Sunday, February 5, 2017

BANTAHAN PH, PPBM TERHADAP PERINTAH TRUMP BENAR BELAKA...


Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PKR, DAP dan AMANAH) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Jumaat lalu dengan membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat(AS) Donald Trump, jelas sekali merupakan langkah tepat dan betul.

Terang lagi bersuluh, apa yang dilakukan oleh PH dan PPBM itu langkah yang berani serta menyertai dunia membantah perintah eksekutif Presiden AS itu.

Mereka tidak gentar untuk menyatakan yang benar terhadap pemimpin paling berkuasa di dunia!

Pembantah Malaysia  membuktikan kepada rakyat negara ini bahawa perjuangan mereka tidak memilih ‘bulu’ atau kepentingan pihak atau pemimpin tertentu.

Bantahan mereka bukan kecil jika dibandingkan dengan bantahan terhadap hanya seorang pemimpin Myanmar, Aun Sang Su Yi dalam isu Rohingya.

Kenapa dikatakan begitu?

Ia kerana semalam kerajaan Presiden AS akhirnya mengakui tindakan bantahan oleh rakyat AS dan banyak negara di dunia itu tidak suatu keputusan salah.

Malah Trump sendiri mematuhi perintah Hakim Persekutuan menghentikan larangan perjalanan walaupun Trump sebelum ini mengecam dan memecat hakim sebelum ini.


Jumaat lalu (27 Januari 2017),  Trump menandatangani perintah eksekutif melarang kemasukan warga negara dari tujuh negara - Iran, Irak, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama 90 hari.

Pembatalan ini merupakan tindakan menarik balik sebahagian kawalan ke atas dasar imigresen bagi  negara yang diawasi setelah disahkan undang-undang oleh Kongres yang didominasi anggota dari Partai Repubikan pada 2015 yang mencadangkan perubahan program penerimaan visa.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengumumkan penggantungan semua tindakan untuk melaksanakan perintah Imigresen dan pemeriksaan standard pelancong kembali seperti sebelum larangan perjalanan itu ditandatangani.

Apa ertinya ini? di AS, Hakim Persekutuan berkuasa mengatasi Presiden.

Ia menggambarkan amalan demokrasi yang telus,  penuh dengan sikap menghormati dan menjunjung perlembagaan.

Ia dilaksanakan walaupun terpaksa berdepan dengan kehendak Presiden yang dianggap paling berkuasa di dunia.

Anehnya, Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO dan ‘sekutunya’ PAS tidak menunjukkan sebarang aksi kepada tindakan Rumah Putih itu.

Tidakkah mereka melihat apa yang dilakukan oleh perintah Presiden AS itu sebagai  sesuatu yang menekan orang Islam?


Di mana perjuangan UMNO dan PAS yang mendakwa mereka berjuang melindungi umat Islam?

Apakah dua parti itu sudah berubah sikap untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal negara luar khususnya AS kerana bimbang tindak balas daripada negara berkenaan?

Kenapa PAS turut bimbang sama, kalaupun  ‘kita bolehlah faham’ dalam konteks UMNO, khususnya di kalangan pemimpin Pemudanya yang begitu pasif.

Sedarkah mereka, tindakan itu menggambarkan betapa dua parti itu – UMNO dan PAS - sebenarnya – sudah tiada atau hilang arah khusus dalam memerangi tindakan tidak adil negara asing terhadap umat Islam?

Kenapa mereka boleh duduk bersama dalam isu Rohingya yang juga diperkatakan dengan meluas oleh pembangkang, namun dalam isu perintah eksekutif  Trump ini, dua parti itu \menyepikan diri?

Seorang pegawai Jabatan Negara semalam berkata, jabatan itu sudah menarik balik pembatalan visa sementara yang dibatalkan berikutan perintah eksekutif Presiden itu minggu lalu - selagi ia tidak dicop atau ditanda 'batal'.

Menurut jabatan itu, kira-kira 60,000 visa telah dibatalkan sejak perintah itu ditandatangani.

Walaupun masih tidak jelas berapa ramai daripada kumpulan itu akan terus tidak memiliki visa kerana ia dibatalkan secara fizikal, namun langkah terbaru ini setidak-tidaknya membawa suatu harapan atau ‘ada cahaya kecil di hujung terowong’.

Keputusan Trump mematuhi keputusan Hakim Persekutuan itu jelas menunjukkan apa yang dilakukan oleh pembangkang pada 3 Februari )kelmarin) sangat relevan, apa lagi apabila PH dan PPBM bertindak menyerahkan memorandum bantahan ke atas Trump di Kedutaan AS di ibu negara. 


