”PKR perlu pilih mahu bersama PAS atau Pakatan Harapan (PH)?”
Dah gila talak ke apa?
Sudah terang lagi bersuluh, PKR tidak mahu bersama PAS
lagi. Jangan nak bernostalgia lagi!
Kehadiran Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail ke dua
pengumuman calon Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, membuktikan segala-galanya.
Sebaliknya pemimpin PAS, terutamanya kalangan pemuda dan
muslimat masih lagi bertanyakan PKR sama ada memilih ‘aku atau dia”? Macam drama
tv pulak pemimpin PAS sekarang ini.
Pada 14 September tahun lalu, Dewan Pemuda Pas Malaysia
(DPPM) pada melahirkan rasa terkilan dengan tindakan PKR menerima keahlian
wakil rakyatnya yang menyertai parti itu dan menganggapnya sebagai tidak
menghormati hubungan sesama rakan dalam Pakatan Rakyat.
Pada 11 September, anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib memgumumkan mereka keluar daripada PAS dan menyertai PKR.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pad Rabu
lalu menyatakan bahawa PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada PKR
akan memilih parti itu, mahupun untuk membantu gerak kerja PRK Sungai Besar dan
Kuala Kangsar.
PAS menurutnya, tidak memaksa rakan komponen dalam pakatan
itu untuk membantu mereka di kedua-dua
kawasan PRK tersebut.
Kelmarin (2 Jun) dilaporkan, Presidennya, Datuk SeriAbdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan merajuk sekiranya PKR membantu
AMANAH kerana PAS adalah parti yang berpengalaman dalam dunia
politik negara malah sudah melalui saat jatuh bangun sendiri, lagipun itu
adalah pilihan raya parlimen dan bukannya negeri.
“Kita tidak akan merajuk jika PKR bantu Amanah kerana Pas
adalah parti yang tahan lasak dan tidak manja,”katanya dalam sidang media
selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-62, di Pusat Tarbiyah Islamiah
(Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan.
Malah Hadi tidak menyentuh soal tahaluf siyasi dengan PKR
dalam sesi Amanat Presiden, pada malam sebelum bermulanya muktamar berkenaan. "Itu
(tahaluf siyasi dengan PKR) tidak disebut. Itu belum ada," katanya ketika
ditemui media selepas majlis tersebut tamat.
Ketiadaan nama besar dari PKR pada perasmian muktamar
kali ini turut dikatakan menjelaskan lagi bahawa hubungan parti Islam itu dengan sekutunya, PKR
hanya menunggu belah secara rasmi
selepas Pakatan Rakyat terkubur.
PKR menghantar satu-satunya wakil rakyat mereka di
Kelantan, iaitu ADUN Guchil, Mohamad Roslan Puteh menghadiri majlis perasmian
Muktamar PAS itu.
Hadi pernah dilaporkan sebagai berkata, hubungan PAS
dengan PKR masih baik dan berjalan seperti biasa walaupun wujud beberapa
kemelut antara kedua-dua parti itu sejak kebelakangan ini.
Sedikit melegakan PAS dan tidak merasa keseorangan pada muktamar
kali ini ialah apabila Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mewakili Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) hadir pada perasmian muktamar PAS tahun ini.
Malah, kehadiran IKATAN itu adalah penampilan sulungnya
selepas bergabung dengan parti Islam itu menerusi pembentukan blok pembangkang
kedua pada 16 Mac lalu.
Ternyata kegagalan mengadakan rundingan berhubung
peletakan calon di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar menguatkan lagi dakwaan
hubungan {KR dan PAS akan berkubur.
Dewan Pemuda PAS kelmarin memberi kata dua kepada
sekutunya, PKR untuk menyuarakan pendirian sama ada masih mahu bersama parti
Islam itu atau membawa diri bersama Pakatan Harapan (PH).
Menurut Wakil Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadli Shaari , PKR
tidak boleh terus menjalin kerjasama dengan kedua-dua pihak, apatah lagi DAP
dan AMANAH dalam PH yang merupakan musuh politik parti Islam itu.
Dewan Pemuda PAS mengajak semua untuk menilai hubungan
PAS dan PKR, namun biarpun ramai dalam PKR yang sayangkan PAS, ‘mana mungkin
cinta ini dapat bertahan’ sekiranya DAP dan PKR masih duduk bersama bahkah
menjalinkan hubungan mesra dengan parti satu lagi (AMANAH).
Kelmarin Dewan Muslimat PAS turut menyuarakan nada yang
sama apabila menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan
tahaluf siyasi dengan PKR, terutama pada pilihan raya umum akan datang.
Dewan itu mendakwa
PKR telah mengkhianati parti itu apabila menjalinkan kerjasama dengan AMANAH
dan melemparkan pelbagai tuduhan, fitnah serta dakwaan yang tidak berasas
terhadap mereka.
