Thursday, January 5, 2017

KENAPA ENGGAN AKUI FAKTOR DALAMAN, 1MDB PENGARUHI NILAI RINGGIT?

Robert Rennie...isu politik dalaman menjadi punca.
Penganalisis kewangan luar negara  berpendapat ‘isu politik dalaman Malaysia’ serta skandal 1MDB mengganggu nilai Ringgit sejak 2015 tetapi kenapa kita menolaknya pada hal ia penting bagi memperbaiki dan memperteguhkan nilai Ringgit?

Ada perbezaan pendapat antara penganalisis tempatan dengan antarabangsa dalam isu kejatuhan nilai Ringgit.

Pada ketika penganalisis dalaman bersikap positif penganalisis antarabangsa memberi amaran jika keadaan politik dan persepsi tidak berubah, kedudukan Ringgit dijangka didagangkan 4.52 pada akhir suku pertama dan berada pada  tahap 4.66 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
   
Biarpun wujud perbezaan, secara umumnya mereka bersetuju, untuk tempoh suku pertama 2017, Ringgit akan terus berada dalam kedudukan yang lebih lemah berbanding akhir Disember lalu.

Kedudukan pada hari kedua dagangan semalam mengesahkan pendapat itu apabila nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) terus berdepan tekanan yang  menyaksikan mata wang tempatan itu susut melepasi paras RM4.500 bagi satu Dolar pada jam 11.42 pagi.

Kedudukan paling lemah Ringgit sejak negara dilanda krisis kewangan Asia 1998 itu terus terbabas untuk 40 minit seterusnya mencecah paras RM4.5002 seDolar pada jam 12.22 tengahari, sekali gus menjadi tular dalam kalangan rakyat negara ini yang berkongsi mesej ringkas dalam media sosial.

Bagaimanapun, Ringgit kembali ke bawah paras 4.4998 dalam dagangan sekitar 1.54 tengah hari dan ditutup pada paras 4.4975 pada jam 6 petang semalam, berbanding ditutup 4.4938 kelmarin.

Kelmarin,  Ringgit dibuka pada  4.48 sementara bulan lalu Ringgit jatuh ke tahap yang paling rendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998 dan sepanjang tahun lalu, Ringgit dalam keadaan lemah berbanding Dolar Amerika iaitu kejatuhan purata 4.24 peratus.

Pada ketika penganalisis tempatan hanya menumpukan kepada sebab-sebab luaran, penganalisis luar mengatakan secara ‘totok’ mengenai isu dalaman yang terus menjadi ancaman kepada pemulihan nilai Ringgit.

Kenapa penganalisis dalaman tidak berani menyebut isu dalaman sebaliknya hanya melihat faktor luaran?

Kenapa tidak terus sahaja atau 'straight to the point' kepada punca sebenarnya?

Yang sering disebut ialah Ringgit menjejaki corak pergerakan mata wang serantau yang turut terkesan pengukuhan luar biasa Dolar AS atau ‘...unit tempatan serta mata wang lain di Asia susut apabila pulangan bon AS dan Dolar AS meningkat disebabkan faktor cadangan dasar ekonomi dan perdagangan negara itu oleh Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang baharu dipilih’.

Menurut penganalisis tempatan, kemungkinan akan ada sedikit cahaya di hujung terowong bagi nilai Ringgit melalui dasar baru Trump yang akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Presiden AS dijangkakan pada 20 Januari depan.

Selain itu harapan positif turut diletakkan kepada langkah kerajaan melalui Bank Negara untuk memulih dan memperkukuhkan semula nilai Ringgit.


Berbeza dengan penganalisis luar, mereka menyatakan satu lagi alasan, iaitu ‘isu politik dalaman Malaysia’, termasuk isu 1Malaysia Development Bank (1MDB) yang turut penting mengganggu nilai Ringgit.

Apakah dengan menyebut sebegini mereka cuba menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia, menganggu sistem politik Malaysia atau cuba menggugat kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini?

Bukankah apa yang diperkatakan itu semata-mata dalam konteks kewangan, perbankan, pertukaran asing dan kedudukan ekonomi yang sedang berlaku di Malaysia?

