Thursday, April 27, 2017

MENGHADAPI PRU14 – PAS SANGGUP BERSENDIRIAN ATAU BEKERJASAMA?


Sekutu, seteru serta pihak yang sedang mengintai kerjasama dengan PAS tentunya akan mengikuti dengan teliti perkembangan Muktamar PAS ke-63, bermula hari ini.

Bukan sekadar PKR yang dijemput menghadiri muktamar ini akan memberikan perhatian kepada perkara yang dibincang dan diputuskan oleh muktamar tetapi juga yang tidak dijemput tetapi mempunyai ‘minat bekerjasama’ termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah AMANAH, DAP serta parti lain juga akan mengikuti dengan teliti bagaimana arus dan gelombang muktamar PAS kali ini akan beralun.

Dengan tiadanya jawatan penting dipertandingkan kali ini – hanya peringkat Najb Presiden –  empat calon, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan; Idris Ahmad yang juga Anggota Parlimen Bukit Gantang; Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Kerajaan Negeri Selangor; dan Nasruddin Hassan yang merupakan Ketua Penerangan PAS dan Anggota Parlimen - suasana tidaklah sehangat proses pemilihan sebelum ini.

Selepas ‘pembersihan’ PAS, walaupun jumlah 40 pemimpin lain bertanding untuk 18 jawatan anggota Jawatankuasa PAS Pusat, untuk dipilih kira-kira 1,200 perwakilan yang menghadiri muktamar kali ini, ketegangan sudah dapat dihindarkan dan tumpuan semestinya kepada membentuk strategi pilihan raya.

Menariknya, bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sebanyak 26 calon menawarkan diri malah dikatakan  semua  calon berkenaan adalah 'satu kepala' dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Juga tumpuan dapat diberikan kepada  penentuan lebih  30 usul daripada 194 kawasan Parlimen yang dibahagikan kepada empat kategori - usul yang ditolak, usul yang diterima tanpa bahas, usul yang diterima dan perlu dibahaskan jawatankuasa dan usul yang diterima kemudian diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diputuskan – akan merancakkan lagi perbincaangan menentukan stratagi dan hala tuju parti.

PAS menjadi perhatian kerana ia kini adalah parti kedua terbesar bagi orang Melayu dan Islam selepas UMNO, sementara PPBM dan AMANAH masih tidak diketahui keberkesanannya.

Sudah pasti dengan kedudukan di mana pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang diramal diadakan tahun ini akan menjengah, PAS dilihat mengadakan perhimpunan tahunan partinya sangat bertepatan dengan masa dan dan  keadaan semasa.

Malah, kedatangan muktamar ini diihat sebagai ruang mendapatkan input pemimpin dan ahli bertujuan mencatur strategi politik bagi menghadapi PRU14 dengan langkah yang ‘bijak daan berani’.

PAS tidak menjemput parti Melayu dan Islam terbesar – UMNO - ke muktamarnya kerana ia masih parti lawan yang dianggap sebagai parti yang perlu ditumbangkan.

Begitu juga dengan PPBM kerana sementara AMANAH dan DAP kini sudah menjadi musuh nombor wahidnya yang dilihat tidak boleh lagi diperbaiki hubungan antara mereka, ia dilihat bekerjasama dengan dua parti berkenaan..

Akibat PPBM bersekongkol dengan AMANAH dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH), mereka dipalitkan  untuk tidak dijemput.PPBM.



Kemarahan PAS kepada PH tetapi tidak PKR, amat jelas apabila Setiuasaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan pihaknya  mengundang wakil PKR dan beberapa parti sahabat PAS antaranya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), BERJASA dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), namun tidak PPBM.

Hubungan PAS dengan PPBM boleh disifatkan sebagai 'digantung sementara', termasuk  tidak lagi mengadakan program dan rundingan bersama setelah PPBM mengumumkan masuk ke Pakatan Harapan.

Apakah muktamar ini akan menegaskan secara lebih jelas pendirian PAS dalam konteks hubungannya dengan PPBM, AMANAH dan DAP tetapi berlembut dengan PKR kerana ‘kepentingan PAS’ di Selangor?

