Wednesday, November 25, 2015

PERUBAHAN TRADISI DALAM UMNO KERANA MUHYIDDIN ATAU APA?


 "Pada masa hadapan, jika ada pertandingan atau ada yang mencabar Timbalan Presiden, jangan pula tiba-tiba perubahan tradisi ini diubah semula bagi membolehkan dia berucap di hadapan mesyuarat tiga sayap UMNO berkenaan."

Amalan Timbalan Presiden UMNO merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO - Wanita, Pemuda dan Puteri – tidak akan berlaku lagi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan hadapan.

Dengan kata lain, PAU ke 69 akan menyaksikan tradisi dihapuskan apabila mesyuarat itu tidak akan dirasmikan timbalan presiden parti.

Apakah perubahan seperti ini tetap dilakukan sekiranya bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO?

Apakah keputusan dibuat semalam (24 November 2015) dalam keadaan dan sebab-sebab tertentu  untuk mengelakkan pemimpin yang dilihat ‘tidak sebulu dengan Presiden parti’ tidak berucap di hadapan tiga sayap parti?


Ada pemimpin veteran UMNO mengatakan perubahan ini dilakukan oleh presiden parti mengikut kehendak ramai.

Katanya, keputusan yang ditetapkan semalam sebenarnya membuka peluang kepada ketua perwakilan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda kerana golongan muda ini yang akan memimpin parti pada kemudian hari.

"Dengan ini (perubahan), pengikut setiap sayap akan dapat melihat kemampuan ketua mereka dalam membawa agenda-agenda parti kerana kini UMNO itu dipimpin oleh pucuk kepimpinan yang berpandangan jauh," kata pemimpin berkenaan.

Apakah sebelum ini pada setiap mesyuarat tiga sayap itu ketrampilan Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri tidak terserlah keupayaan dan kebolehan mereka?

Persoalan asas ialah apakah tidak ada sekelumit niat atau sebab pun dalam membuat perubahan ini disebabkan  gara-gara pertentangan pendirian Timbalan Presiden dengan Presiden serta  ahli MT UMNO yang lain dalam satu-satunya  sebab -  isu 1MDB?

Jika perubahan ini  sesuatu yang dianggap perlu, baharu dan tidak ada kena mengena dengan sebab-sebab ‘onar Timbalan Presiden’, tidak apalah atau ‘wajar’ dilakukan.

Mungkin ia cadangan daripada kajian mendalam yang sudah lama dibuat di atas sebab-sebab pembaharuan yang perlu diperkenalkan.

Namun jika kerana mahu menjamin Timbalan Presiden tidak berucap kepada pemuda, wanita dan puteri, keputusan itu tetap boleh dipersoal keikhlasannya.

Beberapa pemimpin veteran UMNO mengatakan ia bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan sehingga boleh menjejaskan parti.

Lagipun  perubahan sesuatu amalan dalam parti boleh berlaku sekiranya telah mendapat persetujuan termasuk daripada MT UMNO.

Ini bermakna, apa sahaja amalan yang dipraktikkan selama ini tetapi kemudiannya mendapat persetujuan untuk merombak amalan itu, perkara itu bukan satu yang di luar kelaziman.

Keputusan baharu yang dibuat itu boleh mengatasi apa-apa sahaja ketetapan atau amalan selagi mana perkara itu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

Selain itu, soal perasmian berkenaan dianggap perkara kecil dan individu (yang merasmikan mesyuarat itu – selama ini Timbalan Presiden UMNO tidak penting... kerana individu akan datang dan pergi.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam  memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing.

Perdana Menteri Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.

Ini bermakna ia adalah keputusan sebulat suara oleh anggota MT dan pendokong UMNO di bawah tidak boleh mempersoalkan keputusan itu, apa lagi apabila veteran UMNO sendiri mengatakan ia bukan perkara besar.

Beberapa veteran UMNO berpendapat polemik berterusan yang ditimbulkan sebelum ini hanya akan melemahkan parti terbesar orang Melayu itu terutama di peringkat akar umbi.

Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berpendapat, apa yang lebih utama adalah pucuk pimpinan di semua peringkat akar umbi perlu melaksanakan tanggungjawab sepenuh hati dan lebih serius dalam memperjuangkan matlamat parti.

Rafidah berkata yang menjadi keutamaan sekarang adalah perjuangan anggota UMNO untuk kepentingan parti, bukan untuk individu tertentu.

Beliau menegaskan, UMNO perlu diperkukuhkan sekiranya mahu terus relevan dan meneraju negara.

Sementara itu, bekas Anggota MT Tan Sri Syed Hamid Albar pula berkata keputusan itu bukan sesuatu yang bercanggah dengan perlembagaan parti meskipun hakikatnya ia menjadi amalan parti itu sebelum ini.

"Mungkin isu ini akan menjadi persoalan dan teka-teki dalam kalangan para pemerhati politik, tapi saya nampak persoalan itu pun telah dijawab oleh Presiden UMNO," katanya.

Sementara itu, Datuk Abu Bakar Lajim berkata mana-mana individu tidak harus beremosi dengan keputusan yang diambil oleh MT UMNO itu.

Emosi atau tidak emosi seseorang pemimpin bukan dapat dilihat ketika PAU kerana di dalam dewan di PWTC memang setiap tahun ‘berdegar-degar’, namun selepas itu apabila tiba pilihan raya, ramai yang tersungkur bak  pepatah, “Ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”.

Hakikatnya, sekat menyekat bukan amalan yang baik untuk UMNO.

Ini kerana akan ada mereka yang bersimpati dan juga akan ada semakin ramai yang akan ‘membenci’ dengan tindakan-tindakan yang dilihat ‘kebudak-budakan’ hanya kerana bimbang tidak tentu pasal kepada pengaruh seseorang.

Pemimpin yang kuat tidak bimbang kepada saingan atau ancaman yang mendatang.

Sebaliknya,  hanya yang pengecut sahaja melihat empat penjurunya sedang dikepung sedangkan  realitinya mereka takut kepada bayang-bayang sendiri.

Kita berharap perubahan yang dilakukan semalam tidak akan diubah kembali apabila pada masa hadapan selepas Timbalan Presiden baru dipilih.

Juga, pada masa hadapan, jika ada pertandingan atau ada yang mencabar Timbalan Presiden, jangan pula tiba-tiba perubahan tradisi ini diubah semula bagi dibolehkan dia berucap di hadapan mesyuarat  tiga sayap UMNO berkenaan.

Semua dalam UMNO maklum betapa pentingnya ucapan seperti ini pada sesuatu pemilihan UMNO yang dilihat sebagai 'kempen terakhir'.

Juga kepada Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri, serlahkan kemampuan anda bukan sahaja pada perasmian mesyuarat ketiga-tiga sayap tetapi menjadi pendokong agenda UMNO bagi menjamin terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

No comments:

Post a Comment