Saturday, December 17, 2016

‘PENDERHAKA, PENGKHIANAT SEPERTI DR MAHATHIR TIDAK WAJAR DILAYAN...


Bekas menteri kanan kerajaan, Tan Sri Rafidah Aziz baru-baru ini menyatakan rasa tidak percaya bahawa jemputan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan oleh Yang Dipertuan Agong ke-15 yang sudah berlalu dengan gilang gemilang itu dibatalkan.

Bukan beliau sahaja terkejut, apa lagi Dr Mahathir adalah penerima anugerahkan Darjah Tertinggi Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi pastinya juga di kalangan rakyat.

Atas alasan penerima anugerah itu sahaja Rafidah dikatakan berhak dijemput, apalagi sebagai bekas Perdana Menteri yang masih hidup.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, pembatalan undangan kepada Dr Mahathir ke istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara, Selasa lalu bukan atas arahan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Dr Ahmad Zahid menjelaskan, beliau telah membuat semakan terhadap pembatalan undangan kepada bekas perdana menteri itu dan mendapati urusan tersebut adalah di bawah kuasa Istana Negara.

Malah, katanya kalau ada yang tidak berpuashati (mengenai perkara itu), sila menghadap (Yang di-Pertuan Agong) untuk mendapatkan penjelasan dan jangan salahkan orang lain.

Elok jika tidak dibahaskan mengenai surat daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kepada Dr Mahathir yang membatalkan undangan ke istiadat tersebut yang tersebar di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan di Istana Negara sudah  berlansung pada 13 Disember di Istana Negara. Ia berjalan lancar. Yang dirancang sudah berlangsung dengan baik. Alhamdulilah.

Jika dibahas atau dipersoalkan, akan nanti  timbul syak wasangka  atau perasaan curiga bahawa Dr Mahathir menggunakan inidividu atau pertubuhan tertentu untuk ‘menyerang balas’ terhadap individu atau sesiapa sahaja dalam isu jemputan kehadirannya pada majlis itu.

Jangan pula terjadi seperti serangan media asing terhadap Perdana Menteri dan kerajaan yang menganggap Malaysia sebagai negara kleptokrasi,  yang akhirnya Dr Mahathir dan kumpulannya dipersalahkan terus-terusan.

Dr Mahathir dijadikan sasaran tanpa melihat sebab sebenar kepada punca dan sebab sebenar Malaysia diserang bertalu-talu oleh mereka.

Berucap pada anugerah Muammar Gaddafi di Tripoli 2005 (Gambar Hambali Abdul Latiff)
Yang pasti, tiada jemputan untuk Dr Mahathir tidak sedikit pun menjejas atau menyebabkan cacat-celanya majlis gilang-gemilang itu. Juga tidak ada yang kesipuan di hari tersebut.

Dr Mahathir sendiri sudah menyatakan pendiriannya. Dia terbuka dan menerima ketentuan Illahi.

Institusi Diraja adalah hak Raja-Raja Melayu. Jika Penyimpan Mohor Besar bertindak sedemikian, kena patuhlah. Tiada soal jawab lagi.

Sudah dijelaskan dalam surat dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 5 Disember 2016 bahawa  Dr Mahathir telah dimaklumkan bahawa jemputan kepada beliau telah ditarik balik untuk mengelak "kesipuan", kerana tempat duduk tidak disediakan untuknya.

Tuan punya diri sudah patuh dengan pemakluman itu dan dalam masyarakat Melayu. titah amat difahami sebagai ‘perintah’.

Masyarakat Melayu yang sebelum ini diajar dan bagi yang pernah mengambil mata pelajaran sastera ketika di Tingkatan Enam untuk peperiksaan HSC dan STPM, khususnya pada tahun 1960-an dan 1970-an,  disyaratkan membaca Hikayat Hang Tuah.

Rasa cinta dan taat kepada Raja sudah diasuh begitu lama, iaitu sejak zaman remaja agar tidak menderhana kepada Raja dan negara.

Dengan kata lain kepatuhan kepada titah hendaklah dibuat atau diikuti seperti kepatuhan Hang Tuah apabila dijatuhkan hukuman bunuh. Pahlawan Melayu terbilang itu mematuhinya.

Hang Tuah bukan sekadar mengelak ‘kesipuan’ untuk dirinya jika dia memohon hukumannya dipertimbangkan tetapi juga demi menjaga air mula beberapa pegawai tinggi istana yang menjadi ‘penyangak’.

Bacalah Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu untuk ketahui siapa ‘penyangak itu’.

