Tuesday, July 19, 2016

SEPATUTNYA DIDESAK KERAJAAN PAS KELANTAN HAPUSKAN BUDAYA HEDONISME...


"Lagu-lagu dangdut serta dikir barat yang menampilkan gadis-gadis seksi dibiarkan menjalar dengan begitu mudah di Kelantan...seolah-olah maksiat dan kemungkaran itu ‘dibenarkan’ oleh kerajaan PAS Kelantan yang kononnya memperjuangkan Islam."

Pemuda PAS semalam  menyuarakan bantahan terhadap penganjuran konsert penyanyi, Selena Gomez yang dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal.

Lajnah Dakwah Pemuda PAS, terkilan kerana pihak berkuasa memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan konsert tersebut yang dijadual berlangsung pada 25 Julai di Stadium Malawati, Shah Alam.

Pengerusinya, Hafez Sabri menyuarakan harapan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menyatakan bantahan secara rasmi bagi menyekat kehadiran penyanyi 'Same Old Love' itu. Sekiranya konsert 'Selena Gomez The Revival Tour' itu diteruskan, ia dipercayai boleh merosakkan akidah, ibadah dan umat Islam khususnya generasi muda, jelasnya.

Tidak dinafikan ada kebenaran kepada apa disuarakan oleh Pemuda PAS ini.


Namun, pada ketika yang sama Pemuda PAS jangan bersikap ‘kuman di seberang lautan boleh nampak tetapi gajah di depan mata mereka boleh terlanggar’ apabila bercakap mengenai isu ‘sisi gelap indutsri muzik’ di negeri berkenaan.

Jangan hanya memperkatakan mengenai kemunculan artis kelahiran Amerika yang sinonim dengan penampilan seksi sahaja  boleh  dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal yang masih diraikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam.

Bagaimana dengan ‘dangdut’ dan dikir barat di Kelantan? Ia bukan hanya pada Shawal tetapi sepanjang hari, bulan dan tahun.

Apakah Pemuda PAS, termasuk Pemuda PAS Kelantan ada menegur kerajaan negeri yang memerintah Kelantan sudah kesekian lama mengenai isu sisi gelap industri muzik di Kelantan?

Laporan blog KijangJantan dengan tajuk  Sisi Gelap Industri Muzik Cemarkan ‘Negeri Serambi Mekah’ menggambarkan segala-galanya.

Blog berkenaan mengemukakan beberapa pertanyaan:

1.      Apakah dilakukan oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri  dan kerajaan Pusat untuk membanteras kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik di Kelantan? Kerajaan negeri nampaknya hanya berminat dengan pakaian wanita tetapi tanpa sedari budaya lucah sudah diserapkan kepada golongan belia, khususnya remaja sejak lebih sedekad yang lalu.

2.      Apa tindakan kerajaan negeri khususnya Exco yang banyak bercakap mengenai aurat dalam isu dangdut dan dikir barat seksi ini?

3.      Apakah aurat hanya dari segi pakaian terdedah sahaja? Bagaimana dengan aurat melalui suara dan pendengaran? Lebih dahsyat ialah wujudnya  budaya lucah dan pengeksploitan terhadap wanita yang disalurkan melalui lagu dan video yang berleluasa di jual di Kelantan dan Pantai Timur? Ada kerajaan PAS Kelantan ambil kesah?


Blog berkenaan membandingkan sikap  Pemuda PAS Kelantan, dalam isu anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang dikatakan menghina umat Islam yang menyamakan dedak dengan duit raya, beliau lantang menuntut supaya memohon maaf terhadap umat Islam berhubung entri di laman sosial Facebooknya itu.

Namun, perkara mungkar yang berlaku di depan mata, ada di kedai menjual kaset dan video serta pasar-pasar malam di merata negeri berkenaan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan tidak pun mendesak pihak berkuasa kerajaan negeri bertindak.

Isu ini bukan baru, malah sudah lebih satu dekad, namun, di negeri PAS perintah iaitu Kelantan, budaya hedonisme yang merebak sejak bertahun-tahun kebelakangan ini kenapa tidak dibendung?

Lagu-lagu dangdut serta dikir barat yang menampilkan gadis-gadis seksi dibiarkan menjalar dengan begitu mudah dan  tidakpun diberikan perhatian sama ada oleh PAS Pusatt atau PAS Kelantan, khususnya di kalangan pemudanya.

Menghairankan, pada muktamar atau perhimpunan parti PAS di Kelantan, tidak pernah pun kedengaran isu ini dibangkitkan. Seolah-olah maksiat dan kemungkaran itu ‘dibenarkan’ oleh kerajaan PAS Kelantan yang kononnya memperjuangkan Islam.

Memalukan juga apabila video ‘maksiat’ ini dijual beriringan dengan video ceramah agama dan ceramah politik oleh pemimpin PAS Kelantan di kedai-kedai atau di kaki lima atau pasar-pasar malam.

Kenapa boleh diperbuat sedemikian?

Ada pula kanak-kanak yang bersiul-siul lagu berkenaan dan apa yang terfikir di benak mereka sukar kita fikirkan.

Namun jika dilihat video dan didengar CD yang diterbitkan oleh mereka yang mahu mengaut untung dengan mudah, kita akan memahami segala-galanya!

Pada laporan Utusan Malaysia 13 Julai lalu, ada menyebut bahawa industri muzik Kelantan tidak terlepas daripada terpalit kontroversi dengan kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik.

Bagaikan barah, penghasilan lagu-lagu tersebut dikatakan bertambah saban tahun.

Malah di YouTube, berlaku lambakan klip-klip video memaparkan wanita seksi Kelantan dengan aksi mengghairahkan. Klip itu bebas ditonton sesiapa sahaja.

Menurut Utusan Malaysia, situasi tersebut sedikit sebanyak mencemarkan nama baik Kelantan yang mendapat jolokan Negeri Serambi Mekah.

Kerana itu, jika Pemuda PAS mahu menggesa kerajaan atau pihak berkuasa untuk mengambil langkah tegas dan sewajarnya dalam meluluskan penganjuran konsert yang dikhuatiri tidak mendatangkan faedah untuk anak muda - tidak terkecuali kerajaan Kelantan.

Jika Pemuda PAS boleh menyeru Kerajaan Pusat, kenapa tidak kepada Kerajaan PAS Kelantan?

Sila rujuk dan peraturan menguat kuasakan Garis Panduan Hiburan atau apa sahaja berkaitan Majlis Agama Islam Kelantan, kerana yang penting bukan dalam konteks konsert sahaja tetapi juga penjualan VCD yang bersepah di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur.

Konsert hanya sehari dua tetapi VCD dan CD dengan gambar dan senikata lucah boleh diulang-ulang dan boleh berlaku setiap hari, sepanjang hari atau juga setiap jam?

Kenapa tutup sebelah mata?

Takut anak muda marah? Takut hilang undi?

Pemuda PAS sila bantah dan tunjukkan keutamaan dan tanggungjawab anda dalam memastikan tidak wujud unsur-unsur dan gejala hedonisme yang boleh mempengaruhi dan merosakkan generasi muda di Kelantan dan di Malaysia khususnya.

Gejala berbahaya ini jelas bukan sahaja diakibatkan oleh yang diimport dan datang sekali sekala sebaliknya di Kelantan, ia dihasilkan sendiri di dalam negeri oleh sebilangan rakyat di ‘Negeri Serambi Mekah’ yang dibangga-banggakan oleh PAS Kelantan.

Kesannya gejala hedonism ini turut merebak dengan  meluas di Terengganu dan Pahang.


Apakah ia bukan satu dosa???

No comments:

Post a Comment