Monday, April 19, 2010

NAK JADI BAIK, TINGGALKAN UMNO…

Ini panduan untuk menjadi baik dan ‘diterima’ sebagai orang baik.

Ikutlah cara Datuk Zaid Ibrahim. Keluar UMNO dan sertai pembangkang. Agak-agak berapa ramai lagikah ahli atau pemimpin UMNO akan ikut jejak Zaid untuk bertukar menjadi ‘baik’?

Bagi yang tinggalkan UMNO, seseorang akan diterima sebagai ‘baik’. Selagi dalam UMNO, selagi itulah mereka akan menjadi ‘jahat’.

Lihatlah Zaid sendiri, Zaid ‘jahat’ hanya ketika dalam UMNO…

Kini Zaid sudah insaf dan baik. Perangai ‘jahat’ ada pada dirinya hanya ketika beliau berada dalam UMNO.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh, berkata selain sudah berubah setelah menyertai PKR, Zaid juga sudah mengerjakan haji dan adalah tidak wajar untuk mengungkit sejarah silam seseorang bagi mengaibkannya.

"Kita tidak harus menghukum beliau dalam keadaan sekarang yang sudah berubah...Barisan Nasional (BN) patut malu untuk menggunakan taktik kotor dan bukan bercakap soal peribadi seorang yang sudah berubah.

"Tuhan mana-mana pun, Tuhan Kristian ke, Tuhan Hindu ke, orang Buddha, Muslim ke...bila seseorang itu sudah bertaubat dan berubah, orang lain tidak ada hak untuk menghukum mereka. Tuhan pun tidak akan menghukum mereka," kata Fauziah di Hulu Selangor hari ini.

Saya ulangi, “Tuhan pun tidak akan menghukum mereka,” tegas Fauziah. Itulah gambaran sebenar bagaimana pemimpin PKR melihat Zaid yang bagaikan ‘sudah insaf’.
Sejak menyertai pembangkang, khususnya PKR, Zaid sudah bersih kalaupun tidak tidak sebersih kain putih.

Kenapa mesti ‘marah’ atau menuduh Zaid bukan-bukan. Zaid dahulu ‘jahat’ hanya ketika dalam UMNO, bukan seperti Zaid sekarang.

Zaid semalam mengakui kepada pemberita bahawa pernah minum alkohol seperti yang didakwa oleh BN dalam kempen mereka. Tetapi katanya, perkara itu dilakukannya ketika masih muda dan beliau kini sudah insaf.

Bak kata Hadi : "Ada orang buat macam-macam tuduhan kepada Datuk Zaid masa dia UMNO dulu. Saya tegaskan, kalau adapun itu masa dia dalam UMNO. Sekarang dia sudah bersama kita dan dah meninggalkan UMNO," katanya.

Bagi beliau, Zaid adalah tokoh kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin. Kata Hadi, ketika pemimpin UMNO lain berebut-rebut nak jadi pemimpin, dia meletakkan jawatan sebagai menteri kerana menentang salah guna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). rekod, Zaid melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana membantah tindakan kerajaan menahan tiga orang termasuk seorang wartawan di bawah ISA.

Hadi menegaskan tindakan firma guaman Zaid menyaman kerajaan negeri Kelantan kerana meluluskan undang-undang Hudud adalah kerana Zaid ketika itu pemimpin UMNO. Kini dia sudah tarik balik tindakan itu.Jadi tidak adalah lagi kes terhadapny!

Kata Hadi dengan lantang pada satu ceramah di Hulu Selangor kelmarin: "Itu semasa dia bersama UMNO...sekarang dia sudah keluar dari UMNO. Baru-baru ini dia dah pergi menunaikan haji....kita yakin dia telah berubah selepas bersama kita."
Malah Zaid sendiri mengatakan meminum arak adalah cerita lama. Beliau sendiripun sudah minta maaf dengan Allah s.w.t. Jadi janganlah pandai-pandai mahu menghukum Zaid dengan mengaitkannya dengan arak.

Menurut Zaid: “Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah,”

Malah, bagi pembangkang, Zahid adalah manusia yang tidak tamak dan mementingkan diri kerana sanggup meletakkan jawatan Menteri dan menjadi ‘orang biasa’. Ramai ke orang seperti Zaid yang berani membuat tindakan drastic macam itu.

Ada ke menteri sekarang yang berani melakukan sesuatu yang ‘di luar jangkaan’ seperti Zaid.

Kerana itu Zaid dipuji, dipuja dan dianggap pemimpin yang ‘bersih’ dan ‘tidak mementingkan diri’ dan sesuai diletakkan sebaris dengan pemimpin pembangkang lain, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah tidak ramai juga yang berani menjadi ‘katak besar’ seperti Zaid dengan melompat dari parti pemerintah – UMNO antara komponen penting Barisan Nasional (BN) - kepada pembangkang.

Selalunya yang banyak berlaku adalah ‘katak’ dari parti pembangkang melompat ke dalam BN walaupun tanpa sebarang habuan. Kalau dapat habuan lagi bagus.

Dalam konteks katak ini, kalau kita lihat, pemimpin pembangkang, termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri boleh menerima katak lompak ke dalam kelompok mereka – tidak berdosa.
Tetapi katak yang melompat ke dalam BN dianggap perbuatan ‘dosa besar’.

Zaid secara terus terang berkata, apa yang membezakan antara beliau dengan pemimpin lain ialah beliau tidak bersikap hipokrit.

Katanya: “Kalau orang tanya kes-kes tertentu, mereka kata terlalu kecil. Tetapi bagi saya, saya jawab. Saya percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai manusia Zaid Ibrahim ini sama ada dia layak jadi wakil rakyat. Kalau layak saya menanglah, kalau tak layak, tak layaklah.”

Kalau menurut Hadi, Zaid adalah tokoh kebangsaan dan kerana itu, walaupun sudah insaf dan naik haji, PAS tidak mahu menerimanya.

Presiden PAS sendiri mengakui, selepas Zaid meletakkan jawatannya dan keluar dari UMNO, beliau juga ada berbincang dengan pemimpin PAS untuk menyertai parti Islam itu.

Zaid mungkin dilihat ‘akan mencemarkan PAS’ sekiranya parti itu menerimanya kerana bekas pemimpin UMNO itu tetap sukar untuk memulihkan imejnya kerana tindak tanduknya dalam isu hudud.

Biarpun ada perbincangan untuk tujuan ‘membuka jalan kepada Zaid menyertai PAS’ tetapi pintu tetap tertutup untuknya.

Akhirnya Zaid terpaksa menyertai PKR untuk melawan UMNO.
Bagaimanapun, selepas berbincang termasuk dengan pemimpin PKR, mereka bersetuju Zaid perlu menyertai PKR.

Dan mengejutkan juga kerana pada ketika Presiden PAS melihat darjat Zaid begitu tinggi, banyak juga kumpulan PAS menentang sokongan terhadap Zaid.

Kelmarin bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin membidas PAS kerana turut menyokong Zaid. Hafiz yang juga Pengerusi Badan Anti IFC (Badai) berkata, tindakan PAS itu amat memalukan kerana menyokong pemimpin PKR walaupun mengetahui personaliti dan tindak tanduknya sebelum ini, terutama ketika di dalam UMNO.

"Bagaimana PAS tergamak mengangkat seorang yang pernah mencabar pelaksanaan hudud di Kelantan ke mahkamah, terlibat dan menyokong penubuhan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) serta berhasrat membuang kekuatan mahkamah syariah dalam perlembagaan dengan kempen terhadap Artikel 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan.

"Dia tidak pernah patah balik termasuk menarik balik tuduhan atau meminta maaf atas keterlanjurannya menghina umat Islam," dakwa Hafiz. Artikel 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan menyebut mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah tidak boleh dipinda.

Menurutnya, Zaid pada zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mempunyai perjuangan dengan agenda tersembunyi yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai orang Islam.

Katanya, Zaid juga terlibat dengan penerbitan buku-buku sekularis, liberalis dan anti hadis melalui sebuah syarikat penerbitannya. “Dia adalah seorang yang berjiwa pluralisme berdasarkan tulisan dalam bukunya berjudul In Good Faith.

"Adakah orang seperti ini sesuai untuk menjadi pemimpin?," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut membidas PKR dan PR kerana mencalonkan Zaid Ibrahim sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu yang tidak langsung mencerminkan hasrat murni perjuangan umat Islam.

Bagi Hafiz, sepatutnya pembangkang meletakkan calon yang lebih sesuai dan mampu meningkatkan martabat bangsa dan agama serta berkeupayaan membela nasib pengundi.

Bukankah itu bermakna gara-gara mahu memang pilihan raya serta kerjasama pembangkang yang wadah perjuangannya jelas tidak sehala memaksa pemimpin PAS menurut kemahuan PKR bagi ‘membersihkan Zaid’ agar Hulu Selangor kekal di tangan pembangkang.

1 comment:

  1. jika begitu, anda juga tak perlu mengiktiraf umar contohnya, sebagai khalifah ar rasyidin...

    ReplyDelete