho Low menggunakan wang diseleweng daripada 1MDB untuk membeli Equanimity, kapal layar sepanjang 300 kaki (91m) yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.
  
Kenyataannya bahawa beliau  tidak bersetuju dengan semua perkara ini dan bukan sebahagian daripada semua itu - hanya mahkamah akan membuktikannya!

Mereka yang dikaitkan dengan pembelian itu bukan sahaja akan didakwa di negara ini tetapi sudah disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan beberapa negera lain.

Tidakkan antara  mereka ini rapat dengan Najib?

Tidakkah Najib melihat bagaimana beberapa individu penting sudah menjauhkan diri daripada Jho Low dan anak tirinya – Reza Azia - seperti pelakon dan model yang menyerahkan balik hadiah yang diberikan kepada mereka?

Pertengahan Jun 2017, pelakon, Leonardo DiCaprio menyerahkan trofi Oscar dimenangi Marlon Brando kepada pihak berkuasa AS yang menyiasat dakwaan pengubahan wang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Selain trofi diberikan kepadanya sebagai hadiah oleh Red Granite - tanda terima kasih kepada DiCaprio untuk kerjanya dalam ‘The Wolf of Wall Street’ - turut memulangkan barang lain tidak dikenali yang diberikan kepadanya sebagai hadiah untuk lelongan amal dan berasal daripada orang dikaitkan dengan dana 1MDB.


Julai 2016, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) melalui saman sivilnya menuduh syarikat penerbitan Hollywood, Red Granite menggunakan AS$100 juta daripada dana 1MDB untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi DiCaprio pada 2013.

Model dan pelakon Australia, Miranda Kerr menyerahkan barang kemas berjuta dolar yang menurut pihak berkuasa AS diberikan Low kepadanya, termasuk 1 set barang kemas yang diberikan kepadanya dalam satu pelayaran di atas Equanimity pada 2014.

Kenyataan Najib juga mamakan diri dan memalukan dirinya, khususnya mengenai hadiah mahal yang diterimanya yang cuba dikaitkan dengan isteri bekas Presiden Amerika Syarikat - kononnya turut terima hadiah

Najib mendakwa Michelle Obama menerima hadiah bernilai jutaan dollar daripada Raja Saudi Abdullah Abdulaziz Al Saud ketika suaminya Barack Obama bergelar presiden.

Pada 2009, Michelle menerima set perhiasan berlian dan batu delima bernilai AS$132,000 (RM533,940) daripada Abdullah Abd Al Aziz tetapi Michelle tidak menyimpan barangan perhiasan mewah tersebut di almari rumah atau dalam kotak di bawah katilnya. Ia diserahkan kepada Arkib Luar Negara AS.

Di AS  tidak seperti Najib, presiden  atau isteri yang menerima hadiah daripada orang kenamaan dari luar negara, mereka akan menyerahkan hadiah-hadiah itu kepada Unit Jabatan Protokol Hadiah selain dicatatkan  rekod hadiah tersebut.

Obama pernah menerima hadiah paling mahal pada tahun lalu iaitu pada arca kumpulan Bedouin yang dinamakan "The Small Caravan" daripada Raja Salman Abdulaziz Al Saudi serta pembuka surat rona perak dengan pemegang Falcon dan pen Chopard yang dianggarkan bernilai AS$56,720 (RM229,432) tetapi tidak menjadikannya ia milik peribadi.

Najib wajar tutup mulut segera dan menjelaskan semua perkara yang tercatat dalam hatinya di mahkamah daripada membuat kenyataan yang mendedahkan kelemahan diri dan membiarkan media membicarakan dirinya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahatir Mohamad kelmarin berkata pihak berkuasa kini sedang menyiasat dan mengumpulkan bukti yang kukuh berkaitan penyelewengan dana 1MDB serta kes berkaitan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 untuk mendakwa Najib.

Harap Najib segera tutup mulut dan bersedia berdepan dengan tuduhan-tuduhan terhadapnya.

1 comment:

  1. We are private lending firm,We offer Loans at low interest rate of to any Interested Individual personal. We are governmental Registered authorized financial helper. for more information on how to obtain our Loans contact us today via email: (mrhamdnloanoffer@gmail.com) YOU CAN ALSO ADD US ON WHATSAPP (+447783281085)

    ReplyDelete