Monday, October 19, 2015

SIDANG PARLIMEN - NAJIB & KERAJAAN BAKAL TERIMA TEKANAN PALING HEBAT?


Persidangan Dewan Rakyat mesyuarat ke-3 bagi penggal ke-3 yang bermula hari ini akan berjalan selama 25 hari .

Ia dijangka hangat dengan isu-isu semasa lebih-lebih lagi pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini.

Parlimen bersidang dalam keadaan yang mencabar, termasuk pengumuman mengenai satu kaji selidik menunjukkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak tidak lagi mendapat sokongan rakyat - untuk kali pertama berlaku - lapor akhbar Straits Times (ST) Singapura kelmarin.
  
Memetik keputusan kaji selidik Merdeka Center, akhbar itu melaporkan hanya 31 peratus pengundi Melayu berpuas hati terhadap kerajaan semasa.

Keputusan itu menunjukkan sokongan pengundi Melayu berkurangan di bawah 50 peratus untuk kali pertama sejak agensi berkenaan merekodkan data mengenainya pada Februari 2012.

Kemerosotan sokongan itu dilihat begitu drastik kerana pada Januari lalu tahap keyakinan di kalangan pengundi Melayu berada di paras 52 peratus.

Faktor demografi pula memainkan peranan penting kerana ia membentuk sokongan padu penyokong Umno yang membantu gabungan pemerintah terus berkuasa ketika parti lain dalam BN menunjukkan kelemahan.

Lapor ST, keputusan kajian itu dibentangkan kepada penganalisis sektor kewangan pada minggu lalu.

Sokongan keseluruhan terhadap kerajaan juga menurun kepada 23 peratus - tahap terburuk pernah dicatatkan sejak kaji selidik mengenainya mula dibuat Merdeka Center pada 2012.
Mengenai pengundi Cina pula, hanya lima peratus responden menyokong kerajaan berbanding 11 peratus pada Januari lalu.

Kaji selidik sama juga mendapati kemerosotan sokongan terhadap kerajaan kebanyakannya disebabkan oleh cara isu ekonomi ditangani.

Data dikumpul Merdeka Center menunjukkan hanya 17 peratus responden berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan ekonomi berbanding 78 peratus yang tidak berpuas hati.

Kaji selidik itu dijalankan di kalangan responden di Semenanjung Malaysia pada Ogos, sejurus selepas Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada tugasnya sebagai timbalan perdana menteri.

Di sebalik itu, ramai menunggu apakah Usul Persendirian membabitkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri akan terbiar begitu sahaja atau dibahaskan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian mengemukakan notis kepada parlimen untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Hee menyenaraikan beberapa sebab untuk memulakan usul itu, termasuk wang RM2.6 bilion yang diterima Najib dalam akaun peribadinya.

Notis yang boleh diperoleh daripada laman web Parlimen Malaysia itu berbunyi:
“Bahawa Dewan ini mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan “Wang Derma” berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah.
"Dengan tidak menjelaskan mengapa “Wang Derma” ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana “Special Task Force” yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan, pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.
"Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat.
"Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap perdana menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.”
Usul berkenaan sudah ada dalam kertas aturan mesyuarat pada Isnin lalu namun ia mungkin tidak terlalu mengujakan kerana ia diletakkan pada susunan ke-25 daripada keseluruhan 28 usul.

Keadaan itu memungkinkan usul berkenaan tidak sempat dikemukakan dalam sidang kali ini.

Ia mengingatkan kepada rang undang-undang persendirian cuba dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac lalu bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Usul berkenaan dimasukkan dalam aturan mesyuarat tetapi gagal dibentangkan sehingga sidang parlimen lalu berakhir.

Rasanya sejarah akan berulang kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sudah menjelaskan semalam, adalah menjadi keutamaan untuk mendahulukan Usul-Usul dari Kerajaan dan Rang Undang-Undang.
No 1 dan 2 adalah Usul Kerajaan, No 3 hingga 6 adalah Rang Undang-Undang Kerajaan (bacaan kali yang kedua), No 7 hingga 28 adalah Usul Persendirian seperti yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
  
Mengulas usul yang dikemukakan Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya Selatan berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Azalina berkata selain itu, lima Rang Undang-Undang Kerajaan akan dibuat bacaan pertama pada persidangan kali ini.

“Saya ingin menjelaskan bahawa usul yang dikemukakan oleh YB PJS disenaraikan sebagai urusan No. 25 daripada 28 urusan yang secara keseluruhannya dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pada hari Isnin, 19 Oktober 2015 (hari ini) yang merangkumi Rang Undang-Undang dan Usul-Usul dari Kerajaan serta Usul-Usul Persendirian daripada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pembangkang,” katanya dalam kenyataan semalam.

