Saturday, March 5, 2011

BUKU JINGGA - KITAB PEMBANGKANG MENUJU KE PUTRAJAYA?

Pakatan pembangkang boleh menjual atau menjaja bukunya itu. Ia hanya berupa kenyataan perancangan bukan pelaksanaan. Jika mentadbir negeri pun kalut dengan pelbagai masalah, bagaimana mahu mentadbir negara dan kononnya melaksanakan isi buku berkenaan? Hakikatnya, tidak seorang pun kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi pemimpin pusat dalam pasukan pakatan pembangkang. Yang lain tiada pengalaman. Apakah rakyat berani mempertaruhkan negara kepada kumpulan seperti ini?

Nik Nazmi Nik Ahmad jangan nak memperkecilkan keupayaan parti lain selain Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pertama, baru berapa hari Nik Nazmi main politik berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain. Nak kata orang lain ciplak idea kita, Nik Nazmi kena buka balik cadangan-cadangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang bertimbun-timbun kalau mahu diteliti semula. Baca balik hansard Dewan Rakyat.

Insentif Tawaran Baru untuk guru dan pembayaran wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula (CESS) untuk peneroka FELDA bukan perkara baru.

Ia bukan sesuatu yang perlu dibanggakan hanya kerana ada dalam Buku Jingga pakatan pembangkang

Malah, Buku Jingga itu masih belum secara rasminya menjadi buku dasar pakatan pembangkang kerana ia hanya akan dilancarkan malam ini Sabtu, 5 Mac di Stadium Melawati, Seksyen 13 di Shah Alam pada perhimpunan ulang tahun ke 3 PKR perintah Selangor.

Tawaran untuk guru dan isu pembayaran CESSS sudah diperkatakan di Dewan Rakyat sejak 1980-1990an, cuma perlaksanaannya terpaksa disesuaikan dengan keadaan semasa.

Perkara ini bukan dibincangkan untuk Felda semata-mata tetapi juga untuk Risda dan Felcra kerana ketika itu semua agensi pembangunan wilayah di bawah satu bumbung iaitu Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah.

Sebenarnya banyak perkara dalam Buku Jingga berkenaan, kalau Kerajaan Negeri hendak laksanakan, ia memang boleh umpamanya negeri Selangor dan Pulau Pinang yang dianggap mampu.

Begitu juga Kelantan, kalau mahu memberikan insentif untuk guru memang boleh beri pada ketika kedudukan ekonominya masih teguh pada 10 tahun pertama PAS bekuasa. Sekarang kerajaan PAS boleh berdalih dengan ekonominya yang lemah. Memangpun ekonomi Kelantan lemah ketika ini!

Dengan mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menciplak idea Buku Jingga, ia hanya suara anjing yang mahu menyalak bukit. Siapalah kamu Nik Nazmi?

Apakah kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membincangkan isu pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara?

Kalau Nik Nazmi melihat Buku Jingga sebagai pelan segala-galanya, beliau dan pemimpin PKR dan pakatan pembangkang lain tersilap langkah.

Tidak perlu berbahas mengenainya.

Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga.

Buku itu kalau mahu dibandingkan dengan buku Rancangan Malaysia Pertama hinggalah ke Rancangan Malaysia ke 10 serta buku-buku lain termasuk Buku Hijau dan sebagainya, bagai langit dengan bumi.

Saya mahu mengambil contoh di Terengganu, tanpa ‘Buku Jingga’, Buku Biru atau Buku Coklat, kerajaan Terengganu sudahpun melaksanakan pelbagai insentif sejak dua tahun lalu yang tidakpun dilaksanakan oleh kerajaan ‘kaya’ yang dikawal pakatan pembangkang sejak 2008.

Apakah programnya?

