Janji sudah tertunai dan ‘kekayaan’ seterusnya akan muncul!
Banyak komen negatif oleh pembaca sama ada di akhbar online atau blog mengenai penyenaraian ini menjadi cabaran dan sememangnya memerlukan usaha keras Felda Global Ventures Holdings Bhd untuk menutup mulut mereka.
Yang penting seperti kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd di Bursa Malaysia semalam (28 Jun 2012) mampu menjana kekayaan yang bakal diagihkan kepada lebih 112,000 peneroka Felda.
Perlu diulangi, siapa yang akan merasai kekayaan itu? 112,000 PENEROKA FELDA!
Tidak ada siapa mampu menafikan bahawa Felda Global Ventures, pengendali ladang kelapa sawit ketiga terbesar dunia, telah mencatatkan penyenaraian bersejarah di Bursa Malaysia semalam dengan tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar tahun ini selepas Facebook Inc.
Pada majlis Sembang Petang Perdana Menteri bersama Profesor dan Profesor Madya institut pendidikan tinggi awam di Seri Perdana di Putrajaya semalam, dengan nada gembira Najib berkata:
"Ini disebabkan kita ada idea dan mampu menjana kekayaan agar boleh mengagihkan ini kepada peneroka-peneroka Felda yang senyum semacam kerana dapat durian runtuh. Ini bukan peruntukan daripada kerajaan tetapi sebaliknya kita menjanakan kekayaan yang kemudian dapat diagihkan kepada semua peneroka.”
FGH mengakhiri dagangan pada paras kukuh dengan harga RM5.30 sesaham semalam selepas muncul hebat dalam dagangan sulungnya di Bursa Malaysia pada harga RM5.39, apabila ia mencatatkan premium sebanyak 84 sen berbanding harga tawarannya, RM4.55.
Bernama melaporkan, peniaga-peniaga berkata penutupan dagangan FGV pada RM5.30, dengan premium 75 sen dan 2.615 juta lot bertukar tangan, adalah di luar jangkaan.
Mereka berkata, ini merupakan ganjaran yang berpadanan bagi 112,635 peneroka yang telah mengusahakan tanah mereka selama lebih 30 tahun, kerana mereka kini memiliki saham-saham dalam satu daripada syarikat perladangan terbesar di dunia dengan prospek yang cerah memandangkan permintaan yang semakin meningkat bagi minyak sawit.
Menteri Industri Pertanian dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok.menganggap sambutan yang menggalakkan terhadap penyenaraian FGV itu dengan jelas menunjukkan keyakinan jangka panjang pelabur tempatan tentang industri kelapa sawit Malaysia.
Menurut beliau, ia juga adalah satu perkembangan penting untuk negara terutamanya bagi peneroka Felda.
Meskipun sentimen di bursa-bursa global muram sahaja, namun pengusaha kelapa sawit ketiga terbesar di dunia ini menjadi tumpuan hari ini dan merupakan kaunter paling cergas, sekali gus mencerminkan pasaran saham tempatan yang berdaya tahan.
Saham-saham FGV berlegar di antara paras tertinggi RM5.46 (meningkat 20 peratus atau mencatatkan premium 91 sen berbanding harga tawaran RM4.550), dan paras terendah RM5.24.
Penyenaraian IPO kedua terbesar di dunia itu selepas pengapungan Facebook Inc mengumpul AS$16 bilion, menarik perhatian dunia dan menandakan satu pencapaian penting bagi negara, terutamanya bagi peneroka Felda, yang akan menerima durian runtuh melalui penyenaraian ini.
Kemunculan sulung yang hebat ini mengatasi beberapa IPO global yang ditangguhkan atau dibatalkan, termasuk IPO Formula One di Singapura, yang ditangguhkn, dan IPO US$1 bilion syarikat barang kemas mewah London, Graff Diamonds yang dibatalkan. IPO Felda menarik 58,526 permohonan bagi 565.40 juta saham daripada orang ramai, dan ini merupakan lebihan langganan sebanyak 6.75 kali.
Ia menawarkan 72.96 juta saham bagi langganan orang ramai.Sebanyak 49 peratus kepentingan FGV adalah milik Felda Holdings Bhd, pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia, dan syarikat penapisan minyak sawit kedua terbesar di Malaysia.
Pada masa ini ia mengusahakan kira-kira 350,000 hektar ladang kepala sawit di Malaysia dan menghasilkan 5.2 juta tan metrik tandan buah segar tahun lepas.
Berikutan penyenaraian yang mengagumkan itu, FGV akan menceburi perniagaan hiliran secara berpilih, termasuk lemak khusus dan oleokimia.
No comments:
Post a Comment