Sudah pasti juga ramai menanti apa keputusan PAS dalam tahaluf siyasinya dengan PKR selepas ada cadangan diputuskaan hubungan itu?

Benarkah PAS mahu bersendirian menghadapi PRU14 kali ini?

Atau kali ini PAS akan bermain silap mata dengan bekerjasama dengan parti tertentu untuk menjamin ia terus survive di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu?

Ada pendapat mengatakan PAS akan banyak ‘bersandiwara’ kali ini untuk mengelak kalah di beberapa Parlimen tradisinya selain di Kelantan khususnya dengan bekerjasama khususya dengan PPBM.

PAS tidak sanggup berputih mata di Selangor. Apakah PAS bersedia menerima nasib buruk sekiranya membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR?

Kerana itu ramai tidak percaya PAS akan putuskan kerjasama politiknya dengan PKR di Selangor kerana khuatir tindakan memutuskan hubungan dengan PKR hanya akan merugikan PAS.

PAS tidak rela untuk melihat beberapa  Ahli Dewan Undangan Negerinya yang  menjadi EXCO  kerajaan negeri di Selangor hilang jawatan dan kuasa.


Malah dikatakan hubungan kerjasama ini ada kaitan dengan ‘restu istana’ Shah Alam dan apakah PAS sanggup menyanggahnya?

Persoalan juga semakin ditimbulkan, walaupun PPBM tidak dijemput ke muktamar, namun ada pihak meramalkan PAS mungkn menjalin kerjasama dengan PPBM, khususnya untuk menawan Kedah dan Terengganu.

Malah di Kelantan, turut diakui bahawa untuk menyekat pengaruh UMNO dan BN, PAS perlu bekerjasama dengan PPBM, walaupun tidak dengan AMANAH yang dikatakan ‘kuat’ di beberapa kawasan Parlimen.

Di Kedah pula, dengan kedudukan di mana PAS Kedah yang kini turut menaruh harapan dan keyakinan parti itu akan kembali merampas Negeri Jelapang Padi pada PRU akan datang, ia tidak mampu melakukan bersendirian.

Pilihan adalah untuk bekerjasama sama dengan  PPBM.

Walaupun  ada pendapat sukar untuk bekerjasama dengan PPBM untuk tundukkan UMNO/BN di beberapa negeri tetapi apakah PAS mempunyai kekuatan sendiri melakukannya?

Jika pertandingan tiga penjuru berlaku, PAS mungkin menjadi parti paling rendah menerima sokongan rakyat apabila ia akan turut diasak oleh AMANAH -  selain UMNO/BN dan PPBM di beberapa negeri?

Memanglah sejauh ini tiada keputusan  konkrit dibuat oleh PAS tetapi apakah perkara ini akan turut dibincangkkan pada muktamar ini?

Malah bukan sekadar dengan PPBM, PAS sudah ada persefahaman politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) apabila mengumumkan pada 16 Mac 2016 lalu untuk membentuk blok ketiga politik.

Walaupun IKATAN - parti pelbagai kaum - pimpinan bekas menteri Kabinet Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil tidaklah sekuat mana, namun ini dilihat akan memberikan kekuatan kepada PAS.

Malah ada pertanyaan,  apakah PAS akan ‘berbaik dengan UMNO’ untuk berdepan pembangkang lain di beberapa negeri tertentu demi kepentingan Melayu dan Islam?

Semua ini ada pada pertimbangan PAS. Yang penting sebarang langkah dan tindakannya mampu memberikan  keuntungan kepada PAS dalam meraih sokongan berbanding jika ia bergerak sendirian pada PRU14.

Dengan kedudukan kehangatan suasana pemilihan parti dapat diredakan, muktamar kali ini sdah pasti dapat menumpukan perhatian seepenuhnya kepada strategi menghadaapi pilihan raya.

Dan sudah pasti muktamar ini akan menjelaskan sikap PAS dalam keputusannya sama ada untuk bersendirian atau bekerjasama dengan parti Melayu-Islam, khususnya PPBM kalaupun tidak dengan UMNO.

No comments:

Post a Comment