“Kami di barisan Kerajaan yakin bahawa Tuan Yang di-Pertua seperti biasa akan memberi pertimbangan yang saksama dan adil kepada semua Usul yang telah dikemukakan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” ujarnya.

Justeru itu menurut Azalina, pertimbangan mana-mana usul adalah tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.

Nampak gayanya Najib bukan sahaja tidak perlu memikirkan apakah usul akan dibahaskan, sebaliknya perbahasan dan jawapan kepada soalan-soalan Bajet 2016 yang sepatutnya ditumpukan.

Cuma yang pelik, bagaimana Azalina boleh mengatakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri itu bukan bersifat politik dan tidak perlu dipolitikkan.

Selain itu, rasanya setiap Ahli Parlimen tahu dan mendukung prinsip kebertanggungjawaban khususnya dalam mengemukakan mana-mana Usul Persendirian.

Apakah mengemukakan usul persendirian oleh Hoy San itu menunjukkan beliau mendasarkan kepada andaian atau spekulasi semata-mata dan  melanggar apa-apa syarat Peraturan-Peraturan Mesyuarat?

Azalina mengakui sebagai seorang Ahli Parlimen sememangnya menjadi preprogatif dan hak seseorang Ahli Parlimen untuk membawa mana-mana usul persendirian mengikut peruntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat. Jadi?


Bagi pengkritik Najib yang selama ini menggesa usul undi tidak percaya dibentangkan terhadap Perdana Menteri tidak perlu menaruh harapan tinggi walaupun Perdana Menteri ketika ini menghadapi serangan berkaitan syarikat yang diilhamkan beliau, 1MDB, serta "derma" RM2.6 bilion dari penderma yang tidak diketahui di Timur Tengah, yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau menjelang pilihan raya umum 2013.

PKR sebelum ini berkata, pembangkang hanya memerlukan 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong usul undi tidak percaya bagi memaksa Najib berundur.

Pengkritik Najib yang dulunya menyokong beliau, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga menggesa penggubal undang-undang persekutuan daripada BN memberikan sokongan mereka kepada usul tidak percaya itu.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengakui kelmarin, adalah "sukar" untuk berjaya membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat, tetapi pihak pembangkang akan tetap cuba melakukannya.

Rafizi  berkata orang ramai perlu bersikap realistik mengenai usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri kerana sistem parlimen negara ini menyukarkan cadangan berkenaan dilaksanakan.

"Kebimbangan saya ialah orang ramai tidak memahami peraturan parlimen. Mereka mungkin menuduh pembangkang menipu. Namun ia masih perlu diusahakan dan anda mesti bersikap realistik terhadap hasilnya," kata Ahli Parlimen Pandan itu.

"Kita perlu susun semula jangkaan. Kita tidak mahu situasi di mana selepas Parlimen, Najib masih berkuasa dan orang menyalahkan kita. Bukan kami yang kawal, Najib dan speaker (yang kawal)," katanya.

"Betul, memang sukar tetapi kita kena cuba," kata Rafizi lagi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata kelmarin, PAS akan menyokong sekiranya undi tidak percaya terhadap perdana menteri dibawa ke parlimen dalam persidangan kali ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu bagaimapun berkata, PAS akan menunggu terlebih dulu untuk melihat jika usul berkenaan benar-benar dibawa ke parlimen.

"Kita tunggu perkara ini dibentang di parlimen dulu. Ia terpulang kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya.

Takiyuddin berkata undi tidak percaya merupakan sebahagian daripada prosedur dibenarkan dalam sistem demokrasi berparlimen. "Dan kita akan menyokong undi tidak percaya," katanya.

Apapun, persidangan kali ini akan tetap hangat kerana soalan dan perbahasan, walaupun berkaitan Bajet 2016 akan pasti berkisar sekitar ‘ketidak-kepercayaan’ sebahagian Ahli Parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri.

Cumanya apakah akan ada suara sumbang daripada penyokong kerajaan,

Ini kerana ramai juga yang nampaknya bersimpati dan bersetuju dengan pandangan kumpulan digelar ‘Enam Jahanam’.

Mungkinkah Perdana Menteri dan kabinetnya untuk kali pertamanya menerima tekanan paling hebat yang menggambarkan senario politik berdepan Pilihan Raya Umum 2018?


No comments:

Post a Comment