Pandai-pandailah kau menyelamatkan diri Rocky Bru (Datuk Ahirudin Attan).
Hmm...masa 1980an dan awal 1990an mereka adalah kawan dan rakan wartawan yang agak rapat.
Namun apabila msasing-masing sudah bersikap ‘mementingkan tuan’ yang melantik mereka, antara mereka menjadi musuh musuh.
Sedangkan tuan mereka adalah kepimpinan tinggi negara, umpamanya ketika Rocky ‘berpengaruh’ di Kumpulan The New Straits Times pada era Datuk Kadir Jasin dan Datuk Ahmad Talib ialah waktu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dan kumpulan Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan serta rakan-rakannya seperti Datuk Hishamuddin Aun berpengaruh pula ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
Apakah pertelingkahan di kalangan 'orang besar kewartawanan' di negara ini diakibatkan profesion, persaingan jurnalisme atau kepentingan diri?
Sepatutnya dunia kewartawanan yang diceburi mereka yang menggelarkan diri sebagai profesional tidak ada kes ‘saman menyaman’ seperti ini.
Kini blogger Rocky Bru yang juga bekas penasihat editorial The Malay Mail, diberi tempoh dua minggu untuk melantik peguam mewakilinya dalam kes saman oleh empat bekas pengurusan tinggi New Straits Times Press (Malaysia) Bhd ke atasnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Asmabi Mohamad telah menetapkan 25 Januari ini untuk mendengar pengurusan kes ini.
Peguam Rishwant Singh bertindak bagi pihak plaintif manakala Ahirudin hadir mewakili dirinya sendiri.
Rishwant menjelaskan bahawa NSTP kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada pihak plaintif dalam kes ini.
“NSTP telah menarik diri daripada menjadi sebahagian daripada plaintif sebaliknya hanya empat individu sahaja yang masih kekal sebagai plantif dalam saman mereka ke atas defendan," kata Rishwant.
Dalam saman yang difailkan pada 2007, Timbalan Pengerusi NSTP ketika itu, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Faisal Syed Albar dan Pengarang Kumpulan the New Straits Times, Brenden John Pereira (kesemuanya kini bekas) bertindak sebagai plaintif.
Mereka mendakwa, antara 8 Jun 2006 hingga 2 Disember 2006, Ahirudin telah memuatnaikkan pelbagai tampalan yang mencemar nama baik mereka di dalam blog yang bernama Rocky’s Bru.
Mereka menyenaraikan 38 tampalan yang bersifat memfitnah oleh Ahirudin terhadap Kalimullah, 21 tampalan berbaur fitnah ke atas Hishamuddin, sembilan tambalan yang sama mengenai Syed Faisal dan 30 tampalan berbaur fitnah ke atas Pereira.
Keempat-empat plantif itu berkata, kesemua tampalan yang dibuat oleh Ahirudin di dalam laman blognya itu secara jelas dan berpaten mengandungi unsur-unsur yang konsisten dan berterusan untuk memfitnah dan menjejaskan reputasi dan nama baik mereka.
Mereka mempertahankan bahawa kesemua artikel yang ditampal oleh Ahirudin di dalam laman blognya itu adalah tidak benar belaka malah berniat jahat sekaligus mengundang kunjungan ramai pembaca ke laman blog berkenaan.
No comments:
Post a Comment