“Masa belum
terlambat untuk PAS tarik diri dan beri laluan kepada UMNO/BN dengan
membuktinya sebagai 'rakan parti pemerintah dan penasihat’ mereka. Atau jika bertanding juga, minta penyokong PAS undi wakil UMNO melalui BN di dua PRK itu.”
Untuk apa PAS bertanding di dua pilihan raya kecil (PRK)
Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar?
Untuk bantu UMNO/Barisan Nasional (BN) menang? Atau tidak
mahu memberi ruang kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) memperkenal dan memperkembangkan
pengaruhnya melalui PRK, gara-gara marah dan meluat kepada pemimpin parti baru
itu.
Pemimpin PAS sehingga ke hari ini masih tidak dapat
menerima hakikat bahawa sebilangan pemimpin terkenalnya sudah meninggalkannya.
Mereka kini berjuang pada platform baru melalui Pakatan Harapan (PH) untuk
‘Selamatkan Malaysia’.
PAS yang terpinggir kononnya mahu membentuk blok ketiga
kini tersepit antara beriringan dengan UMNO, bersendirian atau merujuk kepada PH.
Namun syarat besar yang menjadi penghalang untuk rujuk ialah,
mereka perlu menarik balik ‘sumpah seranah’ mereka terhadap DAP dan menerima
AMANAH sebagai rakan sekutunya.
‘Mampos’ PAS tidak akan melakukan perkara seumpama itu.
Ini kerana jelas
PAS kini pun sudah hilang arah dan blog ketiga yang mahu diciptakannya dengan
parti IKATAN masih diawang-awangan.
PAS yang mendakwa DAP mempunyai agenda seperti menghalang
perjuangan Islam yang dibawakan olehnya turut menyalahkan DAP yang kononnya menyokong
tindakan AMANAH untuk memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon
pembangkang, iaitu PAS.
Sedangkan AMANAH ternyata sudah menzahirkan atau
‘established’ diri mereka sebagai sekutu PH dan bertanding di dua PRK itu atas
nama PH untuk menggerakkan slogan dan perjuangannya ‘Membebaskan Rakyat’ untuk
menyelamatkan Malaysia.
Kini persoalan yang paling penting ialah siapa musuh PAS
sebenarnya?
Apakah UMNO/BN atau PH yang diwakili PKR, DAP serta
AMANAH?
Melihat kepada ucapan dan kata-kata pemimpin PAS, nyata
sekali musuh mereka kini ialah DAP, AMANAH dan PKR. Walaupun PKR dikatakan
masih rakan kerjasama politiknya, namun dengan PKR berada dalam PH, pasti tidak
boleh menganggapnya sebagai bukan musuh pilihan raya.
Jadi PAS ini apa? Dengan UMNO/BN sebagai ‘penasihat’ dan
dengan PKR masih mahu mengekalkan ‘tahaluf siyasi’nya.
Tempoh menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi dan
PAS jangan hanya menyerang DAP dan AMANAH sebagai strategi politiknya.
PAS mahu jadi apa sebenarnya?
Azhar Abdul Shukur, calon AMANAH untuk PRK Sungai Besar |
Sebagai parti pembangkang yang kuat dan parti pemerintah
di negeri tertentu atau penasihat semata-mata? Atau hanya rakan kongsi
pemerintah di negeri tertentu sahaja seperti yang berlaku di Selangor sekarang?
Berbeza dengan AMANAH di mana persetujuannya untuk bersama
PH adalah bermatlamat memperkenalkan sebuah lagi gabungan parti pembangkang
kepada rakyat.
Ia melihat ada
agenda yang lebih besar iaitu untuk menonjol dan memperkenalkan Pakatan Harapan
sebagai pakatan baharu setelah Pakatan Rakyat dimusnahkan.
Pengarah komunikasinya Khalid Samad berkata, keputusan
Amanah meletakkan calon di dua kawasan itu bukan bertujuan untuk bergaduh
dengan PAS, sebaliknya dibuat dengan agenda yang lebih besar.
“Ini bukan soal Amanah nak gaduh dengan PAS. PAS letak
calon, Amanah pun turun nak lawan PAS, tidak. Soal gaduh Amanah dengan PAS itu
soal kecil, itu hanya dalam minda PAS yang kata kita letak calon ini kerana PAS
letak calon, tak ada kaitan pun dengan PAS,” katanya kepada pemberita di
Pejabat Amanah Sungai Besar semalam.
“Orang kata sudah
tak ada harapan nak lawan dan jatuhkan Barisan Nasional (BN), parti pembangkang
dah berpecah dan sebagainya, jadi kita nak zahirkan wujudnya gabungan parti
pembangkang yang boleh mencabar BN,” katanya.
Berikutan itu beliau membidas pemikiran PAS yang
menganggap keputusan parti itu meletakkan calonnya pada PRK Sungai Besar dan
Kuala Kangsar sebagai tidak menghormati
kerusi tradisi PAS.
Khalid berkata, kehadiran Amanah di Sungai Besar
mempunyai kaitan dengan ‘tagline’ pilihan raya yang baharu diperkenalkan pada
sidang media yang sama iaitu ‘Bebaskan Rakyat, Selamatkan Malaysia’.
