Tegang dan pergaduhan seperti yang berlaku di akhir babak perlawanan Terengganu - Kelantan memerlukan tindakan drastik FAM - Gambar Harris Fadzillah
Bolasepak negara kita tidak banyak mencipta rekod yang boleh disematkan dalam laporan Bolasepak Antarabangsa, kecuali kejayaan kita melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan 1980 di Moscow.
Malaysia turut mencapai kedudukan terbaik pada 1962 apabila memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962 di Jakarta, selain mengulanginya di Sukan Asia 1974 di Tehran selepas menewaskan Korea Utara 2-1.
Pencapaian lain hanya di peringkat negara Asean.
Namun, di atas padang juga Malaysia mencipta rekod baru bolasepak apabila pengadil menayangkan 5 kad merah dan 10 kad kuning pada perlawanan Terengganu-Kelantan di Kuala Terengganu, kelmarin.
Baca analisis selanjutnya:
http://teganuku.blogspot.com/
Sepanjang ingatan, inilah kali pertama dalam satu-satu perlawanan bolasepak di Malaysia tidak kiralah Piala Liga, Piala FAM, Piala Malaysia, Piala Emas Raja-Raja atau yang lain sebanyak lima (5) kad merah dan 10 kad kuning dilayangkan kepada pemain.
Keputusan pengadil melayangkan kad-kad itu mencatat sejarah dalam Piala Malaysia sejak 1921.
Perkara sama berlaku pada Liga British sebanyak dua kali pada 1997. Pertama lima pemain dibuang padang pada pertemuan Divisyen 2 membabitkan Chesterfield dan Plymouth pada 22 Februari 1997.
Pada 2 Disember tahun yang sama pula lima pemain dibuang padang pada perlawanan membabitkan Bristol Rovers dan Wigan Athletic. Kesemuanya pada separuh masa pertama.
Namun, tiada kad kuning sebanyak yang ditayangkan di Kuala Terengganu.
Cuma ada satu yang kelakar menurut Guinness Book of Records ialah pembuangan padang terhadap 20 pemain pada perlawanan Sportivo Ameliano dan General Caballero di Paraguay.
Selepas dua permain dibuang padang bertumbuk, pemain kedaua-dua pasukan kemudian bergaduh di tengah padang dan pengadil membuang 18 pemain lagi. Namun permainan kemudian dihentikan.
Kelmarin(10 Oktober 2011). Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu yang sepatutnya telah dirobohkan itu mencatat sejarah tersendiri dan pastinya akan tersebar ke seluruh dunia kerana ia juga bahan sejarah bolasepak.
Memanglah perlawanan dua gergasi Pantai Timur – Kelantan (juara Piala Malaysia bertahan) dan Terengganu (juara Piala FA 2011) berlangsung dalam suasana tegang namun East Coast Derby itu tidak sepatutnya dicemari dengan lima layangan kad merah iaitu tiga untuk Kelantan dan dua untuk tuan rumah.
Tindakan itu merosakkan mutu permainan kedua-dua pasukan sedangkan penonton kedua-dua pasukan mengharapkan permainan yang bermutu tinggi.
Kehadiran ribuan penyokong kedua- dua pasukan seolah-olah mengulangi perlawanan akhir Piala FA musim lalu, meskipun perlawanan baru melangkah ke perlawanan suku akhir pertama.
Kelantan dan Terengganu adalah dua pasukan elit di negara ini dan kerana mutu pengadilan yang lemah beberapa pemain negara dan bekas pemain negara menunjukkan mutu permainan yang boleh dipersoalkan.
Apakah ini yang kita mahukan daripada pertandingan liga, khususnya Piala Malaysia yang dianggap paling berprestij itu?
Benarkah pemain yang menyebabkan pengadil, Mohd Nafeez Abd. Wahab wajar melayangkannya atau pengadil yang tidak mampu mengawal dirinya?
Benar pemain yang beraksi, bak kata jurulatih Terengganu, Irfan Bakti, jika pemain kedua-dua pasukan berjaya mengawal emosi, insiden layangan kad merah mungkin dapat dielakkan.
Namun, pertembungan dua finalis Piala FA musim ini memang amat dinantikan peminat dan sudah dijangka sengit, apatah lagi dua pasukan itu berjiran dan seharusnya pemain mampu mengawal emosi masing-masing serta bermain dengan penuh semangat kesukanan.
Dalam keadaan tertekan dan mahukan kemenangan, pemain akan melakukan apa sahaja tetapi sesuatu yang mengejutkan dan di luar pemikiran kita apabila selain 5 kad merah, 10 kad kuning turut dilayangkan.
Ternyata, dua pasukan pantai Timur ini sudah mencipta rekod baru.
Rekodnya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ialah dua pasukan ini menggabungkan lima kad merah selain 10 kad kuning dalam satu perlwanan.
Aksi ‘perang’ dimulakan Kelantan sebagai pasukan pelawat apabila Mohd Shakir Shaari menjadi pemain pertama yang diarah keluar padang setelah mengasari pemain Terengganu pada minit 31.
Selang tiga minit selepas itu, Mohd Daudsu Jamaluddin dikenakan kad merah, di mana menyaksikan pasukan The Red Warriors terpaksa bermain dengan sembilan pemain.
Aksi panas kedua-dua pasukan terus berlarutan apabila Ismail Faruqi Asha’ari dikenakan kad merah setelah menolak Norshahrul Idlan Talaha pada masa kecederaan. Keputusan itu kekal hingga ke minit terakhir separuh masa pertama.
Dua lagi kad merah dilayangkan oleh pengadil sebelum perlawanan berakhir apabila pertahanan Terengganu, Zubir Azmi dan pertahanan Kelantan, Aziz Ismail bergaduh.
FAM dikatakan akan segera melakukan siasatan berhubung insiden lima kad merah dilayankan oleh pengadil pada pertemuan Kelantan dan Terengganu itu.
Kes menarik kerana insiden bukan diakibatkan oleh emosi atau gelagat penonton tetapi pengadil.
"Kita masih menunggu laporan penuh perlawanan daripada pesuruhjaya pertandingan dan akan membuat penilaian dalam masa terdekat ini dan perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat mesyuarat jawatankuasa tatatertib FAM untuk tindakan susulan," kata Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.
Dengan Terengganu mencatat kemenangan berharga dan ‘peperangan’ itu, mampukan FAM, Kelantan FA, polis dan Perbadanan Stadium Sultan Mohamad ke IV mengawal keadaan Jumaat ini apabila kedua-dua pasukan bertembung sekali lagi
No comments:
Post a Comment