"Kononnya akan ‘bersatulah penyokong UMNO dan PAS’ gara-gara persetujuan melalui Akta 355 ini...jika benar mahukan perpaduan sepatutnya tersangat penting ialah antara Islam dan bukan-Islam demi survival Malaysia."
Baca tiga petikan ini untuk faham kenapa usaha meminda
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta
355 dilepaskan oleh UMNO kepada Presiden PAS untuk mengusulkannya di Dewan
Rakyat.
Selepas membaca nilai sendiri kesannya.
1.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad
Maslan: "Ia (RUU) adalah satu pengikat antara perpaduan kita dengan PAS
dan ia adalah satu perkara yang bila diangkat di Padang Masyar nanti kita tidak
mahu ditanyakan apakah yang kita buat tentang perkembangan Islam di Malaysia,
kita tak boleh nak jawab kalau kita tak sokong akta 355.”
2.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Seri Jamil Khir Baharom: “Kenapa undang-undang persendirian? Kenapa kerajaan
tak bawa terus? Kita ada kekangan-kekangan kita, kita ada SOP kita. Kalau
kerajaan bawa kita kena konsenses 14 buah negeri dibawa kepada kabinet kemudian
ke Majlis Kebangsaan (Hal ehwal) Islam seterusnya Majlis Raja-raja.”
3.
Ahmad Maslan: “...rang undang-undang itu
selepas ini akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan selaku pemerintah
negara.”
Dan melalui tiga perkara yang tersurat ini Ahmad Maslan berhujah
komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi boleh berkata tidak kepada
rang undang-undang persendirian yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi
meminda Akta 355.
Amat jelas jika dilihat kepada hujah Ahmad Maslan RUU
adalah satu pengikat perpaduan UMNO-PAS apabila beliau menyebut, “satu pengikat
antara perpaduan kita (UMNO) dengan PAS”.
Walaupun tiada kerjasama politik tetapi UMNO membuktikan
betapa pentingnya ikatan perpaduan antara parti itu dengan PAS.
Kerana inilah
mungkin parti komponen dalam BN tidak diberikan penerangan yang
sejelas-jelasnya mengenai tujuan pindaan dan kenapa diberikan hak kepada PAS
untuk membawa usul berkenaan.
Jika benar ia amat penting untuk Melayu dan Islam, UMNO
sebagai parti memperjuangkan dua perkara itu mesti ambil tanggungjawab untuk membawa
usul.
Namun demi perpaduan UMNO-PAS, UMNO sanggup berdepan
kritikan rakan komponennya, selain rakyat bukan Islam.
UMNO bimbang menerangkan kepada rakan komponen bahawa ia
mempunyai biat untuk berbaik dengan PAS kerana akan dilihat mementingkan
kesepakatan Melayu dan Islam.
Salahkah? Memang UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu
dan memartabatkan Islam.
Dengan berselindung sebegini, lebih menimbulkan syak
wasangka dan kini sudah didedah dan diakui mengenai wujudnya usaha perpaduan
itu.
Yang juga menjadi pertanyaan ialah kenapa dalam
banyak-banyak pemimpin UMNO atau Ahli Parlimen UMNO yang pastinya Islam, Hadi
yang menjadi pilihan?
Bukankah ini antara perkara yang dibangkitkan oleh parti
komponen?
Juga kenapa ahli UMNO membisu apabila pemimpin mereka
yang tidak kurang Islam berbanding Hadi diketepikan begitu sahaja sebaliknya
pucuk pimpinan memilih Hadi untuk membentangkan usul berkenaan?
Tidak beranikah pemimpin UMNO dan rata-rata ahli UMNO
untuk memperkatakan hal ini dan mempersoalkan ‘kenapa pilih Hadi’ kepada pucuk
pimpinan?
Jika menteri UMNO
atau Ahli Parlimen UMNO yang bentangkan usul pindaan ini, rasanya tidak akan
timbul masalah besar.
Hadi di mata orang Islam dan bukan Islam tidaklah
mempunyai rekod cemerlang. Hadi yang terbukti terpalit dengan AMANAH HADI dan
dilihat gagal memperjuangkan Hudud sebenarnya hanya mendatangkan masalah kepada
UMNO dan kerajaan apabila dibenarkan membentangkan usul bagi pihak UMNO. Kini
sudah jelas menjadi isu gara-gara ‘perpaduan’ seperti yang disebut Ahmad Maslan
itu.
Fahamkah pemimpin UMNO dan Ahmad Maslan sendiri bahawa
penentangan sejauh ini bukan mengenai tujuan dan kandungan Akta 355 tetapi
kenapa Hadi yang mengusulkannya?
Fahamilah ketakutan bukan Islam kepada Hadi dan PAS dan
jangan pula UMNO dan pucuk pimpinannya ‘sesat’ hanya kerana kepentingan UMNO
untuk ‘bersepadu’ dengan PAS.
Semua pemimpin komponen BN dan pembangkang sejauh ini menghormati
kedudukan Islam di Malaysia, Jangan bersyak-wasangka mengenai perkara ini.
Pemimpin komponen BN juga faham mengenai kedudukan Islam.
Jangan anggap bantahan mereka terhadap Hadi bermakna mereka mengkhianati
perjuangan Barisan Nasional (BN).
Jangan anggap mereka tidak tahu bahawa tokoh
undang-undang tersohor almarhum Prof Ahmad Ibrahim (bekas ketua pengajian
undang-undang di beberapa universiti dan mantan Peguam Negara Singapura di
bawah PAP yang diterajui mendiang Lee Kuan Yew seperti DAP di Malaysia) telah
menulis perkara ini dalam tajuk: "Islam Dalam Perlembagaan" dengan
menegaskan: Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam
ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan
aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.
Mereka juga tahu bahawa Kuan Yew pun tidak menentang akta
ini ketika dibentangkan di Dewan Rakyat kerana memang ia bertujuan menjatuhkan
hukuman terhadap orang Islam semata-mata.
Tetapi jangan pula jadikan parti komponen sebagai ‘anak sendiri
yang terpinggir dan terbuang’ sebaliknya PAS yang sah ‘anak tiri’ tetapi diberikan
keistimewaan dan ditatang bagai minyak yang penuh.
Kenapa jadi begini?
Di kalangan parti komponen pun mereka dapat melihat
betapa UMNO kini semakin terdesak dan bimbang dengan hakisan sokongan orang Melayu
dan Islam. Mereka tahu dan bukan buta serta pekak.
Negara Malaysia adalah negara berbilang kaum dan Islam
agama rasmi yang diakui oleh seluruh rakyat dan parti.
Apa yang lebihnya PAS berbanding MCA, MIC atau Gerakan dan
parti-parti di Sarawak dan Sabah dari segi sumbangan kerusi Parlimen kepada BN?
Apakah kerana mereka pemimpin ‘kafir’ dan Hadi ‘Islam
bergelar Tok Guru’ serta PAS pula ‘Parti Islam’? Rekod kemenangan pilihan raya
PAS pun baik sangat.
PAS kini hanya ada 14 kerusi Parlimen berbanding parti-parti
komponen Bn yang lain?
MCA mempunyai 7 kerusi, MIC (4), Gerakan (1), Parti
Pesaka Bumiputera Sarawak (14), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (1), Parti
Demokratik Progresif Sarawak (4), Parti Rakyat Sarawak (6), Pertubuhan
Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) (3), Parti Bersatu Sabah (4) dan
Parti Rakyat Bersatu Sabah (1).
Jumlah kesemua yang membantu UMNO memerintah ialah 45
kerusi. Bukankah jumlahnya lebih tiga kali ganda?
jadi apa sangat istimewanya cuba mendapat sokongan PAS?
Benar ada jurang yang jauh antara presiden MCA, MIC dan
Gerakan serta beberapa parti lain berbanding Hadi dari segi amalan (melihat
dari sudut Islam).
Namun jika benar mahukan perpaduan di negara Malaysia dan
antara masyarakat, sepatutnya bukan antara Islam dengan Islam semata-mata tetapi pupuklah persefahaman
dan tolerasi yang tinggi antara Islam dan bukan-Islam. Ia tersangat penting
demi survival bangsa dan Malaysia yang sebahagian besarnya orang Islam.
Setakat untuk bawa usul ke Dewan Rakyat yang kemudian
diambil alih oleh parti kerajaan (UMNO atau BN) seperti yang Hadi lakukan
sebanyak dua kali sebelum ini bukan ada apa-apa pun.