Bajet pendidikan yang tinggi iaitu lebih 35 juta setahun;

• Bayaran sekali sahaja untuk kemasukan ke universiti untuk semua pelajar Terengganu bagi diploma dan ijazah sebanyak RM700-RM1,000 seorang, tanpa mengira bangsa dan keturunan;

• Bayaran insentif kepada pelajar terpilih yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan dan Sijil Pelajaran Malaysia;

• Menukar pinjaman kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang yang mendapat Ijazah Kelas Pertama. Mereka juga layak menerima bayaran RM5,000 tunai;

• Guru-guru Besar dan Pengetua yang sekolah mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM diberikan ganjaran, termasuk lawatan sambil belajar ke luar negara;

• Bantuan pakaian dam beg sekolah secara percuma;

• Program e-Book untuk pelajar tahun 5 dan Tahun 6 sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (perbelanjaannya kini mencecah hampir RM60 juta);

• Dan tidak lama lagi, kelas maya untuk sekolah terpilih di seluruh negeri dengan perbelanjaan antara RM30,000 hinga RM90,000 bagi satu kelas; dan banyak lagilah.


Apakah ciri-ciri seperti ini ada dalam Buku Jingga?

Dengan memperlekehkan tawaran baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta adalah sikap angkuh pakatan pembangkang.

Hanya kerana Najib mengumumkan bayaran CESS baru-baru ini, bukan bermakna BN mencedok idea paakatan pembangkang. Sebelum ini pun bayaran sebanyak RM5000 sudah dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 dan bakinya akan dibayar bila-bila masa sahaja. (Menurut Nik Nazmi - FELDA masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka).

Mungkin pakatan pembangkang mempunyai ideanya sendiri untuk membubarkan FELDA Plantations dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama FELDA jika mereka menang pilihan raya. Tetapi pendapat warga Felda belum ditanya. Apakah mereka bersetuju atau sebaliknya. Selain itu, apakah cara itu mendatangkan kebaikan kepada peneroka?

Program ‘baik mana sekali pun’ kalau hanya ada dalam buku dan hanya untuk manifesto pilihan raya tidak akan mendatangkan apa-apa untuk rakyat.

Di dalam Buku Jingga, pakatan pembangkang mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru-guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan pembangkang bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

Itulah sahaja yang cuba disogokkan kepada guru namun bagi kerajaan Barisan Nasional, bukan sahaja guru tetapi semua kakitangan kerajaan menerimanya setiap tahun pada musim perayaan dan hujung tahun.

Siapakah yang lebih peka dan prihatin sebenarnya?

Hakikatnya, tidaklah perlu nak membahaskan Buku Jingga sama ada di di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau.

Pakatan pembangkang boleh menjual atau menjaja bukunya itu. Ia hanya berupa kenyataan perancangan bukan pelaksanaan. Jika mentadbir negeri pun kalut dengan pelbagai masalah, bagaimana mahu mentadbir negara dan kononnya melaksanakan isi buku berkenaan ?

Hakikatnya, tidak seorang pun kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi pemimpin pusat dalam pasukan pakatan pembangkang. Yang lain tiada pengalaman. Apakah rakyat berani mempertaruhkan negara kepada kumpulan seperti ini?

Dan kita lihat sendiri bagaimana Anwar, walaupun mempunyai pengalaman tetap berkiblatkan kepada negara tertentu. Bagus sangatkan negara yang beliau berkiblat itu?

Apakah suasana dan tuntutan politik dan ekonominya sama dengan keperluan rakyat Malaysia?

Malang sekali kalau Niuk Nazmi mengatakan Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap serta tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya Najib tidak perlu melayan Anwar malah, sama ada Perdana Menteri, mahupun Timbalan Perdana Menteri tidak usahlah layan atau membincangkan buku berkenaan.

Transformasi ekonomi dan politik yang sedang dilaksanakan sekarang jauh lebih baik dan pandang ke depan, bukan dasar-dasar pakatan pembangkang yang bersifat memancing undi untuk menang pilihan raya.

Yang penting bagi mereka bukan rakyat didahulukan tetapi mereka mendahului rakyat untuk ke Putrajaya dan selepas itu akan berlakulah pelbagai kekalutan.

Jadikan Selangor dan Pulau Pinang – sebelum ini Perak - sebagai kes kajian yang menarik betapa Buku Jingga itu sebenarnya hanyalah khayalan politik oleh pemimpin politik yang sedang berkhayal untuk ke Putrajaya!

No comments:

Post a Comment