Friday, July 24, 2009

AKIDAH SESETENGAH PEMIMPIN PAS SUDAH ROSAK?

“ Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu sepatutnya tidak hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan itu...” (Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib)

“Perbuatan memegang lilin di majlis memperingati kematian orang bukan Islam adalah "sesuatu yang meragukan" (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)

“Pemimpin terbabit harus sedar bahawa penyertaan mereka dalam urusan agama lain boleh mencacatkan akidah dan jika itu yang berlaku, mereka wajib bertaubat...” (Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain)

“Golongan pemimpin atau rakyat beragama Islam harus sedar bahawa tindakan mereka menyertai upacara seperti itu adalah sia-sia dan boleh mendatangkan mudarat terhadap pegangan iktikad seseorang...” (Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid)

Pada hari penghulu segala hari – JUMAAT – marilah sama-sama kita membicarakan suatu perkara penting.

Harun Taib kata tidak wajar hadir, Husam Musa berkata wajar.

Kelmarin, Nik Aziz enggan komen tetapi kemudian kata ‘meragukan’ sementara timbalannya, Ahmad Yaacob menyerahkan kepada Dewan Ulama PAS.

Sah semakin bercelaru dalam PAS gara-gara tindakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis nyalaan menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lalu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar semalam mempertahankan tindakan Mohammad Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam.

Husam memberikan fatwa ia tidak menyalahi ajaran Islam.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui perbuatan memegang lilin di majlis memperingati kematian orang bukan Islam adalah "sesuatu yang meragukan" tetapi berpendapat perbuatan itu tidak haram di sisi Islam.

Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan perbuatan itu tidak bercanggah dengan agama jika umat Islam dapat membezakan antara adat resam dan budaya dengan agama sesuatu kaum.

Nik Abdul Aziz berkata, lilin ini sudah menjadi budaya kepada orang Melayu di mana anak-anak turut menggunakan lilin sewaktu menyambut hari jadi dan ia sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat sekarang.

"Jadi lilin digunakan sebagai satu simbolik untuk masalah umur," katanya.

Nampak gayanya pening lagilah orang Islam di negara ini sama ada mahu ikut fatwa beberapa pemimpin politik PAS yang bertentangan dengan pendirian tokoh-tokh agama dan tokoh akademik berlatarbelakangkan Islam.

Malang sekali dalam negara kita sekarang politik telah mempengaruhi semua aktiviti dan kerana terlalu meletakkan kepentingan politik, banyak pihak lupa kepada nilai-nilai keagamaan, lupa kepada batas-batas yang telah ditetapkan dalam agama.

Agaknya zaman ini semua boleh asalkan bersesuai dengan selera politik PAS.

Mungkin kerana kebimbangan akan bercelaru penerimaan orang Islam, pemimpin-pemimpin parti politik beragama Islam diingatkan supaya tidak menggadai kesucian agama serta akidah semata-mata mahu menarik sokongan masyarakat bukan Muslim.

Keadaan itu berlaku berpunca daripada amalan politik melampau yang sanggup mengetepikan soal agama serta prinsip-prinsip keimanan.

Sambil menyifatkan budaya itu sebagai politik rakus, tokoh agama berkata ia telah membuatkan syariat Islam yang sepatutnya menjadi panduan telah dilanggar begitu sahaja.

Amat hairan Husam boleh mengeluarkan kenyataan pada ketika Dewan Ulama PAS menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lalu yang turut disertai oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai meragukan.

Sehubungan itu Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu sepatutnya tidak hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan itu.

Menurutnya, Rasulullah sendiri amat menitikberatkan perkara berkenaan seperti sabdanya yang bermaksud tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu.

Harun berkata, beliau tidak pasti sama ada Mohammad Nizar sedar atau tidak mengenai garis panduan berkenaan.

“Ini bukan satu fatwa tetapi inilah ketetapan atau garis panduan yang telah kita putuskan selama ini. Hadis ini menyuruh kita meninggalkan perkara-perkara yang meragukan iaitu sesuatu yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Seperti majlis ini adakah ini upacara agama atau sebaliknya?

“Sebenarnya PAS telah pun membuat satu garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri oleh pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain berkata, tindakan mereka antaranya menyertai perhimpunan lilin bagi tujuan memperingati kematian, jelas merupakan salah satu upacara dalam agama Kristian.

Beliau berkata, pemimpin terbabit harus sedar bahawa penyertaan mereka dalam urusan agama lain boleh mencacatkan akidah dan jika itu yang berlaku, mereka wajib bertaubat.

"Saya bercakap bukan sebab PAS atau UMNO tetapi saya bercakap atas dasar hukum serta ketetapan dalam Islam. Sama ada mereka orang PAS atau UMNO jika mereka terlibat di dalam perhimpunan lilin, kesannya amat buruk.

Menurutnya, perbuatan ini boleh mencacatkan akidah atau dengan kata lain hukumnya syirik. Dalam perkara ini saya ingin membuat satu persoalan, adakah kita terlalu mengharapkan manfaat dunia yang bersifat sementara hingga sanggup menggadai agama sendiri,'' katanya semalam.

Dalam perkembangan sama Mohammad Yusoff yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya menziarah kematian yang melibatkan orang bukan Islam tetapi mereka tidak dibenarkan sama sekali terbabit dalam sebarang upacara berbentuk keagamaan.

"Kita perlu tahu membezakan antara urusan agama dan urusan masyarakat. Menziarah kematian orang bukan Islam adalah urusan masyarakat dan ia merupakan sesuatu yang amat digalakkan.

"Manakala perhimpunan lilin bagi tujuan memperingati kematian adalah urusan agama dan umat Islam dilarang keras daripada terlibat dengan upacara seperti itu,'' katanya lagi.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula menegaskan, umat Islam yang menyertai perhimpunan lilin bagi apa tujuan sekalipun telah melakukan syirik.

Beliau berkata, hukumnya jelas memandangkan perbuatan tersebut merupakan salah satu amalan dalam agama Kristian.

"Golongan pemimpin atau rakyat beragama Islam harus sedar bahawa tindakan mereka menyertai upacara seperti itu adalah sia-sia dan boleh mendatangkan mudarat terhadap pegangan iktikad seseorang. Saya bercakap dalam konteks hukum kerana akidah merupakan tunjang kepada keimanan dan keislaman seseorang.

Apabila akidah rosak, iman dan Islam juga akan menjadi rosak,'' tegasnya.

No comments:

Post a Comment