Saturday, June 2, 2018

JANJI SUKAR DITEPATI BERI TEKANAN KEPADA DR MAHATHIR???

"Juga tidak diketahui sama ada Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta pasukan komunikasi kerajaan kini benar-benar bergerak sebagai satu pasukan atau oleh individu tertentu sahaja."

Sebelum piihan raya umum ke-14. Pakatan Harapan sudah pastinya dapat mengagak apa kemusnahan yang diakibatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Selain isu 1Malaysia Development Berhad, berbagai projek mega termasuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT3  dan sebagainya, isu paling penting untuk diatasi ialah rasuah dan hutang negara.

Sementara isu-isu membabitkan rakyat seperti GST, kenaikan harga barang, bantuan-bantuan berskala dan lain-lain disamping isu PTPTN dan tuntutan golongan muda walaupun nampak mudah, juga memerlukan peruntukan besar.

Jika tidak tahu atau mencongak mengenai kemusnahan itu, pastinya PH tidak berani membuat berbagai janji untuk mengemukakan banyak perkara dalam manifestonya 10:100.

Namun kini?

Selepas menang, PH mempunyai tanggungjawab besar untuk melayan dan memenuhi tuntutan rakyat.

Politik boleh juga ditafsirkan sebagai usaha mengurus dan memenangi hati rakyat melalui perjuangan sesebuah kumpulan atau parti.


Rakyat menyokong di atas kepercayaan kerajaan PH akan mampu membaiki kerosakan, apa lagi kerajaan PH sebelum ini  berjanji kepada rakyat mereka akan mempunyai kehidupan lebih baik berbanding sebelum ini.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka tidak ambil peduli mengenai penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) semalam bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah di negara ini.

Yang penting bari mereka ialah kemudahan dan faedah yang rapat dengan diri dan kehidupan seharian mereka disempurnakan oleh kerajaan yang memerintah. Pastinya ketika ini ialah PH.

Namun kini, seakan tergambar bahawa walaupun PH berikrar untuk memenuhi 10 janji itu dalam 100 hari, malangnya ia tidak begitu mudah untuk disempurnakan.

Mungkin bagi rakyat yang sabar boleh menunggu janji-janji dilaksanakan. Namun, bagaimana  dengan rakyat yang menyokong PH dan  tidak sabar?

Api kritikan dan kemarahan yang membara itu disimbah pula dengan ‘petrol’ oleh Barisan Nasional/UMNO yang kini sedang memantau dan membangkang.

Ditambah dengan cybertrooper BN/UMNO yang sememangnya menunggu masa dan peluang untuk mengkritik balik PH dan kedudukan menjadi semakin mencabar.


Di kalangan menteri dan pemimpin baru yang dilantik pula, ramai yang belum berpengalaman untuk membantu Perdana Menteri mengurus dan mengatasi serangan ini.

Yang berpengalaman sejauh ini ialah Tan Sri Muhyiddin Yasin, namun beliau dilihat terhad kepada kementeriannya semata-mata.

Persoalan sekarang, selain tangkapan dan siasatan, bagaimana pula mengenai Reformasi Institusi Kerajaan yang belum jelas arah tujunya?

Dalam soal ini selain tekanan terhadap isu melibatkan rakyat, kita tidak mahu ada masalah pelantikan jawatan penting kerajaan, apalagi jika ia memerlukan sokongan Istana Negara untuk melaksanakannya.

Dalam semua perkara ini peranan pasukan komunikasi kerajaan juga perlu berfungsi dengan baik.

Sama ada Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pasukan komunikasi kerajaan sudah bersedia untuk ‘ bertahan’ atau ‘menyerang’  tidak diketahui.

Juga tidak diketahui sama ada pasukan komunikasi kerajaan ketika ini benar-benar bergerak sebagai satu pasukan atau oleh individu tertentu sahaja?

Pada era membangkang, pasukan komunikasi PH biarpun tidak berpasukan, ia tidak menampakkan ‘kekurangan’ apa-apa. Tetapi kini, era sudah berubah dan apabila menjadi pemerintah, peranan mereka berlainan sama sekali.
  

Yang nyata, media juga kini bebas menyiarkan berita kritikan terhadap kerajaan – sama ada di akhbar atau tv dan media sosial.

Jadi jika berlaku kekurangan dalam mengawal selia isu ini dengan baik, tiada siapa boleh dipersalahkan. Ia kelemahan PH sendiri.

PH mahukan kebebasan semua perkara. Jadi tanggunglah sendiri jika kritikan berpasukan dan bertali-arus daripada pembangkang boleh berbuat apa sahaja kini.

Memanglah PH sedang berusaha untuk tunaikan janji-janjinya dalam tempoh 100 hari tetapi tidakkah semua ini terus menekan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Sewajarnya di usia sebegini, beliau dapat mentadbir negara tanpa tekanan dan desakan. Namun apakah daya, pasukannya jelas tidak semua yang ‘bijak dan mampu’ membantunya.

Mungkin kerana tertekan dan sukar mencari jalan keluar daripada tekanan sedemikian,
Dr Mahathir terpaksa mengakui bahawa kerajaan mungkin mengambil lebih 100 hari bagi memenuhi 10 janji manifesto pilihan raya PH.

Kini Pengerusi Pakatan Harapan itu terpaksa mengakui janji-janji itu dibuat berdasarkan pengetahuan yang sedikit tentang keadaan sebenar negara.

Dengan kenyataan itu menunjukkan bahawa gabungan itu tidak tahu tahap kerosakan sebenar yang sudah berlaku.

Yang diharapkan ialah penyokong dan rakyat amnya boleh memahami betapa sukarnya untuk mentadbir negara yang sudah rosak.


Malah, pengumuman oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa  kerajaan akan menangguh 5 daripada 10 janji dalam manifesto PH membuka ruang untuk kritikan yang semakin melebar.

Lima janji yang ditangguh itu adalah, subsidi petrol untuk kereta dan motosikal bersasaran, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk suri rumah, gaji minimum lebih tinggi, penangguhan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional, dan pengembangan skim kesihatan kerajaan Selangor ke peringkat nasional.

Kita hanya mampu berdoa agar semuanya diselesaikan dengan baik dan segera.

Namun yang pasti ketidakpuasan hati rakyat semakin melebar jika semuanya ditangguhkan.

Dengan adanya kritikan pedas dan perbuatan ‘menangguk di air keruh’ oleh pembangkang dan pasukan cyberteoopernya, keadaan mungkin akan menjadi lebih tidak menentu!

2 comments:

  1. kehebatan ph cuma pada pembohongan saja dan pembohongan yang di cipta mereka akan memakan diri mereka sendiri.pihak lain tidak perlu bersusah payah buat apa2 cuma disarankan duduk diam sambil menonton babak2 pembohongan seterusnya hingga tamat

    ReplyDelete
  2. Ye betul... Sambil makan popcorn.. Kita lihat je media ph berpusing pusing bikin ayat bodoh.. Pening la kau hambali.. Cari ramuan mewangikan tahi ayam candu.. Hahahahahahahahaha

    ReplyDelete