Analisis Berita Oleh Ahmad Shukran Shaharudin (Bernama, 24 Nov 2011)
Umno perlu berterus terang dan jujur dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah dalaman selain membawa idea-idea baru dalam menentukan hala tuju parti dan mendapat sokongan rakyat, kata seorang penganalisis politik.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun berkata pada Perhimpunan Agung Umno 2011 minggu depan, seharusnya parti membuat penilaian kendiri mengenai keadaan, tidak kira sama ada daripada peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan.
"Masalah ini terdiri daripada segi kualiti iaitu kepimpinan dan komitmen anggota terhadap matlamat perjuangan sebenar Umno. Ada yang melihat lemahnya komitmen anggota di peringkat bawahan dalam gerakan semangat perjuangan parti sendiri," katanya.
Ini, katanya adalah kerana wujud percanggahan di dalam parti mengenai isu peribadi dan sebagainya.
"Umno harus jujur menilai keadaan sebenar, menilai masalah-masalah sebenar yang menjadi landasan di dalam parti. Jadi saya rasa setiap perwakilan harus jujur, berterus terang dengan masalah yang ada. Tanpa maklum balas daripada anggota bawahan, masalah parti sukar sampai ke pimpinan pusat," katanya
Bekas presiden Umno dan negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata anggota bawahan Umno perlu memberi teguran jika berpendapat ia penting untuk anggota dan negara keseluruhannya.
"Jika tidak ada teguran, pemimpin akan berpendapat segala yang dilakukan memang diterima dengan itu jika apa yang dilakukannya salah, maka kesalahannya akan bertambah," kata bekas perdana menteri yang dipetik dalam rancangan Soal Jawab menerusi TV3 yang dihoskan Datuk Ahmad A Talib malam semalam.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata pihak yang membuat teguran itu perlu berhati-hati supaya perkara yang dibangkitkan tidak dijadikan isu oleh parti pembangkang.
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun Che Hamdan Mohamed Razali berkata pada perhimpunan kali ini, anggota perwakilan Umno seharusnya tampil dengan idea-idea baru untuk menarik sokongan pada pilihan raya akan datang dan tidak setakat mengutarakan masalah sahaja.
Beliau memberikan contoh penganjuran Konvensyen Media Sosial yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lepas yang dilihat mendapat sokongan golongan muda yang sebahagian besar menjadi pengundi pada pilihan raya akan datang.
"Tetapi kita tidak mahu pula mereka ini dikelirukan dan dipengaruhi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Umno juga dilihat terlalu bertahan. Anggota Umno perlu tampil dengan idea baru dan di dalam media sosial, mereka sepatutnya menjadi ejen menyampaikan maklumat sebenar kepada masyarakat," katanya.
Selain itu, Che Hamdan berkata anggota parti perlu dimaklumkan siapakah pemimpin yang dipilih menjadi calon supaya semua pihak memberi sokongan kepada mereka yang terpilih dan ini dapat mengelak kes mensabotaj calon sesama parti.
Beliau berkata bukan hanya transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri yang perlu disokong, malahan perwakilan sendiri perlu membawa satu transformasi baru dalam konteks sekarang.
Setakat ini produk yang dibawa parti serta slogan dilaungkan kerajaan adalah idea yang baik tetapi dibimbangi pasarannya kepada masyarakat "tidak berapa" bergerak, kata beliau.
No comments:
Post a Comment