Saturday, September 5, 2009

MUHYIDDIN & HISHAM SERONOK KENA BOIKOT?

Memang tidak pernah berlaku di mana-mana negeri lain, selain Terengganu.

Apa yang berlaku di Terengganu ini sewajarnya dilihat dengan berhemah oleh UMNO Malaysia dan UMNO Negeri lain kerana ia bukan sekadar penentangan terhadap seseorang yang tidak digemari.

Ia sudah melangkah jauh. Persoalannya ialah sebahagian ADUN Terengganu menolak kepimpinan Datuk Ahmad Said dan meminta beliau digantikan.

Namun sejauh ini cara-caranya adalah seperti berikut:

1. Memulaukan sidang DUN pada April lalu dengan mengatakan sms ugut bunuh dihantar oleh orang kanan Menteri Besar;

2. Membisu serta tidak membahaskan sebarang enakmen dan usul pada sidang DUN berkenaan, termasuk sidang DUN terbaru dua minggu lalu;


3. Membuat kenyataan terbuka menentang kepimpinan dan dasar kerajaan negeri pimpinan Datukm Ahmad Said melalui akhbar tempatan dan akhbar elektronik; dan ;


4. Memboikot majlis terbaru dihadiri Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO yang kebetulan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Perbuatan memulaukan sidang DUN sudah tersemat sebagai rekod selain protes senyap di sidang dewan turut mencipta rekod sendiri.

Dengan memboikot majlis Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri adalah kali pertama seumpamanya sama ada di Terengganu atau negeri lain.

Sah sudah sebilangan ADUN Terengganu mencipta ‘tamadun’ sendiri yang boleh dibanggakan dengan menjadikan boikot sebagai cara membantah yang boleh ditiru oleh UMNO Negeri lain jika mereka tidak bersetuju dengan seseorang pemimpin.

Ahli UMNO Terengganu sewajarnya ‘berbangga’ dengan taktik ini. Ia menyerlahkan bahawa hanya pemimpin UMNO Terengganu berani berbuat begini.
Persoalannya beranikah mereka melakukan seperti ini jika UMNO dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad?

Untuk rekod juga, pada ketika kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak inilah, perbuatan seperti ini dilakukan oleh pemimpin UMNO negeri dan bahagian. Apakah ia mahu dijadikan ‘contoh tindakan dalam UMNO ’ agar ditiru oleh negeri lain jika ada bantahan terhadap sesuatu lantikan yang tidak dipersetujui?

Apakah cara ini akan menjadi suatu precedent untuk ikutan selepas ini atau ia hanya menjadi satu-satunya dan selepas ini tidak akan berlaku lagi. Ia bergantung kepada bagaimana pemimpin UMNO menguruskannya.

Jika Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi membiarkan atau membenarkan cara ini dilakukan, ia akan boleh menyebabkan UMNO berada pada tahap berbahaya kerana sudah pasti akan ada pihak yang tidak berpuas hati pada mana-mana perlantikan apa pun akan bertindak serupa.

Pertanyaan ialah apakah lain kali, ahli UMNO yang tidak suka kepada seseorang atau sekumpulan pemimpin akan melakukan boikot dan mendesak seseorang untuk dipecat atau dibuang - kemudian menjadi suatu amalan dan cara dalam UMNO?

Apakah Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO akan melayan perbuatan seperti ini atau mengenakan tindakan supaya perbuatan seperti itu tidak diulangi?

Bukankah perbuatan memboikot pada sidang DUN bukan satu perkara biasa sebaliknya tidak wajar dan tidak beradap, apa lagi boikot terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudi turun padang untuk bertemu dengan pemimpin UMNO Terengganu?

Saya tidak pasti tetapi mungkin Muhyiddin dan Hishamuddin ‘suka dan gemar’ kepada perbuatan seperti ini dilakukan terhadap mereka. Apalagi kedua-duanya dari Johor.

Atau apakah kedua-duanya tidak faham dan tidak reti perangai orang UMNO Terengganu yang tidak sama dengan orang UMNO Johor?

Malaysiakini yang memetik seorang ADUN Umno yang enggan mendedahkan namanya disiarkan, berkata tindakan dilakukan untuk memberi mesej bahawa kepemimpinan Datuk Ahmad Said, sebagai menteri besar dan timbalan pengerusi perhubungan, sememangnya telah ditolak.

"Kalau setakat nak tunjuk muka, datang makan-makan, nak huha-huha baiklah kami tak payah pergi," katanya.

Malaysiakini yang membuat laporan dengan tajuk ‘Boikot TPM mesej tolak MB T'ganu’ semalam menyebut kumpulan ADUN Umno yang menentang Menteri Besar Terengganu bertindak memboikot perjumpaan antara mereka dengan barisan exco kerajaan semalam kerana beranggapan majlis itu tidak menjamin sebarang penyelesaian konflik yang semakin serius.

Menurut laporan itu, perasaan tidak senang untuk menghadiri majlis itu kerana menteri besar sendiri tidak pernah mengambil sebarang usaha berjumpa dengan wakil-wakil rakyat yang mempertikai beliau, kata ADUN berkenaan.

Dengan kejadian memboikot pemimpin besar UMNO dan negara ini, saya menjangkakan isu ini akan berlarutan lagi, melainkan ada pihak yang berkuasa dalam parti dan kerajaan melakukan sesuatu untuk menghentikannya.

Kerajaan Pusat dan UMNO Pusat jangan melihat perkara ini enteng kerana kecaman dan ugutan berlarutan tidak baik untuk UMNO dan kerajaan negeri.