Kenapa kita tidak mahu menerima kelemahan untuk memperbaiki nilai Ringgit yang banyak menyusahkan rakyat akibat kenaikan harga barangan keperluan, barangan import untuk makanan dan industry dan berbagai lagi?

Persoalan juga kenapa prestasi Ringgit semakin lesu menjelang 2013 dan pada Julai 2015, ia terus menjunam melepasi peringkat kadar tambatannya pada RM3.80?

Apapun antara penganalisis dalam negara dan luar negara, mereka tetap bersetuju mengenai satu perkara - bahawa prestasi Ringgit akan terus lemah dan dijangka berterusan sehingga suku pertama 2017.



Ketua Ahli Ekonomi Jabatan Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, semalam meramalkan demikian walaupun optimis Ringgit akan mula kembali ke paras yang lebih baik berbanding Dolar AS selepas Trump memulakan tugas rasminya.

Menurutnya pasaran akan dapat menilai dasar yang akan dibentangkan Oleh Trump. "Kami masih mengekalkan unjuran Ringgit akan berada pada paras purata 4.20 berbanding Dolar AS bagi 2017," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berpendapat, dalam  tempoh terdekat, nilai Ringgit berbanding Dolar dijangka berlegar pada paras sekitar 4.45 hingga 4.5.

Beliau turut  optimis bahawa Ringgit akan menunjukkan corak aliran mengukuh setelah ketidakpastian terhadap kadar faedah di AS dan dasar ekonomi Trump akan menjadi lebih jelas apabila melangkah dalam tempoh seterusnya pada tahun ini.

Justeru, beliau berkata pihaknya mengunjurkan nilai Ringgit akan mengukuh sekitar 4.1 dan 4.2 pada separuh kedua 2017.

Kamaruddin melihat langkah yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menyediakan pasaran mata wang domestik yang lebih cekap,  akan dapat membantu menstabilkan nilai Ringgit.

Menjelang penghujung tahun minggu lalu (28 Disember 2016), dilaporkan gangguan daripada pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) sudah  mula reda. Ia seiring dengan peningkatan mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing (FX) tempatan pada hujung tahun lalu.


Dalam keada­an Dolar yang semakin kukuh dan persekitaran yang terus tidak pasti, pergerakan intra hari Ringgit berpurata pada 90 mata berbanding 228 mata pada November dan paras ter­tinggi pada 600 mata 28 Disember lalu,” demikian kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC).

Malah dilaporkan, wujud keadaan mudah tunai dalam pasaran FX tempatan yang mencatatkan jumlah purata harian kira-kira AS$9 bilion (RM43.2 bilion) bagi semua transaksi menjelang akhir tahun lalu berbanding purata AS$8 bilion (RM38.4 bilion) antara Januari hingga November 2016.

Memandangkan permintaan dan penawaran Dolar dan Ringgit dijajarkan semula, pasaran FX tempatan diramalkan akan  lebih stabil dan akan membawa kepada kos perlindungan nilai yang lebih baik. Ini akan memudahkan perniagaan mengurus risiko FX mereka.

Langkah yang dilaksanakan oleh BNM awal Disember lalu yang mengumumkan kerjasama dengan FMC diharapkan mampu memulihkan kedudukan nilai Ringgit dan membawa harapan kepada prestasi lebih baik bagi 2017.

Bagaimanapun, ramalan penganalisis luar melihat Ringgit tidak akan menokok nilainya. Sebaliknya ia dijangka akan terus lemah antara Januari ini dan Mac akan datang diakibatkan kebimbangan risiko luar dan isu-isu domestik (saya ulangi isu-isu domestik) .

Menurut penganalisis Westpac Inc, kombinasi faktor  luaran dan isu dalaman akan mempengaruhi kedudukan nilai Ringgit dalam tempoh berkenaan.

Robert Rennie, Ketua Strategi Pasaran Dunia di Westpac, memberitahu  CNBC's semalam, “pada dalaman (Malaysia), kini mempunyai isu politik”. Berikutan itu beliau menjangkakan Ringgit akan menjadi  4.55 berbanding Dolar pada akhir suku pertama 2017.

