Kita tidak hairan jika pembangkang tunjuk perasaan menentang projek Lynas. Mereka akan gunakan apa sahaja cara untuk menarik sokongan dan mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan.
Tetapi jika Pemuda MCA Indera Mahkota dan Kuantan turut ikut berdemo, ini menimbulkan pertanyaan.
Apa lagi apabila Pemuda MCA Indera Mahkota meramalkan Barisan Nasional (BN) akan berputih mata dan hanya boleh ‘bermimpi’ untuk merampas balik kerusi Parlimen Kuantan sekiranya gagal menghentikan projek nadir bumi Lynas sebelum Pilihan Raya Umum ke-13"?
Sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengatakan fakta saintifik menunjukkan projek Lynas selamat?
Apakah Pemuda MCA Indera Mahkota sangsi dengan penjelasan yang dibuat Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN?
Di Sekincan hari ini, Najib menjelaskan kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Pahang dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat.
Perdana Menteri berkata, kebimbangan rakyat daripada segi psikologi bahawa projek tersebut akan membawa kesan buruk juga diambil kira oleh kerajaan.
"Yang penting sekali dari segi fakta, dari segi scientific evidence projek Lynas ini tidak akan membawa kemudaratan kepada masyarakat,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama masyarakat Sekinchan di SRJK (C) Yoke Kuan, di Sekincan hari ini.
Malah kerajaan juga mengenakan syarat yang cukup ketat untuk operator Lynas termasuk syarat di mana sisa-sisa dari kilang tersebut perlu dilupuskan di tempat yang jauh dari penempatan masyarakat.
"Dan kita tidak akan beri lesen operasi melainkan kita berpuas hati bahawa masyarakat tempatan boleh menerima bahawa projek ini selamat dari segi kepentingan rakyat,” katanya.
Jadi apa motif sebenar Pemuda MCA berkenaan dalam isu ini?
Ketua Pemuda MCA Kuantan, David Choi berkata, kerusi berkenaan yang kini disandang Fuziah Salleh dari PKR bukan sahaja terus mendapat sokongan rakyat kerana isu Lynas, malah BN akan tewas kerana tiada sokongan penuh pengundi-pengundi Cina.
“Tidak ada harapan untuk rampas Kuantan kalau kerajaan tidak menghentikan projek ini. Kita tidak boleh cakap apa-apa kerana semua orang tahu, projek ini amat bahaya kepada generasi masa depan. Jika ini tidak diberi perhatian, bukan sahaja orang Cina, malah seluruh Melayu, Cina dan Orang Asli akan memprotes. Kita (MCA) seolah-olah memberikan kerusi ini kepada PKR buat kali kedua,” katanya.
Ditanya sama ada beliau dan beberapa pemuda MCA menyertai Himpunan Hijau 2.0 kerana tidak bersetuju dengan dasar partinya, kata Choi, "saya menyokong kehidupan hijau dan mahu kepimpinan mendengar masalah rakyat."
Pemuda MCA Kuantan turut menyokong himpunan hari ini dengan menghantar 50 orang wakil dan berharap kerajaan menghentikan projek berkenaan.
Di sebalik sokongan Pemuda MCA Indera Mahkota dan Kuantan, kerajaan hari ini diberi tempoh 24 jam bagi menutup loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng atau menghadapi Himpunan Hijau 3.0.
Dengan kehadiran ribuan peserta Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan pagi ini, pengerusi jawatakuasa pemandu Wong Tack menjanjikan jumlah yang lebih ramai jika kerajaan sekarang terus berdegil tidak memperdulikan bantahan dan rayuan rakyat itu.
"Kami memberi tempoh kepada kerajaan 24 jam untuk menutup loji berkenaan, jika tidak kami akan menganjurkan demonstrasi yang lebih besar. Tutup kilang Lynas, atau kami akan tumbangkan kerajaan, kamu buat keputusan," katanya sambil menggesa kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan sebelum pilihan raya umum akan datang.
Soalnya apakah jika kerajaan menarik balik kelulusan itu pembantah yang jelas menyokong pembangkang akan menyokong BN?
Tidak sekali-kali.
Selain itu apakah MCA Pusat atau MCA Negeri tidak dimaklumkan terlebih dahulu apabila Pemuda MCA Indera Mahkota dan Kuantan turun menyertai bantahan itu?
Dan akhirnya dengan membelakangkan keputusan kerajaan BN, amat nyata Pemuda MCA cuba ‘bermain api’ dalam BN sendiri.
Mereka seperti pembangkang turut mengugut kerajaan BN boleh tumbang kerana kelulusan kepada projek Lynas ini!
No comments:
Post a Comment