Polis Terengganu mungkin akan memanggil Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan seorang blogger dipukul di Masjid Rusila, Marang, Jumaat lalu.
Sekumpulan jemaah masjid, dipercayai penyokong Hadi didakwa mengasari seorang penulis blog yang cuba mendapatkan beberapa penjelasan daripada Presiden PAS itu.
Apa yang tidak sedap didengar ialah Hadi yang melihat kejadian di depan matanya sendiri dikatakan membiarkan sahaja blogger itu ‘dikasari’.
Tidak diketahui sejauh mana kekasaran dilakukan terhadap blogger berkenaan, walaupun Khairul Nizam Abd Ghani atau Aduka Taruna mendakwa turut dipukul dari belakang.
Orang ‘Tok Guru’ dikatakan ‘bertindak liar’ dengan tujuan mengajar blogger berkenaan yang menurut mereka geram dengan tindak-tanduk Khairul Nizam.
Blogger berkenaan mendakwa, dalam insiden dekat rumah Hadi di Marang pada 7 Januari lalu, beliau turut dikurung seketika di pejabat masjid berdekatan dan telefon bimbitnya dirampas.
Pada ketika blogger berkenaan berkata beliau dikasari ada blog yang menafikan ‘kekasaran’ berlaku dan jumlah mereka yang mengepung Khairul Nizam tidaklah seramai seperti yang didakwanya.
Apapun, blogger berkenaan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Marang kira-kira jam tiga petang, sejurus selepas peristiwa itu.
Khairul Nizam mula mendapat perhatian selepas didakwa menghina bekas Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail dalam tulisannya di blog awal pada Januari tahun lalu.
"Dalam kejadian itu, kira-kira tujuh atau lapan orang mengepung saya. Saya rasa dipukul daripada belakang dua kali," dakwanya.
Menurut Malaysiakini kelmarin, Khairul Nizam mendakwa, kesan daripada itu, beliau terpaksa mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik berdekatan kerana telinganya mengeluarkan sejenis cecair.
Menceritakan kembali pengalamannya, Khairul Nizam mendakwa, selepas solat Jumaat di Masjid Rusila dekat rumah Hadi, beliau menghampiri pemimpin itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu kerajaan perpaduan PAS-Umno yang meletus selepas pilihan raya umum lalu.
Oleh kerana tidak dilayan, beliau terus mengikuti pemimpin utama parti Islam itu hingga ke hadapan rumahnya - 15 meter dari masjid - sambil bertanya soalan dan merakamkan pergerakan Hadi menggunakan kamera telefon bimbit.
"Kemudian saya ditahan dalam sebuah bilik sebelum dibebaskan tidak lama kemudian," dakwanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, meskipun demikian, ia bergantung kepada keperluan dan hasil siasatan kes tersebut.
Katanya, sehingga kini, empat individu telah dipanggil untuk diambil keterangan.
"Kesemua individu lelaki berkenaan yang kita percaya saksi kejadian telah memberi keterangan masing-masing berhubung kejadian itu.
Mengulas kes Aduka Taruna berkenaan, Manoharan berkata: "Jika perlu beliau (Abdul Hadi), akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian itu, blogger yang sering dikaitkan dengan kumpulan blogger antikerajaan perpaduan mengalami saat cemas apabila dikepung dan dibelasah sekumpulan jemaah di masjid berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang Jumaat lalu.
Lelaki yang pernah didakwa atas kesalahan menghina institusi kesultanan Johor itu turut mendakwa di dalam blognya adukateruna.blogspot.com, dia diugut dan dimarahi selain ditahan di dalam sebuah bilik sebelum dilepaskan tidak lama selepas itu.
Dalam pada itu, blogger tersebut di dalam entri terbarunya semalam memberitahu merancang bertemu Presiden PAS untuk diwawancara sekali lagi.
Kelmarin, Setiausaha politik Hadi, Dr Samsuri Mokhtar, engggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
"Saya dengar ada laporan-laporan polis dibuat oleh Aduka terhadap kesnya dan (laporan) penduduk Rusila terhadap Aduka.
"Jadi oleh kerana ianya dalam siasatan, saya tidak akan komen," kata Dr Samsuri.
Khairul Nizam merupakan antara penulis blog pro Pakatan Rakyat yang menentang kuat idea kerajaan perpaduan. Beliau juga antara penggerak kempen "PAS Reform" dan "Langgar Hadi".
Dalam usaha itu, beliau mahu bertemu dan berdialog dan merekodkannya dalam bentuk video.
Percubaan sulungnya di muktamar PAS Jun lalu di Pengkalan Chepa, Kelantan juga mengalami kegagalan, tetapi tidak berakhir dengan kekasaran.
Selepas kejadian itu, Khairun Nizam tetap tidak mengalah dan mahu meneruskan usaha menemui Hadi, malah mahu membawa rombongan penulis blog dan pengguna Facebook selepas ini.
"Kami akan cuba mengumpulkan blogger dan Facebooker 'otai' dengan blogger dan Facebooker baru, dalam satu tarikh, bersama-sama, bertanya soalan kepada Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang, di Rusila," tulisnya dalam blog.
Kita akan menyaksikan sejauh mana 'perang' AdukaTaruna - Hadi kerana blogger berkenaan sudah memberi amaran - "Gua akan jumpa Hadi di Rusila lagi, insyaallah".
padan muka budak kurang hajau tuh...kalau aku ada kt situ mau kene sentong budak tuh ngan aku...
ReplyDeleteItu lah balasan Illahi kalau dah terlampau kurang ajar. Tak tahu adab lagi biadap. Kalau aku ada kat sana aku juga akan tolong pijak pijak budak kamjat itu. Lain kali jgn terlalu biadap apabila menulis sesuatu artikel khusus nya mengenai Sultan yg tidak pun mengusik dia. Sekarang apa macam rasa penagan org Hadi. Best kan. Heeeeeee.......
ReplyDelete