Tuesday, June 28, 2016

HUSNI, WAHID BUKAN ‘MENTERI KAYU MATI’, SUDAH ENGGAN BERKOMPROMI?

 

“Keputusan mereka adalah ‘keputusan besar’ yang jarang berlaku. Ramai yang memasang angan-angan menjadi menteri, malah ada yang sanggup merajuk dan mengugut....ada ‘kayu buruk dan mati ’ dalam Kabinet tetapi enggan berhenti. Tunggu sampai mati atau dunia kiamat."

Datuk Mahfuz Omar, janganlah terlalu teruja dengan keengganan dua bekas menteri tidak mahu dilantik semula ke Kabinet.

Memanglah perletakan jawatan mereka  menimbul dan meninggalkan seribu satu persoalan. Namun apakah benar ia protes senyap dan undi tidak percaya terhadap Najib?

Apa pasal tidak sabar-sabar desak Husni dan Wahid  bercakap pasal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Kalau mereka tidak cakap pun ramai, sudah tahu kedudukannya. Malah mereka sebenarnya sudah mendedahkan perkara sebenar sebelum ini.

Biarlah mereka berdua bertenang dahulu,  walaupun ada beribu persoalan.

Mereka sudah banyak kali cakap mengenai perkara 1MDB tetapi ramai daripada kita tdak ambil peduli. Apakah kerana ketika itu mereka dalam kerajaan?

Itulah antara kesilapan kita.


Soalan andaian Mahfuz, “Kenapa mereka meletakan jawatan di waktu negara sedang dilanda krisis ekonomi dan kewangan yang meruncing? Persoalan 1MDB yang makin rumit dan membebankan negara dan rakyat. Kenapa mereka berdua melarikan diri dari skandal besar negara 1MDB?” tidak payah dijadikan tekanan untuk mereka.

Dalam pengumuman rombakan kabinet di Putrajaya, petang semalam, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meminta untuk berundur atas sebab peribadi sementara Tan Sri Abdul Wahid Omar menamatkan tugasnya dalam kerajaan pada 4 Jun yang lalu tetapi dikekalkan sebagai Ahli Majlis Ekonomi.

Tidakkah dapat  dibaca sedikit sebanyak isi hati mereka kenapa meminta tidak dilantik semula? Wahid mahu kembali ke swasta dan Husni mahu “berehat”?

Kemungkinan ketika menyertai Kabinet Najib pada mulai 5 Jun 2013, Wahid tidak menjangka akan ada isu yang mengharu-biru kerajaan. Begitu juga mungkin kepada Husni yang bersetuju menyambung khidmatnya mulai tarikh itu. Husni mula memegang jawatan menteri pada 10 April 2009.

Keputusan mereka adalah ‘keputusan besar’ yang jarang dilakukan. Ramai yang memasang angan-angan menjadi menteri, malah ada yang sanggup merajuk dan mengugut.

Malah, walaupun tahu diri ‘kayu buruk dan mati ’ dalam Kabinet, ramai yang masih enggan berhenti. Tunggu sampai mati atau dunia kiamat.

Dalam konteks Wahid dan Husni ini keputusan mereka rela berhenti bukan calang-calang keputusan. Ia  bukan berhenti di kedudukan kontrak kerja gred 48 atau 54. Menteri oooo!

Tapi kini?

Diakui, kedudukan Husni dan Wahid  dalam Kabinet mempunyai banyak pengetahuan yang tersembunyi berkaitan perkara penting yang membabitkan kerajaan dan Perdana Menteri. Namun, apakah kerana tidak lagi menteri, maka semua perkara mahu didedahkan, termasuk rahsia kerajaan dan negara?

Guna otaklah Mahfuz, jangan berkelakuan ‘Mr Bean’ sepanjang masa!

Wahid pernah  mengakui model dan dana pelaburan strategik negara milik Kementerian Kewangan 1MDB tidak mapan dari awal-awal lagi. Ini kerana model yang mereka ambil adalah modal rendah dan pinjaman yang besar.

“Saya fikir kerana mereka tahu, ia bukan satu model mampan. Dengan itu datang kesedaran hutang, di mana ahli lembaga kini telah memulakan pelan rasionalisasi," beliau dilaporkan memberitahu penyiar Amerika CNBC pada 4 April 2016 lalu.

