Saturday, June 10, 2017

PARTI KOMPONEN PH PERLU ‘UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI’


Realitinya, untuk apa Pakatan Harapan (PH) bertanding pada pilihan raya umum ke-14 akan datang?

Untuk semata-mata menentang Barisan Nasional (BN) agar tidak memberikan laluan mudah untuknya mengawal Putrajaya?

Atau masuk bertanding untuk ‘test market’ sebagai mempersiapkan diri menyertai Pilihan Raya Umum ke-15?

Atau PH memang bertekad tinggi - kini yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) - menyertai pilihan raya untuk menjatuhkan BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan seterusnya memerintah Malaysia?

Sejarah membuktikan bahawa pakatan pembangkang, sebutlah apa nama sekalipun, sama ada sejak Angkatan Perpaduan Ummah hingga kepada Pakatan Rakyat (PR), pembangkang tidak pernah berjaya menewaskan BN untuk membentuk kerajaan di pusat.

PAS yang sebelum ini menyertai pakatan pembangkang memang di Kelantan sejak 1990 dan kemudian di Kedah dan Terengganu tetapi tetap seperti parti pembangkang lain, tidak mempunyai kekuatan untuk membantu menjatuhkan BN.

DAP yang berjuang begitu lama dan kemudian disertai oleh PKR juga gagal menundukkan BN sejak 1999, walaupun PKR kemudian bertapak dengan teguh di Selangor. DAP pula kekal di Pulau Pinang.

Jadi apabila kini dengan adanya PH dengan dua muka baru iaitu AMANAH dan PPBM, selain senario politik di bawah kepimpinan Najib yang bercelaru dan terpalit dengan tuduhan rasuah dan penyelewengan, ia membawa harapan baru.

Rakyat sedang memerhatikan hala tuju dan keberkesanan perjuangan PH.

Tetapi sekali lagi persoalan timbul dengan isu-isu umpamanya:

1.     Di sebalik menyebut mahu menumpaskan BN/Najib, PKR berterusan dengan pejuangan untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri walaupun tahu sejauh mana kekuatan sebenar mereka;

2.     DAP yang sedar sukar untuk pemimpinnya menjadi Perdana Menteri kerana kekangan perlembagaan dan persetujuan pihak istana;

3.     AMANAH yang peranannya agak terhad dan dilihat hanya ‘bergema’ di Kelantan bagaikan menyertai pilihan raya akan datang untuk ‘test market’ semata-mata sebagai persediaan untuk memperkukuhkan parti bagi Pilihan Raya Umum ke-15; dan

4.     Hanya PPBM jelas dengan misi mereka untuk menumbangkan BN dan Najib dan mahu menggerakkan PH untuk menjadi pemerintah menggantikan BN di Putrajaya.


Berikutan PPBM begitu jelas dari segi matlamatnya maka banyak pihak yang bimbang BN akan jatuh dan bagi yang  mempunyai perasaan takut Anwar tidak menjadi Perdana Menteri jika PPBM kononnya menjadi dominan,  berusaha untuk menggagalkan usaha PPBM ini.

Maka timbullah berbagai persoalan yang sengaja dibuat untuk mengeruhkan PH termasuk isu kononnya PPBM mahu menjadi memimpin gabungan itu.

Ia dikatakan dibuat bagi menjayakan rancangan untuk menggagagalkan sokongan masyarakat Melayu-Islam pada pilihan raya umum akan datang.

Berbagai cerita direka dan realiti sebenar tidak diteliti dan diperjelaskan demi menolak has art  PPBM yang berusaha memainkan  peranan yang kurang dimainkan oleh parti lain dalam PH sebelum ini.

Maka timbullah pendapat kononnya  idea agar PPBM mencetuskan "tsunami Melayu" akan menggoncang dan memecahkan parti komponen gabungan itu meskipun ada mempercayainya sebagai kunci untuk menumbangkan kerajaan pemerintah yang diterajui UMNO/BN pada pilihan raya akan datang.

Rasionalnya, PPBM ditubuhkan bagi menggantikan UMNO.

