Sunday, June 25, 2017

CAMPUR TANGAN ASING 1MDB - HADI PERLU IKHLAS, TELUS BUKAN BERPIHAK...


Kenapa Hadi tidak menggunakan ayat-ayat suci al-Quran mendesak kerajaan mendedahkan kepada umum kewangan 1MBD dan Laporan Ketua Audit Negara yang sehingga kini diklasifikasikan di bawah OSA?

Menggunakan putar belit kononnya ada ancaman luar untuk menakut-nakutkan rakyat adalah perbuatan biasa ahli politik yang ‘korup idea’ bagi mendesak rakyat menyokong mereka atau parti mereka.

Di Malaysia, cara ini sudah banyak kali digunakan sebelum pilihan raya umum dan ternyata taktik ini menjadi.

Tidak kiralah sama ada pada Pilihan Raya Umum 1964 mengguakan isu Konfrontasi hingga ke PRU13, menggunakan isu ancaman terhadap Sabah, ia jelas membantu Perikatan dan Barisan Nasional (BN) untuk menang pilihan raya.

Ancaman luar ini  bukan faktor terpenting tetapi sangat membantu kerajaan untuk kembali memerintah dan menjamin parti pemerintah mendapat majoriti di Dewan Rakyat.

Kini sekali lagi isu campur tangan asing dan kononnya kuasa asing sedang berkomplot dengan pihak pembangkang dalam negara ini untuk menumbangkan kerajaan melalui cara yang tidak demokratik.

Penulis yakin rakyat negara ini menolak dan tidak mengalu-alukan campur tangan asing menumbangkan kerajaan. Usaha murni ialah melalui undi dalam pilihan raya.

Mungkin kalau ada pun di kalangan petualng negara seperti daripada kumpulan pelampau agama, penderhaka dan pihak yang rakus mahu merampas kekayaan dan harta rakyat negara ini.

Kerana itu apabila ada pihak mendakwa kononnya wujud campur tangan asing dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ia adalah tuduhan jahat malah tiada pun bukti jelas ada pihak di negara ini yang menyokong atau bersekongkol dengan pihak luar.


Persoalannya, apakah  tindakan yang dilakukan sama ada di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Luxembourg atau juga negara-negara negara lain seantero dunia dipengaruhi oleh seseorang atau sekumpulan rakyat negara ini?

Yang nyata skandal 1MDB ialah skandal pengubahan wang haram terbesar dalam sejarah apabila undang-undang pengubahan wang haram AS dan beberapa negara lain dan undang-undang jenayah yang lain telah dilanggari.

Aset adalah subjek yang  terlibat atau dikesan kepada transaksi haram berkenaan.

Pendedahan yang dibuat oleh pihak-pihak luar mengenai 1MDB adalah yang berkaitan dengan apa yangsedang  berlaku di negara mereka.

Mereka tidakpun datang ke negara ini menganggu urusan Bank Negara Malaysia, bank perniagaan atau mana-mana institusi yang dikaitkan dengan skandal ini, termasuk 1MDB sendiri.

1. Amerika Syarikat:

Jelas dan nyata saman sivil Jabatan Keadilan (DoJ) AS  mempunyai matlamat mendapatkan semula aset, Janjinya untuk dikembalikannya demi faedah rakyat negara yang terjejas.

Ia juga sebahagian daripada inisiatif AS untuk melindungi pasaran dan sistem kewangan mereka daripada penipu wang.

Dengan mengatakan usaha DoJ itu sebagai cubaan AS untuk mencampuri urusan dalam negara Malaysia, apakah langkah kita sejauh ini untuk membawa balik semua harta berkenaan?

Bayangkan  ‘kecurian, rompakan dan pengubahan wang haram’ dengan jumlah keseluruhan AS$7 bilion itu hanya di AS sahaja.

2. Switzerland:

Switzeland pula yang sudah kecewa dengan permintaannya mendapatkan kerjasama Malaysia, terpaksa bertindak bersendirian. Di negara itu tiga buah bank sedang  disiasat kerana disyaki melakukan rasuah dan mengubah wang haram bersangkutan 1MDB,

Kumpulan perbankan terbesar di Switzerland, UBS Group AG, telah diberi amaran atas penglibatannya.


3. Singapura:

Apa yang dilakukan di Switzerland itu mendapat perhatian Pihak berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) apabila dua buah bank dikenakan hukuman kerana terlibat dalam urus niaga haram berkaitan 1MDB.
Mereka didenda di bawah peraturan berkaitan dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Mencegah Pembiayaan Keganasan.
Dua bank itu ialah Credit Suisse dari Switzerland dan United Overseas Bank (UOB) yang berpangkalan di Singapura sendiri. Credit Suisse didenda S$700,000 (kira-kira RM2.2 juta) manakala UOB didenda S$900,000 (RM2.9 juta).
4. Luxembourg:
Dan terbaharu,  Suruhanjaya Penyeliaan Sektor Kewangan Luxembourg (CSSF) menghukum bank swasta Edmond de Rothschild dengan denda sebanyak EUR8.985 juta (RM43 juta).
Ia didenda kerana kelalaian peraturan dalam hubungan dengan pengubahan wang haram membabitkan bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Company (IPIC) Khadem Abdulla Al Qubaisi, tokoh penting yang dinamakan oleh DoJ sebagai terlibat dalam pengubahan dana 1MDB.
Semua ini belum lagi di nyatakan siasatan yang sedang dilakukan seperti di New Zealand, Hong Kong dan beberapa negara Eropah lain.
Tidakkah semua ini membuktikan  negara berkenaan mahu menegakkan hak mereka untuk kawalselia sistem kewangan yang bersih?
Apakah usaha mereka ini boleh dianggap sebagai campur tangan asing?