Dewan Muslimat PAS juga mahu semua kerusi dalam pilihan
raya ditandingi oleh PAS tanpa bekerjasama dengan parti-parti lain.
Usul itu dikemukakan oleh Dewan Muslimat Kedah dan
diterima tanpa bahas.
Naib Ketua Dewan Muslimat merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Penapis Usul Muktamar itu, Salamiah Mohd. Noor berkata, bermula
dengan Langkah Kajang sehinggalah konspirasi menjatuhkan Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pandangan dan pendirian PAS tidak dihormati
selain kesucian pembangkang sedia ada dicemari dengan perancangan tertentu di
luar pengetahuan parti itu.
“Walaupun ada segelintir pemimpin PKR yang menghormati
pendirian dan pandangan PAS, rentetan isu sebelum ini memperlihatkan PKR lebih
selesa mengambil keputusan tanpa berbincang atau mengambil kira rakan
tahalufnya berhubung hal-hal berkaitan,” katanya.
Mungkin sebagai strategi menyejukkan ‘kehangatan pemuda
dan muslimat’ Hadi menegaskan parti itu akan meneliti usul memutuskan hubungan
dengan PKR sebelum keputusan muktamad dibuat.
Namun agak mengejutkan juga, pada ketika ada pemimpin muda
dan muslimat PAS melemparkan kata-kata agak kesat kepada pemimpin PKR, pemimpin
tertinggi PAS masih mahu ‘menanam tebu di tepi bibir’.
Semalam, Setiausaha
Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS masih mahu meneruskan tahaluf
siyasi bersama PKR walaupun Dewan Muslimat parti itu meluluskan usul supaya
hubungan itu dikaji semula.
Menurutnya, usul Dewan Muslimat itu bukan bertujuan untuk
memutuskan hubungan tahaluf siyasi, sebaliknya ia lebih kepada mengkaji
penambahbaikan kerjasama antara kedua pihak.
"Ia bukan ke arah memutuskan. Bagi kita, ia ke arah
penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas berakhir Muktamar
Tahunan PAS Ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali pula menyifatkan
usul itu lebih kepada pandangan Dewan Muslimat dan bukan keputusan PAS Pusat.
"Itu pandangan dari perwakilan Muslimat, kita akan
tengok (usul). Kita beri kepada (Majlis) Syura untuk melihat pro dan kontranya.
Banyak perkara yang mereka (Dewan Muslimat) masih tak tahu. Mungkin ada pihak
yang tak puas hati, tapi ini hanya minor (kecil), bukan masalah besar,"
katanya.
Dalam konteks ‘cinta dengan PKR’ ini, PAS akan membawa
usul penilaian semula kepada Majlis Syura Ulama untuk dikaji dan dinilai.
Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata usul
tahaluf siyasi tersebut meminta supaya Majlis Syura Ulama membuat penilaian
kembali terhadap kedudukan kerjasama antara PAS dan PKR.
Usul adalah daripada PAS kawasan Pontian, Balik Pulau,
Kuala Kedah dan Muslimat PAS Malaysia yang mahukan tahaluf siyasi antara PAS
dan PKR dinilai semua atas beberapa perkara berbangkit termasuk apakah masih
ada keuntungan kepada Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau sebaliknya.
Menyampaikan taklimat usul pada muktamar itu beliau yang
juga pengerusi jawatankuasa usul bagi muktamar itu berkata, usul tersebut juga
meminta jika masih ada keuntungan (boleh) diteruskan dan jika tiada Majlis
Syura Ulama berhak membuat apa saja keputusan.
Jika ada keuntungan kepada PAS?
Kalaupun marah atau sudah pudar ‘berkasih sayang’ PAS
perlu ingat bahawa ia mempunyai wakil dalam Kerajaan Selangor yang diterajui
oleh PKR dan DAP.
Jangan terlalu hilang pertimbangan hingga marahkan
nyamuk, bakar kelambu kerana yang berada dalam dilema ialah Ahli Dewan Undangan
Negeri PAS di Selangor serta penyokong mereka.
PAS tidak boleh main wayang dengan menghentam PKR di
muktamar tetapi di Selangor terpaksa menelan atau menjilat ludah sendiri.
Mana politik ‘matang dan sederhana’ yang diuar-uarkan oleh
PAS jika terus memainkan politik menikam belakang di samping bermuka-muka apabila sesuatu keadaan itu dilihat berpihak atau memberikan keuntungan kepada pihaknya.
Terjemahkan ‘Islam’ dan setiakawan itu dalam hubungan PAS
dengan parti pembangkang lain terutamanya PKR untuk PAS dihormati dan disegani.
Jika tidak, bukan ‘cinta PAS’ sahaja yang akan beralih
arah, PKR juga tidak mampu mempertahankan cintanya kepada PAS kerana ‘cemburu
melampau’, mementingkan diri selain enggan bertolak-ansur dengan meletakkan kepentingan dirinya melebihi segala-galanya!
No comments:
Post a Comment