Ini bermakna di mana kerusi yang UMNO menang sma ada pada kerusi Parlimen atau juga Dewan Undangan Negeri (DUN) sewajarnya PPBM bertanding.

Dengan kata lain,  bagi PPBM pula di mana PKR dan PAS menang dikerusi Parlimen dan DUN, ia tidak akan ‘kacau kerusi berkenaan’ kerana memang itu kerusi PKR dan AMANAH.

DAP pula memang ‘terlepas daripada kedudukan pertindihan’ kerana ia bertanding di kerusi majoriti bukan Melayu dan bukan Islam.


Berdasarkan kedudukan kerusi yang dimenangi oleh UMNO ketika ini, ia berjumlah 88 daripada 112 kerusi dipertandingkan di Semenanjung dan Sabah?

Tidakkah logik bahawa kerusi yang tersedia di Dewan Rakyat untuk ditanding oleh PPBM kini paling kurang pun 80 kerusi, dengan membiarkan kerusi UMNO di Sabah ditandingi oleh Parti Warisan Sabah?

Apakah PPBM sudah hebohkan berapa kerusi ia akan bertanding seperti yang dilakukann oleh PKR dan AMANAH sebelum ini? Jawapannya belum.

Dengan kedudukan jumlah kerusi UMNO (Melayu dan Islam) itu, tidakkah ini menggambarkan kemungkinan PPBM akan bertanding kerusi yang dijangka akan dimenangi paling banyak?

Apakah ini boleh diterjemahkan akan menjadikan PPBM sebagai dominan dalam PH?

Berapa pula kerusi yang mahu dipertandingkan oleh PKR dan AMANAH?

Berdasarkan kemenangan PRU13, yang dicapai oleh PKR dan AMANAH, jumlahnya ialah masing-masing.30 (PKR bertanding sebanyak 99 kerusi) dan AMANAH pula kosong.

AMANAH ada enam kerusi di Dewan Rakyat (semuanya dimenangi atas tiket PAS)..

Namun ini tidak bermakna di mana dirasakan antara parti sama ada PKR, AMANAH, DAP atau AMANAH boleh menang, pembahagian kerusi melalui rundingn tidak boleh dibuat untuk menentukan siapa bertanding.

Rasanya cara mengembar-gemburkan isu PPBM mahu menjadi dominan dalam PH tidak perlu diluahkan di luar.

Belajarlah bagaimana DAP mampu memenangi hati bukan Melayu dan bukan Melayu di mana hasilnya sangat membanggakan apabila walaupun hanya bertanding 51 kerusi, namun mereka menang 38 kerusi, meninggalkan PKR dan PAS pada pilihan raya umum lalu.

Perundingan masih dibuat menentukan struktur kepimpinan PH dan ia ada kaitannya dengan isu logo, manifesto dan akhirnya kerusi akan dipertandingkan.

Soal siapa menjadi Perdana Menteri juga bukan sesuatu yang wajar dibahaskan secara terbuka.

Semua persoalan itu perlulah dikaitkan dengan misi ‘mahu menjatuhkan BN’ atau ‘mahu mengutamakan kepentingan parti masing-masing’?

Persoalan yang juga penting ialah siapa wajar menerajui PH?


Apakah jika Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Mohamad Sabu atau juga Lim Kit Siang/Lim Guan Eng akan menjadi peneraju utama PH, ini akan membolehkan PH menang dan meraih kemenangan menumbangkan BN?

Apakah rakyat khususnya orang Melayu yakin dengan kemimpinan utama PKR, AMANAH atau DAP untuk menerajui PH menumbangkan Najib?

Sebaliknya banyak pihak mengatakan jika Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui PH, orang Melayu akan berasa lebih yakin dan ‘tasunami Melayu’ akan berlaku.

Dibantu oleh kekuatan yang ada pada PKR dan sokongan bukan Melayu dan bukan Islam dari DAP dan AMANAH, BN akan merasai badai atau gelombang apa akan menghanyut dan menenggelamkan mereka.

