Friday, December 30, 2016

GST – BILA LAGI JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN MAHU TENTUKAN SYARAKNYA?

Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin...pertimbangan bebas
"Pertimbangan hukum yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hendaklah bebas daripada parti politik sebaliknya berasaskan kepentingan rakyat serta penemuan intensif pakar syariah dan ekonomi tempatan."
Apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, antara perkara yang dijanji ialah untuk mengkaji sama ada ia mematuhui hukum syara atau sebaliknya.

Menurut rekod kerajaan, ada sebanyak 200,000 syarikat daripada 430,000 syarikat yang mendaftar GST di seluruh negara.

Apa yang jelas kini ialah kerajaan hanya mementingkan soal duit masuk kantong mereka semata-mata apabila menekankan berapa banyak yang berjaya dan akan dikutip,  selain tindakan terhadap  mereka yang ingkar.

Janji lain seperti harga barangan akan menjadi lebih murah, rakyat akan mendapat pulangan setimpal dan hasil untuk membangunkan negara, atau kadar GST akan diilai semula tidak lagi diperkatakan dalam menilai dan mengkaji tuntutan rakyat.

Kerajaan mengatakan apa yang dilaksanakan melalui GST ketika ini akan kekal kerana ia menjadi pendapatan penting kerajaan sebagai pengganti kepada hasil gas dan petroleum akibat kejatuhan harga bahan itu di pasaran dunia.

Dengan kata lain, rakyat dan syarikat kini menjadi penyelamat kepada kerajaan untuk mendapatkan hasil sedangkan sumbangan baik daripada hasil itu kepada rakyat tidak diperincikan.

Apakah langkah ini wajar dan bertepatan dengan tuntutan agama?

Bagaimana dengan janji untuk mengkajinya kedudukan enam parameter syarak yang perlu dirujuk dalam pelaksanaan GST?

Enam perkara itu membabitkan:

1.      Komitmen kerajaan dalam melaksanakan syariat Islam;
2.      Sumber kewangan;
3.      Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
4.      Bebanan cukai dikutip secara adil;
5.      Cukai dibelanjakan untuk maslahah ummah dan bukan untuk maksiat; serta
6.      Agihan cukai perlu bertepatan dengan ijithad ulama semasa dan setempat.

Sejauh ini  ulama memberikan pendapat yang berbeza semasa perbincangan yang dibuat mengenai pelaksanaan cukai itu, sama ada haram atau harus. Bagaimanapun selepas perbincangan tersebut, ulama sebulat suara menyatakan pelaksanaan GST harus dilaksanakan tetapi dengan berpandukan enam syarak yang ditetapkan.

Harapkan ulama PAS untuk memperkatakan isu GST? Pendirian mereka semakin tidak jelas walaupun mulanya menentang tetapi malah ada mengatakan mereka menyokong pelaksanaan GST walaupun tahu keadaan ketika ini sangat terkesan kepada rakyat.

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April 2015 terus diperkatakan rakyat biasa dan akan menjadi  salah satu isu dalam pilihan raya akan datang. Yang pasti, rakyat ternyata tidak berpuas hati dengan pelaksanaan dan pengagihannya.

Banyak pendapat diluahkan, malah ada mengatakan GST zalim dan menekan rakyat. Di pihak kerajaan, ia baik untuk mereka dan pendapatan negara.

Yang pasti, berkaitan GST dan hubungannya dengan  Majlis Fatwa Kebangsaan, tempoh selama setahun diberikan dalam pelaksanaan GST  agar dikaji - apakah ia mematuhi hukum syarak yang ditetapkan - sudah matang tempohnya.

Namun sehingga kini kajian mengenai kedudukannya dari segi syarak dan apakah adil untuk masyarakat, berlalu begitu sahaja.

Di mana ciri-ciri Wasatiyyah yang menekankan kesederhanaan dalam perlaksanaan GST ini?

Tidakkah kesederhanaan ini bermaksud tidak menekan rakyat dan tidak pula membelanjakan pendapatan untuk tujuan lain tetapi dikembalikan hasilnya untuk kesejahteraan dan kebaikan rakyat?

Dengan kata lain, kalau terdesak mahu melaksanakannya biarlah kadarnya bersesuaian dan hasilnya dipulangkan kepada rakyat dengan seadil-adilnya.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 19 Oktober 2016, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kutipan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM dari Januari hingga Oktober 2016 ialah RM29.34 bilion.

Johari...kutipan GST meningkat
Ia meningkat sebanyak RM1.41 bilion berbanding sembilan bulan tahun lalu yang berjaya meraih RM27.93 bilion.

Katanya, walaupun kerajaan menetapkan kadar GST sebanyak enam peratus, namun jumlah barangan dan perkhidmatan yang efektif dikenakan cukai tersebut hanya pada kadar 3.6 peratus.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula kelmarin berkata pihaknya menyasarkan kutipan tambahan lebih RM3 bilion melalui pendekatan operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) yang lebih bersifat pematuhan pendidikan pada tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk T. Subromaniam berkata, sasaran itu berdasarkan kutipan tambahan RM1 bilion yang berjaya dikutip dalam tempoh empat bulan selepas Ops CBOS dilaksanakan.    