Rakyat semakin meluat dengan kerenah orang politik UMNO di Terengganu.

Berbuat sesuatulah dengan segara.

Barah politik yang bernanah hanyir tidak boleh dibiarkan. Jika perlu dibedah dan dibuang, buanglah ia supaya tidak menjadi lebih parah.

UMNO Terengganu perlu diselamatkan.

Sejauh ini perkenan istana dibelakangkan dan wakil yang dihantar oleh parti dilihat remeh dan dipersoalkan.

Tindakan memboikot dan memulaukan majlis tampak ‘tidak apa’ tetapi ia menggambarkan betapa sekumpulan pemimpin UMNO Terengganu tidak lagi mementingkan muafakat, perundingan dan rasa hormat.

Presiden UMNO perlu bertindak segera kerana yang nyata Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang dihantar ke Terengganu untuk menyelesaikan masalah sudah tidak lagi dihormati.

Jangan selepas ini ‘kadok naik junjung’ – Presiden UMNO juga diboikot dan turut tidak dihormati!

3 comments:

  1. Setuju sangat dgn pandangan tuan. Rakyat khususnya ahli parti semakin jelak dan meluat dgn gelagat segelintir kambing hitam yg tidak segan silu membelakangkan kepentingan rakyat demi perjuangan peribadi yg tidak berkesudahan. Mengambil iktibar di tempat kami DUN Bkt Besi, YB ditolak dan kurang dihormati kerana beliau bersifat sombong dan angkuh. Apatah lagi ketika selama menjadi EXCO, tidak ada satu pun dlm tempoh itu beliau membawa pembangunan yg boleh dibanggakan. Cuma hari ini, yg dibawanya hanyalah pembinaan Penjara utk Pesalah Tegar yg dibina berhampiran penempatan penduduk dan kawasan tumpuan ramai. Ada otak ka? Pembinaan kampus UITM yg diusahakan oleh Pengerusi Yayasan Mara iaitu Datukk Rosli Mat Hassan tanpa segan silu YB ini telah mengaku dan mewarwarkan ini adalah usaha keras beliau. Budak tadika bolehlah dibohong.....sama dengan pegawai Kemas yang menjadi bidak-bidak catur YB ini. Yg terbaru, apabila dilantik AJK JKKK yg baru (Pengerusi dikekalkan-), maka terbongkarlah betapa selama ni org2 kanan YB ini telah melakukan pelbagai penyelewengan termasuk pembahagian Dana Raya. Maka, apakah dan untuk apakan pemimpin sebegini masih diberi ruang tempat oleh kepimpinan? Berubatlah sebelum melarat.

    ReplyDelete
  2. Pilihan yang ada :

    1.Gantikan MB sedia ada .

    2.Ambil tindakan disiplin terhadap ADUN yang membuat onar itu dengan menggantung keahlian parti.


    Kisah yang berlaku di Terengganu ini di mana silapnya ? Sepatutnya pekara ini boleh dielakkan dari awal lagi. Di sinilah satu lagi contoh klasik di mana 'tangan istana' telah merosakkan demokrasi. Dek nak menjaga hati raja , rakyat yang susah hingga hari ini .

    ReplyDelete
  3. Semua ini menjurus kepada soal kepimpinan - kebolehan atau ketidakbolehan pemimpin UMNO menyelesaikan masalah ini. Jelas para pemimpin UMNO tidak peka dan tidak pro-aktif terhadapnya. Sepatutnya mereka mengambil tindakan tegas dan pantas pada awal-awal lagi (nip things in the bud) apabila timbul tanda-tanda pertelagahan yang tidak mudah diselesaikan. Sebaliknya, apa yang kita lihat pemimpin UNMO seolah-olah mengambil sikap sambil lewa dan ini telah membenarkan keadaan menjadi parah.

    Saya setuju dengan andakmaon tentang pilihan-pilihan yang masih ada. Antara tindakan tegas yang boleh diambil oleh pemimpin UMNO adalah:

    1. MB sekarang mesti diganti dengan orang yang berkecuali dan boleh diterima oleh semua pihak. Jelas beliau bukanlah penyelesaian tetapi sebahagian dari masalah. Mengekalkan beliau pasti akan memburukkan keadaan.

    2. Untuk tujuan (1) di atas, pemimpin UMNO dan pihak-pihak yang berkaitan perlu berjumpa dengan Sultan Terengganu untuk berbincang. Sultan lah yang memperkenan MB, jadi beliau perlu dilibatkan bersama.

    3. Tindakan yang lebih baik dan terhormat ialah MB sendiri mengundur diri untuk memberi peluang kepada pemimpin UNMO menyelesaikan masalah ini. MB perlu membuang sikap ego dan mementingkan dirinya demi untuk menyelamatkan parti. Beliau patut sedar beliau menjadi MB atas ehsan parti, oleh itu parti mendahului mana-mana individu.

    4. Pemimpin UMNO mestilah berani mengambil tindakan-tindakan atas ADUN-ADUN yang bertanggungjawab ke atas berlarutannya masalah ini. Mereka telah menjadi barah dalam parti UMNO keseluruhanya, bukan setakat UMNO Terengganu saja. Para pemimpin janganlah teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana takutkan para ADUN terlibat akan melompat ke PR atau takutkan hilang sokongan. Ini soal kestabilan politik Terangganu dan juga imej dan kredibiliti pemimpin parti. Lagi lama dibiarkan, lagi beranilah para ADUN ini membuat karenah sesuka hati mereka.

    Sekian untuk renungan.

    ReplyDelete