Tidak pelik jika pemimpin kerajaan, Barisan Nasional (BN) serta UMNO menggunakan ancaman luar untuk mengumpul sokongan rakyat terhadapnya.

Namun apabila Presiden PAS pada hari terakhir Ramadan 1436 kali ini menyatakan wujudnya campur tangan asing dalam kes 1MDB, strategi politik apa sedang dirangka oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO dalam  menjamin kemenangan BN/UMNO dalam Pilihan raya nanti?

Sungguh aneh pemikiran dan tindakan Hadi ini kerana melihat ancaman luar lebih penting daripada cara kerajaan menggendalikan kes ini, khususnya dalam isu kerugian, kehilangan wang 1MDB, salah pembayaran dan juga pengubahan wang haram,

Sewajarnya Hadi tidak sahaja menggunakan ayat al-Quran untuk memperingati mengenai bahaya membantu kuasa asing mencampuri urusan dalam negara, tetapi juga mengingatkan pemimpin negara mengenai ‘perbuatan salah mereka’ kerana melindungi mereka yang ‘menyeleweng’ dalam 1MDB.

Hadi dalam kenyataannya semalam langsung tidak persoalkan apakah yang sudah dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara, Bank negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam menyelesaikan kemelut 1MDB ini?

Hadi tidak wajar menakut-nakutkan rakyat dengan kesan ancaman luar menggunakan ayat suci al-Quran tetapi dengan kegagalan kerajaan BN/UMNO menangani isu ini, tiada pula ayat-ayat suci digunakan untuk mengingatkan mereka mengenai bahaya penyelewengan, mencuri harta rakyat selain  menyembunyikan fakta sebenar dalam isu ini.

Kenapa Hadi tidak menggunakan ayat-ayat suci al-Quran supaya kerajaan mendedahkan kepada umum kedudukan sebenar kewangan 1MBD dan Laporan Ketua Audit Negara yang sehingga kini diklasifikasikan di bawah OSA yang dikatakan mengandungi ‘banyak rahsia’ itu?

Apakah ayat al-Quran boleh digunakan secara terpilih dan mengikut selera seseorang dalam memperkatakan mengenai sesuatu salah laku dan penyelwengan? Apakah ia mengikut kepentingan tertentu?

Apa masalah Hadi dengan isu laporan berkenaan sehingga hilang semua ayat al-Quran di bibir dan hatinya?


Hadi jangan tidak adil dalam menyatakan pendapatnya. Rakyat adalah keutamaan. Rakyat juga tahu dan dapat  membandingkan tuduhan DoJ dengan hasil juruaudit yang setengahnya sudah didedahkan oleh pihak tertentu mengenai dana yang hilang, dana yang dihilangkan dan segala penyelewengan di dalamnya.

Ikhlaslah Hadi dalam memberikan pendapat dalam isu 1MDB ini jika mahu ia diselesaikan oleh pihak dalaman tanpa melihat hanya ancaman asing membahayakan negara.

Bagaimana dengan maklumat yang diosorok dan semakin mereputnya maklumat dari dalam?

Hadi jelas banyak berteori dalam ulasannya dan kenyataannya bahawa ada pihak cuba mendapatkan keuntungan politik sebagai  “tidak beriman dan budiman” adalah suatu hukuman rambang, tersasar dan ‘pre-emptive’.

Walaupun Hadi menggunakan landasan Islam untuk memperkukuhkan hujahnya, rakyat tahu apa tujuan dan matlamat Hadi.

Setelah banyak perkembangan berlaku, sama ada dalam konteks kepimpinan Hadi dalam PAS dan perkembangan parti itu sendiri, rakyat bukan sekadar menilai Hadi tetapi juga hujahnya untuk kepentingan siapa.

Atau Hadi membuat kenyataan ini semalam untuk ‘membersihkan persoalan’ yang dikemukakan oleh Timbalan Presidennya sendiri - Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man – kelmarin (22 Jun) dengan  mengemukakan pertanyaan apakah  satu kewajaran untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk kekal berkuasa di sebalik skandal 1MDB yang memalukan Malaysia di peta dunia?

Tuan Ibrahim menyebut, jika kerajaan boleh tubuhkan dan ikhlas terhadap Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal forex, ia juga ia harus mendedahkan laporan umum juruaudit mengenai 1MDB yang telah diklasifikasikan di bawah OSA.


Kerana itu, jika Hadi ikhlas mahu isu 1MDB ini diselesaikan, beliau juga sepatutnya turut menekan kerajaan untuk membawa pulang ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) iaitu watak utama dalam kemelut 1MDB iaitu dari sejak dana itu ditubuhkan hinggalah isu pengubahan wang haram seperti yang didedah oleh banyak negara.

Jangan hanya melihat ancaman luar semata-mata tetapi ancaman dari dalam negeri sendiri jangan Hadi sisihkan.

Orang beragama juga berperanan untuk mengingatkan pemimpin negara untuk telus dan berintegriti.

Sekali lagi pada hari yang mulia, 1 Shawal 1436 ini, penulis memohon Hadi supaya ikhlas dalam menyampaikan hujahnya dalam isu berkaitan dan kemelut 1MDB ini.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...

No comments:

Post a Comment