Sunday, October 30, 2016

ISU HUTANG SRC, ‘BALA BAHARU’ BUAT NAJIB, 1.6 JUTA PENJAWAT AWAM?


"KWAP yang menjaga kepentingan 1.6 juta penjawat awam mungkin boleh bernafas lega jika langkah menyelamat SRC berjaya tetapi bagaimana dengan harta rakyat yang semakin sehari semakin banyak terlepas ke pihak asing?"

Sebelum ini amaran demi amaran diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan mengenai hutang RM4.3 bilion yang dipinjamkan oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kepada SRC International.

Namun, amaran itu dianggap sebagai fitnah dan tidak berasas.

Laporan akhbar Singapura The Straits Times pada Julai lalu menyebut nilai pelaburan SRC International Sdn Bhd (SRC) menurun ketara dan sebuah firma dari China sedang dalam proses menyelamatkannya. Jika laporan ini benar, risiko SRC gagal membayar balik pinjamannya kepada KWAP pada masa depan lebih besar.

Awal bulan ini Pejabat Peguam Negara Switzerland secara terbuka menyatakan siasatan mereka mendapati sejumlah besar wang didakwa disalah guna dari syarikat SRC dan menganggap berlaku penipuan menggunakan kaedah seperti skim Ponzi (skim cepat kaya).

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP sebelum ini memaklumkan SRC belum menanggung apa-apa tunggakan kepada badan itu setakat ini namun banyak pihak menyatakan  kebimbangan mengenai jumlah baki hutang yang ditanggung sehingga 2022.

Kini apa yang berlaku?

SRC bergelut membayar faedah tahunan dan bakal menghadapi cabaran pada awal tahun depan, apabila ia perlu membuat pembayaran faedah dan pembayaran balik sebahagian daripada jumlah prinsipal.

Isu ini bukan rahsia lagi kerana ia sudah sampai ke peringkat antarabangsa, Cuma rakyat Malaysia, khususnya penjawat awam sahaja yang tidak mengambil peduli mengenainya.

Kena ingat bahawa KWAP ialah dana pencen negara untuk 1.6 juta penjawat awam.

Siapa penjawat awam? Kebanyakan mereka adalah orang Melayu dan dikatakan menjadi penyokong kerajaan.

Kenapa mereka berdiam diri mengenai perkara ini? Siapa berani bersuara?

Kenapa? Hilang pangkat, hilang kerja atau mungkin tidak rasa pencen di hari tua.

Tetapi tahukah mereka apa akan berlaku kepada simpanan pencen mereka jika hutang sebanyak RM4.3 bilion itu gagal dibayar balik oleg SRC kelak?

Kini ternyata krisis hutang baru SRC ini menghantui bekas anak syarikat 1MDB, SRC International yang meminjam RM4 bilion daripada dana pencen penjawat awam.

Isu hutang SRC ini boleh menimbulkan masalah baru buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
  
SRC yang ditubuhkan pada  2012 adalah anak syarikat 1MDB yang menjadi milik penuh Kementerian Kewangan bertujuan membuat pelaburan strategik sumber tenaga di luar negara, termasuk lombong arang batu dan telaga minyak.

Ia mendapat suntikan daripada KWAP sebanyak AS$1bilion dan nasibnya seperti 1MDB, nilainya terus menjunam.

Straits Times Singapura melaporkan, SRC membayar RM164 juta faedah tahunan kepada KWAP, bagaimanapun ia perlu membayar RM660 juta pada tahun depan dan RM964 juta pada 2018, ketika ia mengurangkan jumlah prinsipal.

“Ini perlu diselesaikan dan satu daripada pilihan yang sedang dipertimbangkan adalah penjualan aset dan liabiliti syarikat kepada pihak baru,” kata seorang eksekutif kewangan yang terbabit dalam penstrukturan semula korporat di 1MDB.

Akhbar itu memetik laporan tahunan SRC 2014 yang syarikat itu mempunyai RM305.6 juta pelaburan di Malaysia dan RM3.8 bilion di luar negara. Bagaimana pelaburan mereka tidak membawa keuntungan.

SRC dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM164.5 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014 akibat kos operasi yang tinggi dan faedah dn yuran ke atas pinjamannya.

Akaun untuk 2015 dan  2016 masih belum dilaporkan.

Isu yang juga gawat membabitkan SRC yang kini diambil alih Kementerian Kewangan selain soal pinjaman dan hutangnnya ialah deposit RM42 juta ke akaun peribadi Najib, pada 2013.

Pejabat Peguam Negara Switzerland  baru-baru ini berkata ia sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan AS$800 juta membabitkan firma milik negara, SRC International, yang adalah bekas anak syarikat 1MDB.