Ketika ini tidak usahlah pertikai atau menjadikan isu parti mana dominan atau kepimpinan bentuk apa wajar diwujudkan dalam PH. Paling penting gerakan hendaklah dijuruskan kepada jatuhkan BN dan Najib.

Namun jika semua parti PH mempunyai kepentingan masing-masing dan masih bernostalgia dengan sejarah lalu, ia tidak akan membawa PH ke mana-mana.

Tidak ada masa untuk mengatakan PH ditubuhkan untuk mewujudkan kesaksamaan antara parti dan sebagainya. Persoalannya kesaksamaan apa? Tawar menawar kerusi?

Lebih penting daripada segala-galanya ialah mengalahkan BN dan Najib pada PRU14.

Dengan kedududkan di mana PPBM dan AMANAH diterima baik oleh orang Melayu dan Islam sementara PKR yang mendapat dokongan berbagai kaum dan DAP untuk masyarakat bukan Melayu dan Islam, tumpuan hendaklah kepada menembusi dan menawan hati pengundi di bandar dan luar bandar.

Dengan kedudukan di mana BN lebih tertumpu kepada kejayaan UMNO meraih kerusi paling banyak, rekod sebelum ini membuktikan PKR dan DAP sudah jauh meninggalkan keupayaan MCA, MIC dan Gerakan untuk mendapatkan undi bukan Melayu.

Mungkin Sarawak boleh memberikan sedikit kelebihan kepada BN dengan 14 daripada kerusi PBB  tetapi Sabah bukan lagi ‘simpanan tetap BN’.


Berikutan itu, kejutan pada tahun 2008, di mana undi popular untuk pembangkang yang  melonjak sebanyak hampir 14 peratus, berbanding dengan 2004 perlu dipertingkatkan.
.
Kegagalan strategi pembangkang pada PRU12, dengan memfokuskan hanya kepada pengundi yang telahpun menyokong mereka yang akhirnya berjaya meningkatkan pertambahan undi popular hanya tiga peratus,  perlu digantikan dengan strategi lebih berkesan, iaitu mendapatkan pengundi baru.

Dengan berbagai tekanan hidup yang mengancam semua lapisan rakyat seperti kebaikan harga barangan keperluan, pemotongan subsidi, GST, penyelewengan dan rasuah, pembangkang akan mendapat pengundi baru kali ini.

Juga pendedahan demi pendedahan penyalahgunaan kuasa dan masalah yang melanda agensi kerajaan seperti FELDA, KWSP, KWAP, Tabung Haji  dan sebagainya tentunya membuka mata kenapa rakyat perlu memilih pembangkang.

Ini belum lagi isu seperti graduan menganggur, kesukaran membeli rumah mampu milik, bayaran bil kesihatan yang semakin tinggi dan banyak lagi isu-isu harian yang rapat dengan rakyat, jika digunakan sepenuhnya oleh pembangkang, akan benar-benar menyulitkan BN dan Najib meraih undi.

Sewajarnya kerja PH difokuskan kepada menjadikan pembangkang sebagai pilihan kepada BN untuk memerintah negara, bukan masing-masing dalam PH cuba menegakkan kepentingan parti masing-masing.

Paling penting, dalam PH biarlah ‘ukur baju di badan sendiri’ dalam apa juga tindakan dan keputusan.

Belajarlah untuk menerima kelemahan dan kekurangan sama ada dalam kepimpinan atau kemampuan sendiri, bukan asyik ‘menegakkan benang yang basah’.

Akhirnya jangan ada parti komponen PH tanpa mencerminkan sendiri mengenai dirinya mempertikaikan kemampuan parti komponen PH yang lain,  sedangkan hakikatnya mereka tidak sekuat mana pun.

Pilihan raya adalah medan pertandingan untuk menang, bukan medan untuk cuba-cuba mencari pengaruh.

Yang hanya mahu ‘test market’ akan merugikan tenaga dan wang ringgit dan akhirnya maruah parti berkenaan sendiri akan tercalar.


Keputusan yang salah itu akan menyebabkan BN dan Najib menang dan ketika itu ‘nasi sudah menjadi bubur’! 

No comments:

Post a Comment