Wednesday, February 5, 2014

PEMBERHENTIAN PEKERJA KONTRAK - ‘VALUE FOR MONEY’ ATAU CAMPUR TANGAN POLITIK?


“Kesemua kakitangan ini hanya menjadi mangsa keadaan. Jika ada masalah lain yang tidak melibatkan pekerja, jangan turut sama heret penjawat awam...syarikatnya perlu melihat dari semua aspek, dalam konteks menyeluruh sebelum membuat keputusan. Tindakan menamatkan perkhidmatan serta-merta itu adalah tidak adil."
Presiden Cuepacs - Azih Muda

Mudahnya memberhentikan pekerja apabila merasakan tidak penting buat seseorang atau syarikat.

Apakah sumbangan mereka mereka sebelum ini tidak dapat dinilai dari segi kebaikan dan sumbangan mereka atau bergantung semata-mata kepada 'value for money?'

Benarkah pemberhentian 20 kakitangan kontrak anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) serta-merta pada Selasa bebas campur tangan politik?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penglibatan beliau dalam pemecatan kakitangan PHSB itu.

Katanya, keputusan itu dilakukan sendiri pihak pengurusan PHSB dan menganggap tiada sebarang pemecatan pekerja berlaku melainkan pemberhentian disebabkan mereka tidak melanjutkan kontrak kakitangan terbabit.

"Itu adalah keputusan pengurusan PHSB dan saya percaya pasti ada sebabnya malah pada saya konsep dipecat boleh jadi tiada tetapi konsep tidak diteruskan pelantikan boleh jadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat negeri Selangor anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam malam semalam.

Abdul Khalid berkata menerusi nota yang diberikan kepadanya, pihak pengurusan PHSB memaklumkan tindakan itu adalah sebagai langkah untuk menentukan jumlah pekerja yang sesuai dalam organisasi berkenaan.

Ini memandangkan pekerja yang diberhentikan itu adalah pekerja kontrak.

Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyifatkan pemecatan seramai 20 kakitangan anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holding Sdn. Bhd. (PHSB) merupakan langkah perkhidmatan cekap 'value for money'. Keputusan menamatkan kontrak dibuat dalam satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelak pertindihan tugas.

"Perkhidmatan 20 anggota berkenaan di PKNS telah dibuat berperingkat secara kontrak seawal 2010 bertujuan mengisi jawatan dan memperkukuhkan beberapa bahagian baharu di PKNS antaranya pemasaran, strategi dan media, pelaburan serta pengurusan organisasi dan integriti.

"Walaubagaimanapun setelah mengkaji keputusan tersebut, PKNS berpandangan tiada keperluan untuk meneruskan khidmat 20 pegawai tersebut memandangkan kepakaran dan pengalaman yang sama sudahpun sedia ada di kalangan pegawai tetap PKNS," kata kenyataan PKNS hari ini.

Tambahnya, sehubungan itu, PHSB telah membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka menurut terma yang terdapat dalam kontrak masing-masing.

Reaksi kepada pemberhentian itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda meminta supaya penjawat awam tidak dijadikan mangsa kemelut politik.

Cuepacs mendakwa ia dikaitkan dengan isu pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Azih yang mengulas mengenai 20 kakitangan kontrak anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada Selasa berkata, kemungkinan wujud campur tangan politik sehingga menyebabkan tindakan pemecatan itu.

Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa pada Selasa.

Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

“Kesemua kakitangan ini hanya menjadi mangsa keadaan. Jika ada masalah lain yang tidak melibatkan pekerja, jangan turut sama heret penjawat awam

 Apapun sebab atau masalah yang berlaku, PKNS atau anak syarikatnya perlu melihat dari semua aspek, dalam konteks menyeluruh sebelum membuat keputusan.

Tindakan menamatkan perkhidmatan serta-merta itu adalah tidak adil,” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Azih berkata, PKNS sepatutnya mengutamakan kebajikan pekerja yang perlu menyara kehidupan sekeluarga dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. “Ini bukan soal pekerja kontrak atau perkhidmatan cekap atau ‘value for money’, tetapi ini soal kebajikan. Selangor sendiri dikatakan sebagai negeri berkebajikan, utamakanlah kebajikan itu.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya PKNS meneliti semula keputusan menamatkan perkhidmatan kakitangan itu dan memberi peluang kepada mereka untuk menyara kehidupan,” katanya.

Beliau menambah, diharapkan tindakan menamatkan perkhidmatan tidak dijadikan sebagai satu trend melibatkan penjawat awam semata-mata untuk menambahkan keuntungan.

“Sebagai kerajaan atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan), mereka seharusnya berkongsi keuntungan itu dengan mengutamakan kebajikan pekerja,” katanya.

Sebelum ini, Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek ditukar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkuatkuasa serta-merta, berikutan isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 10 Januari lalu.

Wakil pekerja terbabit, Dr Alif Aiman berkata mereka berasa amat terkejut dengan pemecatan itu berikutan tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum ini dan menganggap pemberhentian serta-merta itu menganiaya mereka.

"Kejutan yang kami terima semasa hadir bekerja hari ini ibarat penganiayaan malah tiada alasan kukuh. Pemberhentian ini betul-betul menyusahkan kami yang rata-rata pencari nafkah utama keluarga.

"Apa yang kami amat kesalkan adalah sehingga saat ini, kami semua masih tidak tahu mengapa kami diberhentikan sedangkan kami tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap syarikat malah kami sanggup berkorban masa dan tenaga demi membangunkan PHSB," katanya kepada pemberita Selasa.

Dr Alif, yang juga merupakan Pengurus Kanan Pemasaran PKNS, berkata menerusi surat berkenaan mereka hanya dimaklumkan mengenai pemberhentian dibuat selaras dengan perubahan dan hala tuju PKNS dalam menyusun semula organisasi dan sumber manusia termasuk PHSB.

Katanya alasan pihak pengurusan syarikat itu dilihat tidak dinyatakan secara terperinci terutamanya proses penyusunan semula itu sedangkan prestasi PKNS berada dalam kedudukan yang baik malah mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit.

"Apa salah kami sehingga diberhentikan serta-merta dan jika ada salah, mengapa tidak diberikan surat tunjuk sebab ataupun adakan siasatan dalaman. Jika kami hilang punca pendapatan begini, bagaimana pula nasib keluarga yang kami tanggung.

"Antara objektif kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat dan kami bekerja keras membantu PKNS menjana pendapatan demi bantu rakyat lain, tapi ini balasan yang PKNS bagi pada kami dan adakah ini negeri berkebajikan yang dicanang kerajaan Selangor," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan pemecatan itu dan berharap pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dapat menyatakan sebab pemecatan dan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment