Ada sahaja yang tidak kena mengenai Kuala Lumpur di mata
Washington.
Selepas bergelut dengan tindakan oleh Jabatan Kehakiman
Amerika Syarikat (DOJ) untuk membekukan harta rakyat Malaysia bernilai RM4Bilion (AS$1B) termasuk milik anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,
Malaysia kini terkait lagi dengan ‘kemarahan terbaru Amerika Syarikat (AS)’.
Sebelum ini ada juga serangan beberapa pihak di AS
terhadap Malaysia dalam isu hak asasi manusia dan juga situsasi
pekerja-pekerja, termasuk pekerja asing dasn pendatang di negara ini.
Kali ini dalam isu perdagangan pula.
Benar, Malaysia bukan satu-satunya negara yang akan disiasat kerana apa yang
diklasifikansikan ‘perbuatan jahat’ di samping 15 negara lain lagi, namun
kedudukan ini pastinya akan sedikit-sebanyak menggambarkan imej negara ketika
ini.
Ia berkaitan
dengan tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump pada Jumaat lalu memulakan siasatannya dalam usaha
menghapuskan apa yang didakwanya amalan perdagangan yang merugikan ekonomi AS.
Malaysia adalah antara 16 negara yang disenaraikan yang
dikatakan penyebab kepada defisit dagangan tidak berpihak kepada AS.
Persoalannya kenapa jadi begini?
Apakah Washington tidak mempunyai maklumat bahawa lebih
50 peratus eksport Malaysia ke negara itu adalah barangan yang dihasilkan oleh
kilang milik negaranya di Malaysia?
Atau memang Trump sengaja menamakan Malaysia kerana rekod
buruk akibat kes yang ditimbulkan oleh DOJ itu?
Kenyataan Donald Trump |
Kerajaan atau Putrajaya perlu menjelaskan perkara ini
agar AS tahu kedududkan sebenar dan rakyat tahu kerajaan di pihak yang benar.
Trump menandatangani arahan eksekutif untuk menyiasat dan
mengenal pasti negara dan produk yang menyebabkan AS kerugian hampir AS$50
bilion setiap bulan.
Beberapa laporan termasuk dari Jerman hingga Thailand memetik
Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross, sebagai berkata penyiasat akan
memperincikan setiap negara dalam senarai.
Penyiasat AS akan mengkaji perdagangan di setiap negara
bagi mendapatkan bukti amalan “menipu”, di samping kewujudan perjanjian dagang
yang tidak memenuhi tuntutan, penguatkuasaan lemah,
penetapan tukaran asing yang salah, dan halangan di bawah
Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
Trump kelihatan bersungguh-sungguh untuk menunaikan sebahagian
daripada janji pilihan rayanya untuk mendahulukan kepentingan AS dalam semua
urusan antarabangsa.
Ross bagaimanapun mengatakan idak semua perdagangan dua hala
boleh merugikan AS dan boleh menyebabkan sesuatu negara dituduh menipu.
“Dalam kes tertentu, ia bermaksud mereka lebih bagus
dalam sesuatu produk dan dapat mengeluarkannya dengan lebih murah. Tidak semua
dalam senarai ini jahat,” tegasnya.
Hasil siasatan itu kemudian akan dilaporkan kepada Trump dalam masa 90 hari.
Laporan itu akan menjadi asas kepada apa-apa tindakan
yang akan diambil oleh pentdbiran Rumah Putih.
Dalam reaksi balas kepada tindakan AS itu, Malaysia mengatakan
ia tidak mengambil peluang untuk menipu AS kerana eksport negara ini
kebanyakannya berkaitan elektronik yang dihasilkan di Malaysia oleh syarikat
milik AS.
Mungkin Trump tidak ada maklumat bahawa wujudnya pekilang
AS di negara ini kerana kos lebih murah,
umpamanya Intel dan Western Digital.
Mereka menghasilkan produk separuh siap yang kemudiannya
digunakan untuk menghasilkan computer serta telefon mudah ahli.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk
Seri Ong Ka Chuan menjelaskan kelmarin 53 peratus daripada eksport ke AS ialah
produk elektronik yang dihasilkan oleh kilang syarikat AS, selebihnya perabot
dan bahan kimia.
Berdasarkan kedudukan sebegini, menjadi tugas kementerian
itu untuk menjelaskan kedudukan sebenar perdagangan kedua-dua negara agar imej
yang sudah tercalar itu dapat dikurangkan.
Perlu diberitahu kepada Washington bahawa cukai
dikenakan oleh negara itu terhadap
barang yang dieksport oleh Malaysia kerana kedua-dua negara tidak mempunyai
perjanjian perdagangan bebas. Ini antara akibat eksport Malaysia tidak
berkembang.
Harapan untuk mempunyai perjanjian perdagangan sedemikian
hancur sama sekali selepas gagasan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik tidak mahu dilaksanakan oleh
Trump selepas menjadi Presiden AS ke 45.
Malah, amaran juga perlu diberikan kepada Washington atau
Trump bahawa jika ia ‘mengenakan tindakan’ berikutan siasatannya itu, bukan
Malaysia akan rugi, sebaliknya syarikat AS di negara ini yang akan menanggung
akibatnya.
Sejauh ini China sudah dinamakan sebagai negara yang
menyebabkan kerugian paling tinggi kepada AS.
Negara lain turut dipalitkan termasuk Kanada, Perancis,
Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Mexico, Korea Selatan,
Switzerland, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Mereka pastinya juga akan memberikan reaksi bagi
mempertahankan kepentingan mereka.
No comments:
Post a Comment