Pada peringkat antarabangsa pula Rennie menyatakan kenaikan kadar faedah di AS akan memberikan kesan kepada pasaran membangun Asia, termasuk Malaysia. “Sekiranya AS menaikkan kadar faedah, dan jika ia langkah berterusan...ke arah 3 (peratus) atau mungkin lebih tinggi, kita akan dapat melihat lebih banyak pelabur asing menarik keluar pelaburan mereka dari Asia.”

Malah Pengarah Urusan dan ketua penyelidikan ekonomi Asia HSBC  Frederic Neumann, pula berpendapat penguncupan lebihan akaun semasa di negara ini  akan menyebabkan kedudukan Ringgit dalam keadaan semakin tidak menentu tahun ini.


Laporan CNBC menyebut, dalam kedudukan di mana Malaysia bergelut dengan skandal dana 1MDB, ia  akan terus menggoncang keyakinan pelabur asing, berikutan siasatan global mengenai wujudnya perbuatan ‘mencuri dan merompak’ daripada dana berkenaan.

Mungkin langkah segera yang sewajarnya dilakukan kerajaan seperti dicadangkan oleh pakar kewangan antarabangsa ialah atasi segera kemelut  dalaman yang berlaku dalam negara, khususnya isu 1MDB yang menjadi punca kebimbangan kepada pelabur asing.

Putrajaya tidak boleh berdolak-dalih lagi mengenai perkara ini kerana dengan memperjudikan nilai Ringgit, rakyat akan marah dan bangkit menolak kerajaan ketika pilihan raya umum semakin hampir.

Selain itu seperti dianjurkan Dr Kamaruddin, di sebalik kedudukan postif hasil dasar diperkenalkan oleh BNM, adalah amat penting bagi pihak kerajaan melaksanakan dasar yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sentiasa mapan.

Melaluinya, sekali gus dapat menterjemahkan keuntungan syarikat sama ada kecil mahupun yang besar.

Menurutnya,  kerajaan mungkin boleh menimbang semula strategi konsolidasi fiskal tatkala sentimen di pihak swasta yang lemah.

Memperbaiki kedudukan dan memulihkan nilai Ringgit perlu dijadikan antara keutamaan kerajaan kerana amat nyata ia sangat membimbangkan.

Ternyata pasaran yang memulakan dagangan hari pertama 2017 kelmarin tetap dalam dagangan lemah berbanding Dolar AS .


Realitinya ialah kedudukan Dolar berbanding Ringgit meningkat 0.0055 atau  0.12 peratus kepada  4.4900 kelmarin berbanding 4.4845 pada dagangan terakhirnya pada 2016. Ringgit pernah mencecah pada kedudukan 4.71 pada Januari 1998 dan rekod terendahnya pada 2.10 pada Oktober 1978.

Dan semalam, Ringgit ditutup rendah lagi apabila minat pelabur beralih kepada Dolar susulan data sektor perkilangan AS yang kukuh. Pada jam 6 petang, unit tempatan didagangkan pada 4.4960/4990 berbanding Dolar AS daripada 4.4900/4950 sebelumnya.

Peniaga berkata, pelabur juga bimbang berhubung unjuran kenaikan kadar faedah AS tahun ini.

Malah perkembangan mutakhir dan jika keadaan politik dan persepsi tidak berubah, kedudukan Ringgit dijangka didagangkan 4.52 pada akhir suku pertama dan menurut penganalisis di Trading Economics menjangkakan ia berada pada  4.66 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
  
Sengan faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu akan terus mempengaruhi pergerakan Ringgit sekali lagi tahun ini, cadangan penganalisis luar dan punca kejatuhan Ringgit yang disebut mereka jangan dipandang sebelah mata.


Jika kerajaan berdegil, rakyat perlu mendesak kerajaan melakukan tindakan sewajarnya bagi memperbetulkan persepsi mengenai suasana politik dan ekonomi Malaysia kerana kejatuhan nilai Ringgit yang berterusan akan memburukkan lagi kesusahan rakyat kebanyakan di negara ini.

No comments:

Post a Comment