Sunday, August 21, 2011

BENARKAH BN SUDAH BERSEDIA HADAPI PILIHAN RAYA UMUM KE-13?

Jangan cakap besar, angkuh dan hanya melihat dan mengukur kekuatan kawasan sendiri sahaja.

Ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) mengatakan parti itu sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 pada bila-bila sama sahaja.

Atas asas apa mereka mengatakannya?

Apakah sudah ada calon yang boleh memenangkan parti? Sudah dikenalpastikah? Apakah dasar-dasar BN sudah meresap di hati sanubari rakyat?

Apakah rakyat sudah menerima penjelasan BN dalam isu-isu tertentu yang dikaitkan dengan pemimpin atau juga kerajaan?

Apakah BN sudah bersedia dengan bajet pilihan raya dan negeri-negeri juga bersedia dengannya?

Kebanyakan pemimpin BN, khususnya UMNO mengumumkan sudah bersedia mungkin merasakan kawasan mereka sudah bersedia. Selamat katakan…

Tetapi bagaimana kawasan lain, apakah mereka benar-benar bersedia dan yakin menang?
Apakah negeri-negeri seperti Kelantan sudah benar-benar bersedia?

Bagaimana dengan Terengganu? Bagaimana dengan Johor dan Perak?

Semalam Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata BN sudah bersedia.

Beliau menyatakannya berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa PRU ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan kenyataan itu perlu dilihat sebagai sesuatu yang serius dan bukan satu pesanan yang kosong.

Memang benar negara sedang melalui satu perubahan dari segi pentadbiran, sikap dan transformasi ekonomi di bawah kepimpinan Najib, namun apakah ia petanda BN bersedia?

Belajarlah pengalaman pilihan raya umum 2008.

Saya tidak pasti di negeri lain tetapi di Kelantan pada 2008, boleh dikatakan BN negeri itu terperangkap dengan pengumuman bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saya masih ingat dengan jelas bagaimana Tan Sri Anuar Musa yang ketika itu Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek terpinga-pinga dengan pengumuman itu.

Ketika itu kedua-duanya menghadiri satu majlis gerak kerja pilihan raya dewan undangan negeri dalam Parlimen Bachok yang diadakan di Hotel Perdana Kota Bharu.

Majlis itu sebagai menyediakan kumpulan gerak kerja untuk pilihan raya. Maknanya, pada ketika itu UMNO Bachok belum bersedia dan begitulah beberapa Bahagian lain di Kelantan.

Pengumuman oleh Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri itu dibuat hanya beberapa minit Anuar memberitahu jentera pilihan raya Bachok bahawa pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh kira-kira tiga bukan kerana ‘pengesahan’ itu sudah dibuat oleh Abdullah pada pertemuan dengan UMNO Kelantan di Kuala Lumpur.

Saya diberitahu, beberapa negeri lain pun menghadapi situasi yang sama dan pengumuman Pengerusi BN ketika itu bagaikan ‘bom yang dipasang sendiri’.

Kita tidak mahu sejarah berulang.

Apabila disebut BN bersedia, BN mana yang bersedia?

Rais berkata “dengan perubahan ini...kita sudah bersedia, malah kita sudah diberi amaran dan gesaan supaya jawatankuasa piliharaya ditubuhkan dalam DUN dan kawasan Parlimen masing-masing."

Amat jelas, Rais mendedahkan bahawa sebagai anggota Parlimen Jelebu, jentera pilihan raya di kawasannya sudah digerakkan, malah pelbagai program telah direncanakan selepas Aidilfitri nanti, bagi menguji kekuatan parti dan memberi kebajikan kepada rakyat.

Sekadar bermain psikologi tidak akan menggerunkan pembangkang. Yang penting sejauh mana dasar-dasar yang dirancang BN sudah menyentuh hati rakyat?

Malah, masih banyak negeri yang belum menjalankan ‘pilihan raya olok-olok’. Kelantan umpamanya akan menjalankan simulasi pilihan raya dari 16 hingga 30 September depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebagai persediaan, pihaknya kini mengadakan taklimat secara berperingkat kepada semua ketua peti undi dan cawangan parti itu.

Simulasi pilihan raya itu adalah susulan daripada arahan UMNO pusat selepas Majlis Tertinggi parti pada 27 Mei memutuskan langkah tersebut perlu sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

No comments:

Post a Comment