Naib Ketua AMANAH kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad
Termizi Ramli (gambar atas) dinobatkan sebagai calon PRK Kuala Kangsar yang menyaksikan
pertembungan empat penjuru iaitu calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua
Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad; dan calon Bebas, Izat
Bukhary Ismail Bukhary.
Di PRK Sungai Besar pula Pengerusi AMANAH Sungai Besar,
Azhar Abdul Shukur ditentang oleh calon BN, iaitu ADUN Sungai Panjang, Budiman
Mohd Zohdi dan calon PAS diwakili ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman.
Kedua-dua PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya,
Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam
nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kangsar dan
Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini.
Khalid menegaskan, AMANAH mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat
dan pengundi bahawa parti ini wujud dan dapat melaksanakan fungsinya dengan baik.
“Ini soal kita nak rakyat tahu Pakatan Harapan, satu
pakatan yang baharu, yang satu-satunya mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk
membebaskan dan selamatkan rakyat,” katanya.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menegaskan, dengan
memberikan kemenangan kepada PAS pada PRK kali
ini tidak akan membawa sebarang makna kepada rakyat kerana parti Islam
itu tidak mampu menukar kerajaan secara bersendirian.
Sebaliknya, jika kemenangan diberikan kepada calon
Pakatan Harapan, ia akan memberi isyarat yang kuat kepada kerajaan bahawa
Pakatan Harapan boleh merealisasikan hasrat menukar kerajaan itu.
"Pilihan raya kali ini pada saya keputusannya mudah.
Sama ada kekal kerajaan BN sedia ada atau untuk tukar dengan kerajan baru
Pakatan Harapan. Saya tahu ada rakan Pas yang bertanding. Tetapi kemenangan PAS
idak ada kesan kepada kehidupan rakyat atau kebarangkalian tukar kerajaan atau
tidak," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Jubli
Perak, Kuala Kangsar kelmarin.
Rafizi menjelaskan kempen kali ini bukan satu parti.
“Kita buat keputsan kita masuk sebagai Pakatan Harapan. Dari segi keputusan,
strategi kempen kitaputuskan bersama. Konsepnya PKR dan DAP masuk bukan sebagai
jentera sokongan tetapi sebagai jentera utama sama seperti AMANAH," katanya.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata PRK di dua
Parlimen itu sebenarnya satu pertarungan untuk melawan BN.
Menurutnya, walaupun berlaku pertembungan lebih dari dua
penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar
hanya Pakatan Harapan sahaja yang mampu menumbangkan BN.
“Parti lain tidak mampu sama ada dari segi jumlah kerusi
yang ditandingi, atau jumlah kerusi yang mampu dimenangi. Mereka tiada
kemampuan untuk menolak BN dan tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian
tanpa undi berpasukan,” katanya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menjelaskan
bahaw DAP menyokong AMANAH pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana ia
adalah rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.
“Kita sokong parti AMANAH sebagai rakan seperjuangan
dalam Pakatan Harapan. Apa salahnya kalau kita (DAP) sokong calon parti AMANAH.
Satu tuduhan melulu kalau nak sebut kita ada agenda tertentu,” katanya pada
sidang akhbar semalam.
Lim mengulas kenyataan Presiden PAS yang mendakwa DAP menyokong calon AMANAH dalam PRK Kuala Kangsar dan
Sungai Besar kerana parti itu mempunyai agenda seperti menghalang perjuangan
Islam yang dibawakan PAS.
Hadi berkata, tindakan AMANAH bertanding dalam
kedua-dua PRK itu hanya untuk memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon
pembangkang.
Guan Eng berkata, DAP dan AMANAH mempunyai matlamat dan
agenda sama, iaitu menentang BN.
Melihat kepada kenyataan pemimpin PAS, khususnya Hadi, ia
menguatkan andaian bahawa PAS kini jelas tidak ketengah dan ketepi.
Adalah baik jika parti itu menarik diri daripada dua PRK
ini jika sekadar mahu memenangkan UMNO/BN. Peranan seperti ini bukan sifatnya
sebagai parti pembangkang.
Masa belum terlambat untuk PAS tarik diri dan beri laluan
kepada UMNO dan BN dengan membuktinya sebagai 'rakan parti pemerintah dan penasihat’ mereka. Kalau bertanding juga, minta penyokong undi calon UMNO melalui BN
di dua PRK itu.
Jika demikian, peranan PAS lebih jelas iaitu untuk memenangkan
UMNO, lagipun UMNO menyokong dan memberikan laluan kepada mereka untuk
membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda seksyen 355
Akta Mahkamah Syariah 1965.
Bukankah PAS sudah mencipta sejarah melalui usul
berkenaan gara-gara sokongan UMNO?
Bagi PAS itulah satu perjuangannya yang sangat penting
dan kejayaan membentangkan usul itu sudah dilihat sebagai kemenangan yang besar
baginya.
Tidak ada kemenangan lain
Itu baru jelas PAS dan UMNO ‘sehati sejiwa’!!!!!!!!
No comments:
Post a Comment