Tajuk menarik di Terengganu sehari dua sebelum penamaan calon Sabtu ini ialah apakah Datuk Seri Ahmad Said akan terus menjadi Menteri Besar?
Selepas nama-nama calon Barisan Nasional (BN) diumumkan, ada yang meramalkan beberapa nama akan dilantik menggantikan Pengerusi Barisan Nasional Terengganu itu walaupun Ahmad Said baru menjadi Menteri Besar selama empat tahun.
Namun selepas namanya turut tersangkut sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, banyak sms dan pertanyaan dikemukan dengan pertanyaan ‘Betul ke Ahmad Said akan diganti’.
Dengan beberapa Ketua Bahagian UMNO bertanding di DUN kali ini, termasuk Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri) dan Datuk Wan Farid Wan Salleh ( Ladang), ia menguatkan spekulasi mengenai pertukaran Menteri Besar ini.
Apa pihak cuba mempersalahkan Ahmad Said kerana gugurnya enam daripada 10 bekas 'Budak Hitam' daripada bertanding dalam PRU13. Kumpulan 10 Budak Hitam ini dikaitkan dengan kumpulan yang menentang kepimpinan Ahmad Said dan yang mengirim 'SMS Ugut Bunuh' yang menyebabkan kumpulan itu memulaukan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Selain itu, beberapa ADUN dikatakan digugurkan kerana 'onar' mereka sendiri umpamanya di Parlimen Setiu apabila empat ADUN tidak menghadirkan diri pada Mesyuarat UMNO Bahagian berkenaan pada Oktober 2010. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin merasmikan persidangan tersebut.
Mungkin pertanyaan sama ada Ahmad Said akan terus menjadi Menteri Besar sengaja dibuat selepas ada kumpulan yang berkempen supaya Ahmad Said tidak dicalonkan semula dan gagal untuk 'melontarnya' daripada mempertahankan DUN Kijal sekali lagi pada pilihan raya ini.
Sebuah blog, teganukini, sehingga ini sudah menyiarkan tiga siri rencana bertajuk ‘Asal Bukan Ahmad Said’ (baca di sini, di sini, di sini) yang menggambarkan betapa isu mengenai siapa Menteri Besar Terengganu, hangat semula di negeri Penyu itu.
Antara sebab-sebab yang dikatakan Ahmad Said tidak akan dilantik semula seperti dipetik penganalisis melalui blog berkenaan, iaitu Panglima Gunung Tebu termasuklah:
1. Perlantikannya sebagai Menteri
Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh dibuat hanya sebagai
‘sementara’ selepas Sultan Terengganu tidak berkenan dengan perlantikan
Idris;
2.
Perlantikan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri kerana
‘kegagalan’ Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyatukan UMNO Terengganu
yang berkrisis. Ahmad Said dilihat mampu memainkan peranan itu untuk
sementara sehingga selepas PRU-13;
3.
Penglibatan anggota istana Terengganu dalam politik PAS dikaitkan
dengan ‘restu istana Terengganu’ untuk melemahkan Ahmad Said selain
sebagai ‘signal’ untuk beliau memikirkan mengundur diri;
4. Disebarkan berita kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak senang dengan Ahmad Said berkaitan pengumuman Menteri Besar itu mempertahankan kawasan minyak yang menjadi ‘sengketa’ antara Pahang dan Terengganu yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri;
5.
Ramai kalangan Pegawai Tadbir Terengganu (TCS) tidak senang dengan cara
Ahmad Said memperkenankan pelantikan, khususnya ke jawatan penting,
khususnya orang yang ‘rapat’ dengan beliau;
6.
Ada pihak atas dikatakan ‘tidak senang’ dengan Ahmad Said kerana
berbelanja ‘ikut selera’ terhadap projek-projek yang dikatakan tidak
akan mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri seperti pembangunan
Tasik Kenyir, Zoo Kemanan serta juga pembangunan Bandar Baru Kijal; dan
7.
Ahmad Said dituduh melindung orang tertentu, khususnya ‘orang
kesayangannya’ dengan cara menghantar belajar ke luar negara walaupun
orang itu ‘dikatakan melakukan kesalahan tertentu’.
