Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim semalam secara tidak langsung mengakui bahawa beliau pernah mengambil minuman keras apabila berkata beliau kini sudah insaf dan memohon kemaafan daripada Allah.
“Saya sudah mintak maaf dengan Allah s.w.t dan saya minta maaf dengan rakyat Selangor.
“Saya sudah perjelaskan sebelum ini, saya bukan malaikat dan ada kelemahan semasa saya muda dahulu. Kalau UMNO hendak mainkan isu ini kerana mereka itu malaikat terpulanglah,”
katanya selepas menunaikan solat asar di masjid Kerling semalam.
Semalam, akhbar Mingguan Malaysia dalam laporan muka depannya memetik Naib Presiden PKR, Azmin Ali, mencabar BN mengemukakan bukti berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap calon mereka yang didakwa sebagai kaki botol tegar.
Zaid dipertaruhkan PKR bagi mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan, bakal berdepan saingan empat penjuru daripada BN dan dua calon Bebas yang turut menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya kecil 25 April ini.
Mengulas lanjut isu berkenaan, Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Baru berkata, apa pun kelemahan dan ketidaksempurnaannya sebagai seorang manusia beliau masih mampu menjadi wakil rakyat yang baik dan memperjuangkan hak rakyat sekiranya menang dalam pilihan raya kecil ini.
“Saya tidak kisah jika UMNO hendak serang peribadi saya..serang lah mereka tak perlu berhenti.Mereka ada tujuh hari lagi untuk serang saya.
“Apa yang silap itu silaplah, saya tidak lari daripada kebenaran. Saya tidak hipokrit dan bukan macam mereka. Bila saya silap saya mengaku tapi mereka tidak mereka angkuh,” ujarnya.
Zaid percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai sama ada beliau layak atau tidak menjadi wakil rakyat di sini.
“Kalau saya layak saya akan menang, kalau tidak layak saya kalah. Itu sahaja,” katanya.
Ditanya bila beliau berhenti daripada amalan minum arak itu Zaid berkata: “Itu tak usahlah kita bercerita. Itu cerita lama yang tak perlu diungkitkan lagi.”
Dalam perkembangan berkaitan, Zaid berkata beliau tidak perlu bersumpah untuk membuktikan dia tidak pernah minum arak.
“Apa nak sumpah-sumpahnya suruh lah orang-orang yang minum arak dalam UMNO itu bersumpah dahulu. Sumpah adalah urusan saya dengan tuhan, tak perlu tunjuk kepada mereka,” katanya ketika mengulas mengenai cabaran yang dilontarkan oleh Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof mencabar bekas menteri Kabinet itu supaya bersumpah bagi membuktikan beliau tidak pernah minum arak. Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Shah Alam Nor'isham Manap dan timbalannya Muhamad Ali Mukhtar semalam mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta merta.
Seorang anggota Jawatankuasa (AJK) cabang itu, Mohd Nazri Mukhtar dan empat anggota Angkatan Muda cawangan Padang Jawa turut mengumumkan keluar parti.
Nor'isham berkata mereka mengambil tindakan itu kerana kecewa dengan kepimpinan PKR yang memilih bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Pemilihan Zaid yang rekodnya sebagai pejuang reformasi dan keadilan masih belum diuji jelas merupakan pengkhianatan terhadap semangat dan cita-cita perjuangan reformasi serta keadilan yang kami sertai sejak 1999, katanya.
"Kami yakin pemilihan beliau bukan berdasarkan kepentingan perjuangan dan rakyat tetapi hanya untuk menjaga kepentingan (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) yang perlukan seorang bekas menteri dan peguam berprofil tinggi untuk menjadi benteng serta pembela beliau di Parlimen dalam menghadapi kes liwat beliau.
"Justeru, Zaid dipilih oleh Anwar hanya untuk menjaga kepentingan Anwar dan bukan kepentingan rakyat. Tidak masuk akal seorang yang asing, bukan anak tempatan dan elit boleh menjadi wakil rakyat yang berkesan di kawasan Hulu Selangor," katanya dalam sidang media khas yang turut dihadiri bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Nor dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Shah Alam Azahari Shaari di sini semalam.
No comments:
Post a Comment