Monday, November 27, 2017

BAIAH – MENCARI LEBIH RAMAI PEMIMPIN SEPERTI IR AMIRUDDIN...


"Amat nyata akan semakin ramai berani mencabar baiah dan tindakan Ir Amiruddin semalam membuka mata lebih ramai pemimpin PAS lain sama ada di Kedah, Kelantan mahupun Terengganu."

Nasib baik baiah PAS tempohnya tidak sampai kiamat.
Mujurlah ia  sekadar sehingga tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen) dibubarkan.

Jika tidak, ramai wakil rakyat PAS yang takut meninggalkan PAS  akan ‘merana’ seumur hidup dan jika menentang araus akan merasa berdosa sepanjang hayat mereka.

Namun, perasaan itu hanya akan ada dalam diri seseorang jika mereka tinggalkan PAS tanpa sebab yang mereka fikir munasabah.

Tetapi bagi yang mempunyai sebab atau perjuangan tersendiri, khususnya menentang nahi munkar, penyelewengan dan rasuah dan zalim, mereka akan berani melakukan tindakan bertentangan dengan baiah yang pernah mereka lafazkan.

Kerana itu, perkataan sesuai berkaitan seorang wakil rakyat PAS berani meninggalkan parti itu semalam ialah, kita mencari lebih ramai ADUN PAS yang berani seperti Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Persoalannya, dengan tindakan Ir Amiruddin itu, apakah lebih ramai yang sanggup membelakangkan baiah sambil berjuang melawan Barisan Nasional (BN) melalui parti lain selain PAS?

Isunya juga ialah, pada ketika  PAS menakut-nakutkan wakil rakyatnya, apakah kepimpinan PAS sendiri melaksanakan tugas mereka seperti yang mereka lafazkan dalam ikrar dan baiah mereka?

Jika tidak, kenapa wakil rakyat PAS tidak boleh menentang mereka. Juga jika perlu  berjuang melawan BN, dengan tinggalkan PAS dan sertai parti pembangkang lain selain PAS?

Mengulas tindakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari PAS itu semalam, pemimpin PAS diingatkan tentang baiah oleh kepimpinan PAS.


Ingatan itu disampaikan sendiri Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
  
Jelas dan terang lagi bersuluh bahawa setiap wakil rakyat PAS, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen, dipaksa berbaiah yang antaranya perkahwinan mereka akan jatuh talak jika mereka meninggalkan PAS.

Isunya dalam konteks baiah ini, apakah PAS hanya melihat kepada wakil rakyatnya yang meninggalkan PAS.

Tidakkah juga PAS melihat kenapa wujud penentangan berani sama ada secara persaorangan atau beramai-ramai terhadap kepimpinan PAS?

Apakah pemimpin PAS yang masih ada dalam parti itu, khususnya di kalangan pemimpin tertinggi mempraktikkan apa yang terkandung dalam perjuangan dan perlembagaan PAS?

Juga apakah PAS benar-benar membela rakyat yang dilafazkan melalui janji mereka kepada rakyat?

Apakah pemimpin mereka tidak melakukan salah laku dan apakah tidak ada perbuatan antara mereka saling ‘tutup-menutup’ kesalahan pemimpin di atas  demi maruah dan kepentingan peribadi.

Sedangkan yang menentang dan keluar daripada PAS mempunyai keberanian tersendiri untuk menentang atau melawan arus berasaskan keyakinan mereka kepada kebenaran walaupun pernah melakukan baiah?

Amat nyata semakin ramai berani mencabar baiah dan tindakan  Ir Amiruddin membuka mata pemimpin PAS lain sama ada di Kedah, Kelantan mahupun Terengganu.

Melihat daripada ‘perjanjian dan sumpah’ melalui Baiah ini amat nyata PAS tidak pernah percaya kepada wakil rakyatnya. Kebimbangan kepimpinan PAS bahawa akan ada yang ‘melarikan diri daripada PAS tetap wujud sejak kesekian lama.


Kejatuhan kerajaan PAS Terengganu kepada Perikatan yang menang dalam pilihan raya 1959 tetap menjadi pengajaran kepada mereka. Ironinya, parti lain yang tidak menyebut Islam dan meletakkan Al-Quran dan Hadirh dalam perjuangan mereka, tidak pula menjadikan baiah sesuatu yang perlu.

Tidak dinafikan ada sumpah tertentu, termasuk sumpah menyimpan rahsia tetapi tidaklah ke peringkat sampai perlu bercerai berai dengan isteri atau suami jika meninggalkan parti.

Apakah peringatan Tuan Ibrahim ini menggambarkan masih ramai dalam PAS yang sedang menunggu untuk lompat pagar?

Namun ketika ini mereka tidak berani bertindak kerana baiah?

Tidakkah apa yang dilakukan oleh Ir Amiruddin itu menggambarkan bahawa PAS sebenarnya sedang bergolak dari dalam? Tidakkan keberanian Ir Amiruddin itu membuka mata pemimpin PAS lain yang 'mementang dari dalam' terhadap PAS?

Tuan Ibrahim yang menyifatkan terkejut dengan pemergian Ir Amiruddin lebih-lebih lagi kerana beliau seorang yang mudah dibawa berbincang dan tidak bermasalah dalam parti meningatkan pemimpin PAS bahawa ‘air tenang itu tidak semestinya tidak ada buaya’.

Dengan jelas Tuan Ibrahim mengingatkan Ir Amiruddin bahawa beliau masih mempunyai beberapa tanggungjawab dalam baiah yang beliau lafazkan.

Namun, Ir Amiruddin seperti rakan beliau yang meninggalkan PAS sebelum ini yang kebanyakannya menyertai AMANAH, berani untuk melanggar baiah kerana melihat PAS sudah lari daripada perjuangan asalnya.

Dengan kata lain, PAS sekarang bukan PAS yang asli.

Ada pemimpin PAS mengulas tindakan Ir Amiruddin sekadar mampu mengatakan “Kita doa (agar) dia dapat lepasi baiah yang dilafaznya dalam pilihan raya sebelum ini di akhirat kelak.”

Beliau merupakan pengganti Allahyarham Datuk Fadzil Noor di DUN itu, selepas menang dalam pilihan raya kecil 2002 susulan kematian bekas presiden PAS itu.
  
Selain ADUN Anak Bukit, Ir Amiruddin juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.


Pada 12 Mei 2016 lalu. media melaporkan, ADUN Anak Bukit itu meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuat kuasa serta merta.

Baginya,  keputusan beliau  itu kerana merasakan BN hanya dapat dihadapi melalui gabungan pembangkang yang erat seperti yang dibuktikan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13.

"Yang penting kita berada dalam kesepakatan yang padu dan ini saya lihat dapat dicapai dalam Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Malah, Ir Amiruddin mengakui  pernah berjumpa dengan Pesuruhjaya PAS Kedah untuk memastikan sama ada masih wujud kemungkinan PAS bekerjasama dengan PH, tetapi jalan kea rah sudah ‘hampir mustahil’ sama sekali.

No comments:

Post a Comment