Menurutnya pendekatakan yang dilaksanakan sebelum ini lebih kepada bentuk penguatkuasaan yang dilihat kurang berkesan. Kerana itu strategi diubah yang lebih bersifat mesra pelanggan dan berteraskan pendidikan dalam usaha memberi tunjuk ajar kepada peniaga yang masih keliru dan kurang faham tentang GST.

Walaupun sudah dilaksanakan lebih 18 bulan, masih ramai peniaga tidak faham mengenai GSTselain ada da juga yang tidak membayar GST dengan betul, malah ada yang mengikrarkan GST lebih rendah daripada kadar ditetapkan, selain yang mengutip tetapi tidak membayar kepada JKDM.

Sejak GST dilaksanakan sebanyak 4,000 kertas siasatan dibuka dengan 400 syarikat sudah didakwa di mahkamah membabitkan kesalahan seperti tidak menghantar penyata GST, menghantar penyata tetapi tidak membayar, tidak mendaftar GST dan penipuan GST.    

Melalui usaha ini, JKDM yakin dapat mencapai sasaran kutipan GST yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM40 bilion pada tahun 2017 iaitu peningkatan RM1 bilion berbanding sasaran pada tahun ini sebanyak RM39 bilion.    

Bolehkah dipericikan di mana wang yang dikutip sejauh ini akan datang iaitu RM40 bilion dibelanjakan? Jangan hanya sebit BR1M dan pembangunan melalui duit GST.

Mufti Perak....Harussani
Ini kerana GST yang dikutip adalah melalui tabungan khusus, bukan pendapatan bercampur dan mudah untuk dijelaskan ke mana ia disalurkan.

Bolehkah kerajaan menyatakannya dengan telus?

Apakah benar ia akan digunakan untuk membayar hutang kerajaan daripada cukai yang dikenakan terhadap rakyat dan syarikat-syarikat di negara ini?

Wajahkah ia dibelanjakan bagi tujuan berkenaan? Juga benarkah ia juga digunakan untuk menampung pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didakwa?

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin, pada 20 April 2015 berkata pada ketika itu, terlalu awal untuk membuat sebarang tafsiran berhubung sistem percukaian yang mula dikuatkuasa pada awal  April tahun lalu.

Kita bersetuju memang ia terlalu awal pada ketika itu. Namun kini? Kenapa jawatankuasa itu masih membisu?.

Jawatankuasa itu sebelum ini mengatakan pihaknya memberi masa sekurang-kurangnya setahun untuk melihat sama ada pelaksanaan GST ini mengikut hukum syarak atau tidak.

Kini tempoh setahun sudah melepasi waktunya dan apakah majlis itu kini sudah bersedia menilainya?

Sewajarnya dalam menyokong kerajaan dalam berbagai polimik, alim ulama termasuk mufti-mufti, termasuk Mufti Perak,Tan Sri Hurussani Zakaria atau Mufti Pahang, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang lantang dan sering menyokong kerajaan’ turut memperkatakan isu yang dilihat ‘menekan rakyat’ ini.

Mereka yang arif mengenai agama sewajarnya melihat masalah rakyat sebagai keutamaan, selain isu-isu seperti tempat duduk berasingan dalam bas atau isu mengejar Pokemon.

Mufti Pahang...Dr Abdul Rahman
Alim ulama berperanan untuk memperkatakan isu masyarakat, bukan sahaja dalam isu ibadah, kepercayaan, soal salah laku dan sebagainya yang membabitkan fardu ain tetapi juga dalam konteks GST yang rata-ratanya dirasai sangat menyusahkan rakyat. Apalagi kini dalam kedudukan harga barangan yang semakin naik, selain kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan harga barangan keperluan meningkat dan menggugat kehidupan harian rakyat Malaysia?

Apakah ulama Malaysia hanya layak  bercakap soal fardu ain dan tidak fardu kifayah yang ada kena mengena dengan kehidupan seharian majoriti rakyat biasa berbanding mempertahankan pendapat dan pendirian orang politik dan pemimpin kerajaan semata-mata?

Yang diharapkan, seperti janji Abdul Shukor sebelum ini,  pertimbangan hukum yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ialah ia tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Malah, keputusan hendaklah dibuat selepas mengambil kira laporan intensif yang disediakan penyelidik di kalangan pakar syariah dan ekonomi dari universiti tempatan.

2 comments:

  1. Sebaik sahaja genap setahun GST dilaksanakan di Malaysia, dengan mengambilkira senario kenaikan harga barangan/perkhidmatan dan kos sara hidup yang tinggal, dan berpandukan kepada kenyataan akhbar Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Multi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Penasihat dan Pakar Kewangan Islam Malaysia (Ustaz Dr Zahiruddin), saya telah menghantar emel bertanyakan mengenai perkara yang sama seperti penulisan di Blog ini kepada ketiga-tiga orang kuat agama ini dan juga kepada semua Mufti satu (seluruh) Malaysia tetapi semuanya membisu tanpa sebarang bahasa. Emel saya itu bertajuk "Masihkah HARUS Hukumnya GST Setelah Setahun Dilaksanakan Di Malaysia?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pembetulan perkataan/ejaan: .... kos sara hidup yang tinggi,.......

      Delete