Malah, selepas ada pihak yang terpaksa mengalami ‘kesipuan’, mungkin termasuk Sultan Melaka sendiri, apabila diminta membunuh Jebat, Hang Tuah rela dan redha untuk bertindak kerana kehendak Raja walaupun hakikatnya Hang Jebat adalah orang yang sangat disayanginya.

Hang Tuah tidak sekali-kali menderhaka kepada Rajanya.

Dengan kata lain, Hang Tuah turut menjaga maruah Sultan Melaka agar tidak mengalami ‘kesipuan’ besar akibat tindakannya sendiri kerana menjatuhkan hukuman terhadap pahlawan berjasa itu.

Apa yang berlaku kepada Dr Mahathir tempoh hari amat kecil dan kerdil berbanding dengan apa yang dialami oleh Hang Tuah dalam isu ‘kepatuhan’ ini.

Juga jadikanlah kepatuhan seperti yang berlaku kepada Ahmad Razif Abdul Rahman yang ditarik pingat kebesarannya pada April lalu.

Kini pingat itu dikembalikan. Jangan persoalkan kenapa dan mengapa pingat itu ditarik balik dan kemudian dikembalikan semula oleh Istana Terengganu.

Yang penting, Ahmad Razif kini bergelar ‘Datuk Seri’ semula kerana kesabaran dan kepatuhannya.

Soal banyak ‘kesipuan’ sudah berlaku akibat peristiwa Ahmad Razif itu suatu perkara lain.

Dalam konteks jemputan terhadap Dr Mahathir dan soal  ‘kesipuan’ juga jangan dipersoalkan.

Hak untuk menjemput ke majlis seseorang, adalah hak penganjur majlis.

Soalnya kita siapa untuk mempersoalkannya?

Apa lagi kita hanya rakyat biasa.

Dr Mahathir adalah rakyat biasa, lagipun sudah tua. Sebelum ini pun beliau dihina dengan berbagai rupa dengan berbagai gelaran – Mahazalim, MahaFiraun, Hitler dan sebagainya.

Baru-baru ini pula digelar ‘penderhaka’ dan ‘pendurjana’. Dan sebagai rakyat yang menderhana, beliau memang tidak layak untuk ke majlis Raja-Raja.

Beliau bukan sekadar itu. Mahazalim dan Maha Firaun itu lebih kesat dan ‘jahat’ daripada penderhaka.

Yang menderhana selalunya dibunuh atau dibuang jauh ke luar negara.

Yang menderhaka kepada British seperti Ngah Ibrahim pernah dikenakan tindakan buang negeri.

Pembesar Melayu yang menjadi penentang campur tangan British dalam pentdbiran negeri Perak itu dituduh bersubahat membunuh Residen British di Perak, dan bersama-sama bapa mentuanya pada tahun 1895.

Sultan Abdullah di Batak Rabit, Sungai Perak pada Jun 1874
Pembesar Melayu itu bersama-sama bapa mentuanya Laksamana Mohamad Amin dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles. Itulah hukuman untuk seorang penderhana!

Bukan Ngah Ibrahim sahaja malah Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II ibni Almarhum Sultan Ja'afar Safiuddin Mu'adzam Shah  atau Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Raja Abdullah) turut dikenakan tindakan yang sama.

Sultan Perak ke 26 itu dilantik oleh British selepas menandatangani Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Bagaimanapun pada 1875, baginda dituduh terlibat dalam pembunuhan J.W.W.Birch dan dibuang negeri ke Seychelles pada 21 Julai 1876.

Dr Mahathir ini bernasib baik kerana masih bebas ke sana ke mari.

Beliau tidak dibuang negeri atau negara. Sekadar tidak dijemput ke majlis di Istana Negara. ‘No hal-lah’.

Juga Dr Mahathir tidak usah timbulkan isu siapa yang berpalit menyebabkan undangan untuk beliau ditarik balik.

Penjelasan oleh Dr Ahmad Zahid semalam itu sudah menceritakan segala-galanya.

Kenyataan Rafidah dalam Facebooknya bahawa: “Walhal kehadiran sesiapa yang berpalit dan bersalut skandal, rasuah, salah urus tadbir, dsb adalah sebenarnya membawa "kesipuan", "Tidak begitu?" hanyalah perasaan geram dan simpati bekas Ketua Wanita UMNO itu semata-mata.

Tidak usah bersimpati. Memang wajarpun pengkhianat, penderhaka dan pendurjana disekat dan dilarang daripada menghadiri majlis rasmi.


Dr Mahathir yang berpengalaman dalam politik kesekian lamanya,  pastinya boleh menenangkan dirinya sendiri.

Sekadar jemputan sebegini apa ada dengannya. Beliau boleh patuh untuk menguruskannya.

