"...yang membezakan AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar ialah ketika PAS masih khayal dengan RUU 355, AMANAH mengambil tanggungjawab menjadi pembangkang yang baik dengan memperkatakan isu rakyat setempat yang akhirnya menyebabkan BN tergesa-gesa membuat janji bagi meredakan rintihan rakyat di Manong."
Bercakap mengenai jambatan menyeberangi Sungai Perak di
Manong, Kuala Kangsar, saya teringat ketika menjalankan tugasan Berita Harian
di Bukit Chawi, Kampung Gajah pada 1983.
Ketika itu kalau mahu ke Seberang Perak jika melalui
Teluk Intan - Kampung Gajah, terpaksa melalui Bota Kiri dan Bota Kanan – kerana belum ada jambatan di Kampung Gajah.
Betapa beruntungnya rakyat di Parlimen Pasir Salak
apabila mendapat jambatan berkenaan.
Kini rakyat di Manong pula diumumkan akan mendapat kemudahan jambatan
kerana jika menggunakan laluan darat untuk ke Pekan Manong dari Kuala Kangsar,
perjalanannya adalah sejauh 45 kilometer.
Namun, bagi
penduduk Kuala Kangsar, khususnya di Manong, kalau berterima kasih kepada
Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) kerana mendapat jambatan berkenaan,
jangan hanya setakat mereka sahaja.
Mereka juga sewajarnya berterima kasih kepada Parti
Amanah Negara (AMANAH).
Kalau tidak kerana ada suara parti baru itu yang bertanya
‘Mana Jambatan Manong Yang Sudah 5 Kali Pecah Tanah?’ mungkin ia tidak akan diumumkan dengan begitu segera oleh
Perdana Menteri.
Jika tanggapan saya tidak benar dan memang sudah
dirancang awal sebelum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, mana-mana pihak
boleh memperbetulkan kenyataan saya ini. Terima Kasih.
Saya tidak mengatakan tiada perancangan tetapi kebetulan
dengan adanya PRK ini, rakyat di kawasan itu tiba-tiba sahaja mendapat salah
satu nikmat besar daripada kerajaan.
Juga yang membezakan AMANAH dan PAS di PRK Kuala Kangsar ialah ketika PAS masih khayal dengan RUU 355, AMANAH mengambil tanggungjawab menjadi pembangkang yang baik dengan memperkatakan isu rakyat setempat yang akhirnya menyebabkan BN tergesa-gesa membuat janji bagi meredakan rintihan rakyat di Manong.
Mengejutkan juga kerana pengumuman itu dibuat sehari
selepas keluar pertanyaan seperti dilaporkan oleh Malaysia Dateline pada 9 Jun lalu itu. Reaksi spontan BN tiba-tiba
muncul.
Alhamdulilah, yang baik kita terima dengan tangan
terbuka.
Pada 9 Jun lalu, parti AMANAH menuntut kerajaan BN menunaikan janji mereka untuk membina
Jambatan Seberang Manong yang telah lama dinantikan penduduk di kawasan
tersebut.
Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, kerajaan BN
perlu menyatakan tarikh yang tepat bila jambatan tersebut akan siap dibina dan
tidak memberikan harapan palsu kepada rakyat.
Asmuni Awi menegaskan : "Kami menuntut dalam pilihan
raya kecil ini pihak kerajaan menunaikan janji yang sudah dibuat sejak tiga
pilihan raya yang lalu. Kami mencabar pihak kerajaan BN tolong tetapkan tarikh
bila akan dibina dan akan disiapkan jambatan Seberang Manong itu.
"Sudah lima kali pecah tanah sampai dah tak ada
tanah nak dipecahkan," kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah
Kuala Kangsar.
Menurutnya, lebih 10,000 penduduk Manong masih menunggu
jambatan itu dibina untuk menyeberangi Sungai Perak.
Sehingga kini, mereka masih menggunakan bot penambang
untuk menyeberangi Sungai Perak walaupun menteri kanan pernah menjadi wakil
rakyat di parlimen tersebut.