Lebih menarik, pemerhati politik melihat isu ini sengaja ditimbulkan oleh kalangan pemimpin UMNO yang mahu Ahmad Said digugurkan selain ramalan pemimpin PAS.
Sesetengah pemimpin PAS cuba menangguk di air keruh dan orang yang paling suka mengadu-domba dalam PAS seolah-olah perbuatannya DIHALALKAN ALLAH ialah calon DUN PAS Paka yang kalah pada 2008 itulah. Tidak ada orang lain dah...
Ada beberapa persoalan ditimbulkan umpamanya kalaupun menang, apakah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan ‘berkenan’ untuk melantiknya semula?
Namun bagi Ahmad Said, soal beliau jadi MB atau tidak itu tidak penting ketika ini. Lagipun falsafahnya ialah 'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'.
Bagi Ahmad Said, yang penting ialah BN menang lebih besar daripada PRU12.
BN mahu menawan balik Parlimen Kuala Terengganu serta beberapa DUN yang dikuasai PAS selain mengekalkan 28 kerusi DUN yang dimiliki sekarang. Misi BN Terengganu ialah menang besar hasil sokongan rakyat untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Kerana itu, BN Terengganu yang mematuhi tauliah calon yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat BN Pusat terpaksa menerimanya dengan tangan terbuka kerana calon-calon yang dikemukakan itu adalah calon yang boleh memenangkan BN.
Selepas penamaan calon di kediaman Rasmi Menteri Besar di Kuala Terengganu kelmarin, ada bersimpati dengan penyandang yang digugurkan. Malah ada menyatakan rasa tidak puas hati kerana bekas wakil rakyat yang dianggap berjasa dan berpengaruh turut digugurkan seperti Datuk Rosol Wahid di DUN Ajil.
Ada soalan dikemukakan seorang wartawan kepada Ahmad Said ketika sidang media selepas pengumuman nama calon semalam. Soalannya ialah apakah dengan pencalonan kali ini akan melenyapkan kumpulan ‘Budak Hitam’ berkenaan? Ahmad Said menjawab selamba: ‘Ada yang dikekalkan dan ada yang digugurkan. Yang penting BN Terengganu akan tetap utuh.”
Contohnya ada kalangan bekas ‘Budak Hitam’ tetap kekal bertanding pada PRU13 ini termasuk Alias Abdullah di Alor Limbat, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar di Air Puteh , Ramli Nuh di Bukit Tunggal dan Pahemi Yusof di Jerteh. Ini bermakna bahawa tidak semua Budak Hitam gugur tetapi hanya 60 peratus.
Mengulas mengenai perubahan di Setiu, Ahmad Said berkata, perpaduan memainkan peranan yang penting bagi memastikan kemenangan BN.
Iktibar daripada kes di Terengganu ini ialah jangan sekali-kali kerana 'marahkan nyamuk kelambu dibakar'. Contohnya kerana marahkan Ketua Bahagian, empat ADUN sanggup pulaukan persidangan UMNO - parti yang diwakili mereka - dan ironinya dirasmikan sendiri oleh Timbalan Presiden parti.
Begitu juga dengan beberapa kes lain termasuk 'SMS Ugut Bunuh' yang kemudiannya semakin terserlah bukan orang yang dituduh melakukannya sebaliknya kemungkinan ia dirancang oleh pihak tertentu.
Tidak wajar mengulas panjang kes ini kerana ia masih kes mahkamah di Kuala Terengganu. Mungkin selepas PRU13, hakim akan membuat keputusan.
Selain itu, sebagai pengikut, kita perlu berfikir panjang dan tidak emosi dengan tindakan kita dan ada hadnya mematuhi ketua kerana bimbang 'gerabak akan ketinggalan terkontang-kanting' sebaliknya KEPALA KERETA API meluncur laju terus meninggalkan 'gerabak' dalam kebingungan!
Lebih buruk seolah-olah kepala itu langsung TIDAK PEDULI dan TIDAK MERASA BERDOSA di atas perbuatannya.
Apapun, setidak-tidaknya kita boleh katakan kepada beberapa bekas ADUN dan pemimpin UMNO Terengganu, 'learn your lesson!
No comments:
Post a Comment