Berikutan itu ia sangat membebankan kerana kegagalannya menjana tunai berbanding hutang besar syarikat tersebut.

1MDB membuat pinjaman bank dan pasaran modal dalam membeli aset tetapi gagal menjana aliran tunai yang menyebabkan ia tidak mampan.


"Selama ini mereka berkembang dengan membuat pinjaman daripada bank atau pasaran modal, mereka membeli banyak aset termasuk IPP (syarikat jana kuasa bebas) sehingga meningkat hutang RM4.2 bilion setakat Mac 2014.

 "Jadi anda boleh bayangkan bebanan hutang yang tinggi, ia sebenarnya sangat tinggi dan ini sukar," katanya pada forum anjuran Akademi Kapten Hussein di Petaling Jaya, Selangor.

Wahid yang bercakap sebagai seorang yang berpengalaman dalam pengurusan kewangan berkata selagi aset yang dibeli itu tidak dapat menghasilkan aliran tunai, maka selagi itu 1MDB tidak akan mampan.

Bukankah benar kata Wahid itu? Ini bukankah satu  pendedahan? Ia bukan dibuat oleh Tok Gawa (Penggawa), Tok Siak atau Pengerusi JKKK. Ini menteri yang pernah mentadbir sebuah bank terbesar yang cakap.

1MDB, dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan, mencatatkan kerugian selepas cukai RM665.4 juta daripada hasil RM4.26 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014. Kerugian mungkin lebih parah kalau bukan kerana keuntungan menerusi penilaian aset hartanah berjumlah RM896.8 juta.

Wahid dan Husni tu orang cerdik. Yang tidak boleh disimpan maklumat  seperti hutang 1MDB itu  terpaksa didedahkan kerana ia kenyataan. Mereka  tahu menyusun langkah dan dia tahu bila mahu bertindak.

Husni ialah seseorang yang ‘straight forward’ dan selama ini berusaha untuk menjalankan tugas dengan baik.

Husni yang menjadi Menteri Kewangan Kedua sejak selepas pilihan raya 2008 dihormati kerana kurang bercakap.

Usahanya untuk membela kerajaan melalui isu Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan 1MDB kalaupun tidak berkesan, sekurang-kurangnya beliau berani menyatakan sesuatu bagi pihak kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak, khususnya.

Juga sudah pasti beliau mendapat info daripada 1MDB sendiri untuk membuat kenyataan. Cumanya info yang diberikan itu tepat atau ‘kelentong’, kita sendiri dapat menagaknya.

Contohnya dalam isu aset 1MDB  yang ada di Singapura dalam bentuk ‘unit itu ‘’itu,  pastinya turut mendapat persetujuan Perdana Menteri sebagai penasihat Lembaga Pengarauh 1MDB.

Apakah Husni berani mengeluarkan kenyataan begitu sahaja?

Pada 24 Mei 2015 bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Najib "berbohong" berhubung isu dana firma pelaburan 1MDB bernilai US$1.103 bilion (RM3.97 bilion), dengan menyatakan mungkin ada salah laku jenayah.

Melalui blognya Dr Mahathir merujuk jawapan Parlimen Perdana Menteri pada 10 Mac di mana Najib berkata jumlah wang itu ditebus sepenuhnya dalam bentuk tunai dan kini disimpan di BSI Bank Limited Singapore.



(Najib berkata bank itu merupakan penjaga bagi pihak 1MDB untuk aset tersebut. Hakikatnya kini BSI Singapura kini sudah ditutup selepas Pihak Berkuasa Kewangan Singapura  kerana disyaki ‘melakukan pengubahan wang haram’ dalam isu 1MDB.)
  
Bagaimanapun, Najib yang juga menteri kewangan kemudian menukar jawapannya berhubung perkara ini menyatakan tiada tunai dalam bank tersebut tetapi hanya "aset dalam Dollar Amerika".

Kata Dr Mahathir, hal ini lebih menghairankan lagi apabila Menteri Kewangan Kedua,  Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika itu menjelaskan aset sebenarnya dalam bentuk "unit" tetapi enggan menjelaskan apa yang dimaksudkannya.

Husni  mengatakan Putrajaya tersalah tafsir tentang baki pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion. Menurutnya, aset yang dibawa pulang dari Pulau Cayman dan disimpan di sebuah bank itu adalah dalam bentuk unit, bukan wang seperti yang dilapor sebelum ini.

"Saya rasa ini satu kesilapan, kesilapan dalam erti kata tafsiran apabila mereka (1MDB) mengatakan sudah menebus dan menyimpannya di sebuah bank di Singapura. Ia sebenarnya simpanan, ia dalam bentuk unit, ia disokong oleh dana kekayaan berdaulat. Jadi, kami harap untuk membawanya pulang secepat mungkin," kata Ahmad Husni.

Sebelum itu 1MDB telah menjelaskan bahawa baki pelaburan yang telah ditebus oleh 1MDB adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang Amerika  di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk mengimbangi liabiliti syarikat.

Selain itu, katanya jawapan tersebut merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum bertarikh 10 Mac 2015, bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam dalam bentuk wang tunai.

Sebelum ini, Najib telah memberitahu bahawa baki dana pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority tersebut telah ditebus dalam bentuk wang tunai.

Menurutnya, dana tersebut masih disimpan dalam mata wang Dolar Amerika di BSI yang bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang.


Berikutan itu, Dr Mahathir mendakwa perkara yang amat serius sedang berlaku. “Wang syarikat milik Kerajaan yang dihutang dengan jaminan Kerajaan sebanyak RM7 bilion (tujuh ribu juta) sudah tidak dapat dikesan di mana ia berada dan percubaan dibuat untuk membohongi Parlimen dan Negara berkenaan dengannya,” katanya.

Pada 15 Jun 2015 Husni turut mengakui bahawa 1MDB bayar bunga berjumlah RM2.7 bilion setahun kepada bank untuk melunaskan hutang berjumlah RM42 bilion yang terkumpul sejak enam tahun sebelumnya.

“Jika jumlah hutang tersebut adalah RM42 bilion, jumlah bunga adalah RM2.4 bilion hingga RM2.7 bilion setahun,” katanya.

Sebagai orang kedua di bawah Najib di Perbendaharaan, Husni akan menurut kata-kata bosnya. Husni tidak akan memandai-mandai. Setidak-tidaknya perlu menjadi  menjadi ‘burung kakak tua’.

Mahfuz dan semua rakyat perlu tunggu sedikit ketikanya untuk Husni bertenang. Jangan ganggu dan paksa dia.

Dia sudah melepaskan semua jawatan parti. Juga jangan desaknya letak jawatan sebagai Ahli Parlimen. Itu hak rakyat di Tambun menentukannya.

Husni tidak keluar UMNO. Jadi jangan memandai-mandai desak beliau lepaskan jawatan Ahli Parlimen.

Sedangkan berapa ramai lagi yang keluar parti atau dipecat, tidakpun bertindak meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Mengenalinya sejak bekerja di Parlimen mulai akhir 1990-an sehingga awal tahun 2006, Husni bukan jenis cakap merapu.

Ciri-cirinya hampir sama dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed. Pendiam tetapi berisi.

Memang mengejutkan apabila beliau membuat kejutan tidak mahu dilantik semula dalam Kabinet. Perdana Menteri mengatakan dia berbuat demikian ‘dengan kerelaan hatinya’.

Kedua-dua Wahid dan Husni bukan ‘kayu mati’ dalam Kabinet. Jadi apabila menteri jenis seperti ini tidak mahu dilantik semula, pasti ada yang tidak kena. Enggan berkompromi dengan Najib dalam isu-isu kronik seperti 1MDB?


Seribu persoalan tetap wujud. Namun apakah Wahid dan Husni sanggup menghuraikan persoalan yang menjadi sebahagian daripada rahsia dalam dirinya yang juga rahsia kerajaan?

1 comment:

  1. Adooi..kalau di layan si Mahfuz yg gundagulana dan jiwa kacau..sbb tak tau mana nak bergayut..Pas tau mau..Pan rasa terhina intelectual..Dap..susah berkomunikasi.. tau cakap inggeris..IPP ..lagi takut dia lebih hindu dari orang Hindu..susah susah..Harap amalan dia menyentil diri kat prgram mahathir...nanti diajak jadi pengasas parti baru..atau naib presiden jadilah... Kepada readers... dia ni dah kira scrap ... hampeh daa... otak sewel... cakap pun merapu..Semua Presiden Parti di Malaysia..dah tau... sbb tu no offer..

    ReplyDelete