Friday, November 26, 2010

UTUSAN MALAYSIA - KERUGIAN & PEMILIKAN POLITIK

Utusan Malaysia berada dalam keadaan tersepit antara ‘menjaga kepentingan dan masa depan Melayu’ dengan keuntungan. Yang berlaku sehingga hari ini ialah Utusan Malaysia meletakkan perjuangan kepentingan Melayu, Islam dan masa depan Malaysia sebagai matlamat utama.


Bahagian Pertama

Berita mengenai Utusan Malaysia (M) Bhd rugi yang dikatakan akibat pemilikan politik menarik minat saya untuk turut serta memperkatakannya.

Lagipun Presiden Wartawan Malaysia (NUJ) , Hatta Wahari (gambar kanan) yang saya difahamkan masih menjadi kakitangan syarikat itu turut membuat kenyataan yang pada saya tidak adil dalam beberapa konteks.

Pertama, Hatta membuat kenyataan bukan sahaja menghentam Utusan Malaysia tetapi membanding dan memuji Malaysiakini.

Kedua, Hatta mengatakan Utusan Malaysia rugi kerana ‘tidak bebas’.

Ketiga, apakah akhbar bukan Utusan Malaysia membuat keuntungan kerana ‘bebas’?

Keempat, apakah Hatta membuat kenyataan mengenai Utusan Malaysia itu bersifat peribadi atau sebagai Presiden NUJ. Apakah wartawan lain menyokong sepenuhnya pendapat beliau ini? Apakah kenyataan ini dibuat sebagai pendirian bersama?

Dalam menyatakan pendapat ini mungkin saya salah kerana sudah meninggalkan dunia akhbar sejak 1998.

Namun, sedikit pengalaman boleh dikongsi bersama untuk sama-sama kita merenungi kedudukan sebenar Utusan Malaysia dan dilema yang dihadapinya.

Saya mahu mengulas perkara kedua terlebih dahulu yang menyabitkan Utusan Malaysia sebagai akhbar ‘bebas’.

Saya mula menulis dengan Utusan Malaysia sejak 1971 ketika tingkatan empat untuk memaparkan masalah masyarakat yang berlaku di daerah Besut, Terengganu.

Contohnya rencana saya di sebelah kanan ini disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 17 Januari 1973 ketika saya menunggu keputusan Malaysian Certificate of Education (MCE). Bermakna ketika saya menulis rencana ini umur saya adalah 18 tahun.

Saya bernasib baik kerana mengenali beberapa penulis Utusan Malaysia yang sudah terkenal ketika itu termasuk Ustaz Ropik (Rafia) - bapa kepada Allahyarham Sirajuddin Rafia (wartawan dan Pengarang di Utusan Malaysia) – yang ketika itu menjadi Ketua Biro Kelantan serta Muis Jabar, Ketua Biro Bernama Kelantan ketika itu.

Selepas penulis saya mengenali Mohamad Jusoh yang menjadi Ketua Biro Utusan Melayu di Kota Bharu selain beberapa wartawan di Kuala Terengganu. Selain itu, ada beberapa yang lain yang saya lupa namun rakan penulis di Utusan Melayu Kelantan yang saya ingat ialah Wan Ahmad Wan Hassan dan Saroji Mokhtar. Melalui mereka saya juga mendapat tunjuk ajar menulis dengan lebih baik selain asas penulisan berita dan rencana diajar oleh abang saya sendiri – Hasbullah Latiff yang sudah bersara dengan RTM dan masih menetap di Kota Kinabalu.

Ketika itu Utusan Malaysia mahukan penulisnya memberikan tumpuan kepada cerita-cerita masyarakat – kemiskinan, peluang belajar, pertanian, perniagaan – yang semuanya bercirikan keadaan setempat.

Malah, apabila Rancangan Malaysia Kedua dilancar pada 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971, saya diberitahu oleh mereka yang membimbing saya memberikan tumpuan kepada perkara berkenaan.

Maknanya, Utusan Malaysia adalah penggerak kemajuan orang Melayu dan sememangnya tidak bebas. Utusan Malaysia adalah suara dan nadi pembangunan orang Melayu yang ketika itu masih miskin dan jauh ketinggalan berbanding dengan rakyat bangsa lain.

Dengan menyiarkan berita-berita serta pembangunan kampung dan daerah - selain menimbulkan masalah kampung dan daerah, ia membantu kerajaan khususnya Pejabat Daerah dan Kerajaan Negeri untuk mendekati masyarakat secara terus.

Mengharapkan rakyat membuat aduan pada 1970an dan 1980an? Jauh sekali. Hanya akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harianlah yang menjadi suara dan nadi orang Melayu!