Tidak apalah soal berapa kali pecah tanah – jikapun tidak
benar - tetapi pengumuman itu pasti melegakan penduduk di mana sebelum ini
dikatakan menggunakan bot penambang yang beroperasi setiap hari dari pukul 6
pagi hingga 6 petang,
Kadar bayaran dikenakan pergi balik ialah seringgit seorang
dan RM2 sekiranya membawa motosikal.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Kadir pada 10
Jun (semalam) menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan BN beberapa kali
mengecewakan pengundi Manong di Kuala Kangsar berikutan cadangan pembinaan
Jambatan Manong.
Sebaliknya, tegas pengerusi BN Perak itu beliau telah
menyemaknya beberapa kali namun ternyata tiada sebarang upacara pecah tanah
bagi tujuan tersebut.
"Cerita permohonan Jambatan Manong ini (memang ) ada permohonan dan betul. Tapi cerita pecah tanah ini dah beberapa kali saya semak
dengan ADUN Manong. Tak tahulah kalau-kalau orang yang lebih lama dari kami
boleh ingat.
“Yang saya tahu pecah tanah tak ada,” katanya pada majlis
berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong Kuala
Kangsar Perak.
Pada majlis sama, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak
mengumumkan peruntukan RM43.5 juta untuk membina jambatan tersebut yang akan
menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.
“Jambatan Manong ini dah lama menjadi bualan tapi belum
ada lagi majlis pecah tanah atau letak batu asas jadi saya nak umumkan mengikut
standard JKR (Jabatan Kerja Raya).
"Saya dengan ini meluluskan pembinaan Jambatan
Manong dengan peruntukan RM43.5 juta,” kata Najib dalam majlis berbuka puasa
bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong, Kuala Kangsar.
Perdana Menteri turut berkata kelulusan projek tersebut
merupakan hadiah kerajaan kepada penduduk Manong sempena bulan Ramadan.
Pembinaan jambatan itu akan disertakan dengan pembinaan
jalan sepanjang tiga kilometer di sekitar kawasan tersebut.
Menurut laporan Bernama, pembinaan jambatan itu bakal
memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk daripada 100 keluarga yang
terdiri daripada kalangan pekebun getah dan kelapa sawit untuk berurusan
di Pekan Manong atau untuk ke bandar Kuala Kangsar.
Kini rakyat sedang menunggu janji.
Seperti dikatakan oleh Asmuni semalam bahawa apaa yang beliau
nak nyatakan ialah penegasan yang diminta, bukan mengenai peruntukan dan bila
nak buat dan bila boleh siap.
“Jadi ini satu lagi politik. Masih tidak dijawab bila
jambatan itu nak dibuat. Sebab ini isu lama. Bila jambatan itu nak dibuat. Bila
peruntukan itu diluluskan dan datang daripada Rancangan Malaysia yang mana?
“Dan ini saya nyatakan ia satu cara BN untuk meredakan
suasana di Manong di mana rakyat sedar mereka sentiasa ditaburi janji manis
tetapi di peringkat akhir pelaksanaan tidak dilakukan,” katanya.
Asmuni turut menyelar kerajaan BN yang menafikan wujudnya
majlis pecah tanah sebanyak lima kali di kawasan pembinaan jambatan itu.
Perkara itu memang sudah berlaku dan telah dilaksanakan
ahli Parlimen terdahulu iaitu Tan Sri Rafidah Aziz.
“Yang bercakap tidak tahu dan perdana menteri tak tahu.
Saya nak beritahu yang buat pecah tanah ini calon yang terdahulu. Yang sudah
tidak jadi lagi ahli Parlimen di sini. Jadi Najib tidak tahu mengenai ini. Jadi
calon ataupun petugas dan pegawai BN tidak tahu perkara ini. Tetapi kita
tegaskan bahawa, seperti jambatan ini, setiap kali pilihan raya, setiap kali
itu hanya dibina selepas lima penggal.” tegas Asmuni.
No comments:
Post a Comment