Pada Jumaat lalu (17 Mac 017) diumumkan
secara rasmi di Kuala Terengganu bahawa UMNO akan mendapat teman baru.
UMNO menyifatkan ia
mendapat teman baru hasil doanya yang mahu menyatukan orang Melayu.
Ia disifatkan berlaku di
sebalik kehilangan segelintir kawan sementara kawan baru itu adalah kumpulan
yang lebih besar daripada kawan yang meninggalkan UMNO.
Pada ketika UMNO menyambut
baik kedatangan kawan barunya, pembangkang juga bersorak gembira dengan
pemergian kawan mereka ke pangkuan UMNO.
Kedua-duanya kumpulan
bersorak gembira kerana sebab masing-masing. Ia berkaitan dengan kesan jangka
panjang dan kesan dalam pilihan raya umum akan datang - Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14),
Malah kesan kedatangan dan
pemergian yang disifatkan sebagai ‘kawan ‘ itu akan pastinya terjawab pada
PRU14 nanti.
“InsyaAllah, dengan doa untuk
kita menyatukan orang Melayu, biar kita kehilangan kawan segelintir,
InsyaAllah kita akan mendapat
kawan baru yang akan bersama-sama dengan kita yang kumpulannya lebih besar
daripada yang telah keluar itu.”
Demikian kata Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap sempena Perasmian Kelompok Persidangan
Agung UMNO Cawangan dan Sayap-Sayap Peringkat Negeri Terengganu di Stadium
Negeri, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.
Kehadirannya sehari selepas 3M
– Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Munyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mukhriz
Mahathir menyertai program `Bicara Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad - `BERANI
BERUBAH’ DI Ajil pada malam Khamis.
Program itu dianjurkan oleh
Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Terengganu secara solo dan dihadiri lebih 3,500
orang.
Walaupun tidak disebut oleh Dr Ahmad Zahid siapa kawan baru itu, ia tidak mungkin PKR atau AMANAH, sebaliknya yang dimaksudkan ialah PAS.
Memang ketika ini PAS
dilihat kuat apabila memiliki 14 kerusi Parlimen (selepas 6 menyeberang ke AMANAH dan seorang ke PKR) selain memerintah
Kelantan (32 kerusi selepas seorang dipecat), serta mempunyai 13 (daripada
15 kerusi Dewan Undangan Negeri)di
Selangor dan 14 kerusi DUN di Terengganu.
PAS juga ada kerusi DUN di
Kedah (8 daripada 9), Perak (5) Pulau Pinang (1), Melaka (1), Perlis (1), Pahang
( daripada 3) dan Johor (3 daripada 4).
Sementara itu siapa pula
kawan segelintir yang kini tidak lagi menjadi kawan UMNO dan BN?
Sudah tentu ia dirujuk
kepada PPBM yang mana kini menjadi pesaing
paling kuat kepada UMNO.
Ia juga mungkin akan
menjadi pesaing yang hebat kepada BN walaupun ketika ini hanya mempunyai satu kerusi Parlimen (Johor) dan dua kerusi
DUN sahaja (Kedah dan Johor).
Di Terengganu pula PPBM
kini sudah mempunyai lapan Ketua Bahagian dan jenteranya mulai aktif sejak dua
bulan lalu.
|
Dr Ahmad Zahid menegaskan,
orang Melayu masih memerlukan UMNO dan BN kerana pada PRU13, daripada 5.2 juta
pengundi Melayu 4.1 juta daripadanya mengundi BN.
Baginya, perkembangan positif itu membuktikan terdapat kira-kira 78.7 peratus orang Melayu masih sayangkan UMNO dan BN.
Malah menurutnya, iaitu sasaran
UMNO dan inilah simpanan tetap politik UMNO, sebaliknya ada yang cuba
memecahkan kekuatan orang Melayu yang berasal daripada organisasi kita, tetapi
`ketam-ketam batu’ ini UMNO ketepikan.
Namun, beliau seakan lupa bahawa itu sebelum wujudnya berbagai isu yang berkisar sekitar Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Presiden UMNO
(memangku) itu lupa bahawa senario politik sudah banyak berubah sejak dua tahun
kebelakangan ini.
Dengan isu seperti hutang,
kehilangan dana, kecurian, penyelwengan, pecah amanah dalam 1Malaysia
Development Berhad (1MDB), isu kegelisahan rakyat kerana kenaikan harga barang,
GST, pengagguran, pembaziran kerajaan dan sebagainya, BN kini benar-benar
tertekan.
Dengan bernostalgia dengan
sokongan hasil PRU13, Dr Ahmad Zahid lupa bahawa BN kini semakin terancam
kedudukannya, malah keputusan PRU13 sebenarnya lebih buruk daripada keputusan
PRU12.
Kemenangan Najib pada PRU13
adalah sokongan semua pihak, termasuk Dr Mahathir Mohamad.
Namun dengan pemecatan beberapa
pemimpin penting UMNO -Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis
Tertinggi – selain beberapa yang lain, apakah senario selepas PRU13 masih
serupa?
Tidakkan ‘ketam-ketam’ batu itu
akan merubah pantai dan laut yang kian bergelora?
Berbalik kepada kawan baru yang
sangat dinanti dann dialu-alukan oleh Dr Ahmad Zahid itu, apakah mereka rakan
sepermainan UMNO sebelum ini?
Memanglah PAS pernah menjadi
rakan BN ketika ia mula dibentuk sekitar 1973 dan sama-sama bertanding
menggunakan logo dacing pada PRU 1974. Namun hubungan tidak kekal lama kerana
pada 1977-1978, PAS terpaksa tinggalkan UMNO dan BN.
Selepas lebih 40 tahun, kepimpinan
PAS kini seolah-olah berbaik semula dengan BN, itupun selepas kematian pemimpin
PAS yang ‘keras’ seperti Datuk Fadzil Nor, Datuk Yusuf Rawa dan Datuk Nik Abdul
Nik Aziz Nik Mat.
Kenapa tiba-tiba Presiden PAS
sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba-tiba berlembut dengan UMNO?
Apakah semata-mata kerana UMNO
sokong pindaan terhadap Akta Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) atau kerana sebab lain?
Ketua Pemuda
Pas Pusat Nik Mohd Abduh Nik Aziz berkata, tiada salahnya parti itu bersatu
dengan Umno bagi menyokong pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 jika MCA dan
DAP bersatu menentang akta tersebut.
Di sebalik punca
penyatuan, persoalan penting ialah, bagaimana pemimpin UMNO dan penyokong
UMNO di bawah akan menyesuaikan diri menerima kalangan pemimpin dan penyokong
PAS?
Sudah berdekad musuh UMNO
adalah PAS dan sebaliknya, apakah boleh dicuci dalam tempoh beberapa bulan
sebelum PRU14?
Menarik untuk melihat garis
pertemuan antara mereka yang selama ini musuh ketat terutamanya dalam isu
Islam.
Bagaimana reaksi orang UMNO
kepada `AMANAT HADI’yang sebelum ini menghukum orang sebagai KAFIR. Ini tidak
termasuk meletakkan hukum seperti haram memakan daging binatang yang disembelih
oleh orang UMNO, pernikahan oleh kadi UMNO tidak sah dan tidak sah solat
berimamkan imam UMNO yang membawa kepada solat berasingan (dua imam).
Di Terengganu, amalan ini masih
dilakukan walaupun dalam kumpulan amaat kecil. Bersediakah Hadi menarik balik
atau mengakui kesilapannya kerana amanat di Banggol Peradong itu?
Dr Ahmad Zahid menjelaskan
kawan baru itu adalah kalangan musuh politik UMNO tetapi mereka telah
`tabayyun’, memahami dan mampu menyelesaikan permasalahan untuk ditangani
bersama.
Persoalannya jika penyatuan dua
kawan ini menjadi, apakah kekuatan sebenar yang menjadi ikatan antara mereka?
Apakah hanya kerana faktor
Melayu dan Islam semata-mata atau kerana kepentingan politik untuk
mempertahankan dua manusia – kedua-dua ketua parti yang dilihat sangat erat dan
meempunyai kepentingan bersama – Datuk Seri Najib Razak dan Hadi?
Juga apakah penyatuan ini akan
berkekalan dengan tidak berlaku seperti
perpecahan sebelum ini yang kesannya sangat menyedihkan umat Islam, khususnya
di Pantai Timur yang menyebabkan solat dua imam dan so;at berasingan di surau
serta masjid PAS dan kerajaan?
Apakah kelak akan berlaku di
mana surau dan masjid yang digunakan oleh PAS untuk ‘mencaci, menempelak serta mengutuk’
pemimpin dan pengikut UMNO selama ini dibubar atau dikosongkan?
Dan jika digunakan, akan tiada
laagi caci hamun seperti sebelum ini? Penyokong PAS dan UMNO saling bermaafan
seperti kaum Ansar dan Muhajirin di Madinah?
Juga apakah akan ada kerajaan
campuran dengan PAS dan bagaimana rakan parti BN lain melihat penyatuan ini?
Pemimpin PAS, MCA, MIC serta
Gerakan dan parti lain di Sarawak dan Sabah akan turut gembira dengan langkah
yang diusahakan oleh UMNO ini?
Kenapa pemimpin seperti Dr Ahmad Zahid sanggup
mengambil risiko di atas usaha ini dan jika ia tidak berlaku seperti
dijangkakan apakah UMNO sanggup menerima kesannya?
PAS walaupun ‘Parti Islam’
tetapi politiknya tiada beza dengan parti lain. Pemimpin atasannya mungkin
boleh berkorban tetapi tidaak semua akan mendapat tempat dalam kerajaan
campuran.
Apakah penyokong boleh berkorban jika pemimpin mereka tidak
mendapat tempat dalam kerajaan Pusat dan negeri seperti diharapkan?
Juga apakah pemimpin UMNO juga
sanggup mengorbankan umpamanya kerusi pilihan raya, jawatan penting dalam
kerajaan dan sebagainya?
Apakah PAS akan menjadi lebih
‘lembut’ dalam konteks hubungannya dengan bukan Islam dan menghentikan
serangannya terhadap bukan Islam dalam DAP?
Suasana akan jauh berbeza
apabila berada di samping UMNO dalam BN kerana parti komponen BN seperti MCA,
MIC serta Gerakan di samping parti bukan Melayu dan bukan Islam di Sarawak dan
Sabah juga mempunyai sensitiviti masing-masing dan kadangkala bersikap lebih
daripada DAP.
Bersesuaian dengan usaha
merapatkan saf dua kawan baru ini, Dr Ahmad Zahid meminta supaya tanpa
mengetepikan agama lain, semua ahli UMNO dan BN bersama-sama dengan PAS
menegakkan perundangan RUU 355.
Dr Ahmad Zahid pernah menegaskan perkara ini yang bertujuan menjaga kepentingan orang Islam supaya
orang Islam terus menjadi kumpulan yang tahu menghormati dirinya dengan
perundangan.
Bagaimana jika parti komponen
BN, termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bwesatu di Sarawak (PPB) dan Parti Bersatu
Sabah (PBS) menolak Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) RUU355,
apakah PAS boleh bertolak ansur dengan memejam mata dan memekakkan telinga?
Bagaimana jika usahanya gagal,
sanggupkah beliau mengikut jejak langkah Dato’ Onn Jaafar yang mengambil
tindakan meletakkan jawatannya dalam UMNO?
Untuk rekod, Datuk Onn sebagai presiden UMNO pada persidangan
Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 hingga 26 Ogos 1951 mengundurkan
diri akibat gagal memujuk orang Melayu
menerima bukan Melayu.
Juga apakah Hadi akan
meletakkan jawatan ataau dipaksa meletakkan jawatan jika usahanya memujuk ahli
bersatu dengan UMNO tetapi tiba-tiba tidak berlaku seperti dirancang.
Atau, kalaupun bekerjasama,
hasrat dan matlamat mereka tidak tercapai.
Lebih buruk jika PAS kecundang
teruk pada pilihan raya akibat penyokong mereka protes keputusan Hadi melalui
PRU14.
Memalukaan lagi jika kerusi di
Dewan Rakyat yang diharapkan sebanyak 40 tidak mencapai sasaran dan Kelantan
jatuh akibat kerjasama dengan UMNO yang menyaksikan pakatan AMANAH, PKR dan PPBM
menewaskan mereka!!!
No comments:
Post a Comment