Apabila saya ‘tinggalkan’ Utusan Malaysia kerana menerima tawaran Berita Harian untuk menjadi stringer melalui surat Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail (pada 1973) saya tidak menulis lagi dengan Utusan Malaysia.

Namun saya tidak pernah lupa untuk menjenguk Utusan Malaysia hinggalah sekarang. Lagipun penulisan beberapa rakan wartawan seperti Zahari Affendi, Sirajuddin, Khalid Mohd, Mazlan Nordin terus menerus saya ikuti.

Malah ketika Johan Jaafar menjadi Ketua Pengarang pun saya tidak lupa menjenguknya walaupun hati saya sedikit tawar kerana Utusan Malaysia ketika itu ‘tidak bebas’ dalam keadaan tidak bebas kerana dipengarahui orang politik tertentu.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi saya apabila berita mengenai Tan Sri Rahim Thamby Chik dan ‘anak gadis’ mulanya ‘pecah’ melalui laporan Utusan Malaysia. Bagi saya Utusan Malaysia di bawah Johan adalah paling ‘tidak bebas’.

Namun ketika itu tidak ada suara orang menjerit seperti Hatta terhadap Utusan dan jika ada pun ‘suara-suara sumbang’ ia dibuat dalam lingkungan orang UMNO dan pemimpin tertinggi sahaja.

Namun siapa berani buka mulut? Orang yang mengawal Utusan Malaysia ketika itu adalah di bawah ketiak Dr Mahathir Mohamad – Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Faham-fahamlah sendiri siapa dia!

Jadi apabila Hatta mengatakan Utusan Malaysia mesti bebas, saya tertanya-tanya, sebagai pekerja Utusan Malaysia, Hatta tidak fahamkah misi dan matlamat maklumat yang disebarkan Utusan Malaysia itu untuk siapa dan demi siapa?

Bagi saya, jika seseorang pekerja itu tidak tahu matlamat atau hala tuju syarikat di mana dia bekerja – dia seorang yang lemah dan tidak menyumbang kepada syarikat. Dengan kata lain jika ada penilaian terhadap prestasinya dia adalah pekerja yang gagal dan tidak layak dinaikkan pangkat atau diberikan merit.

Tidaklah tahu pula saya apakah Utusan Malaysia memang sanggup ‘memelihara’ pekerja yang lemah dan tidak menyumbang kepada syarikat dan berapa ramai di syarikat berkenaan.

Dan kalau rugi pun, antara sebabnya bukan semata-mata akhbar itu tidak bebas tetapi mempunyai pekerja yang ‘lemah’ dan ‘tidak menyumbang’ kepada syarikat.

Bercakap mengenai ‘bebas’ ini saya ingin merujuk kepada beberapa syarikat seperti The Star dan akhbar berbahasa Cina yang lain.

Apakah akbar ini bebas? Tidakkah ia juga dimiliki oleh parti atau individu yang berkait rapat dengan orang politik? Bebas untuk siapa?

Atau mereka untung bukan kerana beritanya baik tetapi kerana pengiklan yang setia kepada akhbar mereka?

Bagaimana pula pengiklan akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro dan Kosmo! ? Apakah syarikat-syarikat GLC, swasta dan kerajaan negeri benar-benar menyokong mereka seperti akhbar The Star dan akhbar Cina disokong oleh syarikat-syarikat swasta yang besar?

Kita jangan lupa bahawa pembaca The Star dan akhbar Cina ialah masyarakat peniaga, jutawan dan billionaire. Siapa pembaca Harian Metro, Kosmo!, Berita Harian dan Utusan Malaysia?

Di sinilah wujudnya kepentingan akhbar – apakah untuk keuntungan atau demi tanggungjawab sosial?

Setahu saya sesebuah akhbar tidak akan untung daripada jualannya – malah untuk cover kos pun tidak mampu. Akhbar yang jumlah kutipan dan hasil pengiklanan tinggi akan mendapat untung yang besar dan bukan kerana jualannya.

Saya melihat Utusan Malaysia berada dalam keadaan tersepit antara ‘menjaga kepentingan dan masa depan Melayu’ dengan keuntungan. Yang berlaku sehingga hari ini ialah Utusan Malaysia meletakkan perjuangan kepentingan Melayu, Islam dan masa depan Malaysia sebagai matlamat utama.

Sudah pasti dalam keadaan ini Utusan Malaysia akan tercicir dari segi pengiklanan dan keuntungan.

Pertanyaan ialah apakah Hatta mahu Utusan Malaysia ‘menggadai masa depan orang Melayu’ dengan keuntungan?

Bahagian Kedua – Utusan Malaysia Perlu Teruskan Misi

No comments:

Post a Comment