Menurut carta aliran yang didedahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang akhbarnya pada Januari, firma milik UBG menyalurkan dana dari SRC le dalam akaun Ambank kepunyaan Najib.

Apandi menjelaskan, Najib tidak tahu bahawa wang dari SRC International disalurkan ke dalam akaunnya dan menyangkakan wang itu adalah sebahagian daripada AS$681 juta - yang Najib berkata adalah sumbangan dari ahli keluarga diraja Saudi.

Amaran demi amaran diberikan dan berbagai liku peristiwa berlaku dalam syarikat ini dan akhirnya inilah antara peristiwanya:



1.    Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Oktober 2016, mempersoalkan kemasukan RM42 juta dari SRC International (milik Kementerian Kewangan diperbadankan) ke dalam akaun peribadi Najib, ia masih berada sebagai perdana menteri Malaysia; (siasatan pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat jelas mendapati RM42 juta daripada dana SRC masuk ke akaun Najib);

2.  Ahli Parlimen Tambun Ahmad Husni ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan 2017 di Parlimen Isnin lalu (24 Oktober 2016) mempertikaikan alasan sebalik keputusan KWAP  untuk meminjamkan RM4 bilion secara sekaligus kepada SRC.  Lazimnya pinjaman diberi secara berperingkat, katanya.

3.     Bekas senator Datuk Ezam Mohd Nor pada 27 Oktober 2016 bukan setakat menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berhubung bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC). tetapi turut membuat laporan kepada SPRM di pejabat agensi antirasuah itu di Shah Alam Selangor. "Mengambil kira tatacara pemberian wang RM4 bilion kepada SRC yang dibuat secara luar biasa, SPRM juga perlu menyiasat segera semua anggota lembaga KWAP dan badan pengurusannya," kata Ezam dalam kenyataan kepada media.

4.     Laman sesawang Sarawak Report melaporkan bahawa wang tunai berjumlah RM3.4 juta disalurkan ke dalam dua akaun Ambank yang dimiliki oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Februari dan Mac, 2015. Memetik kebocoran maklumat siasatan, ia mendakwa rekod bank menunjukkan bekas pengarah urusan SRC Nik Faisal Ariff Kamil menguruskan beberapa akaun bank kononnya milik Najib. Perdana menteri tidak memberikan maklum balas kepada permintaan mendapatkan komennya terhadap dakwaan itu.

Kini dalam kedudukan di mana SRC kini mulai rasa tertekan dengan nilai syarikatnya yang semakin susut, Straits Times Singapura melaporkan, perunding kerajaan Malaysia sedang membincangkan pengambilalihan aset SRC oleh sebuah syarikat China.

Ia  bagi mendapatkan modal baharu untuk membiayai pinjaman 10 tahun KWAP itu. Yang diwar-warkan ialah SRC mungkin menjual asetnya kepada sebuah syarikat China untuk mendapatkan modal baru.

Perdana Menteri akan melakukan lawatannya ke China mulai esok sehingga 6 November ini dan salah satu cadangan mungkin syarikat China akan mengambil alih aset SRC yang disifatkan sebagai ‘unit pelaburan’.


Firma China dikatakan bersedia untuk menyelamatkan (bail out) 1MDB dan SRC sebagai sebahagian rancangannya mendapatkan hak bagi membina kereta api berkelajuan tinggi ( high-speed rail - HSR) yang akan menyambung Kuala Lumpur dan  Singapura. Dijangka kos untuk HSR sehingga AS$13 bilion .

Kos sebenar belum dikeluarkan tetapi Perdana Menteri pernah menyebut pada Mei, perjanjian mungkin ditandatangani di Singpura mungkin bukan ini atau November.

Ini bukan kali pertama firma China berusaha menyelamatkan syarikat Malaysia kerana sebelum ini Edra Global Energy milik 1MDB pernah dijual kepada  China General Nuclear Power Corp untuk RM17 billion November lalu.

Beberapa minggu kemudian China Railway Engineering Corp membeli saham dalam pembangunan yang untuk sejumlah RM12.4 bilion.

Jika langkah menyelamatkan SRC ini berlaku bermakna akan ada tiga pelaburan besar firma China di Malaysia gara-gara kerenah 1MDB dan SRC.

Kita berharap soal hutang KWAP ini dapat diselesaikan melalui langkah menyelamat walaupun bimbang dan tidak dapat diramalkan mengenai nasib SRC.

KWAP yang menjaga kepentingan 1.6 juta penjawat awam mungkin boleh bernafas lega jika tiada langkah menyalamat SRC berjaya dan masalah dengan hutangnnya selesai tetapi bagaimana dengan harta rakyat yang semakin sehari semakin banyak terlepas ke pihak asing – bukan kepada Cina tetapi China!

No comments:

Post a Comment