Suara siapa jadi penentu dalam PAS ketika ini?
PAS sudah bagaikan tiada nakhoda apabila ramai yang
berebut-rebut untuk membuat ulasan dalam konteks kerjasama dengan Pakatan
Harapan (PH).
Apakah nakhoda kapal PAS – Datuk Seri Abdul Hadi Awang –
kini tidak ada lagi kuasa untuk mengemudikan partinya?
Atau beliau lebih pening memikirkan soal RUU 355 dan
saman RM90 juta terhadap Sarawak Report berbanding isu kerjasama dengan PPBM
dalam menumbangkan Barisan Nasional (BN) khususnya di Kelantan dan Terengganu?
Apakah kapal PAS kini benar-benar terumbang ambing di
lautan dan hanya menunggu masa untuk tenggelam?
Reaksi spontan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik
Abdullah mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
semalam menggambarkan suasana ini.
Mohd Amar dilihat memotong kuasa Hadi apabila memberikan
reaksi cepat mengenai kenyataan PPBM sebelumnya.
Kenapa wujud kegairahan sedemikian? Bolehkah kenyataan Mohd
Amar menggambarkan akan tertutup sama sekali pintu rundingan ke arah kerjasama PAS-PPBM
yang diusahakan sebelum ini?
Mohd Amar ‘melompat sepantas kilat’ terhadap kenyataan
Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai hasrat PPBM akan menyertai PH.
Mohd Amar menegaskan PAS tidak lagi berminat berada
sepentas dengan PPBM.
Anehnya, Mohd Amar
hanya Naib Presiden dan Timbalan Menteri Besar Kelantan. Namun beliau membuat keputusan rasmi itu seolah-olah
mempunyai kata pemutus apabila mengatakan PAS tidak lagi ada hubungan dengan
parti berkenaan.
“Ini kerana PAS sejak awal lagi memaklumkan tidak akan
sertai PH,” katanya seperti dilapor Harakahdaily semalam.
‘Kelancangan’ Mohd Amar dibuat pada ketika PPBM dalam
keadaan bakal mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai PH dengan harapan ada
beberapa aspek perlu diubah suai, termasuk nama pakatan itu serta logo.
Tindakan Mohd Amar kini menyerlahkan lagi betapa PAS menegaskan
pendiriannya untuk tidak akan bekerjasama sama sekali dengan DAP dan AMANAH.
Persoalannya apakah Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man
bersetuju dengan pendirian Mohd Amar bahawa PAS beranggapan tidak perlu lagi
ada sebarang perbincangan untuk bersama-sama menghadapi pilihan raya diadakan
di antara parti berkenaan dengan PPBM?
Apa pendirian pemimpin PAS lain dalam isu ini?
Apakah Hadi akan akur dengan kenyataan Mohd Amar ini yang
menggambarkan mana-mana pemimpin PAS kini boleh membuat kenyataan apa sahaja,
walaupun ia menampakkan ciri-ciri kenegerian yang amat sangat.
Ceramah PH di Kota Bharu semalam. |
Apakah Mohd Amar membuat kenyataan itu berasaskan kepentingan
kerjasama PAS dengan PPBM umpamanya di Terengganu dan Selangor?
Apakah Mohd Amar hanya menunjukkan kebimbangannya yang
amat sangat mengenai kedudukan PAS dalam kerajaan Kelantan yang disifatkan
dalam keadaan ‘ telur di hujung tanduk’ akibat asakan UMNO Kelantan dan AMANAH?
Mohd Amar merajuk kerana melihat PPBM kini mesra dengan ‘musuh
no 1’ PAS iaitu AMANAH di Kelantan yang dilihat sangat bertenaga melalui
kepimpinan Datuk Husam Musa?
Bagaimana pula di Terengganu? Apakah PAS boleh bersendirian
untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN)?
Kenyataan Mohd Amar sudah pasti dilihat tidak sesuai dan
tidak menyelesakan PAS Terengganu. Ini kerana usaha untuk bekerjasama dengan
PPBM yang dilihat paling kuat berbanding PKR dan AMANAH di Terengganu akan
membawa untung kepada PAS.
Apakah dengan mengatakan putus hubungan itu PAS akan
membuat pusingan U untuk bekerjasama dengan UMNO di Kelantan dan Terengganu?
Apa jaminan UMNO akan memberikan kerjasama dan jika
dibentuk kerajaan, apa jaminan PAS akan diberikan jawatan Menteri Besar dan
EXCO kanan pada pentadbiran di dua negeri Pantai Timur itu?
Jadi apa perjuangan PAS ketika ini dan di mana Hadi
sebagai nakhoda kapal PAS yang hanyut di lautan bagai tidak berkemudi?
Di pihak PPBM, yang nyata ialah, PPBM tetap membuka pintu
kepada PAS untuk bekerjasama biarpun ia berhasrat menyertai PPBM.
Dr Mahathir Mohamad berkata di Kota Bharu semalam, PPBM
sudah berada dalam sistem politik negara dan PPBM hanya menyertai untuk melengkapi blok
pembangkang itu.
Dengan kedudukan di mana PH sudah ada, wajar untuk PPBM bersatu
dengan menyertai pakatan supaya menjadi satu posisi yang sama dan jika PAS
menolak kerjasama, PPBM tidak boleh berkata apa-apa.
“... bagaimanapun pintu kita terbuka, bukan sahaja PAS
tetapi mana-mana parti yang mahu menyertai PH dialu-alukan.
Di Gemas kelmarin, bekas Perdana Menteri itu, sudah
memberi amaran BN berjaya memenangi setiap pilihanraya sehingga membentuk
sebuah kerajaan disebabkan pihak pembangkang tidak pernah bersatu.
Dr Mahathir meningatkan parti pembangkang berlawan dengan
BN dalam setiap pilihanraya sebagai parti masing-masing, menggunakan simbol
masing-masing dan tidak mempunyai perpaduan yang rapat antara mereka.
Mungkin Hadi atau pemimpin PAS lain akan membuat
kenyataan mengenai pendirian sebenar PAS hari ini.
Malah, ketika berada di Terengganu pada siang dan mala
mini, Dr Mahathir akan turut mendengar pandangan pemimpin PPBM negeri mengenai
kemungkinan bekerjasama dengan PAS di Terengganu untuk menumbangkan BN.
Dari jauh kedengaran bahawa kenyataan Mohd Amar itu
mungkin hanya dalam konteks Kelantan semata-mata tetapi tidak di Terengganu.
Solusi yg mudah...biar than lbrahim tuanman sprang in saja yg join Pan..mengubati rindu yg terpendam selama in dipendam...usah disorokan perasaan tu.org ramai dah tau...pengusupan yg gagal olih anwarinas...
ReplyDelete