Isu lebih besar di persada dunia seperti berdepan pemimpin Serbia di Sidang Negara-Negara Berkecuali di Jakarta dalam isu Bosnia pun beliau tidak ada masalah untuk menetapkan pendiriannya.

Begitu juga dalam isu lain sama ada perjuangan membantu Afrika Selatan untuk mencapai kemerdekaan, Namibia, isu Palestin dan sebagainya, beliau dapat tangani dengan baik.

Malah, usahanya menjamin sistem ekonomi Islam untuk menyaingi ekonomi bebas termasuk menubuhkan Bank Islam, insurans Islam, pasaran Islam dan kerjasama lebih kukuh di kalangan negara Islam pun beliau boleh lakukannya.

Lagipun, bagi pemimpin berusia lebih 90 tahun seperti Dr Mahathir, kehadiran ke majlis angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong bukan sesuatu yang baru baginya.

Jangan ganggu Dr Mahathir.

Biarkan beliau berehat dan sekadar satu undangan dalam negara beliau terlepas,  bukan masalah besar baginya.

Maruah dan kedudukannya tidak tercalar sedikit pun. Bukan ditarik balik darjah kebesaran Tun seperti yang berlaku kepada Ahmad Razif apabila pingat Datuk dan Datuk Seri ditarik balik.

Dr Mahathir akan terus disanjung di persada antarabangsa dan akan terus mendapat undangan dari luar negara.

Bukankah ini juga bentuk sumbangan untuk menjulang nama Malaysia di arena antarabangsa, kalaupun dalam negara sendiri, akan ada usaha berterusan untuk melenyapkan jasa dan legasinya?

Malah, gelaran-gelaran termasuk penderhaka dan pendurjana untuknya bukan manjadi sesuatu yang akan menjadi penghalang untuknya menyumbang bakti.

Lagipun gelaran itu bukan berikan oleh seluruh orang Melayu dan Islam di negara ini.

Sebaliknya gelaran-gelaran itu ‘dianugerahkan’ oleh pemimpin UMNO, iaitu parti yang pernah dipimpin sementara kebanyakan pemimpinnya kini pun pernah diasuh dan diletakkan di kedudukan mereka sekarang melalui kepimpinan beliau selama lebih dua dekad.

2 comments:

  1. ingatlah bahawa yang kekal hanya Allah. klu kita diatas hari ini, belum tentu kita masih diatas esoknya. cuma bila kita turun kebawah biarlah kita dibawah bermaruah..

    ReplyDelete
  2. Tak perlu menulis panjang lebar kalau isi pengertiannya hanya ciput berlegar-legar tempat yang sama.
    '........ Dr Mahathir telah dimaklumkan bahawa jemputan kepada beliau telah ditarik balik untuk mengelak "kesipuan", kerana tempat duduk tidak disediakan untuknya' Kenyataan ini sepertilah jawapan kepada kenapa tidak makan? Sebab tak ada makanan. Ini bukan jawapan yang orang perlukan. Ini jawapan dari orang bodoh dan tolol sahaja. Kalau dalam ujian jawapan begini confirm fail. Yang sebenarnya orang nak tahu kenapa tiada makanan yang buatkan dia tak makan. Samalah juga bodohnya kalau bagi jawapan, dia tak datang sebab tiada kenderaan atau dia berbogel sebab tak ada pakaian atau dia tak mandi sebab tiada air atau dia tak sekolah sebab miskin. Samalah seperti dia tak dijemput sebab tiada kerusi disediakan. Ini bukan alasannya. Semua orang nak tahu kenapa kerusi tak disediakan. Adakah agong arahkan? Jika ya kenapa? Adakah agong sudah jadi ahli UMNO sekarang atau Agong murka kepada TDM sebab-sebab TDM melanggar undang-undang atau perlembagaan? Kalau ya, rakyat mahu tahu yang mana satu? Atau seperti semua orang suspect ianya arahan dari PM kerana semua orang tahu akan hubungan mereka sekarang.
    Instutusi raja dan istana semua telah diketahui yang ia sepatut nonpartisan. Kalau pun arahan tidak diadakan kerusi memang dari agong, kenapa TPM terlompat-lompat kegembiraan seperti orang kena loteri. Sepatutnta dia sebagai pemimimpin nombor dua memberi nasihat kepada istana supaya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Istana sepatutnya tidak mencampuri mana-mana pihak malah boleh bertindak sebagai penyatuan atau orang tengah untuk menyelesaikan permasalahan negeri atau negara. Ingat, rakyat bukan bodoh. Rakyat senyap bukannya bermakna rakyat terima bulat-bulat tetapi mereka sedang memerhati dan akan bertindak bila sampai masanya.

    ReplyDelete