Monday, July 25, 2016

SINGKIR NAJIB - GERAKAN DALAMAN UMNO SOKONG DR M, PARTI BAHARU?


"Di kalangan yang akan beralih angin itu adalah pemimpin UMNO kanan, anggota Kabinet dan pemimpin parti komponen BN yang cuba melepaskan diri daripada ‘perbuatan Najib’ sambil melihat peluang sedang terbuka luas di hadapan  mereka."

Mana ada, tak dengar pun...karut-marut dan tidak masuk akal.

Benarkah wujud gerakan untuk menyingkirkan Najib sedang berlaku dalam UMNO?

Siapa yang akan lakukan lakukan? Berani mereka berbuat demikian dan apakah sanggup mereka berkorban pangkat, kedudukan dan keistimewaan?

Tidak mungkin akan ada gerakan singkir Najib dari dalam UMNO sendiri. Dari luar perkara biasa, malah dari luar negara pun!

Lagipun amat meragukan jika ada pihak akan melakukan sedemikian dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) langsung tidak menjejaskan UMNO.

Jangan percaya dengan laporan media asing. Percayakan dengan cakap pemimpin UMNO dan kerajaan agar tidak terpengaruh, termasuk dalam isu membabitkan 1MDB.

Pemimpin UMNO lebih tahu. Yang dari luar itu ‘putar-belit’ dan sengaja mahu menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri.

Ada pihak meramalkan beberapa pemimpin tertinggi UMNO akan beralih kepada pembangkang ekoran tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas berbilion-bilion aset yang didakwa disalah gunakan daripada dana pelaburan negara 1MDB.

Dikatakan juga, di kalangan yang akan beralih angin itu adalah pemimpin dan ahli UMNO kanan, anggota-anggota Kabinet dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional.

Mereka cuba melepaskan diri daripada kemelut kepimpinan dan parti akibat ‘perbuatan Najib’ sambil melihat peluang sedang terbuka luas di harapan mereka.

Ini berikutan pengumuman bekas Perdana Menteri mengumumkan penubuhan parti politik baru yang akan membawa agenda 'Selamatkan Malaysia' dan menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan ahli veteran Umno akhirnya keluar parti itu pada bulan Februari yang lalu di mana penubuhan parti itu akan menarik mereka yang mungkin tidak menyokong parti-parti pembangkang sedia ada.

Kelmarin (23 Julai 2016), akhbar South China Morning Post (SCMP) mengatakan beberapa menteri Kabinet serta mereka yang berada pada kepimpinan tinggi sedang melakukan gerakan  menyingkir Najib.

Mereka dikatakan akan bersama pembangkang selepas pendedahan DOJ Amerika Syarikat Rabu lalu untuk merampas harta yang dikaitkan dengan Kementerian Kewangan yang memiliki 1MDB.

“Saya tidak kata semuanya, tetapi Majlis Tertinggi UMNO akan tetap menyokong Najib, kata sumber dalaman UMNO.

Bekas editor kanan New Straits Times, Firdaus Abdullah dipetik oleh akhbar itu menyebut, Umno dalam keadaan gundah-gulana. “Beberapa pemimpin kanan parti itu telah mula 'berbincang' dengan Mahathir," ujar Firdaus, memetik laporan yang sama.

Laporan  memetik Firdaus sebagai berkata, para pemimpin Umno itu telahpun memulakan perbincangan dengan Dr Mahathir.

Malaysia Dateline, portal rasmi AMANAH yang turut memetik SCMP, bagaimanapun tidak membuat sebarang ulasan.

Pada Khamis lalu,Najib berkata kerajaan memberitahu ia akan bekerjasama dengan AS dalam siasatan, tetapi menegaskan bahawa agensi kawal selia tempatan telah menjelaskan bahawa Najib tidak terlibat dalam sebarang salah laku dalam kes 1MDB.

Pada Rabu, DOJ memfailkan saman sivil untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB.

Seorang individu yang dinamakan dalam aduan rasmi oleh pendakwa raya AS adalah Riza Aziz yang juga anak tiri Najib. Nama-nama lain dikaitkan dalam saman itu termasuk ahli perniagaan terkemuka negara, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai 'Jho Low'.

SCMP turut memetik kenyataan bekas menteri persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, Umno kini semakin tertekan tetapi ahli-ahli mungkin mengambil sedikit masa untuk melompat parti.

“(Ahli UMNO) jenis  malu-malu (timid). Ia akan berlaku tetapi perlahan-lahan. Saya rasa Najib akan didakwa oleh Amerika Syarikat, dan kemudian kamu akan lihat orang melompat parti," jelas Zaid.