Bantahan itu berikutan tindakan Trump mahu menyekat rakyat tujuh buah negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman daripada memasuki negara itu.

Pemimpin utama PH dan PPBM yang diiringi ratusan orang yang berkumpul selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, berarak sejauh 600 meter ke Kedutaan AS sambil melaungkan slogan “No Ban, No Wall” dan mengangkat pelbagai sepanduk.

Memorandum itu kemudiannya diserahkan pada jam 3.15 petang kepada wakil kedutaan berkenaan.

Jika dilihat kepada bantahan, ia bukan hanya berlaku di Kuala Lumpur. Ia juga berlaku di negara lain seperti  Kanada, Itali serta Jerman, apa lagi di AS sendiri.

Pada ketika Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi menyataan kesalnya terhadap pengumuman Trump, Perdana Menteri dan Menteri Luar kita menyepi seribu bahasa.

Indonesia seperti Malaysia tidak termasuk dalam senarai itu namun Presiden Joko Widodo walaupun meminta rakyatnya bertenang, tetap mengingatkan tentang perlunya menjunjung prinsip kesetaraan.

"Prinsip konstitusi saya kira jelas bahwa yang namanya keadilan, yang namanya kesetaraan, harus terus diperjuangkan," tegasnya.

UMNO dan PAS sebaliknya bimbang tidak tentu pasal bahawa  Washington akan bertindak balas jika mengadakan bantahan.

Retno Marsudi...menyataan kesalnya
Kenapa jadi begini?

Sedangkan nyata sekali apa yang cuba dilakukan olehj Trump, iaitu  Pesiden dari sebuah negara yang mendakwa ia paling liberal dan demokratik, sangat tidak demokratik, salah dan bersifat ‘tekanan membuta tuli’.
.
Ahli Parlimen DAP dari kawasan Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyifatkan  dasar tidak demokratik yang dilaksanakan Trump itu bukan sahaja dilihat dunia sebagai diskriminasi terhadap umat Islam, malahan kemanusiaan secara keseluruhannya.

“Mengapakah Najib (Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri) sehingga kini masih tidak kata apa-apa? Adakah kerana beliau takut dengan pihak berkuasa AS yang kini sedang menyiasat skandal melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan, tindakan Trump itu bukannya untuk menentang militan Daesh sebaliknya bertindak rasis kepada umat Islam.

 "Kita tak ada masalah jika mereka kata militan dan pengganas tidak dibenarkan masuk ke sesuatu negara, tapi ini bukan soal militan dan pengganas. Ini soal hal asasi manusia. Kemungkinan selepas ini negara-negara lain pula yang akan disekat," katanya.

Amat nyata, UMNO dan PAS semakin hilang ‘roh, perasaan dan semangat’ menyokong isu dan nasib umat Islam pada ketika kemarahan masyarakat dunia terhadap langkah sekatan itu, masih meluap-luap.

Menyedihkan lagi sikap berdiam diri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai tindakan Trump itu tetap menjadi tanda tanya.

Kenapa mereka berdua tidak berkata apa-apa?

Apakah kedua-duanya mempunyai kebimbangan sendiri?

Apakah dengan menyepi diri akan membolehkan mereka mengelak daripada dijadikan sasaran atau serangani peribadi oleh pihak-pihak tertentu di AS?

Juga dengan menyepi diri apakah kedua-dua mereka yakin bahawa apa juga tuduhan ‘salah laku’ melibatkan perkara tertentu tidak akan dibuka atau disebut kesnya oleh pihak seperti media, senator atau juga Jabatan Kehakiman negara berkenaan dan negara Barat lain?

Dunia Islam memerhatikan sikap kita.

AS dan  negara Barat lain tidak akan melepaskan sesiapa jika terbukti ada yang melakukan sesuatu yang dianggap ‘mnyusahkan institusi politik dan kewangan’ di negara mereka.


Menyepikan diri untuk mengelakkan kontroversi tidak menjamin seseorang akan terkecuali daripada tindakan dan serangan-serangan bersifat peribadi akibat daripada perbuatan mereka sendiri sebelum ini.

1 comment:

  1. Biar lah mereka nak buat undang2 apa pun..itu hak mereka...apa masaalahnya?..sapa nak masuk us..ikutla.aturan mereka..

    ReplyDelete