Mungkin jika diadakan perundingan daripada kalangan UMNO
dan komponen, hasilnya lebih baik dan disokong oleh bukan Islam, seperti mana
Kuan Yew menyokongnya pada 1964 dan 1965.
Bukan mahu merendahkan martabat Hadi tetapi kalau setakat
“Bangun, Baca dan Tngguh, kemudian Duduk” seperti pada 26 Mei dan 24 November lalu, ahli parlimen biasa
boleh buat. Malah tidak keterlaluan, kalau budak pejabat atau mat dispatch
yang boleh membaca dan dilatih tata cara mengemukakan usul di Dewan Rakyat, jika
diminta, mampu melakukan kerja seperti itu.
Cumanya ada sedikit tambahan pada bacaan pada 24 November
itu iaitu menambah had hukuman penjara daripada 3 tahun kepada 30 tahun
maksimun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan kepada maksimum 100
sebatan Syarie.
Apapun, masih banyak perkara yang dipersoalkan mengenai
perkara yang diusulkan oleh Hadi itu dan dijangkakan akan ada perbahasan
panjang apabila ia menjadi rang undang-undang nanti.
Lurutan daripada usul Hadi itu, Speaker Dewan Rakyat akan
membuat
huraian pada sesi (mesyuarat dewan) akan datang selaras dengan Peraturan
Mesyuarat 15(5).
Dalam konteks proses rang undang-undang persendirian itu,
beberapa peraturan mesyuarat perlu diteliti dan menjelaskan mengenai prosedur
biasa pembentangan sesuatu usul sebelum ia diangkat menjadi rang undang-undang.
Apabila sudah buat keputusan yang mana sekiranya majlis
(anggota dewan) mengizinkan rang undang-undang itu, barulah ia dicap, bermakna
apabila dicap barulah sudah sah ia dibaca kali pertama.
Namun, ia belum lagi berakhir di situ kerana rang
undang-undang yang telah dicap itu diagih pula dalam dewan dan akan diangkat
kepada menteri yang bertanggungjawab untuk menteri berkenaan membuat satu
penyata.
Apabila menteri membuat penyata dan diangkat di dalam
dewan baru ada perbahasan lagi, selepas itu baru nanti diangkat ke bacaan
kedua. Ini bermakna panjang lagi prosesnya.
Ahmad Maslan sendiri menjawab persoalan ini apabila
mengatakan selepas ini rang undang-undang itu akan dibentangkan sendiri
oleh kerajaan selaku pemerintah negara.
Bermakna selepas ini fungsi Hadi sudah habis, jadi apa
perlunya sampai mengeruhkan suasana untuk diserahkan usul untuk Hadi
bentangkan?
Awal Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak turut memaklumkan kerajaan persekutuan akan "mengambil
alih" RUU yang dibawa Hadi bagi meminda Akta 355.
Bagaimanapun ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO,
Presiden UMNO itu tidak menjelaskan bagaimana RUU itu bakal "diambil
alih" oleh kerajaan.
Menghairankan apabila perkara penting sebegini, seperti juga isu 1Malaysia Development Berhad
langsung tidak disentuh.
Mungkin tidak penting untuk pemimpin dan UMNO mengetahui banyak
mengenainya, atau ia memang rahsia antara pemimpin tertinggi UMNO dan PAS. Dengan
kata lain, tidak baik untuk dibincang atau dipanjangkan.
Namun, apa yang berlaku di Muktamar PAS berbanding PAU
2016 dalam konteks RUU 355 ini?
Pada muktamar PAS 2016 ia dibahas dan diperkatakan
hinggakan ada amaran agar parti lain jangan gagalkan pindaan Akjta 355 ini.
Malah bukan Islam ‘dipertikaikan pendirian mereka’ dalam
isu ini, sedangkan PAU2016 tidak pun menganggap ia sesuatu yang penting,
walaupun isu ‘berbaik dengan PAS’ ada di sebut pada perhimpunan itu.
Paling aneh, pada Mesyuarat
Agung Tahunan Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara kali ke 15 di
Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur semalam, Ahmad
Maslan masih menyelar komponen BN kerana
mempertikaikan kenapa usul itu diberikan kepada Hadi untuk dibentangkan.