Ketua UMNO  Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (gambar atas) hari ini menganggap laporan kononnya pemimpin kanan Umno dan menteri kabinet akan berpaling tadah berikutan saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika ke atas aset berkaitan 1MDB sebagai karut dan tidak masuk akal.

“Ini berita karut, provokasi dan propaganda pihak tertentu untuk mengabui mata rakyat khususnya ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi, tulisnya dalam blog hari ini.

Beliau juga menyifatkan dakwaan ada kalangan pemimpin UMNO ‘telah berbincang’ dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai amat meragukan dan menafikan bahawa skandal 1MDB telah melemahkan UMNO.

Syed Ali menggesa ahli-ahli parti tidak terpedaya dengan laporan South China Morning Post mengenai perkara itu dan menaruh keyakinan bersama pemimpin mereka.

Satu himpunan  yang dijadual berlangsung pada 30 Julai ini, yang dilihat desakan untuk menyuruh Najib turun, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, undang-undang negara ini membenarkan rakyat berhimpun secara aman tetapi ia perlu mematuhi peraturan selagi jika ia tidak melanggar undang-undang.


Katanya pada Jumaat, polis akan  membantu mempermudahkan perhimpunan bantahan terhadap perdana menteri oleh rakyat tetapi katanya, negara ini  ada undang-undang, “PDRM melaksanakan undang-undang, kalau undang-undang memberi hak untuk berkumpul secara aman dengan memenuhi syarat-syarat ditetapkan, kita PDRM tiada masalah. Kalau ikut peraturan, kita akan bantu (memudahkan perhimpunan), tetapi jangan pula dia (pembangkang) kata tidak mahu ikut peraturan,” katanya.

Pakatan Harapan mahu mengadakan protes pada akhir bulan ini jika Perdana Menteri gagal memenuhi tiga tuntutan mereka, susulan saman DOJ itu.

Tuntutan pertama ialah Najib perlu mengambil cuti sebagai perdana menteri dengan segera kerana wujud persepsi beliau mempunyai kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan, termasuk Pejabat Peguam Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tuntutan kedua ialah Kabinet perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terdiri daripada individu tiada kaitan dengan mereka yang didakwa terbabit dalam isu itu.

Tuntutan terakhir ialah sidang tergempar Parlimen perlu diadakan segera supaya Najib boleh memberi penjelasan terperinci mengenai isu itu kepada wakil rakyat.

Sementara itu akhbar TheStraits Times Singapura pula melaporkan yang berbeza dengan mengatakan kedudukan politik Najib tidak tergugat walaupun saman sivil Doj itu.

Ia berkata, DOJ mendakwa mengaitkan dana 1MDB, bagaimanapun, tidak akan melemahkan pentadbiran di bawah pemerintahan Najib, kerana beliau mempunyai kedudukan yang teguh dalam Umno dan kawalan ke atas institusi Malaysia yang utama seperti agensi keselamatan.

Laporan The Straits Times semalam  itu memetik pandangan firma penyelidikan sebagai berkata bagaimana pembangkang di negara ini telah berpecah-belah.

"Keselamatan Najib adalah kerana penentang di kalangan Pembangkang dan Umno tidak dapat bersama-sama untuk menyampaikan mesej yang koheren dan alternatif boleh dipercayai," kata Pengarah Pusat Merdeka, Ibrahim Suffian.

Dalam tempoh terdekat, tumpuan Najib adalah untuk mengukuhkan lagi kepimpinannya di negara ini, menurut laporan itu sambil menambah bahawa beliau dijangka meneruskan strategi 'stubborn ignorance' berhubung kejatuhan akibat kegagalan 1MDB.

"Ia merupakan strategi sejak awal dan ia berjalan dengan baik. Tiada sebab untuk berubah," kata seorang penyelidik kanan daripada sebuah badan yang menyediakan khidmat nasihat dan pandangan.

Najib memulakan 1MDB sejurus selepas menjadi perdana menteri pada April 2009 untuk melaksanakan pelaburan strategik di luar negara.

Bagaimanapun, menurut DOJ, seorang pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan yang rapat dengan Perdana Menteri menggunakan dana tersebut sejak awal, menurut laporan itu.

Najib menafikan sebarang salah laku. Beliau menolak liputan media antarabangsa mengenai salah urus tadbir dan dakwaan penggubahan wang haram melalui dana 1MDB.

No comments:

Post a Comment