Monday, October 26, 2015

ISU JET ACJ320 – KENAPA BUKA RUANG KEPADA RAFIZI BERSUARA?


"Sepanjang tempoh berkenaan, kerajaan membayar RM13.3 juta bagi sewa, RM23 juta untuk operasi, penyelenggaraan dan pengurusan manakala RM4.5 juta lagi bagi penerbangan...Jika angka-angka ini tidak betul, saya mengalu-alukan kerajaan untuk memberi angka sebenar. "
- Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli
Benarkah Perdana Menteri enggan mendedahkan butiran perjalanan  - ke mana dan tujuan apa serta kos setiap perjalanan- menggunakan pesawat Airbus Corporate Jetliner (ACJ320)?
 Juga benarkah dengan kengganan itu membuktikan Datuk Seri Najib Razak  tahu maklumat berkenaan tetapi bimbang jika didedahkan akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Bagi Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, ‘kebisuan itu’ mudah untuk beliau terjemahkan.


Dakwanya: “Kerajaan enggan mendedahkan maklumat kepentingan awam kerana melibatkan dana rakyat. Ini menggambarkan Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa perbelanjaan itu tidak berhemah sehingga ia perlu disembunyikan daripada rakyat.

Ini bukan kali pertama soalan mengenai perbelanjaan melibatkan jet peribadi pimpinan kerajaan dibawa ke Parlimen.

Sebelum ini kerajaan memberi jawapan mengenai kos yang ditanggung apabila ditanya oleh Nga Kor Ming dalam sidang Oktober 2013.

Malah Rafizi pernah menyebut pada Mac 2015 lalu bahawa  bahawa ACJ320 itu untuk kegunaan Perdana Menteri.

Dakwa Rafizi, tindakan kerajaan membeli sebuah lagi jet peribadi baharu akan  menimbulkan kemarahan rakyat di kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST.


Menurutnya, rakyat terpaksa menanggung cukai baharu yang sebahagiannya akan digunakan yang bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan sikap tidak peduli beliau terhadap kesempitan hidup rakyat.

"Penggunaan jet peribadi ACJ319 sahaja sudah melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyelenggaraan. Tindakan membeli jet peribadi baharu ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST," dakwanya pada sidang media di lobi Parlimen pada 16 Mac lalu.


Beliau turut mendedahkan salinan bukti pembelian jet peribadi tersebut.

Sehubungan itu, Rafizi mendesak Perdana Menteri membatalkan pembelian jet tersebut dan memohon maaf kepada rakyat.

Sebelum ini ada pihak mendakwa pembelian jet ini tidak sesuai dengan masa dan bermacam-macam lagi.

Selepas mengatakan pesawa peribadi itu digunakan Perdana Menteri, hari ini Rafizi timbulkan soal kos setiap perjalanan.


Menurut Rafizi: "Apabila kerajaan enggan mendedahkan maklumat kepentingan awam kerana melibatkan dana rakyat, ia menggambarkan perdana menteri sendiri mengakui bahawa perbelanjaan itu tidak berhemah sehingga ia perlu disembunyikan daripada rakyat.”

Beliaumenyatakan perkara itu di lobi Parlimen di Kuala Lumpur pagi ini dengan mendakwa perbelanjaan melibatkan pesawat kerajaan iaitu Airbus Corporate Jetliner (ACJ320) yang digunakan oleh Perdana Menteri itu  dalam tempoh enam bulan dianggarkan berjumlah RM40.8 juta.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan jumlah itu apabila pertanyaan berkenaan perbelanjaan tersebut tidak dijawab secara khusus di persidangan Dewan Rakyat.

Rafizi mendakwa jet ACJ320 milik kerajaan itu membuat 42 penerbangan di antara bulan April dan 2015 September.

Beliau menganggarkan sepanjang tempoh berkenaan, kerajaan membayar RM13.3 juta bagi sewa, RM23 juta untuk operasi, penyelenggaraan dan pengurusan manakala RM4.5 juta lagi bagi penerbangan.

"Jika angka-angka ini tidak betul, saya mengalu-alukan kerajaan untuk memberi angka sebenar. Jika tidak, kami akan mengandaikan bahawa angka-angka ini adalah betul," katanya.

Rafizi memberikan anggaran jumlah RM40.8 juta selepas mendakwa kerajaan enggan mendedahkan jumlah yang dibelanjakan untuk pesawat Najib sepanjang enam bulan itu.

Dalam jawapan bertulisnya  di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pesawat itu membuat 42 penerbangan membawa Yang di-Pertuan Agong, Najib dan timbalannya ke majlis rasmi.

Menurut Rafizi, satu-satunya maklumat yang diberikan Azalina ialah jet digunakan sebanyak 42 kali sejak memulakan perkhidmatan pada April 2015.

"Sejak mula beroperasi pada April 2015, saya menjangkakan kos OMM berjumlah RM23 juta.

"Oleh itu, anggaran saya bahawa kos sewaan, operasi dan perjalanan melibatkan jet ACJ320 sejak mula beroperasi  sehingga September 2015 adalah RM13.3 juta, kos OMM RM23 juta dan kos perjalanan luar negara berdasarkan purata tahunan adalah RM4.5 juta.

"Jumlah perbelanjaan melibatkan jet ACJ320 yang cuba disembunyikan perdana menteri dianggarkan RM40.8 juta bagi tempoh enam bulan dari April 2015 hingga September 2015," katanya.

Dakwanya, berdasarkan kontrak penyelenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) ia telah ditetapkan pada RM46 juta setahun.

Namun bagi kerajaan, seperti dijelaskan oleh Jabatan Perdana Menteri  pada 16 Mac lalu, pesawat eksekutif itu ) dibeli untuk menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang telah berusia 16 tahun.
  
Kerajaan memperoleh ACJ320 melalui kontrak pembelian sewa beli untuk tempoh 15 tahun dan pesawat BBJ itu akan dilupuskan bagi membiayai pembelian ACJ320.
  
Pesawat BBJ telah digunakan oleh MAS sejak 1999 sebelum kerajaan memperolehnya pada tahun 2003 untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong.

"Perbincangan untuk menggantikan BBJ telah dimulakan dua tahun lepas memandangkan kos penyelenggaraan kapal terbang itu semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan. Perolehan pesawat ACJ320 dalam fleet pesawat eksekutif kerajaan dapat mengurangkan kos operasi, pengurusan dan penyelenggaraan memandangkan kerajaan sudah mempunyai pesawat ACJ319," demikian pernjelasan kerajaan.
  
Selain ACJ319 dan ACJ320, fleet pesawat eksekutif kerajaan termasuk kapal terbang yang lebih kecil iaitu pesawat Falcon yang diperolehi pada 1989 dan Global Express 2001.

Diharapkan kerajaan dapat menjelaskan isu ini sebaik-baiknya dan jika Rafizi membuat tuduhan melulu dan memalukan kerajaan, ambil tindakan sewajarnya.

Tuduhan terhadap Perdana Menteri ini berat.

Mungkin sengaja ditimbulkan untuk ‘memperlecehkan’ Bajet 2016 yang sarat dengan peruntukan dan program demi kesejahteraan rakyat.

Lagi lama dipendamkan jawapan akan timbulkan pelbagai spekulasi.

Jangan biarkan isu seperti ini menjadi modal kepada pembangkang untuk ‘mencalarkan lagi imej’ Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment