Itulah pinta bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim
Bagi kita - sama ada kita melupakan terus Zaid atau tunggu apa sajaklah langkah beliau yang seterusnya.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, orang yang begitu sayangkan Zaid pun sudah mengatakan bahawa keputusan Umno untuk memecatnya adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.
Perdana Menteri, yang juga Presiden Umno berkata keputusan telah dibuat dan ia keputusan biasa selain wajar dilakukan.
Kelmarin, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan Zaid dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri acara yang dianjurkan parti pembangkang.
Zaid sendiri pun sudah menyuarakan isi hatinya bahawa ada pemimpin Umno yang tidak suka dengan idea reformasi yang cuba disuarakan dan dibawanya.
"Saya tak diberi peluang untuk jelaskan, tidak dihubungi Lembaga Disiplin Umno,"demikian luahan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Bagaimanapun, dia tidak terperanjat dipecat daripada Umno.
Zaid sebagai ‘peguam besar’ mempertikaikan cara keputusan itu dibuat selepas tidak diberi peluang menjelaskan tindakan yang membawa kepada pemecatannya itu.
"Saya tak diberi peluang untuk jelaskan, tidak dihubungi Lembaga Disiplin Umno malah belum terima surat pemecatan sehingga hari ini," katanya.
Malaslah mahu tanya Zaid siapa pemimpin dimaksudkan.
Sudah pasti bukan Tan Sri Annuar Musa kerana sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, beliau bagaikan ‘tikus dalam beras’ dalam isu Zaid ini sedangkan pemimpin UMNO lain, khususnya dalam Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Bahagian ‘heboh bercerita’.
Ada yang bertanya kenapa Annnuar bersikap sedemikian terhadap Zaid yang juga bekas Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu dan juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu?
Kata mereka, sepatutnya Annuar menyatakan pendirian peribadi beliau dan UMNO Kelantan mengenai tindak-tanduk Zaid dan pemecatannya.
Sejauh ini, apa yang dapat dibaca melalui komennya kepada Bernama, Annuar bagaikan tidak mahu masuk campur.
Pada 2 Disember lalu, sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Annuar berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Zaid terlebih dulu.
Untuk itu, Annuar berkata beliau ingin bertemu dengan Zaid.
Menurut laporan Bernama, Annuar enggan mengulas mengenai tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam Sabtu lepas.
"Saya tidak mahu komen lagi. Saya akan berjumpa dengan Zaid untuk mengetahui perkara sebenar," katanya pada 2 Disember lalu. Namun, Annuar tidak mahu mendedahkan bila pertemuan itu akan diadakan.
Semalam, Zaid menempelak beberapa pemimpin Umno yang didakwanya menghabiskan masadengan mencemuhnya ekoran tindakannya menghadiri program pembangkang.
"Saya haraplah pemimpin Umno, seperti Datuk Nazri Aziz, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain itu, berhentilah mencemuh saya.
"Saya rasa mereka patut fokuskan kepada masalah negara, (sebaliknya) fokus kepada kerja masing-masing," katanya dalam satu sidang akhbar semalam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Abdullah dan mantannya Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.
Zaid juga ditanya sama ada firma guamannya Zaid Ibrahim & Co yang diasaskan beliau, berjaya selama ini, disebabkan penglibatan beliau dalam Umno.Dalam jawapannya, Zaid berkata, beliau tidak berminat lagi dengan firma guaman sebaliknya memfokuskan usaha kepada kerja-kerja amal.
Malah, Zaid turut menegaskan, beliau tidak akan menyertai sebarang parti politik dalam masa terdekat. Dengan kata lain, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat ini.
Beliau menghargai kebebasan beliau dan akan memberi keutamaan kepada Yayasan .my Future yang ditubuhkannya yang bertujuan memberi pemahaman kepada golongan muda tentang kepentingan demokrasi, peraturan undang-undang, keburukan rasuah dan kepentingan keharmonian kaum.
“Saya akan terus memberi pandangan tentang perkara yang mustahak kepada Malaysia. Kebebasan yang baru saya temui bermakna saya boleh menghadiri sebarang forum dan bercakap tentang isu yang saya rasa mustahak kepada negara,” katanya semalam.
Tegasnya, sekalipun jika UMNO menjemput saya semula untuk menyertai parti itu, saya tidak akan menyertainya, bukan UMNO sekarang.
Selamat Berehat Daripada Politik Datuk!
Nuar musa ni pun bukan bersih sangat percaturan meletak calon pilihanraya lepas. sepatutnya ada calon bn akan menang tetapi dipindah ketempat yang konform akan kalah. padan muka nuar musa dari dun pergi parlimen dah tu kalah la pulak. Tengok datuk Alwi letak kat mana pun menang... ini adalah penilaian rakyat kepada pemimpin.... cuma nak tegur sikit pada YB alwi, tolong tempek tar lebih sikit di t/ligh depan balai polis ketereh tu dan kalau boleh biarla pihak polis kawal lalulintas masa raya ni...(maaf sdr off topik sikit) tapi demi kepentingan rakyat.
ReplyDelete