"Sebelum ini kita dengar MCA tak suka dengan RUU
355, MIC menentang RUU355, Gerakan juga menentang RUU 355. Apabila kita tanya
kenapa mereka menentang? Mereka jawab macam mana kami tak tentang, sebab Hadi
Awang yang bawa.
"Jadi selepas ini Datuk Seri Jamil Khir yang bawa
dan kita akan sokong beliau. MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain tidak boleh kata
tidak bila kerajaan bawa RUU 355," katanya.
Beginikah cara UMNO berurusan dengan parti komponen BN?
Juga beginikah cara UMNO menjalinkan perpaduan dengan PAS
dengan tidak mengambil pandangan parti komponen terlebih dahulu sebaliknya umum dahulu
dan kemudian paksa komponen BN untuk menerima apa yang UMNO mahu lakukan dengan PAS?
Ahmad Maslan juga mengingatkan:“...ia adalah satu perkara
yang bila diangkat di Padang Masyar nanti kita tidak mahu ditanyakan apakah
yang kita buat tentang perkembangan Islam di Malaysia, kita tak boleh nak jawab
kalau kita tak sokong akta 355".
Terima kasih kerana ingatan itu namun cara Ahmad Maslah
menyebut apa yang akan berlaku di Padang Masyar terhadap yang tidak menyokong
Akta 355 nampaknya mirip kepada cara PAS mempengaruhi orang Islam
menyokong mereka.
Apapun, peringatan itu juga perlu diberitahu kepada
pemimpin UMNO dan kerajaan bahawa selain Akta 355, tanggungjawab untuk
meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat,
kemiskinan rakyat, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa yang kini rakyat
sendiri mulai faham dan sedar mengenainya juga perlu ditangani.
Persoalannya, begitu terdesak sekalikah meminta sokongan
orang Melayu dan Islam sehingga menyatakan soal Padang Masyar sebegini?
Atau apakah ini sengaja dituju kepada orang Islam yang
menentang pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Hadi atau bertujuan mempersoalkan
niat dan keyakinan orang Islam lain?
Atau apakah Ahmad Maslah cuba membidas pemimpin AMANAH
serta pemimpin Islam dalam parti lain seperti PKR dan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia kerana menentang cara Akta 355 ini diusulkan?
Ahmad Maslan boleh menegaskan beliau selaku anggota
parlimen Pontian, apalagi anggota kepimpinan lantikan Najib menyokong akta itu
seratus peratus, namun memaksa orang lain untuk ‘bersetuju dengannya’ walaupun
Padang Masyar disebut, sedikit sukar untuk mengubah pendirian mereka.
Mungkin begitu jugalah dengan pemimpin bukan Islam membabitkan
komponen BN. Cara Ahmad Maslan memberikan rasional menggunakan Padang Masyar
supaya menyokong usul Hadi ini ternyata lemah.
Sama seperti kenyataan Jamil Khir yang berhujah bahawa kerajaan tidak membawa RUU itu sejak awal
kerana terikat dengan pelbagai kekangan dan prosedur, juga menggambarkan kelemahan UMNO dan kerajaan.
Mungkin hadirin yang hadir pada majlis mesyuarat agung di
PWTC semalam hanya jenis akur dan tidak mahu berdebat panjang dalam isu mengapa
kerajaan sejak dulu lagi tidak bertindak membawa RUU tersebut.
Lagipun mereka semua penyokong UMNO dan mestilah ‘wala’
kepada apa sahaja keputusan atau perkara yang ditetapkan pemimpin tertinggi
meraka.
Untuk apa pindaan yang akan melibatkan lebih 15 juta
orang Islam (separuh penduduk Malaysia ) cuba dilakukan melalui cara ‘kelam kabut’ kalau bukan kerana terdesak demi perpaduan
dengan PAS?
Apabila Ahmad Maslan mengakui usul Hadi ini demi
kepentingan perpaduan dengan PAS, amat nyata apa yang dijelaskan oleh Jamil Khir sudah terbatal
sama sekali.
Jangan berklu-klek (flip flop) lah pemimpin UMNO. Lebih
baik berterus terang biar rakyat faham daripada rakyat marah kerana cuba
mencari jawapan kepada perkara yang tidak benar.
