Saya tertarik dengan laporan Malaysiakini bertajuk ‘Universiti swasta 'hilang' RM100j geran kerajaan’ dengan merujuk kepada Malaysian University of Science and Technologi (MUST).
Ia sepatutnya menjadi sebuah universiti terkemuka apabila bekerjasama dengan Massachusetts Institute of Technologi (MIT).
Mudahnya mereka mendapat geran dan mudah pula buat tidak tahu. Tidak ada laporan pun kerajaan bertindak walaupun dikatakan geran itu 'hilang'.
Saya mengetahui nama MUST apabila menyertai pasukan pekerja yang merancang dan melancarkan stesen televisyen ntv7 pada 1998 yang kini sudah dijual kepada Media Prima.
Ketika itu universiti berkenaan pada peringkat penubuhannya dan ia menjadi kenyataan pada 2001.
Universiti itu terletak di lot pejabat di Kelana Square, kerana rancangan awal untuk sebuah kampus melalui MUST Ehsan Development, ditangguhkan.
MUST Ehsan Development – ialah anak syarikat tersenarai Kumpulan Encorp yang dibiayai oleh Effendi yang sepatutnya membangunkan kawasan di sekitar tapak untuk kampus universiti tersebut di Shah Alam. Ini kerana pendapatan daripadanya perlu digunakan untuk membiayai pembinaan kampus dan aktiviti lain universiti tersebut.
MUST Ehsan Development mempunyai portfolio projek bernilai RM800 juta, termasuk projek pembangunan campuran yang digelar 'the Strand' di Kota Damansara. Namun, ia tidak ada apa-apa kaitan dengan Yayasan atau MUST.
Orang yang menggerakkan MUST ialah bekas menteri kabinet, Datuk Seri Effendi Norwawi, yang juga bekas pemilik ntv7, bekas taukeh tempat saya bekerja selama sembilan bulan tetapi saya tidak disambung kontrak di ntv7.
Walapun dalam pasukan menggerakkan ntv7 hingga ke peringkat pelancarannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) saya ‘tidak layak bekerja di stesen itu’ selepas berjaya dilancarkan pada 7 Julai 1998. Itu pandangan Effendi dan CEO ketika itu Shazaly Ramli.
Saya yang menulis draf ucapan alu-aluan dan menjalankan rakaman Tun Dr Mahathir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak), Datuk Yong Teck Lee (Ketua Menteri Sabah ketika itu) serta juga Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.
Malah, bukan saya sahaja tidak layak. Pak Mat Merican (Datuk Ahmad Merican) yang diangkat sendiri oleh Effendi menjadi penasihat sejak awal juga tidak layak seperti nasib pengurus tinggi lain (termasuk Malini Ismail), kerana hanya ada beberapa orang sahaja yang layak ketika itu dan pastinya yang paling layak - Shazaly.
Mengejutkan juga apabila mendengar MUST mendapat geran RM100 juta. Bagaimana kerajaan boleh percaya ia boleh berkembang dan mampu menjadi universiti terkemuka?
Menurut Malaysiakini, MUST menerima geran secara ansuran antara Januari 2001 dan 2006, menerusi MUST Ehsan Foundasan. Effendi telah menjadi pemegang amanah yayasan tersebut sejak tahun 2001.
Tetapi selepas 10 tahun berlalu, universiti tersebut masih jauh untuk mencapai sasaran tahun 2007 - untuk mendaftar 500 pelajar – tetapi hanya mampu memperolehi 207 pelajar.
Apakah semuanya ini?
Siapakah yang bertanggungjawab terhadap kegagalan ini? Apakah Effendi yang wajar dipersalahkan kerana dia adalah pemegang amanah yayasan?
Jika menurut Malaysiakini, MUST sebagai sebuah universiti swasta 'utama', ia kini tidak dapat memenuhi sasaran pendaftaran pelajar dan lebih memburukkan, hampir tidak cukup wang untuk bertahan setahun lagi.
Apakah jenis pengurusan yang dilaksanakan oleh MUST, khususnya pemegang amanahnya?
Kenapa kerajaan boleh berdiam diri sedangkan RM100 juta itu besar dan sudah satu dekad MUST tiada haluan?
Ketua pegawai eksekutifnya, Leong Choon Heng, mengakui bahawa universiti itu kini tinggal "kurang dari RM10 juta" dan terpaksa mengambil langkah pemotongan kos yang agresif untuk terus bertahan.
Lebih malang, sebahagian besar daripada pelajar tersebut merupakan mereka yang didaftarkan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran selepas universiti itu hanya mendaftar 10 pelajar pada 2007.
Ke arah manakah MUST dan wajarkah geran RM100 juta itu dilupakan begitu sahaja?
No comments:
Post a Comment