Alasan "Majlis Raja-raja tak boleh bawa kalau tak
ada konsenses 14 buah negeri tapi melalui undang-undang persendirian dimana hanya
satu negeri atau satu orang bangun bawa undang-undang persendirian," jelas
membuktikan UMNO mahu suatu kemenangan segera dari segi politik.
Sanggup makan mi segera walaupun tahu membahayakan
kesihatan, bukannya makan mi yang direbus atau dimasak yang mungkin mengambil
masa yang lama sedikit tetapi berkhasiat.
Ini yang tersurat yang tanpa disedari ditonjolkan oleh
Jamil Khir.
Namun yang sah dan nyata ialah bukan Raja-Raja Melayu
yang mendesak atau terdesak tetapi UMNO yang sebenarnya terdesak dan mendesak
parti komponen BN lain menyokong usul Hadi.
Isunya kenapa tergesa-gesa dan kini niat dan perkara baik
sudah tersangkut-sangkut dan menimbulkan polimik yang tidak berkesudahan.
Memburukkan keadaan penjelasan Ahmad Maslan dan Jamil Khir semalam tidak
mencerahkan isu, sebalikya mengesahkan banyak telahan sebelum ini.
Persoalannya, sukarkah mendapat konsensus 14 negeri jika
diperjelaskan dari awal kerana ia memang berniat baik? Dengan memulakan niat
yang baik akan menyebabkan perjalanan usaha yang baik itu diredhai Allah.
Dan bukankah dengan cara yang baik itu jika dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja
nampak UMNO dan kerajaan ikhlas dan melalui saluran yang betul dan memuaskan
semua pihak, termasuk komponen BN?
Jangan sama sekali kaitkan pindaan Akta 355 dengan Majlis
Raja-Raja yang kelak akan menggambarkan kononnya tiada kesatuan antara mereka.
Kerana tergesa-gesa dan tidak mengikut saluran
sewajarnya, MCA semalam mempersoalkan cara rang undang-undang Syariah
kontroversi itu diususlkan yang disifatkan oleh pemimpinnya bukti berlakunya
konspirasi politik agar ia diluluskan dengan cepat.
Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker merujuk kepada kenyataan Jamil
Khir itu berkata kenyataan Jamil adalah
bukti konspirasi politik untuk memintas hak negeri dan Majlis Raja-Raja.
Ia dianggap pengkhianatan
semangat konsesus BN dengan tidak
menghormati 14 negeri dan Raja-Raja Melayu diabaikan daripada diambil pandangan
mereka.
Sangat nyata kini yang tidak bersatu adalah dalam
kalangan UMNO dan BN sendiri.
Dan kerana terdesak untuk dapatkan sokongan orang Melayu
dan Islam bagi menghadapi pilihan raya akan datang, UMNO sanggup melakukan apa
sahaja, termauk menyerahkan kepada Hadi untuk membentangkan usul pindaan Akta
355.
Kononnya akan ‘bersatulah penyokong UMNO dan PAS’
gara-gara persetujuan melalui Akta 355 ini.
Benarkah demikian? Kenapa pemimpin PAS asyik mengatakan
dalam pilihan raya akan datang mereka akan tetap menjatuhkan UMNO dan kerajaan
BN?
Benarkah Akta 355 membawa persefahaman baik UMNO dan PAS,
khsuusnya di negeri-negeri yang menjadi perebutan antara mereka seperti
Kelantan, Terengganu dan Kedah?
UMNO mendapat malu daripada strategi menggunakan Hadi dan
kini terpaksa mencari jalan ‘memperbaiki kerosakan teruk yang sduah dilakukan
oleh mereka sendiri’.
PAS pula mendapat untung apabila UMNO terpaksa berdepan
dengan masalah dalaman BN sendiri apabila banyak parti yang menentang cara usul
itu dikemukakan.
Inilah sebenarnya hasil daripada yang tersirat, selain kenyataan-kenyataan
yang mendedahkan sendiri apa niat UMNO dan kerajaan BN yang tersurat dalam
perkara berkaitan pindaan Akta 355 ini.
Hadi kini boleh tersenyum lebar dan memanglah ia suatu kepuasan
dan sejarah kemenangan untuk dirinya dan PAS.
test
ReplyDelete